Tuesday, May 12, 2015

SENTUHAN AL AKH #42


Akhlak Akhlak Dakwah.


Kita ada bermacam ragam ikhwah. Kata seorang akh,

“Kita beruntung, ada macam macam jenis. Ada yang tegas macam Umar, sikit sikit hukum, sikit hukum. Ada yang sangat manusiawi macam Abu Bakar dengan tolerate nya, ada yang pemalu macam Uthman, berani dan bijak macam Ali dan bermacam lagi. Kita kena manfaatkan keistimewaan masing-masing”

Ya. Kami perlu memanfaatkannya!

Terlebih dahulu, aneka ragam ini perlu difahami dan diletakkan di posisi yang betul. “Bagaimana?” seorang daripada kami bertanya. “Akhi, bukankah tafahum, saling memahami itu rukun usrah?” Ya, beliau menjawab dengan tepat, tidak perlu dipanjangkan lagi jawapan itu.


Salah seorang daripada sekumpulan ikhwah itu begitu teliti akan sikap ikhwah, dalam perkara perkara basics. Ia menamakannya common sense. Atau mungkin lebih tepat kita namakan akhlak al-akh, akhlak dakwah.

Mari kita renungkan Syeikh kita ini berkongsi, seputar akhlak akhlak dakwah yang dipamirkan oleh mursyid kita yang dua ini, moga Allah merahmati kalian berdua. Cerita satu kita mulakan dengan pelajaran dari Ustadz Hassan al-Banna;


Seorang tua renta mempunyai seorang putra yang pergi bertempur bersama ikhwan melawan Yahudi di Palestina. Lalu ia pergi menuju Pejabat Ikhwan di Kairo untuk menemui Ustadz Hassan al Banna untuk memohon keringanan dari turut serta putranya ke pertempuran itu. Hassan al-Banna menyambut baik kedatangannya. Sebelum memasuki pejabat, ia menanggalkan sandalnya di dekat pintu.

Usai perbincangan, meredalah rasa takut dalam jiwanya. Setelah itu Hassan al-Banna pun berdiri untuk menghantarkannya sampai ke pintu dan orang tua itu kelihatan sulit untuk mendapatkan sandalnya. Imam al-Banna cepat-cepat mengambil sandalnya dan memakaikannya. Orang tua itu sangat tersentuh dengan sikap itu lalu berasa menyesal.

Sebahagian ikhwan menyaksikan kejadian itu, mereka merasa malu terhadap diri sendiri, dan mereka mendapatkan pelajaran bagaimana seharusnya seorang dai bersikap terhadap orang tua.


***


Saya sedang berkunjung ke Pejabat Ikhawan Muslimin di akhir tahun 1953. Pada saat itu telah tersebar isu bahawa pemerintah akan membubarkan Jamaah Ikhwan Muslimin, isu ini disiar oleh siaran Israel. Setelah saya datang dari kunjungan kota ar-Risyah, saya meminta izin untuk mengadap Ustadz Mursyid, kemudian duduk bersamanya.

Sebahagian ikhwah membicarakan tentang sikap Gamal Abdul Naser dan revolusi Ikhwan, mereka mengungkapkannya dengan kata-kata kasar dan nada marah. Akan tetapi, Ustadz Mursyid Hassan al-Hudhaibi berkata kepada mereka dengan tenang,

“Cara kalian dan yang saya dengar dari kalian tentang Gamal Abdul Naser beserta kaki tangannya sama sekali bukan dari akhlak Islam, juga bukan kita pelajari dari dakwah Ikhwan. Saya mohon agar kalian komited dengan akhlak dakwah. Terus terang saya katakan, saya gembira dengan sikap seperti itu, iaitu mengembalikan akhlak-akhlak dakwah”

-Coretan Sheikh Abbas As-Sisiy.


Mari kita dengarkan pula dari lisan akh kita yang satu ini.

“Apa yang anta maksudkan dengan commone sense?”

“Yela, benda basics. Yang tak ayah fikir, nampak je, kita terus betulkan mana yang tak kena”

“Contoh?”

“Contohnya, kalau jumpa sampah kutip la. Sampah patutnya dalam tong kan. Walau bukan kita yang buang”

Yang lain tertunduk. Segan. Muhasabah!

“Atau kat rumah tu, bila ada pinggan mangkuk dalam sink, tolong basuhkan terus. Bila kain di ampaian dah kering, terus angkatkan. Kain yang dah ready untuk dijemur dalam mesin basuh, terus tolong jemurkan…”

“Setuju gak..”

“Selain itu, dengan jiran jiran, dengan pak guard tu, sekali sekala kita belikan air ke, ni muamalah kita dengan orang awam. Jangan baik depan mutarabbi je. In fact, semua orang adalah mad’u kita walau mungkin kita tak fokus”

Berapi. Padu.

Ya, inilah yang kita katakan, mengembalikan akhlak akhlak dakwah.

Pada sesi mengutip ibrah, selepas bermain game ala-ala simulasi perang, pada jam tiga pagi, di suatu aktiviti hujung minggu, seorang akh bangun dan berkongsi pengajarannya;

“Ana sangat bersyukur dapat main malam ni bersama ikhwah. Dan ana nak minta maaf kalau ada terkasar ke, terasa nak marah ke. Tadi ada gak rasa macam malas nak ikut rule, rasa nak menipu, rasa tak boleh terima keputusan ref, huhu, mungkin ego ana semua itu.”
Panjang perkongsiannya.

“Dalam keadaan getir macam ni la sebenarnya, kita dapat tahu the inner side seseorang tu. Ada orang sama je, bila under pressure ataupun tidak, sebab tu la character dia. Tapi ada orang bile ditekan, dia jadi haru biru. Dalam Quran Allah bawakan ayat tentang nabi sebagai suri teladan dalam surah al Ahzab surah yang mengisahkan tentang perang Ahzab, perang Khandaq, perang yang sangat kritikal dan menekan kaum Muslimin. Tetapi sempat lagi Allah kata nabi sebagai suri teladan, as if Allah nak bagitahu Nabi saw ni tengah tengah perang pun masih lagi jadi teladan. Itulah akhlak Baginda. Kalau nak banding dengan kita, jauh lagi ikhwah.”

Begitulah sedikit sebanyak.

Kita merindukan akhlak akhlak dakwah. Siapakah yang akan mengembalikan akhlak akhlak ini kepada msyarakat muslim hari ini?

Kita sangat takut apabila meninjau di alam maya, ayat ayat sarkastis, kecaman dan umpatan yang dikeluarkan, ditulis dan dikongsi oleh mereka yang mendapat sentuhan tarbiyah. Hancur harapan kita. Alam maya merupakan medan memperagakan dosa masing-masing, siapa yang paling padu tohmahannya pada pemimpin umpamanya. Hingga akhlak dakwah diketepikan .


Mari akhi, kembalikan akhlak dakwah


Senyum, sebarkan salam dan sampaikan sentuhan sentuhan yang penuh berakhlak itu!

Thursday, May 7, 2015

SENTUHAN AL AKH #41


Salah satu ciri tarbiyah yang menjadi pondasi madrasah tarbiyah Imam Syahid Hassan al-Banna ialah rabbaniyyah, sebagaimana yang ditulis oleh Ustadz Yusuf al-Qaradhawiy dalam buku kecil yang bertajuk Madrasah Tarbiyah Hassan al-Banna. Kami pula katakan, asas kepada sifat Rabbani itu ialah menjaga amal-amal fardinya yang mana nucleusnya adalah solat. Bagaimana solat mu ya akhi?

Suka untuk kami selitkan dalam helaian helaian ini juga untuk tatapan kita bersama, kisah kisah dan kenang-kenangan para ikhwan dalam menjalani kehidupan dakwah mereka. Maka kali ini sekali lagi kami bawakan satu sedutan daripada kisah Imam al-Banna yang dinukil oleh Sheikh Abbas as-Sisisy, moga Allah merahmati kedua hamba-Nya ini.

Sheikh Abbas yang berjiwa halus itu memulakan kalamnya;

Syeikh Ismail Hamdi seorang pendidik kota Iskandariyyah bercerita, ia dalam perjalanan bersama Ustadz al Banna di Mesir Atas. Setelah perjalanan panjang di sebahagian desa itu, waktu menjelang malam, tibalah waktu Isyak. Ustadz al-Banna berkata kepada Syeikh Ismail Hamdi,

“Kami lelah sekali, kami ingin agar anda menjadi imam shalat”. Maka Syeikh Hamdi maju untuk mengimami solat, akan tetapi ia solat dengan surah-surah pendek. Setelah solat berakhir, Hassan al-Banna berkata kepadanya, “Bagaimana anda solat dengan surah-surah pendek”

Ia mejawab;

“Kerana anda mengatakan ‘kami lelah sekali’, oleh sebab itu saya membacakan surah-surah pendek untuk meringankan anda”. Ustadz al-Banna berkata, “Ya Akhi, junjungan kita Rasulullah saw berkata kepada Bilal r.a., ‘Hai Bilal, istirahatkanlah kami dengan solat’, Baginda tidak berkata, ‘Hai Bilal, istirahatkanlah kami dari solat’ ”

Nukil Syeikh Abbas as-Sisiy


Begitulah layaknya imam kita yang kita rindui itu.

Sudah menjadi rutin kita, menziarahi orang ramai dalam kalangan kenalan ikhwah untuk kita santuni dan dapatkan individu yang terbaik untuk kita sama-sama ajak menekuni jalan tarbiyah dan dakwah ini. Ia seakan aktiviti rutin harian. Ia merupakan tugas utama seorang dai, di samping tugas tugas sampingan seperti menguruskan perusahaan, belajar di kampus, menunaikan amanah di kantor dan seumpamanya.

Di satu hujung minggu kami mendatangi saudara kami di rumah sewa mereka. Awal tahun 2015, satu hujung minggu yang panas cuacanya. Lalu seorang akh katakan kepada teman sekuliahnya itu,

“Jom kita solat di surau bawah!”

Dengan nada beriya-riya dan penuh semangat. Namun seperti biasa, ia bukanlah ajakan yang pertama, atau kedua, atau ketiga tatkala ia mendatangi mereka. Dan seperti biasa saudara kami itu masih liat untuk turun solat berjemaah d surau.

“Kita solat kat rumah sajalah”

Lalu akh itu tampil, membentangkan sejadah. Jika ia tidak turut serta solat bersama di rumah, belum tentu saudaranya akan solat di awal waktu, dan solat berjemaah. Meskipun penghuni rumah itu bilangannya ramai, memungkinkan untuk mereka solat berjemaah dan menyerikan suasana rumah dengan wirid wirid dan bacaan Quran. Namun, itulah cita cita kita yang belum terkecap lagi.

Solat pun berakhir. Akh itu mahu pamit untuk ke tempat lain pula. Ada urusan yang harus diberesi. Meskipun kisahnya ringkas, tetapi ada pelajaran berguna yang akh itu dapatkan saat pergaulan denga saudaranya, atau lebih tepat teman sekuliahnya itu, yang belum sampai takdir mereka untuk menggabungkan diri dengan saf dakwah ini. Kita bermunajat mudah-mudahan waktu itu tiba juga!

Setelah mengusulkan untuk pulang, seorang daripada rakan itu membalas;

“Nanti datang la lagi. Boleh solat sama-sama”

Maka tersentuh la akh kita yang satu itu. Ia dapat rasakan betapa saudaranya itu sangat menghargai nikmat solat bersama, berjemaah, meskipun mereka biasa biasa sahaja exposurenya dengan fiqh ibadah ini, tidak berbincang tentang pendapat ulamak itu dan ini, tidak hafal banyak daripada ayat ayat Allah, tetapi cukup hati dibasahi dengan beberapa rakaat solat yang ringkas.

Peristiwa hujung minggu itu mengajak kami bermuhasabah panjang.


Kadang-kadang, kemanisan beribadah yang pernah dirasai waktu awal-awal menggabungkan diri dengan halaqah, dengan agenda agenda tarbiyahnya seakan akan sudah mula tawar, bahkan hilang kenikmatannya!

Lebih lebih lagi baru ini akh yang lain mengingatkan kami semua dengan satu peringatan yang berharga. Tatkala ikhwah yang lain sibuk merancang satu program tarbiyah, berbincang kencang akan persediaan tempat, menu makanannya, urusan urusan tentative dan beraneka teknikal yang lain, ia yakni akh itu mengingatkan;

“Selain daripada urusan hardware, jom kita sama-sama muhasabah persediaan software kita untuk program kali ini. Bagaimana dengan amal-amal fardi kita? Tilawah kita, qiyamulail kita, infaq kita. Sejauh mana kita berusaha untuk ajak adik-adik ni datang ke program kali ini. Dan bagaimana dengan niat kita, above all”

Huhu. Peringatan yang datang tepat pada waktunya.
Terima kasih akhi!


Sekali lagi mari kita sama-sama ingatkan diri sendiri, tarbiyah kita ini bersifat rabbaniyah. Tidak ada gunanya jika kita melaju dalam amal haraki, berdengung-dengung mengajak manusia kembali kepada Allah swt, tetapi hati kita lalai mengingatinya. Tidak guna jika perasaan kita tidak sentiasa terhubung dengan Allah dan lidah kita tidak sering basah berzikir dan berselawat. Mudah mudahan nukilan kali ini juga datang tepat pada waktunya!

Ramai boleh mengejar kuantiti ibadah. Qiyam hari hari. Infaq puluhan ringgit. Zikir mathurat bagai ribut dan sebagainya. Tetapi tidak kurang pula yang jiwanya masih kosong, kerana kualitinya makin berkurang. Inilah yang kita takuti akhi. Begitulah jiwa yang jernih dan sensitive, ia tersentuh dengan sentuhan bersahaja, tatkala ia menyantuni target dakwahnya.

Jadi bolehlah juga kita jadikan nukilan ini sebahagian daripada sentuhan al akh!

Kami akhiri dengan tazkirah yang diulang-ulang ini tetapi tetap hijau dan berguna;


“Jangan terlalu fokus dengan perancangan dan pengurusan, tapi kurang fokus dalam hak hak Allah. Perancangan dan pengurusan akan berkesan jika dilakukan oleh tangan yang berwhuduk, kening yang banyak sujud, jiwa yang khusyu’, hati yang tenang dan tunduk pada Allah. Tanpa itu semua, sehebat hebat perancangan dan pengurusan yang dilakukan takkan memberi kemenangan”

-Sheikh Jum’ah Amin


“Akhi, bagaimana solatmu?!”

Monday, May 4, 2015

OF MATAHARI & BULAN




Matahari dan bulan. Apa yang kalian fikirkan?

Alif lam syamsiah dan alif lam qomariah? Harap maaf. Jika itu yang anda sangkakan, sangkaan anda meleset. Maaf, kali ini satu lagi post yang akan membebankan jiwa anda. Sudi sudilah untuk menelaahnya. Jika tidak menghiburkan, tidak mengapa kerana ia tidak pernah ditulis untuk hiburan sesiapapun. Eh.


Entah mengapa masih terngiang ngiang di telinga sepotong ayat ini;


“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari, mahupun bulan, tetapi sembahlah Allah Yang menciptakannya, jika ia yang  kamu hendak sembah”

(Fussilat :37)


Ayat ini dibawakan oleh imam dalam khutbah gerhana bulan tempoh hari.

Sangat menarik. Allah kata, malam, siang, bulan dan matahari ialah antara tanda tanda kebesaran-Nya. Ok. Tetapi yang menariknya, amaran Allah yakni “Janganlah kamu sembah matahari dan bulan”. Kenapa hanya dua makhluk ini yang disebut, tidak disertakan entity malam dan siang?

Inilah yang kami renungkan sama-sama di sesi borak borak berisi pasca solat ishak malam itu, di sebuah kedai makanan panas, di tepi jalan, antara jalan jalan yang sekelian banyaknya. Cuaca malam itu redup, udara segar membugar meskipun sudah ke penghujung hari yang panjang, nafas dapat ditarik dengan sedalam dalamnya sehingga otak mampu berfikir ligat!

Selain itu, kenapa apabila berlaku gerhana matahari mahupun bulan kita diajarkan untuk solat sunat gerhana dan diiisi dengan khutbah ringkas?

Antara persoalan yang diajukan dan dibiarkan tidak terjawab pada malam itu.

Pada taddabur kami yang marhaen dan bersahaja ini,


Sebenarnya pada pencipataan makhluk Allah yang banyaknya itu, ada sebahagian ciptaan yang menarik hati kita. Yang membuatkan kita berasa takjub dengan kehebatan sesetengah ciptaan, berbanding ciptaan-ciptaan yang lain. Umpamanya matahari dan bulan seakan lebih signifikan bagi kita berbanding dengan kejadian siang dan malam yang mana kita telah pun immune dengan fenomena ini.

Walhal, Allah cuba sampaikan bahawa kesemua ini sama sahaja, semuanya merupakan tanda- tanda kebesaran Allah. Ketakjuban, rasa ajaaib, kagum dan seumpamanya itu sepatutnya dikembalikan kepada Allah. Maka wajarlah, kita diajari untuk bersolat sunat, sebagai symbol kegesaan merendahkan diri lagi di hadapan Allah swt.

Benarlah,

Kejadian gerhana bulan ataupun matahari yang jarang jarang berlaku itu antara kejadian kejadian alam yang sungguh ajaib. Sebenarnya, sudah banyak keajaiban yang berlaku di sekelilng kita. kita sakit, kemudian kita makan ubat dan sembuh, itu satu keajaiban. Kita melihat burung burung yang terbang di udara dengan cara cara tersendiri, itu satu keajaiban.

Tetapi, malangnya keajaiban keajaiban ini tidaklah lagi mendekatkan diri kita dengan Allah swt. Kerana sains dan penerangannya hadir mengisi ruang kosong antara keajaiban dan kesedaran tauhid kita itu. Ilmu sains yang cuba menerangkan setiap sesuatu fenomena alam ini membuatkan kita tidak lagi tehubung dengan tanda kebesaran Allah swt. Sebab itu, keajaiban yang macam mana pun dipertontonkan kepada kita, kita buat slamber sahaja.

Adakah ini semua salah sains, atau salah Anwar Ibrahim? Eh.

Tidak.

Sains tidak pernah bersalah. Bahkan sains adalah cabang ilmu kurniaan Allah untuk kita sama sama fikirkan dan renungkan yang sepatutnya penguasaan ilmu sains menatijahkan keteguhan yang lebih mantap akan kekuasaan Allah swt. Jadi siapa yang bersalah?
Mungkin pada cara. Pada cara ilmu sains itu disampaikan.

Saudaraku,

Memberi amaran akan larangan menyembah matahari mahupun bulan dalam ayat ini seakan tidak releven pada zaman yang serba canggih dan moden ini. Di zaman orang bermain facebook, lalai dengan twitter, menghabiskan masa dengan membaca telegram mahupun whatsApp, mana ada lagi yang menyembah mataharui dan bulan. Itu syirik yang jail, terlalu jelas, yang sepatutnya dapat diotakkan oleh masyarakat ‘maju’ hari ini yang membaca Quran.

Akan tetapi, matahari dan bulan hanyalah symbol kepada perhiasan perhiasan dunia yang menarik hati kita. Di sana masih banyak lagi entity lain yang menarik hati kita, yang mungkin kita sembah tanpa sedar, yang menjadi obsesi kita, yang kita usahakan siang dan malam, yang membuatkan kita tidak tidur lena memikirkannya. Nah! Inilah mungkin matahari dan bulan bagi masyarakat moden ini!

Perempuan ataupun pasangan masing-masing, perhiasan berupa emas dan perak, pekerjaan masing-masing, kerjaya, kereta besar, moto besar berkelas tinggi, rumah mewah, kondominium bertingkat tingkat, perniagaan yang menjanjikan pulangan yang lumayan, pelajaran serta CGPA nya, anak anak dan sebagainya, ini semua barangkali merupakan obsesi kita semua pada peringkat umur tertentu.

Kesemua perhiasan dunia ini menarik hati kita, yang kita kadang kadang terkejar kejarkan mereka. Kadang-kadang kita pening kepala memikirkan sebahagiannya, kita obsessed, sanggup berpenat lelah kerana mereka. Sehinggakan kita diperguna, menghambakan diri kerana mengejar perhiasan perhiasan ini, menyembah dalam bentuk yang sangat halus!

Sebab itu diingatkan,

“..Janganlah sembah matahari, mahupun bulan, tetapi sembahlah Allah Yang menciptakannya, jika ia yang  kamu hendak sembah..”

Peringatan yang mahal, sentiasa hijau dan menyengat.

Tidak perlulah kiranya kita perpanjangkan lagi entry ini. Renung-renungkan. Lihatlah dengan pandangan yang jujur, telus dan tajam. Perhatikan ke sekeliling kita, siapapun kita, apa sekalipun status kita, jerat jerat dunia ini tidak pernah pilih kasih, walaupun kita berstatus daie millennium, daie metropolitan ke pebenda sume tu.

Kenal pasti ‘bulan’ dan ‘matahari’, berhati-hati;

Dan teruslah bertasbih menyucikan Allah swt.

Saturday, May 2, 2015

RAIKAN SUARA HATIMU





Tadabbur dan tafsir adalah dua bidang penghayatan Quran yang berbeza. Taddabur adalah berkongsi apa yang hati rasakan tatkala merenung sesuatu ayat Allah . Perasaan yang hadir dari hati tidak boleh dinafikan. Maka taddabur marhaen ini sekadar berkongsi apa yang hati rasakan, mudah mudahan membuka lembaran baru buat mereka yang baru berjinak dengan al Quran. Adapun begitu, taddabur mesti diiringi disiplin disiplin tertentu agar tidak menghampiri pagar pagar agama.

Inilah taddabur kita kali ini,

Buat mereka yang ternanti nanti.


“Dan mereka berkata, “Hati kami telah tertutup dari apa yang engkau serukan kami kepadaNya, dan telinga kami sudah tersumbat, dan di antara kami dan engkau ada dinding, oleh itu beramallah, dan kami juga akan beramal (seperti yang kami kehendaki)”

(Fussilat:5)


Kata kata orang kafir dalam potongan ayat di atas sangat ironi dan boleh kita soroti dari beberapa sudut. Mereka berkata, “Hati kami sudah tertutup” tatkala Rasul mengajak mereka kepada Allah dengan membacakan ayat ayat Quran.

Yang peliknya, macam mana diorang tahu bahawa ayat ayat Quran ini ditujukan kepada hati? Keduanya, sebenarnya, sudah cukup memadai jika mereka ingin berhelah pun dengan mengatakan, “Telinga kami sudah tersumbat”. Jika telinga sudah tersumbat, confirm la ayat ayat ini tidak mampu menyentuh hati hati mereka.


Tindakan defensive ini seolah-olahnya telah mengkantoikan diri mereka sendiri. Response membela diri ini seakan-akan response spontan, yang diaktifkan oleh sympathetic nervous system mereka yang memberi dua pilihan, fight or flight. Ia response spontan yang normal dirasai oleh seseorang tatkala seseorang itu merasakan mereka dilanda bahaya. Dan orang-orang kafir ini memilih untuk fight, melawan dengan memberi kata kata bathil untuk menafikan perasaan mereka.

Mengatakan “Hati kami tertutup” dan “Telinga kami tersumbat” merupakan usaha gigih mereka ini untuk membela diri sendiri. Mereka sedang memotivasikan diri mereka yang sebenarnya berasa down. Dengan kata kata ini juga mungkin mereka berharap ia dapat melemahkan semangat si penyeru. Tindakan mensaiko diri sendiri dengan menjerit dan membisikkan kata-kata semangat ini biasa dilakukan tatkala kita berasa terancam. Sebagaimana atlet yang berentap di padang padang sukan yang ketinggalan dari segi mata, mereka akan menjerit dan membuat aksi aksi melepaskan perasaan untuk menenangkan diri.


Hakikatnya, orang orang kafir ini sedang menafikan kebenaran yang telah pun mula mengusik ngusik jiwa mereka. Mereka sedang living in denial, cuba dengan sedaya mungkin menafikan kehebatan ayat ayat Quran. Ayat Quran yang dibacakan oleh Rasul sebenarnya telah sampai kepada mereka, masuk ke gegendang telinga mereka, bergema gema di bahagian choclea, berlegar legar di ruang fikiran mereka sehingga turun dan menyentuh hati mereka yang paling dalam.


Keadaan ini sangat merisaukan mereka, tidak sangka-sangka ayat ayat ini mampu memasuki hati mereka, menyentuh dan menyentap mereka. Mereka sudah pun tersentuh dengan ayat Quran dan sudah pun berasa terancam dengan amaran amaran yang dibawakan!

Hebat sungguh ayat Allah ini saudaraku,

Sehingga orang yang menolaknya pun sebenarnya sudah tersentuh. Bagaimana pula dengan kita? Dari kecil lagi kita sudah melazimi membaca Quran, berapa kali agaknya kita tersentuh dek memahami ayat ayat Allah ini? Tidak pernah? Arghhhh tidak dapat diotakkan!


Selain itu, selain daripada interaksi kita dengan ayat ayat Quran, sebenarnya telah banyak seruan seruan menuju kebaikan telah sampai ke telinga kita. Telah banyak kali seruan hidayah datang dan menepuk nepuk iman kita. kita sebenanrnya sudah mula tertarik dengan Islam. Kita sudah mula rasakan yang cara hidup liar kita itu, jauh dari agama itu tidak betul, dah kita rasakan something is wrong somewhere, tetapi on second thought kita biarkan syaitan membisikkan kata kata motivasinya itu. Lalu kita memilih untuk living in denial!

Sebenarnya kita sudah mula rasa ketinggalan bukan, tatkala melihat rakan rakan kita seorang demi seorang sudah berubah. Kita mula berasa janggal dan rasa tak kena dengan cara penampilan kita, dengan seluar ketat yang menampakkan bentuk badan, dengan tudung singkat kita itu, dengan rokok murahan yang masih di mulut kita itu, sebenarnya gaya hidup yang masih kita amalkan itu sudah jauh ketinggalan zaman. Kita sudah berasa cuak, kerana orang lain sudah berpusu pusu menuju Islam, sudah mula menghadiri kelas kelas agama dan melazimi membaca Quran seumpamanya.

Tetapi entah kenapa, kita masih tidak mahu membenarkan hakikat yang sedang bertapa jauh di sudut hati kita itu. Kita masih living in denial!

Pada waktu yang sama, kita makin konfius dan rasa tergugat. Artis artis kegemaran kita pun banyaknya sudah membuat u-turn, perubahan yang maha dahsyat. Masing-masing sudah berhijrah dan tampak lebih bahagia dengan kehidupan mereka. Sehingga kita sebenarnya dapat rasakan suatu hari nanti kita akan terperosok ke lembah kehinaan, tanpa teman, bersendirian dan berseorangan. Tetapi entah kenapa, kita menjerit dan berteriak, ini semua poyo, skema, cliché dan tidak trending!

Giving up la saudaraku pada suara suara hati kita itu.

Berilah diri kita peluang untuk berubah.

Sebenarnya kita sendiri pun sudah penat dengan kehidupan yang berlumpurkan jahiliyah ini kan. Dengan pergaulan bebas. Dengan aktiviti membuang masa. Percampuran lelaki dan perempuan tanpa batas agama. Kita sudah penat berlakon kononnya kita sedang menikmati hidup ini. Padahal makin hari kita makin rasa sunyi dan kosong. Hati kita makin sakit. Kita sudah pun kecewa dengan hidup ini, sehingga kita tidak mahu berfikir panjang dan mahu ikut flow sahaja. Sudah sudahlah living in denial!


Kita sebenarnya nak je kan duduk dalam halaqah halaqah tarbawi yang kawan kita jemput tu. Kita nak juga baca, dengar dan memahami kata kata Allah kan ? Kita sebenarnya kadang-kadang sangat berminat apabila dengar kisah kisah Anbiya dan para sahabat tatkala kita terdengar di corong radio dan yang dituturkan oleh lisan sahabat kita itu. Tetapi kita masih ragu ragu untuk bertindak. Kita biarkan ego kita menguasai diri kita.

Kita rasa baca Quran itu orang orang nerd sahaja yang buat.       

Kita yakinkan diri kita bahawa gaya hidup kita itu lebih cool dan matang.

Kita cuba saiko diri kita bahawa masih terlalu awal untuk berubah.

Well, kita kata apa yang orang jahil kata, “Life begins at forty”

Sudahlah!
Tak penat kah ?


Marilah saudaraku bersama kami. Kita duduk sejenak dan mengkaji apakah tujuan penciptaan kita. biarkan sahaja seruan dan ayat ayat Allah itu masuk dan menyapa hati hati kita. Siramilah hati kita itu dengan iman. Marilah kita berubah. berilah peluang untuk diri kita. Benarkan sahajalah suara suara hati kita itu.

Bukankah Quran ini diturunkan untuk kita ambil pelajaran?

Tak kan lah kita mahu hidup dan mengikut sunnah orang-orang kafir itu? Yang living in denial, memenangkan ego dan terus berkata, “Hati kami terkunci, telinga kami tersumbat” ?

Agak la.
Jom berubah!

Friday, May 1, 2015

SENTUHAN AL AKH #40



Dua tiga hari kebelakangan ini banyak sungguh perkara yang berlaku dalam kehidupan kami ini. Seakan ingin ditulis setiap detik detik berharga, senang dan susah. Namun apakan daya, dihurung juga masalah masalah teknikal yang menyebabkan keinginan keinginan tadi terpaksa dikuburkan begitu sahaja. Pasti ada hikmahnya yang tersendiri.

Dan akh itu, terus terusan tersentuh.


Kali ini ingin kami bawakan lagi. Setelah sekian lama kita biarkan episode sentuhan al akh sunyi, diam seribu Bahasa. Gelagat akh dan mutarabinya. Bagaimana interaksi dengan mutarabbi menjadi momen momen yang mengesankan jiwa.

Kami mulakan dengan menakal kembali, sepucuk surat untuk si abang murabbi.
Daripada al akh yang baru menapaki jalan ini.


Marcapada yang melankolis
Dilanda sihir yang menggila
Meragut kesedaran
Memperhambakan hamba

Begitu besar gerakannya
Begitu halus bicaranya
Terkadang diri ini rebah
Terpedaya dengan sihir
Yang menerpa dari segenap arah

Alangkah celaka dan rugi
Diri yang terpedaya

Mujurlah ada angin
Yang sentiasa menerpa
Membisikkan kata segar
Padat menusuk jiwa
Memberi peringatan tatkala manusia alpa
Akan hakikat kehidupan dan amanah
Yang ditolak oleh Sang Langit
Sang bumi dan sang gunung;
Dan bukannya Sang Manusia!

-Akh Mutarabbi


Al akh mutarabbi kita yang satu ini sering muncul dengan serprais serprais beliau tersendiri. Ia mengetuk dan menyentuh bahagian bahagian lembut pada akh itu, sehinggakan yang takabur kembali menginsafi kelemahan diri, yang lupa kembali sadar akan realitiy yang jauh telah dia tinggalkan, dan kadang kadang menghadirkan persoalan persoalan yang membuatkan kami duduk jauh di satu sudut daripada banyak sudut di rumah simen itu, termenung jauh dan panjang.

Beruntungnya kami ya Allah kau hadirkan insan insan sebegini.

Hanya di jalan dakwah, kami dapati nikmat nikmat ini.


Selain itu, bukan sekadar sepucuk surat berisikan puisi penuh dalam maknanya yang dia titipkan untuk akhnya itu, juga pesanan pesanan ringkas yang disulami ayat ayat Quran, yang mendalam dan perlu ditaddaburi maknannya.

Pada satu malam kami dapatkan sedikit perkongsian dari akh yang sama;

“Just wanna say 10:26”

“Good night”

“Jazakallahu khairan kathira”


Ayat apakah itu? Mari kami kongsikan untuk tatapan kalian;

“Bagi orang orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya”
(Yunus:26)


Subhanallah. Ayat Allah ini sudah cukup menyihir untuk membuatkan kita rasa takjub dan ternanti nanti akan ganjaran yang dijanjikan. Lagian, apabila dibawakan ayat ini kepada kita oleh akh itu, kesannya bertambah tambah.

Begitulah perkongsian alam maya seorang akh dengan akhnya yang lain. Penuh suasana pesan-pesanan, membangkjitkan himmah dan membuatkan kita makin menikmati hakikat hidup berTuan dan berTuhan ini.

Kami ingin kongsikan lagi, bagaimana interaksi interaksi yang lain menyentuh qalb akh itu. Namun, on second thought ada eloknya kita hentikan sahaja sampai di sini. Memberi ruang kepada aku dan kalian untuk dapatkan akh itu bersama sentuhannya.


Akh mutarabi sebegini harus dicari oleh kita.Ia berada antara sekelian banyak pasir pasir di tepi jalan. Ia harus terlebih dahulu disantuni dan diberikan hak haknya. Terlebih dahulu akhi, hendaklah aku dan engkau, kita merelakan untuk diri untuk ditarbiyah sama.


Pokoknya, bergegaslah mengajak lebih ramai dalam kenalan dan teman untuk di sibghahkan dengan celupan tarbiyah islam. Supaya pegangan, fikrah dan tingkah lakunya adalah refleksi agama yang syumul ini.

Inilah akhi, antara lain nikmat menjadi murabbi. Nikmat mengajarkan orang lain betapa nikmatnya cara hidup kita ini. Demikianlah kami bawakan, secara ringkas sentuhan sentuhan al akh, yang mana akh yang satu ini mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan sentuhannya.

Moga kau terus mekar tumbuh di lapangan dakwah ini wahai akhi yang penuh dengan sentuhan yang membashkan. Kami menanti dan menunggu dengan penuh sabar dan berharap, saat dan detik tatkala kau terjun ke medan amal dan menyentuh hati hati yang lain pula, sebagaimana kau telah sentuh dan santuni hati hati kami di sini.


Sentuhan al akh! 
Lencun!