كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Kamu adalah umat yang
terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan
mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab
beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang
beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
(Ali Imran : 110)
Ayat di atas merupakan salah satu ayat yang sering
didendangkan dalam program tarbiyah kita. Abang-abang murabbi sehingga ada
ketika menyuruh adik-adik yang datang ke program program tarbiyah hujung minggu
menghafal ayat ini. Hafalan mereka disemak sebelum mereka menaiki kereta dan
dihantar pulang ke kolej kediaman masing-masing. Indah bukan suasana itu. Kita
keluar berhujung minggu semata-mata untuk memahami dan menghafal sepotong ayat
Qur'an, supaya ayat ayat Qur'an benar melekat dan tersibghah dalam pribadi
kita.
Akan tetapi kita hari ini telah melakukan sesuatu yang
pelik. Kita katakan cara ini sudah tidak berkesan. Mengajak adik-adik zaman
millenium keluar di hujung minggu untuk hadir ke program tarbiyah adalah
sesuatu yang mustahil kerana mereka lebih selesa berada di bilik-bilik mereka
bersama gajet-gajet. Sedangkan pada suatu ketika, abang-abang telah mampu
mengeluarkan kita dari bilik-bilik asrama kita juga. Al-Qur’an yang sama telah
menjadi tools merubah manusia, yang digunakan oleh Rasulullah sehingga sampai
ke generasi abang-abang murabbi kita merentas masa dan zaman, lebih puluh
ratusan tahun. Tiba-tiba pada tahun kita membina dan mentajmik, kita katakan
adik-adik sekarang sudah lain. Apa kita ingat sepanjang puluh ratusan tahun sebelum
kita, manusia itu sama sahaja tidak berubah?
Sekali kita renung sudah pasti ayat ini sudah membuat
deskripsi tentang sahabat Rasulullah saw. Allah swt memulakan ayat ini dengan
menyebut kuntum, كُنْتُمْ yang bermaksud kalian semua telah menjadi.
ia memberi satu isyarat, sebelum ini mereka berada dalam satu keadaan yang
lain, dan kini mereka berada dalam keadaan yang lain. Dan perubahan itu
telahpun berlaku, kerana itu digunakan perkataan kuntum yang merupakan bentuk
past tense, atau perbuatan yang telah lepas. Telah pun terjadi. Allah telah
memuji mereka dengan memberi gelaran khair ummat, sebaik-baik umat atau umat
yang terbaik.
Inilah kesan perubahan yang telah berlaku kepadda mereka. Sesuailah
ayat ini turun di tahun tahun di Madinah, setelah mereka semua melalui fasa
pembentukan peribadi yang lama dan dalam di tahun-tahun awal Makkiyah sehingga
ditempa pula dengan tarbiyah jihadiyah di Madinah. Kini terbukti mereka telah
menjadi yang terbaik.
Ia suatu gelaran yang mengharukan hati. Pertama kerana
gelaran itu sendiri. Namun lebih besar dari itu ialah kerana entiti yang
memberi gelaran itu iaitu Allah swt. Ia jauh lebih besar dari gelaran itu. kita
tidak kisah apakah bentuk gelaran, tetapi siapa yang memberi gelaran itu yang
memberi nilai tambah. Sebab itu gelaran doktor falsafah tidak bermakna jika ia
dibeli dan diberikan oleh institusi pendidikan yang tidak diiktiraf.
Belum kita pernah mendengar pada ayat-ayat sebelum ini Allah
swt memuji golongan sahabat ini terutamanya dengan ungkapan yang indah dan
mahal ini. Ternyata ia hanya digunakan sekali sahaja dalam al-Qur’an, satu
gelaran yang eksklusif. Ia membuatkan generasi kita yang datang kemudian yang
membaca ini, merasa cemburu dan lebih dari itu tertanya-tanya, atas dasar apa
mereka diberi gelaran ini?
Kata Sayyid Qutb rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini, “Ayat
ini meletakkan tanggungjwab yang sangat berat di atas bahu kaum muslimin sambil
memuliakan mereka dan mengangkat kedudukan mereka ke suatu kedudukan yang unik
dan istimewa yang tidak dicapai oleh mana-mana manusia lain..”[1]
Sambung beliau lagi, “pengungkapan dengan kata-kata ukhrijat
(dilahirkan/dikeluarkan) iaitu dengan kata-kata bina majhul merupakan satu
ungkapan yang menarik perhatian. Ia membayangkan tangan pentadbir yang lemah
lembut yang melahirkan umat ini dengan penuh hebat dan menolaknya keluar ke alam
kenyataan..”
Kalam Sayyid Qutb ini pula membuka minda kita dalam memahami
ayat ini dengan lebih mendalam. Daripada pangkal ayat dan gelaran ekslusif
tadi, kita beralih pada perkataan ukhrijat yang bermaksud dilahirkan atau dikeluarkan.
Ia adalah ungkapan bina majhul, yakni satu perbuatan dalam bentuk pasif yang
tidak diketahui pelakunya. Maksudnya? Maksudnya, umat yang terbaik ini bukan
suatu gelaran semata-mata, tetapi mereka telah dilahirkan ataupun dikeluarkan,
setelah melalui satu proses.
Tetapi anehnya, dengan menggunakan ungkapan
ukhrijat, tidak dinyatakan, siapakah entiti yang melahirkan dan mengeluarkan
mereka itu? Pelakunya dirahsiakan.
Ada beberapa ibrah kenapa si pelaku dirahsiakan. Pertamanya supaya
kita tidak memberi perhatian kepada pelaku, tetapi memberi tumpuan kepada
proses ukhrijat, iaitu proses membentuk, mentakwin dan akhirnya mengeluarkan
umat yang terbaik ini. Keduanya, pelaku merupakan satu entiti yang cukup ma’ruf.
Dari satu sisi, sudah tentu lahirnya mereka ini dengan kehendak dan izin Allah
swt. Dari sisi lain, mereka telah lahir dibentuk dengan tenaga tangan
Rasulullah yang telah memilah-milah antara sekelian banyak manusia dan mentarbiyah
mereka. Namun, si pelaku tidak diberi kredit, kerana ia telahpun mendapat
ganjaran di sisi Allag swt.
Yang penting adalah, pada ungkapan ukhrijat itu tergambar
satu usaha untuk mengeluarkan kelompok yang terbaik ini. Mereka seakan berada
dalam satu bekas, kemudian yang terbaik dari bekas itu diambil dengan penuh
kekuatan dan kesungguhan. Mereka ditarbiyah dengan jitu dan unggul. Itulah yang
kita pelajari dari ungkapan ukhrijat. Ternyata itulah para sahabat. Mereka merupakan
satu kelompok manusia yang telah diambil dan dipilih dengan takdir Allah swt
dari sekalian manusia yang lain. Adakah mereka terdiri dari bilangan yang
ramai? Ternyata tidak. Yang akhirnya dilahirkan dan dikeluarkan ini hanyalah
beberapa peratus dari lautan manusia dia Mekah dan Madinah ketika itu.
Kefahaman in menambahkah lagi rasa istimewa kepada golongan
khair ummah ini. Rasa cemburu kian membuak-buak. Sekarang masanya untuk kita
melihat kepada realiti. Sudah tentu ayat ini terbentang di hadapan kita bukan
sekadar untuk kita kekaguman semata-mata atau sakit hati kecemburuan
semata-mata. Tetapi di sana ada petunjuk-petunjuk lain.
Iaitu isyarat bahawa proses ukhrijat tadi boleh diulang
cetak.
Itulah ikhwah yang sedang kita usahakan. Mencetak diri kita
dan manusia-manusia dengan sehampir mungkin meneladani usaha dakwah dan
tarbiyah ar-Rasul agar lahir kembali dari usaha ini kelompok manusia yang
digelar khair ummah. Sekalipun kita tidak mampu membidik anak panah tepat pada
sasaran jantungnya, yang paling hampir ke situ pun sudah memadai.
Dan ternyata, hari ini sebahagian dari kita telahpun
merasakan tanpa sedar bagaimana proses ukhrijat itu telah berlaku ke atas diri
kita. Tidak kisahlah siapan pun pelakunya. Namun takdir Allah telah menetapkan
yang berada di hadapan ayat-ayat ini adalah kita, bukannya orang lain. Bukankah
ini sebahagian dari perjalanan menuju lahirnya khair ummah?
Kita tidak bermaksud untuk berlebihan memuji diri sendiri
tetapi. Tetapi marilah kita peluk dengan erat jalan dakwah dan tarbiyah ini.
Masih ada perbincangan yang perlu kita bereskan juga
menyangkut ayat tadi, iaitu untuk siapa khair ummah ini dibentuk dan
diwujudkan? Dan apakaha ciri-ciri mereka? Selebihnya, anda renunglah sendiri
dengan telus dan penghisaban yang berat ke atas dirimu akhi...
.
No comments:
Post a Comment