Tuesday, February 2, 2021

COUNTING YEARS!


Satu hari seorang adik bertanya kepada kami tentang sesuatu yang tidak disangka-sangka.Seorang adik yang kami tidak pernah berjumpa secara bersemuka tetapi telah tersentuh dengan pelbagai sesi atas talian yang dikelola oleh para ikhwah. Itulah hikmah dakwah di jalur lebar, mengetuk pintu hati tanpa disangka-sangka.


“Berapa lama abang amik masa untuk mula tajmik?”


“Dah berapa abang ikut halaqah?”


Luar biasa!


Kita tidak tahu telinga mana yang benar-benar mendengar ketika kita mengisi dan berkongsi di sebalik skrin peranti. Kita tidak tahu kepala siapa yang mengambil setiap maklumat dan ibrah yang dimuntahkan dengan bersungguh-sungguh dan memaknainya. Kita tidak pasti hati mana yang tersentuh, berfikir dan bertindak setelah itu semua.


Namun kita yakin, kata-kata yang baik sangat wajar diungkapkan.


Seorang akh berkongsi satu tazkirah yang mengesankan.


.. “kind words can go a long way…”, begitulah inti di sebalik perkongsian bersahaja beliau. Isi ini mengingatkan kami untuk sentiasa yakin dan konsisten menyampaikan kata-kata yang baik di pelbagai kesempatan. Mustahil kita tiada kata-kata yang baik sehingga memilih untuk berdiam diri di alam jalur lebar yang tiada tepinya itu. Paling tidak, bait-bait al-Qur’an dan motivasi dari Hadith pasti memiliki kebaikan apatah lagi keberkatan.


Ia hanya perlu diungkapkan semula sehingga sampai kepada mata-mata yang membaca atau telinga-telinga yang mendengar. Diam bererti menutup sebilangan pintu meraih kebaikan!


“Menarik soalan ini, kalau nak diikutkan dah hampir 10 tahun ikut halaqah”


“Lama tu bang!” Teruja!


“Itulah, baru perasan juga lama”


Alhamdulilah survived!

 

 

Monday, February 1, 2021

ASIF, ANA SETUJU SAJE




Hari ini kami ingin kongsi ibrah yang kami dapat sewaktu diskusi tentang topik syura dalam Islam. Pada malam itu, al-Ustaz berkongsi proses syura yang gagal dalam kerajaan Saba' yang dipimpin oleh raja perempuan yang dikatakan namanya Balqis.

Ayat-ayat berkenaan seperti dilampirkan.

Kenapa gagal? Kerana dalam sesi musyawarah mereka, ahli syura raja perempuan berkenaan tidak memainkan peranan, tidak kritikal dan menyerahkan kepada si ketua untuk memikirkan idea dan memutuskan yang terbaik. Ahli syura atau korum perbincangan yang tidak aktif ini menyebabkan dimensi untuk membuat keputusan tertutup dan terhad kepada satu kepala sahaja.

Alangkah ruginya!

Fenomena tidak sihat ini kadang-kadang berlaku dalam amal islami kita. Kadang-kadang seorang al-akh bila ditanya untuk memberikan pandangan lebih selesa berdiam diri, cepat merespon "ana tidak tahu" dan "setuju" sahaja.

Memang, berfikir ini kerja penat dan kita tidak mahu meluangkan masa, pause sekejap dan memberikan buah fikiran kita. Sedangkan buah fikiran kita itu mungkin berharga dan membuka luas horizon pemikiran pembuat keputusan.

Jika di tempat kerja kami sering diingatkan, "you all ni majikan bayar mahal² gaji, tak kan dalam meeting senyap sahaja" dan bagaimana Ahli Lembaga sebuah syarikat berkongsi beliau dihubungi dan diaudit kerana tidak memberikan pandangan dalam suatu Mesyuarat Lembaga yang berjalan hanya 30 minit.

Dalam urusan profession dan kerjaya mungkin kita lebih ligat berfikir dan memberikan buah fikiran yang bernas. Tetapi sayang sekali jika dalam forum perbincangan dakwah dan tarbiyah kita diam seribu bahasa.

Dikatakan adalah Rasulullah seorang yang paling kerap mengadakan syura. Baginda berbincang dan meminta pendapat daripada segenap lapisan sahabat di sisi Baginda saw. Sebagai seorang individu yang tindak tanduknya dipandu wahyu, barangkali Baginda saw lah yang paling kurang berhajat kepada syura namun sebaliknya yang ditunjukkan oleh baginda untuk melatih umah berbincang, memberikan buah fikiran dan membuat keputusan dengan kesepakatan.

Semoga usaha membangunkan islam, menyemarakkan tarbiyah dan dakwah makin mekar dengan bertambahnya bilangan mereka yang mufakkir, mengerut dahi memikirkan suatu permasalahan dan memberikan buah fikiran yang terbaik darinya, bukan sekadar mengangguk kepala.


Insya Allah kupasan segar begini yang kami belajar dan perolehi dalam sesi yang dianjurkan sama ada setiap minggu mahupun bulan. Melatih diri untuk menyerap pemikiran al-Quran.

https://tinyurl.com/SertaiMuassis

 

Saturday, January 30, 2021

TIDAK KEMARUK GELARAN


Sudah menjadi lumrah manusia suka kepada gelaran-gelaran. Dalam pelbagai lapangan kehidupan adanya gelaran yang meletakkan setiap manusia yang mempunyai gelaran tertentu pada kedudukan tertentu. Dalam dunia akademik sebagai contoh, adanya gelaran pemilik sarjana muda, sarjana, kedoktoran falsafah, dan sebagainya.

Lebih umum dari itu, ada individu-individu yang berusaha keras meraih gelaran seperti Datuk, Dato’ Sri, Tan Sri dan sebagainya. Fitrah manusia yang suka  akan gelaran atau title  ini semacam diraikan oleh al-Qur’an dengan memperkenalkan pelbagai gelaran dalam al-Qur’an merujuk kepada para hamba yang dekat dengan Allah SWT. Umpamanya ada gelaran muqarabbin, abrar, muttaqin, ibadurahman, khair ummah dan sebagainya.

Tidak lupa dalam dunia tarbiyah juga ada gelaran-gelaran yang mana-mana gelaran-gelaran ini kadang-kadang mengaburi mata kita. Gelaran seperti, Sheikhna, Imamuna, Murabbi Agung, Akhowat Lejen, Naqib Berapi dan sebagainnya yang mungkin pada awalnya bermula dengan gurauan dan pujian semangat tetapi tidak kurang berhujung dengan kehancuran.

Ada satu hadith yang wajar direnung seputar isu ini.

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ مُحَمَّدٍ، حَدَّثَنَا وَكِيعٌ، حَدَّثَنَا الأَعْمَشُ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُرَّةَ، عَنْ أَبِي الأَحْوَصِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ ‏ "‏ أَلاَ إِنِّي أَبْرَأُ إِلَى كُلِّ خَلِيلٍ مِنْ خُلَّتِهِ وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً لاَتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ خَلِيلاً إِنَّ صَاحِبَكُمْ خَلِيلُ اللَّهِ ‏"‏ ‏.‏

قَالَ وَكِيعٌ يَعْنِي نَفْسَهُ ‏.‏

Diriwayatkan oleh Abdullah, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku tidak perlu kepada sebarang khalil dari persahabatan. Jikalau aku hendak mengambil seorang khalil, nescaya aku akan menjadikan Abu Bakr sebagai khalilku. Sesungguhnya sahabatmu ini khalil Allah”

Berkata Waki’ (salah seorang perawi hadith ini), “sahabatmu” itu merujuk kepada diri Baginda sendiri.

 

Hadith ni memberi takrifan tentang khalil iaitu hubungan pertemanan eksklusif yang tidak boleh dikongsi. Dalam al-Qur’an Allah SWT menyebut bahawa Nabi Ibrahim merupakan Khalil Allah

وَمَنۡ أَحۡسَنُ دِينٗا مِّمَّنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٞ وَٱتَّبَعَ مِلَّةَ إِبۡرَٰهِيمَ حَنِيفٗاۗ وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبۡرَٰهِيمَ خَلِيلٗا

Dan tidak ada yang lebih baik ugamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut ugama Nabi Ibrahim yang lurus; dan  Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

[Surah An-Nisa', Ayat 125]

Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah juga merupakan khalil Allah. Namun bukan itu yang akan kita garisbawahi kali ini.

Namun, mari perhatikan perkataan yang Rasulullah gunakan:

"إن صاحبكم خليل الله"

Yang bermaksud, sesungguhnya sahabat kalian ini (merujuk kepada Baginda sendiri) adalah khalil Allah.

 Subhanallah.

Walaupun para sahabat tidak berpeluang menjadi khalil untuk Rasulullah, tetapi menjadi 'sahabat' pun sudah cukup menakjubkan. Ketika Rasulullah boleh sahaja membahasakan diri Baginda dengan 'Rasul kamu ini' atau 'Murabbi kamu ini' atau apa-apa gelaran seumpamanya, Baginda menggelarkan diri dan mengambil posisi sahabat bagi sahabat yang lain.

 

Banginda menghubungkan titik emotional relationship dan membangkitkan sense of belonging sesama sahabat Baginda. Tidak kemaruk gelaran dan pangkat.

Kurniakan kami ya Rabb kekuatan mencontohi Rasul-Mu ini!


***

Buku Bagaimana Mentarbiyah Seperti Rasulullah SAW
Bakal terbit, insya Allah.