Awas, post ini panjang.
Hanya yang tidak lelah akan menuai manfaatnya.
Izinkan kami berkongsi sesuatu yang
menakjubkan hari ini. Khazanah dan warisan tinggalan almarhun Sayyid Qutb.
Sesungguhnya hari-hari yang berlalu menikmati karya beliau merupakan antara
hari-hari yang cukup bernilai dan membahagiakan. Baiklah, kita tidak mahu
berlebih-lebihan dalam hal ini. Tidak dapat tidak melainkan semua ini berlaku
kerana begitu hebatnya kekuatan yang tersimpan disebalik ayat-ayat Allah, yang
sentiasa terbuka pengajaran-pengajarannya.
Seputar peperangan Badar al-Kubra.
Pada tahun-tahun awal pasca Hijrah ke
Madinah, Allah swt telah menguji kaum Muslimin dengan mentakdirkan tercetusnya
Ghazwah Badar. Hari berlangsungnya peperangan kubra yang pertama dalam sejarah
umat Islam ini disebut sebagai Yaumul Furqan, hari pemisah antara haq dan
bathil, hari pertempuran dua golongan dan hari yang cukup getir kerana bakal
menentukan eksistensi Islam selepas itu.
Mana tidaknya sehingga diriwayatkan, Nabi
saw berdoa kurang lebih,
“Ya Allah, jika Engkau tidak memenangakn
hamba-hambaMu pada hari ini, nescaya Engkau tidak akan disembah lagi sesudah
hari ini…”
Begitulah kuat dan mendalamnya doa ini,
seperti mana yang kita dapatkan dalam kitab-kitab seerah yang masyhur.
Kronologi peperangan ini jika kita semak
dengan teliti ternyata begitu menakjubkan. Asalnya, Rasulullah saw dapati di
sana adanya peluang untuk mendapatkan kafilah dagangan Abu Sufyan dari Syam
menuju ke Kota Mekah dengan barang dagangan yang cukup banyak sekali. Maka,
baginda berseru kepada para sahabat untuk misi mendapatkan kafilah tersebut,
yang mana sebahagian asal barang dagangan juga merupakan tinggalan orang-orang
muhajireen.
Seruan disahut dan langkah diatur dan
diperkemas. Namun, dipendekkan cerita dan nak ditakdirkan oleh Allah swt,
berita keberangkatan Rasulullah ini telah sampai ke kota Mekah. Tanpa jeda,
putera-putera Tanah Haram itu menyiapakn angkatan mereka untuk berhadapan
dengan kaum Muslimin. Langsung misinya bertukar. Bahkan, berperang di luar kota
Madinah tidak termasuk dalam perjanjian bersama kaum Ansar dan misi terbaru ini
ternyata berbeza daripada misi untuk dapatkan harta rampasan, dan misi baru ini
jika difikirkan mengikut neraca kita merupakan misi mencampakkan diri ke dalam
kebinasaan.
Tidak hairanlah, sebahagian sahabat berasa
enggan untuk keluar berperang meskipun tidak disuarakan perasaan dan keberatan
mereka itu.
Rentetan peristiwa ini, turunlah surah
an-Anfal untuk memberi komentar dari langit tentang nilai-nilai dan
pelajaran-pelajaran yang patut kita semua ambil dengan serius.
Firman Allah swt,
Dan (ingatlah), ketika Allah menjanjikan
kepadamu bahwa salah satu dari dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu,
sedang kamu menginginkan bahwa yang tidak mempunyai kekekuatan senjatalah yang
untukmu, dan Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan
ayat-ayat-Nya dan memusnahkan orang-orang kafir, agar Allah menetapkan yang hak
dan membatalkan yang batil walaupun
orang-orang yang berdosa itu tidak menyukainya.
Al-Anfal, 8:7-8
Telah berkata Sayyid Qutb dengan panjang
lebar mengenai hal ini dan kami naqalkan kembali di sini dalam bentuknya yang
asal. Kami cuba untuk mudahkan dan meringkaskannya namun ternyata ia bakal
menambah kecacatan kepada keindahan bahasa beliau itu;
Maksudnya Allah dengan limpah kurniaNya
berkehendak agar mereka menghadapi peperangan bukannya harta rampasan. Allah menghendaki
mereka melancarkan peperangan di antara yang haq dan yang bathil untuk
menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebathilan.
Allah hendak membanteras orang-orang kafir
hingga ke saki baki mereka yang akhir, dibunuh mana yang boleh dibunuh dan
ditawan mana yang boleh ditawan, hingga keangkuhan mereka dapat ditundukkan dan
kekuatan mereka dapat dileburkan hingga bendera Islam dan kalimatullah dikibar
tinggi dan hingga Allah memungkinkan kelompok muslimin hidup dengan system
rabbani dan bergerak maju dengannya untuk menegakkan Uluhiyyah Allah di bumi
dan menghancurkan kemaharajalelaan para taghut.
Allah hendak mengurniakan kedudukan yang
teguh ini kepada mereka berlandaskan pencapaian dan perjuangan mereka yang
wajar bukannya dikurniakan kepada mereka secara serampangan sahaja kerana Allah
Maha Suci dari tindakan-tindakan secara serampangan.
Ya, Allah menghendaki agar kelompok
Muslimin menjadi satu umat dan sebuah Negara yang mempunyai kekuatan dan kedaulatan.
Allah mahu kelompok Muslimin membandingkan kekuatan mereka yang sebenar dengan
kekuatan musuh mereka dan melebihkan kekuatan mereka yang kecil di atas
kekuatan musuh mereka yang besar. Allah mahu kelompok Muslimin menginsafi
bahawa kemenangan itu bukan dengan kekuatan bilangan, dan kekuatan senjata,
bukan dengan kekuatan harta dan kuda dan seterusnya bukan dengan kekuatan
bekalan dan persediaan yang cukup malah kemenangan itu dicapai dengan
kekuatan hubungan hati yang kukuh dan kekuatan Allah yang tidak dapat ditentang
oleh kekuatan manusia.
Dan semuanya ini harus terbit dari
pengalaman yang benar di alam kenyataan bukannya terbit dari tanggapan dan
kepercayaan hati semata-mata agar kelompok Muslimin memperolehi bekalan dari
pengalaman yang haqiqi itu untuk menghadapi seluruh masa depan mereka dan agar
mereka yakin bahawa mereka di setiap masa dan tempat memiliki kekuatan untuk
menumpaskan musuh mereka walau sekecil mana bilangan mereka dan sebanyak mana
bilangan musuh mereka, walau selemah mana kelengkapan material mereka dan
sekuat mana persiapan dan peralatan perang musuh mereka. Hakikat ini tidak
tersemat di dalam hati seteguh ia tersemat melalui peperangan muktamad di
antara kekuatan keimanan dan kekuatan kezaliman.
Di sini dapat dilihat pada hari ini dan
selepas hari ini betapa jauhnya jarak perbezaan di antara kehendak yang
dirancangkan oleh kelompok Muslimin untuk diri mereka dengan kehendak yang baik
yang dikehendaki Allah untuk mereka, di antara apa yang difikirkan baik oleh
mereka dengan apa yang ditetapkan Allah untuk mereka. Kita juga dapat
mengetahui betapa banyaknya kesilapan manusia ketika mereka berfikir bahawa
mereka mampu memilih sendiri untuk diri mereka sesuatu yang lebih baik dari apa
yang telah dipilih Allah untuk mereka.
Di mana letaknya titik perbandingan di
antara kehendak-kehendak yang dirancangkan oleh kelompok Muslimin untuk
kebaikan dan kepentingan mereka dengan kehendak-kehendak yang baik diaturkan
Allah untuk mereka?
Seandainya kehendak mereka untuk menawan
angkatan qafilah perdagangan Qurasyh yang tidak bersenjata itu tercapai, maka
yang berlaku ialah kisah harta rampasan, iaitu kisah satu kumpulan manusia yang
berjaya menyerang angkatan qafilah perdagangan dan mengambil harta benda yang
dibawa olehnya.
Tetapi Peperangan Badar telah berlalu dalam
lipatan sejaran sebagai sebuah kisah perjuangan akidah, kisah kemenangan
muktamad yang memisahkan antara yang haq dan yang bathil, kisah kemenangan
agama yang benar yang telah berjaya menumpaskan musuh-musuhnya yang lengkap
dengan kekuatan senjata dan bekalan yang diperlukan sedangkan pihak agama yang
benar hanya mempunyai bilangan pejuang yang kecil dan bekalan dan kenderaan
yang tidak mencukupi, kisah kemenangan hati manusia yang berhubung dengan Allah
dan mengatasi kelemahan diri.
Lalu mereka mengharungi peperangan itu
walaupun neraca imbangan kekuatan lebih berat di pihak musuh. Tetapi dengan
kekuatan keyakinan, mereka telah berjaya mencapai kemenangan yang gemilang.
----
Subhanallah.
Cukup halus dan teliti bukan huraian dan
pandangan Sayyid Quttb dalam hal ini. (atau kami syok sendiri?) ia telah
memberi komentar seolah-olah telah hadir bersama-sama dalam persitiwa itu dan
bersama-sama dari segi perasaan dan kegemuruhan yang melanda generasi terbaik
itu.
Mungkin dalam kalangan kita sukar untuk
menjiwai beberapa noktah penting dalam kisah dan komentar yang panjang ini. Dan
kesukaran itu ada asasnya kerana kita tidak berada dalam suasana perang, kita
tidak berada dalam persimpangan membuat keputusan yang cukup besar itu.
Tetapi setelah difikir-fikirkan beberapa
jenak, ternyata di sana ada persamaan antara kita dan generasi sahabat pada
hari itu.
Saudaraku,
Allah swt telah mengajar kita melalui kitab
al-Quran dan kitab sejarah yang sentiasa terbuka untuk kita nikmati khasiatnya
itu tentang misi muslim di muka bumi. Allah mengajarkan kita akan
kehendak-kehendak Allah swt daripada setiap generasi kelompok muslim,yang mana Allah
berkehendakkan ditegakkan kalimatNya, dihancurkan kebathilan dan dibangunkan
al-Haq.
Barangkali kita mempunyai misi yang lebih
kerdil dan terbatas. Kisah ini meluaskan kerangka pemikiran kita dalam
meletakkan halatuju dakwah dan tarbiyah yang kita sama-sama usahakan. Jika yang
kita nampak dan berkehendak adalah mengajak orang mengikut halaqah, membina manusia,
mentarbiyah peribadi-peribadi muslim supaya cukup muwasofatnya dan sebagainya
ternyata tidak ada yang salah tentang hal itu. Bahkan itulah pecahan-pecahan
kepada misi yang besar ini.
Tetapi yang perlu ditanamkan adalah ia
bukan sekadar itu. Suatu hari nanti, bila waktu dan keadaan memungkinkan, kita
akan membuka orbit dakwah ini dengan lebih luas dan lebar. Kita akan terokai
medan-medan baharu yang membawa kita kepada misi meleburkan kebatilan dan
menegakkan kebenaran. Misinya cukup besar. Boleh kita katakan ia adalah tumuhat
dakwah dan tarbiyah yang patut dijiwai oleh setiap abna’ tarbiyah.
Jika politik adalah jalannya yang perlu
kita terokai pada masanya yang tepat, maka disitulah juga kita akan beraksi,
tanpa meninggalkan usaha-usaha asas, membina orang, membentuk halaqah, menambah
bilangan a’dho dakwah dan menggerakkan binaan masing-masing. Di medan mana
sekalipun, yang harus kita ingat adalah misi kita. Ia sewajarnya sentiasa
selari dengan kehendak Allah swt,ia adalah misi al-Quran.
Ternyata misi ini adalah usul dan kehendak
daripada kita, untuk ditawarkan kepada masyarakat dan dunia secara umumnya. Jika dalam ekonomi kehendak dibeli dengan wang
ringgit dan amount kehendak bergantung kepada kekuatan kuasa belian yang ada pada
ringgit tersebut atau dalam bahasa ekonominya ialah purchasing power, ternyata
dalam usaha menawarkan usul al-Haq ini kita perlu mempertaruhkan sesuatu
kekuatan.
Ia tidak lain tidak bukan merupakan
kekuatan hati yang bergantung harap kepada Allah, kejelasan terhadap prinsip
dan keyakinan bahawa kekuatan Allah merupakan kekuatan yang tidak sanggup
ditandingi oleh mana-mana kekuatan manusia. Kekuatan ini tidak akan lahir pula
dalam jiwa setiap orang yang mecintai islam dan bercita-cita akan misi ini
melainkan dibentuk melalui usaha-usaha tarbiyah yang halus dan mendalam.
Di sana ada lagi kekuatan lain yang perlu
kita perkirakan dengan keadaan semasa ini. Kami menamakannya sebagai kekuatan tawar-menawar,
atau bargaining power. Keupayaan bargaining inilah yang dipertaruhkan di pentas
siasah untuk membawa usul islam, untuk membawa misi menghancurkan kebatilah dan
menegakkan kebenaran.
Di manakah letaknya bargaining power ini?
Sekali pandang maka jawapannya adalah pada
kekuatan suara islam itu sendiri, pada kekuatan dan bilangan a’dho yang bakal
menggerunkan musuh. Kekuatan binaan anak-anak Islam yang bakal menggerakkan
setiap lahan dakwah. Sekiranya kekuatan ini kerdil dan tidak menggerunkan musuh,
dengan suasana dan wasilah siyasah hari ini, ternyata bargaining power itu
terlepas dari tangan kita dan musuh islam hanya akan memincingkan mata pada
kita.
Lebih mengerikan, ketika bargaining power
ini belum dalam genggaman, dikhuatiri kita akan terlepas pandang beberapa
perkara asas dalam misi kita. Boleh jadi kita bersekutu dengan musuh untuk
menguatkan bargaining power sehingga prinsip-prinsip kita tergadai, terlerai satu
demi satu. Hal ini kemungkinan berlaku ketika mana semangat yang membuak-buak
tidak dipandu dengan kesabaran dan kecerdasan membaca kekuatan.
Sekali lagi kesimpulannya, bargaining power
juga terletak pada usaha membina dan mengkaderkan lebih ramai aktivis dakwah
dan tarbiyah, bukan mengkesampingkan aktiviti tarbiyah dengan alasan ia sudah
bermula puluhan tahun yang lampau dan sudah tidak relevan. Menilai dengan akal
yang sihat, dengan semangat yang dituntun kesabaran dan kefahaman insya Allah
akan menatijahkan basirah.
Semoga kitab Badar Kubra ini terus terbuka
untuk disemak lagi dan lagi dan lagi pengajaran-pengajarannya.
No comments:
Post a Comment