Izza wujida mukmin soheh,
wujidat maahu, wasail al-najah jami’an.
Sekiranya wujud mukmin
yang sohih (imannya), telah wujud bersamanya segala bentuk jalan kejayaan. Kata-kata
ini telah kami petik dari Rasail (Himpunan risalah imam Al-Banna) dalam risalah
Kepada apa Kita Menyeru Manusia.
Orang ramai sering bertanya
kepada sang imam, bagaimana datangnya kejayaan-kejayaan ikhwan dalam menyumbang
begitu banyak dan pesat? Siapa pula yang menyumbangkan duit? Bagaimana para
aktivisnya boleh menjadi begitu hebat?
Fenomena maraknya dakwah
ikhwan dalam masa yang singkat ini ditanggap pelik oleh sebahagian besar
masyarakat Mesir. Namun sang imam menjelas matlamt dakwah ini dan tuntutan
ataupun wasiat kepada para ikhwan sebagai hamba pilihan Allah.
Sekiranya orang ramai
mengetahui bahawa tarbiyah ikhwan mendahulu iman sebelum harta atau sering
disebut-sebut sebagai slogan al-iman qobla al-mal, nescaya persoalan-persoalan
ini tidak akan timbul. Ini keraan tarbiyah yang menjadikan pembentukan iman
sebagai agenda utama, nescaya segala bentuk keperluan material akan datang
menyusul.
Sebab itu dikatakan,
apabila telah wujud mukmin yang benar imannya, maka telah ada bersamanya segala
bentuk jalan keberhasilan.
Dengan berkah iman itu,
akan mengalirlah jumlah wang infaq yang banyak dan terus menerus. Dengan berkah
iman itu, tidak akan putus-putus idea datang untuk menyelamatkan umat ini. Dengan
berkah iman itu, para ikhwan tidak lagi mensisakan sesuatu untuk kehidupan pribadi
mereka. Dengan berkah iman itu, mereka
mengalokasi tenaga dan masa yang banyak untuk keberhasilan dakwah.
Inilah yang diajar oleh
Imam Hassan al-Banna.
Jadi apabila dakwah telah
memiliki individu yang benar imannya, ia tidak lagi harus menangisi masa
depannya. Meskipun perjalanan masih panjang, namun jalan-jalan keberhasilan
sudah terbentang di hadapan mata. Ia berbangga-bangga dengan aktivisnya yang
memeluk erat jalan ini dan telah berjanji untuk mati di atasnya. Saban tahun dia
bergembira atas gugurnya pejuang-pejuang dakwah. Sekiranya dakwah merupakan
makhluk yang bisa berbicara, sudah tentu ia tersenyum lebar dan berbicara di
sana-sini mengenangkan mukmin yang benar imannya ini.
Membaca kalam al-imam ini
membuatkan kita tersentap sebenarnya.
Tersentap dan terpaku
melihatkan suasana dakwah yang makin suram di medan kita. Adakah ini petanda
bahawa di medan sudah tidak ada individu yang benar imanya? Inilah yang perlu
direnung lama dan dalam.
Apabila dakwah sudah
tidak marak. Apabila masjid sudah mulai lengang. Apabila al-quran di rak-rak
musollah sudah berhabuk dan mulai menjadi teman anai-anai. Apabila sejadah
sudah tidak dibentangkan lagi di saff pertama. Apabila mp3 quran tidak lagi
menjadi senarai teratas manisan telinga anak-muda. Apabila semua ini berlaku
dan memangpun ia sedang berlaku, maka janganlah kita bertanya,
“Antum tidak cukup duit kah?”
“Tidak ada kenderaan
untuk bawa ikhwanmu berjaulah kah”
“Peperiksaan menghimpit
masa kaliankah sehingga azan sudah tidak kendengaran?”
“Tidak ada tempat untuk
berprogram ke ikhwanku?”
Jangan ditanya.
Tetapi tanyalah,
“Sudah tidak ada mukmin
yang sohih kah kita ini?”