Friday, April 6, 2018

JAGA SUDUT ENGKAU AKHI!


Dikatakan bahawa Rasulullah pernah bersabda,


أنت على ثغرة من ثغر الإسلام ، فلا يؤتين من قبلك
Engkau berada salah satu sudut dari sudut-sudut islam, janganlah islam itu dimasuki (dicerobohi) melalui (sudut) engkau.


Sebahagian ulama hadith mendhaifkan hadith ini kerana ia mursal.

Namun begitu, makna yang dibawa oleh hadith atau athar ini sangat baik dan tepat. Tidak menjadi masalah untuk kita mengambil pengajaran pada hadith atau athar yang lemah dengan syarat tidak menjadikannya hujah dalam menegakkan hukum hakam.

وقال الأوزاعي: كان يقال : ما من مسلم إلا وهو قائم على ثغرة من ثغر الإسلام فمن استطاع ألا يؤتى الإسلام من ثغرته فليفعل

Telah berkata Imam al-Auzai'e, dikatakan bahawa tidak seorang pun daripada seorang Muslim itu melainkan dia berdiri pada satu sudut daripada sudut-sudut dalam Islam. Oleh itu, bagi siapa yang mampu, hendaklah ia berbuat supaya islam itu tidak dimasuki (dicerobohi) melalui sudutnya.

Masyarakat muslim cukup unik binaan strukturnya. Islam mendidik individu-individunya agar setiap orang daripada mereka menjadi satu unit yang lengkap lagi melengkapi. Dia seumpama batu-bata yang teguh, disusun bersama batu bata yang lain dalam binaan yang besar. Mengumpamakan Islam seperti satu binaan yang besar bukanlah perumpamaan baharu yang mula bergema sejak abad ke belakang. Ia merupakan perumpamaan yang bersumberkan sunnah Rasulullah yang suci, sebagaimana sabda Baginda SAW;

"Telah dibina Islam atas lima perkara"




Proses ini bermula sejak pembentukan masyarakat Islam pertama di bawah petunjuk Nabawi. Antara seruan pertama Islam ialah sabda Rasul s.a.w (yang bermaksud):


“Allah memberi hidayah melalui kamu seorang lelaki lebih baik bagi kamu daripada unta Humr an-Ni’am (jenis unta yang paling tinggi nilainya)”
[Muttafaq ‘alaih]

Hadis di atas menyebut dengan jelas term "rojulan wahidan" yakni seorang rijal, seolah-olah memberi isyarat betapa seorang individu yang memahmi Islam, nilainya cukup penting dalam meletakkan batu asas dan membangunkan binaan Islam. Sekurang-kurangnya, dengan kekuatan seorang rijal, satu bata telah pun berjaya disimen dan diletakkan seterusnya usaha ini akan menjengkelkan orang-orang kafir,

Semenjak saat itu, setiap individu daripada generasi awal Islam memikul fikrah Islamiah dan aqidah yang murni dalam pemikiran mereka, begitu juga keimananyang mendalam dan mantap di dalam jiwa-jiwa mereka. Sehingga ianya terserlah dalam kata-kata, tingkah laku dan gerak diam mereka. Mereka adalah binaan pertama Islam, yang telah membentuk keseluruhan addin ini menjadi satu binaan yang tersergam indah.

Setiap daripada mereka mewakili sudut masing-masing dan telah memberikan yang terbaik supaya sudut yang dijaga oleh mereka tidak lemah, tembus dan dicerobohi oleh musuh. Setiap satu daripada sahabat ini seolah-olah satu umat yang kuat dan ramai. Setiap sosok mereka seakan-akan menghidupkan kembali gambaran yang diberikan oleh al-Qur'an kepada Nabi Ibrahim yang dari segi bilangannya sebatang kara, tetapi al-Qur'an mengatakan bahawa Baginda merupakan satu umat.

Firman Allah SWT,

إِنَّ إِبْرَاهِيمَ كَانَ أُمَّةً قَانِتًا لِلَّهِ حَنِيفًا وَلَمْ يَكُ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah dan hanif. Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan)
[An-Nahl :120] 


Abu Bakar ra telah menjadi khalifatul Rasulullah yang terbukti mewarisi kepimpinan Rasulullah. Beliau telah menjaga sudut beliau dengan baik dan bersungguh-sungguh. Ketika timbul isu riddah yakni golongan murtad, nabi palsu  dan muncul golongan yang enggan membayar zakat, beliau telah mengatakan,

"أينقص الدين وانا حي"
Adakah akan berkurang agama ini sedangkan aku masih hidup?

Begitu juga Umar al-Khattab. Beliau adalah simbol sahabat yang paling berpegang teguh dengan perintah Allah. Tindakan dan pandangan beliau yang sentiasa bernas sehingga kan sebilangan ayat Qur'an turun menyetujuinya dalam beberapa perkara.

Khalid al-Walid pula telah menjaga sudut beliau di medan perang. Pedang Allah yang terhunus ini sering menemukan jalan untuk mengusik jantung musuh sehingga Rom gerun dengan tentera pimpinannya.

Mus'ab bin Umair adalah contoh terbaik dalam sudut tajmik dan dakwahnya. Kelibat beliau seperti satu umat yang ramai. Dikatakan hampir tidak ada pintu rumah di Madinah yang tidak diketuk oleh beliau sebelum hijrah Rasulullah ke Madinah.

Muaz bin Jabal telah menjadi guru dan penjaga sudut hukum fiqh, berkenaan halal dan haram. Rasulullah memuji dan mengiktiraf beliau sebagai yang paling mahir dalam hal ini.

Demikian pula Abd Rahman bin Auf di bidang ekonomi. Beliau telah memecahkan monopoli Yahudi yang sudah bertahun menguasai pasar Madinah. Namun beliau muncul ibarat satu umat di tengah-tengah perusahaaan di pasar Madinah walaupun berhadapan dengan Yahudi yang licik.

Begitu juga sahabat yang lain. Abu Ubaidah sebagai pemegang amanah umat ini. Zaid bin Thabit dengan kepakaran ilmu faraidh. Aishah, Ali & Ibnu Abbas adalah gedung ilmu yang tidak tergambar luasnya. Ibn Abbas mendapat jolokan tinta umat kerana banyak dan luasnya ilmu yang dimiliki oleh beliau.

Subhanallah. Masing-masing berada di sudut mereka dan memberikan yang terbaik. Mereka beramal seolah tidak ada orang lain lagi yang akan menjaga bangunan islam yang indah ini. Merekalah batu-bata yang teratur, bunyanun marsus yang disifati oleh al-Qur'an. Merekalah individu-individu yang berada dalam saf-saf yang teratur dan dincintai oleh Allah swt.

Bagaimana pula dengan generasi kita hari ini? Adakah kita sedang mempertingkatkan islam di sudut masing-masing atau kita sedang menjadi titik lemah yang sedang dijadikan target musuh? Saat kita mendengar dengan gemilang hadith berkenaan Unta Merah, adakah semangat dakwah kita masih bergelora ?


Atau semuanya tinggal angan-anagan ?


No comments: