Sunday, March 24, 2019

AKHOWAT DALAM QURAN #2


 

Seorang akhowat muslimah atau seorang perempuan mukminah itu akhirnya seorang perempuan juga. Al-Qur’an tidaklah keterlaluan mengangkat karakter tokoh-tokoh ini sehingga tidak tergambar sisi manusiawinya, tidak. Bukan begitu. Ibu mana yang tidak sedih dengan keputusan dan tindakan yang terpaksa diambil itu. Barangkali setelah beberapa tempoh waktu berlalu, datanglah pelbagai perasaan dan prasangka yang bukan-bukan. Keimanan mulai goyah dan teruji. Ini merupakan fenomena kejiwaan yang dihadapi saban hari oleh manusia.

Al-Qur’an mengungkapkan fenomea kejiwaan yang telah melanda Ibu Musa setelah keputusan yang penuh bersejarah itu beliau ambil. Ini terpateri dalam firman Allah SWT sebagaimana berikut;

وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَىٰ فَارِغًا ۖ إِنْ كَادَتْ لَتُبْدِي بِهِ لَوْلَا أَنْ رَبَطْنَا عَلَىٰ قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ


Dan menjadi kosonglah hati ibu Musa. Sesungguhnya hampir saja ia menyatakan rahasia tentang Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, supaya ia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah)
[Al-Qasas, Ayat 10]


Al-Quran menyebutnya sebagai  ‘farigha’. Seperti orang yang tidak lagi mempunyai harapan untuk hidup. Seperti orang yang kecewa sehingga tidak mampu terawat lagi. Kosong-sekosongnya. Menurut jumhur mufassir silam, ia merasa kosong dari seluruh urusan dunia kecuali tentang Musa. Hal itu dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas, Mujahid, ‘Ikrimah, Sa’ad bin Jubair, Abu ‘Ubaidah, adh-Dhahhak, al-Hasan al-Bashri, Qatadah dan selain mereka[1]. Namun dalam keadaan yang cemas, getir dan penuh tragis itu,  beliau masih mampu memberi cadangan yang bernas.

"Ikutilah dia"

Ungkap Ibu Musa kepada kakaknya Musa a.s sebagaimana direkodkan oleh al-Quran dalam  ayat seterusnya dari ayat di atas.;

Ini merupakan satu tindakan yang penuh rasional,  melambangkan keadaan otak yang ligat berfikir walaupun keadaan semasa cukup menghimpit jiwanya.

Keperibadian inilah yang islam dan dakwah perlukan.  Mufakkirun.  Orang yang tidak pernah berhenti berfikir untuk dakwah dan binaannya. Sama ada dia sedang tidur,  mandi,  makan mahupun dalam apa jua keadaan,  fikirannya tidak berehat.  Berfikir dan fikir.

Walaupun dalam kondisi yang menekan.  Stress!.  Mad'u lari. Tekanan tempat kerja. Pelajaran merosot. Anak halaqah memberontak. Ikhwah mahupun akhowat tidak supportive. Duit habis. Dipulau oleh rakan-rakan dan sebagainya. Tetapi dia tetap rasional dan terus memeras otak untuk islam.

Alangkah indah jika dapat kita contohi ibu Musa as ini. Betapa keadaan umat hari ini memerlukan tokoh-tokoh yang kreatif, rajin berfikir dan menghasilkan idea-idea bernas untuk mengeluarkan kita semua dari kemelut dan kebejatan sosial yang menekan jiwa saban hari ini. Bapak Anis Matta mengungkapkan dengan lebih tepat iaitu ciri inovasi[2] yang perlu dimiliki oleh rijal, pejuang islam hari ini, meskipun akhirnya ia seorang wanita.

Dari ibu Musa kita belajar bahawa kondisi yang menekan hanyalah konflik hidup yang Allah campakkan untuk menguji kita supaya kita dapat mengeluarkan daya potensi yang terbaik dari dalam diri kita.

Dari ibu Musa kita belajar bahawa ujian-ujian hidup perlu disikapi dengan perimbangan antara sisi emosional dan rasional supaya langkah-langkah seterusnya tidak terbantut. Ternyata hidup mesti diteruskan dan disebalik keadaan-keadaan yang begitu menghimpit jiwa itu, ada sinar harapan. Asalkan bertindak dengan penuh iman dan kebergantungan kepada Ilahi.

Dari Ibu Musa juga kita belajar bahawa fenomena kejiwaan yang kosong memang akan hadir dalam hari-hari kita. Namun kita perlu bertindak mengisi kekosongan tersebut supaya tidak terkalahkan. Meskipun seorang wanita, ia bukan alasan untuk tunduk tewas pada sisi emosional yang tidak terkawal

Alangkah banyaknya yang dapat kita belajar dari kisah wanita ini, yang ternyata mempunyai kedudukan tertentu dalam al-Qur’an!


[1] Ibnu Kathir, Surah al-Qasas ayat 10
[2] Mencari Pahlawan Indonesia, Anis Matta

No comments: