Monday, December 5, 2016

HAHUNA QO'IDUUN




Kadangkala kita kagum dengan peribahasa Melayu yang banyak mengungkapkan maani al-Quran dengan komprehensif. Setelah meneliti beberapa ayat ayat Quran dengan panduan dan petunjuk dari masyaikh yang telah mendahului kami dan juga dengan pengalaman berbahasa, di sana kami dapati ada keseimbangan yang indah antara maksud al-Quran dengan mesej mesej ungkapan daripada bahasa Melayu yang tersimpan seribu satu pengajaran.

Umpamanya,
Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Dalam firman-Nya, Allah swt mengisyaratkan bahwa barangsiapa yang bersungguh sungguh, bermujahadah atas jalan menuju redha-Nya, nescaya Allah akan tambahkan baginya petunjuk, huda dan dimudahkan urusan urusan menuju jalan tersebut.

Ia bermula dari individu. Dari kemahuan.


وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.

Al-Ankabut, 29:69


Barangkali kaedah yang tidak berapa tepat ini juga terpakai untuk hal-hal yang sebaliknya. Jika tidak mahu, maka bertambah tambahlah rasa tidak mahu itu.

Ketidakmahuan itu berasal dari diri sendiri.

Di jalan dakwah, betapa pentingnya kemahuan. Ia diungkapkan sebagai iradah dalam bahasa yang lebih dekat bagi abna' tarbiah. Orang yang kuat kemahuannya sering kali disebut memiliki iradah qowiyah. Jika ada iradah maka jalan jalannya insya Allah akan dimudahkan.

Sungguh dari turun dan naiknya kemahuan ini telah lahir banyak penyakit yang menimpa aktivis dakwah. Umpamanya, ketidakmahuan berangkat memenuhi seruan Allah dan Rasul yang menghidupkan, menyebabkan sebahagian aktivis memilih untuk duduk, tinggal bersama orang yang tinggal.

Ust Dr Sayyid Muhamad Nuh dalam karyanya, 'afatun' ala thoriq berkongsi ilmu dan pengalaman dengan kita tentang penyakit yang beliau namakan sebagai qu'ud, yakni duduk dan tinggal.

Ia merupakan penyakit yang menghidapi para aktivis dakwah. Rasa malas untuk berangkat, lebih senang di rumah dengan isteri yang solehah, mahupun perniagaan yang menguntungkan ataupun anak-anak penyejuk mata. Barangkali juga mereka memilih untuk tinggal, qu'ud kerana sudah lama tertindas sehingga iradahnya untuk keluar dari penindasan sudah ke kuburan.

Sehinggakan tinggal dan duduk menikmati saki baki kehidupan lebih mereka cintai berbanding memburu salah satu daripada dua kemenangan yang Allah swt janjikan.

Alangkah indahnya jika di kesempatan yang terbatas ini kita renungkan sejenak beberapa komentar Allah swt terhadap mereka yang tidak mahu berangkat;

وَلَوْ أَرَادُوا الْخُرُوجَ لَأَعَدُّوا لَهُ عُدَّةً وَلَٰكِنْ كَرِهَ اللَّهُ انْبِعَاثَهُمْ فَثَبَّطَهُمْ وَقِيلَ اقْعُدُوا مَعَ الْقَاعِدِينَ

Dan jika mereka mau berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka. dan dikatakan kepada mereka: "Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu".

At-Taubah, 9:46


Firman Allah di atas secara asbab nuzul merujuk kepada sebagian muslim di zaman Madinah yang enggan untuk berangkat ke peperangan Tabuk. Ekoran itu, Allah swt menambah-nambah rasa berat dalam diri mereka itu sehinggakan mereka termasuk dalam kalangan orang yang duduk, ma'a qa'idiin.

Alangkah hinanya anak-anak islam yang sepatutnya ke depan menerkam musuh bak singa kelaparan akhirnya memilih untuk dijinakkan seperti kijang pengecut kerana katil yang empuk, rumah berhawa dingin mahupun masakan yang memenuhi pinggan.

Saudara kami yang kami cintai,

Marilah berangkat bersama, berpegang teguh dengan tali Allah, mara menuju ke medan yang sebenarnya. Ke medan amal yang kita sama-sama yakini, sebagaimana kita suatu ketika dahulu pernah berlari bersama.
Sekali lagi dengan suluhan wahyu daripada Al-Quran, jika kita meneropong jauh beberapa abad ke belakang, sebelum berlakunya peristiwa keenganan munafiqiin untuk sama-sama berangkat dalam ekspedisi Tabuk di zaman Rasulullah saw, Quran telah terlebih dahulu menceritakan perihal Bani Israel di zaman nabi Allah, Musa as yang mempunyai penyakit yang sama.


Sebagaimana firman  Allah swt,
قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِنَّا لَنْ نَدْخُلَهَا أَبَدًا مَا دَامُوا فِيهَا ۖ فَاذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ

Mereka berkata: "Hai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada didalamnya, karena itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti disini saja".

Al-Maaidah, 5:24

Inilah respond dan jawaban kaum bani Israel setelah diajak masuk ke Baitul Maqdis. Bukan sahaja tidak mahu, bahkan mereka dengan kurang ajar berkata kepada murabbi mereka,

“Pergilah engkau bersama Tuhanmu, dan berperanglah kalian berdua…”

Lemahnya kemahuan. Lunturnya semangat jihad.
Ditambah lagi dengan kata-kata mereka,

“Kami hanya di sini, duduk-duduk sahaja”

Qaiidun..


Penyakit qu’ud, tidak mahu berangkat bukanlah rekasaya Ust Muhammad Nuh. Ternyata beliau tidak berbicara tanpa basis. Tetapi ia penyakit turun temurun. Bukan kerana seseorang itu berbangsa Israel, atau Arab, atau Ajam, tetapi kerana pada diri mereka adanya ketidakmahuan. Ia adalah sunnahtullah berbentuk social.

Jika tidak dirawat akan menular.

Kedua-dua kisah ini dibentangkan di hadapan kedua anak mata kita hari ini, ternyata merupakan teguran khas untuk kita yang selesa duduk-duduk.


Semoga Allah swt kurniakan kepada kami dan kalian kekuatan untuk sentiasa sudi berangkat dan bersegera untuk berangkat. Tatkala orang sudah tidak lagi memandang pada pembentukan rijal sebagai solusi, semoga kita terus berpegang dengan fikrah ini. Tatkala orang sudah hilang keyakinan kepada tarbiyah sebagai solusi, kita bermunjat semoga terus menjadi anak-anak tarbiyah yang ke depan, membawa perubahan, meninggalkan rumah dan keselesaan di belakang.

No comments: