Monday, April 15, 2019

MUJTAMA' MUSLIM QUR'ANI




Mujtama' Muslim Qur'ani

Menguji (fitnah) kaum Muslimin dengan pelbagai cara termasuk menyebarkan berita bohong merupakan cara lama & berzaman musuh islam. Dalam sirah Rasul-Nya, peristiwa berita bohong yang lebih dikenali dengan Hadith al-ifki telah ambil tempat dan Allah swt telah merekod peristiwa ini dalam Qur'an untuk teguran umat semasa dan pelajaran umat sepanjang zaman. Benarlah al-Qur'an itu kitab yang hidup pelajarannya. Peristiwa yang dibawakan oleh al-Qur'an seakan-akan mengambil tempat lagi hari ini dan insya Allah di masa-masa akan datang. Yang berbeza cuma watak-watak mereka.

Berbalik kepada kisah Hadith al-ifki, sudah tentu begitu banyak Ibrah yang boleh dikutip melalui kisah ini. Namun eloklah kita tekuni satu sisi ini. Bagaimana Allah swt menegur orang beriman yang termakan fitnah ini dengan halus dan lembut, tetapi mendalam.

Bukan sedikit di kalangan sahabat yang terkeliru dalam peristiwa tersebut dan telah menaruh prasangka terhadap Ummul Mukminin Aishah r.a.

Namun ayat Quran berikut cukup menyentuh hati;


لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَٰذَا إِفْكٌ مُبِينٌ


Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

-Sura An-Nur, Ayah 12


Allah menyuruh orang beriman yang mendengar berita bohong itu mengambil pendirian tidak mempercayainya tanpa ragu. Lebih menarik tindakan itu di sifatkan menaruh sangka baik terhadap diri mereka!

Bukan sangka baik terhadap Aishah atau mana mana individu yang tertuduh.

Dengan lembut dan halus ayat ini menggambarkan kesatuan orang beriman. Diri mereka ibarat satu batang tubuh, satu semangat dan satu ruh.

Jika ia mempercayai akh mukminin yang lain, bererti ia mempercayai dirinya. Jika ia bersangka baik dengan akh mukminin yang lain, bererti ia bersangka baik terhadap dirinya. Kerana sesama mu'min itu tiada bezanya. Mereka satu umat yang bersatu padu dan bersatu hati. Sifat dan watak yang dia terlihat pada diri saudara seimannya itu tidak lain hanyalah pantulan watak dan sifat yang dimilikinya.


Indahnya mesej Qur’an ini. Menegur dengan halus dan memberi gambaran bagaimana sesama mukmin patut hidup bermasyarakat.

Saling percaya. Saling baik sangka. Saling membantu. Saling menjaga aib.

Kerana jika tidak, ia seperti mengulangi sikap yahudi & nasrani yang saling menjatuhkan;


وَقَالَتِ الْيَهُودُ لَيْسَتِ النَّصَارَىٰ عَلَىٰ شَيْءٍ وَقَالَتِ النَّصَارَىٰ لَيْسَتِ الْيَهُودُ عَلَىٰ شَيْءٍ وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ ۗ كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ مِثْلَ قَوْلِهِمْ ۚ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ


Dan orang-orang Yahudi berkata:

"Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula berkata: "Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)"; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

-Sura Al-Baqarah, Ayah 113

**
Malang sekali kita lihat hari ini, perbezaan pandangan dan pendapat terutamanya ideologi politik menyebabkan aktiviti membuka aib, melempar fitnah dan melondehkan maruah saudaranya yang solat lima waktu seperti dirinya itu merupakan stau hiburan yang mereka lakukan saban hari. Lebih menyedihkan, yang terlibat dalam pesta mungkar ini mereka yang menekuni al-Qur'an dan menulis tentang akhlak nabi suatu ketika dahulu dalam artikel artikel fikrah dan tarbiyah mereka.

Betapa kita memerlukan tarbiyah yang lama dan panjang untuk melembutkan hati dan menghidupkan kembali suasana yang digambarkan oleh al-Qur'an

Berilah kekuatan Ya Allah untuk kami hadapi fitnah ini.


 والأخوة أخت الإيمان ، والتفرق أخو الكفر
"Ukhuwah adalah saudara iman, perpecahan adalah saudara kufur" - Hasan al-Banna


No comments: