Hari ini kami ingin kongsi ibrah yang kami dapat sewaktu diskusi tentang topik syura dalam Islam. Pada malam itu, al-Ustaz berkongsi proses syura yang gagal dalam kerajaan Saba' yang dipimpin oleh raja perempuan yang dikatakan namanya Balqis.
Ayat-ayat berkenaan seperti dilampirkan.
Kenapa gagal? Kerana dalam sesi musyawarah mereka, ahli syura raja perempuan berkenaan tidak memainkan peranan, tidak kritikal dan menyerahkan kepada si ketua untuk memikirkan idea dan memutuskan yang terbaik. Ahli syura atau korum perbincangan yang tidak aktif ini menyebabkan dimensi untuk membuat keputusan tertutup dan terhad kepada satu kepala sahaja.
Alangkah ruginya!
Fenomena tidak sihat ini kadang-kadang berlaku dalam amal islami kita. Kadang-kadang seorang al-akh bila ditanya untuk memberikan pandangan lebih selesa berdiam diri, cepat merespon "ana tidak tahu" dan "setuju" sahaja.
Memang, berfikir ini kerja penat dan kita tidak mahu meluangkan masa, pause sekejap dan memberikan buah fikiran kita. Sedangkan buah fikiran kita itu mungkin berharga dan membuka luas horizon pemikiran pembuat keputusan.
Jika di tempat kerja kami sering diingatkan, "you all ni majikan bayar mahal² gaji, tak kan dalam meeting senyap sahaja" dan bagaimana Ahli Lembaga sebuah syarikat berkongsi beliau dihubungi dan diaudit kerana tidak memberikan pandangan dalam suatu Mesyuarat Lembaga yang berjalan hanya 30 minit.
Dalam urusan profession dan kerjaya mungkin kita lebih ligat berfikir dan memberikan buah fikiran yang bernas. Tetapi sayang sekali jika dalam forum perbincangan dakwah dan tarbiyah kita diam seribu bahasa.
Dikatakan adalah Rasulullah seorang yang paling kerap mengadakan syura. Baginda berbincang dan meminta pendapat daripada segenap lapisan sahabat di sisi Baginda saw. Sebagai seorang individu yang tindak tanduknya dipandu wahyu, barangkali Baginda saw lah yang paling kurang berhajat kepada syura namun sebaliknya yang ditunjukkan oleh baginda untuk melatih umah berbincang, memberikan buah fikiran dan membuat keputusan dengan kesepakatan.
Semoga usaha membangunkan islam, menyemarakkan tarbiyah dan dakwah makin mekar dengan bertambahnya bilangan mereka yang mufakkir, mengerut dahi memikirkan suatu permasalahan dan memberikan buah fikiran yang terbaik darinya, bukan sekadar mengangguk kepala.
Insya Allah kupasan segar begini yang kami belajar dan perolehi dalam sesi yang dianjurkan sama ada setiap minggu mahupun bulan. Melatih diri untuk menyerap pemikiran al-Quran.
https://tinyurl.com/SertaiMuassis
No comments:
Post a Comment