Sunday, March 24, 2019

TADDABUR SURAH MUZAMMIL




Allah SWT mempunyai cara yang pelbagai dalam mengungkapkan kedahsyatan hari kiamat dalam al-Qur’an. Gaya bahasa yang berbeza, uslub yang unik dan pengulangan ini walaupun untuk tema dan mesej yang sama, bertujuan supaya tatkala kita membaca dan berdiri di hadapan ayat-ayat ini, hati-hati kita sentiasa terketuk-ketuk. Manusia itu sifatnya pelupa. Teknik penyampaian al-Qur’an ini sangat berkesan untuk mengembalikan manusia dari lamunan dunia dan menjelaskan wawasan akhirat mereka.

Dalam kepelbagaian ini, ada ketika ayat-ayat berkenaan hari kiamat dibawa dalam bentuk persoalan yang mencabar pengetahuan si pendengar dan pembaca. Di ketika yang lain, diceritakan gambaran-gambaran kedahsyatan hari tersebut. Kadang-kadang kedahsyatan itu dipersembahkan dalam nada yang kuat, keras dan memukul-mukul gegendang telinga kita. Kadang-kadang adanya pendekatan dialog ahli maksiat, dialog penyesalan dan bermacam uslub lagi.


Antaranya yang ingin kita petik dan renungkan kali ini,


فَكَيْفَ تَتَّقُونَ إِنْ كَفَرْتُمْ يَوْمًا يَجْعَلُ الْوِلْدَانَ شِيبًا

Maka bagaimanakah kamu akan dapat memelihara dirimu jika kamu tetap kafir kepada hari yang menjadikan anak-anak beruban
[Muzammil :17]

Betapa mendalam dan mencemaskan gambaran ini. Al-Qur’an menggambarkan bahawa hari kiamat tersebut merupakan hari yang cukup memberi tekanan sehingga anak-anak kecil yang tidak memahami apa-apa itu, kepala mereka memutih kerana kuatnya tekanan perasaan takut pada hari tersebut.

Perkataan wildan  merujuk kepada anak-anak kecil yang masih muda remaja. Kebiasaanya orang muda rambut mereka hitam pekat dan berkilat (orang Melayu atau kebanyakan orang Arab), bergantung kepada bangsa dan genetik mereka. Dan kebiasaanya juga anak-anak muda ini seringkali hidup dalam keadaan tanpa tekanan.

Mereka tidak dibebani dengan kesulitan hidup, beban tanggungjawab dan perkara-perkara lain yang menghantui fikiran mereka. Tetapi bayangkan betapa seninya ungkapan al-Qur’an menerangkan kedahsyatan hari kebangkita, anak ini menjadi beruban kerana memikirkan nasib mereka tatkala menyaksikan hari kebangkitan itu.

Secara tabi’inya rambut tidak akan memutih melainkan bila usia sudah meningkat senja, kerana berkait rapat dengan tekanan dan process penuaan. Ini kita lihat fenomena kepala memutih apabila seseorang itu melangkaui usia 40an dan ke atas. Adapun segelintir anak-anak yang sudah memutih kepala mereka sejak bangku sekolah, ini ternyata faktor genetik yang diwarisi oleh ibu atau bapanya.


Namun kini Qur’an cuba membawa satu gambaran yang luar biasa tetapi real perihal hari kebangkitan. Yag septutnya menjentik perasaan takut kita. Dosa apalah yang ada pada anak muda sehingga fikiran mereka ditekan sebegitu sekali?

Tidak ada bukan!

Mereka adalah anak muda yang mungkin belum  mumayyiz dan tidak dipersoalkan atas pilihan  dan tindakan mereka di dunia. Jadi bagaimana agaknya kesan panorama hari kebangkitan ini bagi kita yang sudah berusia? Yang sudah mengaji dan memahami agama puluhan tahun lamanya? Yang mukallaf ini?

No comments: