Wednesday, October 15, 2014

OPPORTUNITY COST




Opportunity cost atau kos lepas merupakan antara benda benda basics yang diajar dalam Principles of Economics.

Mengikut teori microeconomic,


The opportunity cost of a choice is the value of the best alternative forgone, in a situation in which a choice needs to be made between several mutually exclusive alternatives given limited resources.


Manakala menurut kamus New Oxford American,

Opportunity cost is defined as the loss of potential gain from other alternatives when one alternative is chosen.



Ok bunyi macam gempak. Pendek kata opportunity cost ini ialah the best choice yang kita ada setelah kita buat buat keputusan pertama dengan rational. (Err, kenapa tiba tiba je cakap pasal benda ni ?) Memandangkan setiap daripada kita mempunyai sumber atau resources yang terhad, opportunity cost merupakan satu alat bantuan untuk membuat keputusan dalam berbisnes terutamanya.


Sebagai contoh, dengan bekal modal 300 ringgit Hadoya (bukan nama sebenar) ada pilihan untuk melakukan tiga jenis kegiatan perniagaan, A, B, C. Setelah ditimbang dan dikira-kira pulangan bersih bagi masing masing kegiatan ialah 200, 150, 11. Maka, keputusan paling rational ialah untuk melakukan kegiatan A manakala opportunity cost nya ialah kegiatan B yang worth 150.


Err, faham ke?


Atau contoh mudah, dengan tidur dua jam di pagi hari usai solat Subuh sehingga tertinggal kelas, opportunity cost nya ialah value dua jam lecture. (tapi dalam kes ini macam tak rational je pilihan dibuat).

So ?



Ada satu lagi ilmu basics dalam Principles of economics yang saya rasa perlu share kali ini iaitu absolute advantage dan comparative advantage. Kedua-dua jenis advantage ini yang akhirnya menatijahkan berlakunya trading atau perdagangan antara dua pihak pengeluar. (rasa malas nak sambung, boleh Google sendiri tak?)


Ambil contoh Malaysia dan China, keduanya mampu mengeluarkan dodol dan tempoyak. Err. Katakanlah. Malaysia mengeluarkan 2kg Dodol dengan satu ringgit cost dan 2kg tempoyak dengan dua ringgit cost. Manakala China pula mampu mengeluarkan 2kg Dodol dengan harga 2 ringgit cost manakala 2kg tempoyak dengan 2 ringgit cost juga.


Secara kasar, Malaysia mempunyai absolute advantage ke atas kedua dua produk tersebut kerana cost pengeluaran masing-masing lebih murah berbanding China. Namun China memiliki comparative advantage untuk pengeluaran tempoyak kerana 2kg tempoyak di China opportunity costnya hanya bernilai 2kg Dodol manakala 2kg tempoyak di Malaysia bernilai 4kg Dodol.


Err, faham ke?

Sila ulang baca.


Atas dasar ini, Malaysia dan China patut bekerjasama dalam perdangan dua hala untuk mengeluarkan dodol dan tempoyak. Malaysia sepatutnya focus kepada kepada pengeluaran dodol manakala China focus kepada pembangunan industry tempoyak. Lapar pula..


Saudaraku,


Prinsip prinsip asas ekonomi ini menggariskan panduan yang begitu mahal buat mereka yang beriltizam dengan kerja kerja atau amal Islami. Sebagaimana seorang pedagang biasa, para duat juga mempunyai kapasiti terbatas. Resources kita juga scarce atau limited. Kita tidak mempunyai tenaga modal insan yang ramai, waktu yang terbatas, kewangan yang terbatas dan banyak lagi kekangan lain.


Alhamdulillah, setelah ditarbiyah bertahun lamanya Allah swt campakkan dalam hati hati kita perasaan untuk menguasai segenap cabang dan peluang melakukan kebaikan. Kalau boleh semua benda baik kita nak buat. Kita juga nak dakwah yang belum Islam. Kita juga yang ingin beri makan kepada gelandangan. Kita juga ingin berada dalam misi membantu Negara Islam yang lain. Kita ingin membantu mangsa banjir. Kita ingin ke depan dalam politik, memimpin masyarakat. Kita ingin lakukan gotong royong bersihkan Bandar, meraikan warga tua, membantu kanak-kanak bermasalah dan bermacam lagi.


Pendek kata semua benda baik kita nak ungguli sesuai dengan seruan banyak ayat Quran yang memerintahkan kita untuk berlumba lumba dalam kebaikan.


Berkesan sungguh tarbiyah halaqah halaqah kita ini sehingga seakan kita mahir dalam segenap cabang kemahiran hidup. Pendek kata, kita mempunyai absolute advantage dalam segala jenis amal Islami.


Tetapi tahukah dikau wahai akhi,


Kita-kita yang lahir daripada rahim tarbiyah ini mengerti sungguh bahawa ada amal-amal Islami yang boleh dilakukan oleh semua orang dan ada yang tidak boleh dilakukan oleh semua orang. Mereka yang lahir daripada hasil tarbiyah bertahun lamanya sepatutnya mengerti betapa kerja mentarbiyah itu seharusnya sering menjadi agenda utama kita, menjadi agenda yang mana kita habiskan keseluruhan resources yang kita ada ke situ.


Kita mungkin berkata, ah tarbiyah memang agenda kita.


Tetapi betapa ramai dalam kalangan kita yang sanggup berpenatan memimpin halaqah berbanding dengan kesanggupan berpenatan melakukan demostrasi, flash mob dan seumpamanya, tanpa kita memandang rendah usaha usaha terpuji ini. Berapa banyak pula duit yang dilaburkan untuk agenda politik yang samar-samar itu berbanding dengan wang yang diperuntukkan untuk program tarbiyah seperti daurah, qiyamulail, mukhayyam dan sebagainya yang makin hari makin lesu ruhnya?.


Marilah melihat kesemua ini dari sudut pandang orang yang faham akan urgensi tarbiyah, bahawa bukan semua orang mampu melakukan kerja kerja tarbiyah. Orang awam diluar sana yang masing-masing mempunyai naluri melakukan kebaikan mungkin boleh disalurkan resources mereka untuk kerja kerja umum ini. Tetapi bagaimana dengan pentakwinan individu muslim? Bagaimana dengan halaqah dan daurah kita?


Kerana, tiadalah berguna berterusan melakukan amal-amal Islami sehingga pembinaan rijal dakwah dan individu muslim terhenti dan terus dilupakan.



Mengapa tidak kita belajar berkongsi, atau ‘berdagang’ amal dengan yang lain dengan memfokuskan kerja membina mansusia kerana comparative advantage nya disitu. Tahukah kita dua jam masa yang kita peruntukkan untuk demostrasi aman itu opportunity cost nya mungkin memimpin satu sesi halaqah yang mana kesannya insya Allah berpanjangan jika kita komited dan beriman dengan manhaj ini.


Sebelum merancang amal amal kita, sebelum memilih untuk disalurkan ke mana sumber sumber kita yang terhad itu, lihatlah, timbanglah opportunity cost nya, belajarlah menilai advantage nya dari segenap sudut. Boleh jadi selama ini kita telah membuat pertimbangan yang tidak rasional.


Setelah memahami konsep trading based on comparative advantage ini, para da’ie tidak perlu cepat melatah jika ada pihak yang belum faham akan agenda kita menempelak dengan kata-kata seperti;


“Sampai bila mahu usrah?”

“Usrah je memanjang, tak nampak pun turun beri makan orang miskin”

“Tak kan budak budak ini nak terperap je dalam bulatan merepek itu?”

 Err.

Dan banyak lagi dialog sumbang yang menguji prinsip kita.


Mari bermula di sini. Bak tema merdeka kita tahun ini, di sini lahirnya sebuah cinta. Eheh. Memang tidak ramai yang sanggup berterusan dengan halaqah, mencari jiwa dan jasad baru untuk ditarbiyah kerana hasilnya yang uncertain, masanya lambat, perjalanan yang jauh dan tidak popular. Tetapi jika kita benar benar beriman dengan kaedah yang telah dipelopori oleh Rasulullah saw, maka usahlah bimbang.


Teruslah melangkah dengan keimanan yang mendalam, kerja yang tersusun dan amal yang berterusan. Ketahuilah bahawa daripada halaqah halaqah kecil itu kita ingin membangunkan peradaban dunia. Daripada halaqah kecil itulah kita menggerakkan masyarakat, dengan senyap, perlahan, bertahap dan tersusun.


Akhir sekali, theory atau principles ini akan berhasil dan terpakai jika kita semua memaknai tarbiyah dalam konteks yang sama. Kalau dari awal lagi kita mengiyakan bahawa flash mob pun tarbiyah, konvo raya pun tarbiyah, suap gelandangan pun tarbiyah, maka saya harus berlepas tangan dan memengsankan diri.­­­­­


Well, dari segi bahasanya betul la.


Atau mungkin sebenarnya wasilah tarbiyah yang digariskan imam al Banna sudah wajar dirombak?


Wallahu’alam.

Monday, October 6, 2014

HIFZULLAH LI DINIHI





Mari kita taddabur setelah sekian lama tidak bertemu. Entah mengapa begitu produktif menulis setelah lama berehat.






Artinya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Qur’an dan pasti Kami (pula) yang menjaganya.”  (Al Hijr [15] : 9)



Al Quran mempunyai beberapa nama yang disebut dalam ayat-ayat dalam al Quran sendiri. Antaranya ialah, al Quran sendiri, al Furqan, al kitab, huda, an nur, as syifa, az zikr dan banyak lagi. Setiap nama nama al Quran ini mempunyai maksud yang khusus yang menjelaskan kefungsian Quran yang tersendiri, selari dengan namanya.



Allah Azza Wajal tidak setiap masa merujuk Quran sebagai al Quran. Kadang-kadang Allah swt akan menggunakan perkataan al kitab. Kadang-kadang al huda. Kadang-kadang nama nama yang lain, sesuai dengan mesej yang hendak disampaikan.


Sebagai contoh,


Apabila berbicara tentang Quran yakni sebagai sesuatu yang dibaca dan dikaitkan dengan bahasa Arab (sesuai dengan fungsi al Quran untuk dibaca) Allah menggunakan perkataan al Quran. Err, faham ke?


Cuba lihat ayat kedua dan ketiga surah Yusuf. Dua kali perkataan Quran disebut, kerana membawa mesej bacaan iaitu baca untuk memahami dan baca untuk mengetahui kisah Yusuf. Tidak pula di ayat ayat ini, Allah gunakan perkataan al kitab atau as syifa. Meskipun perkataan al kitab dan as syifa juga merujuk kepada al Quran, tetapi ia tidak kena dengan mesej yang hendak disampaikan.


Ok.

Disebabkan contoh di atas kelihatan sukar untuk difahami, mari kita lihat satu lagi contoh. Perkataan al kitab, bermaksud secara surfacenya buku , atau sesuatu yang mengandungi tulisan, atau ketetapan, kewajipan. Secara spesifik al kitab ini merujuk kepada buku perundangan. Bahkan, jika merujuk kepada literature bahasa Inggeris kita sering dengar dalam trial omputih hakim menggunakan frasa,


Throw the book at….

Ini bukanlah bermaksud si hakim ambil buku dan lempar sekuat iman kepada tertuduh, tetapi maksudnya to charge or punish someone as severely as possible. Entah dosa apa yang dilakukan oleh tertuduh sehingga terkeluar frasa azab ini. Eheh.


Maka, apabila Allah Azza Wajal menggunakan perkataan al kitab dalam ayat ayat Quran, kebiasaannya mesej yang hendak dibawa berkaitan dengan fungsi al Quran sebagai buku perundangan. Cuba tengok surah al Maidah ayat empat puluh lapan, 48.


(Peringatan: kalau kita baca terjemahan Melayu sahaja, semuanya dia bantai Quran, jadi mereka yang tidak mentadabur ayat Quran secara harfiyah (per huruf) mungkin tidak dapat menghargai perbezaan dan pendetailan ini. Sebagai contoh ayat yang dibawa di permulaan entry ini, tiba tiba sahaja terjemaham Melayu dibawakan perkataan al Quran, walhal dalam bahasa Arabnya tiada pun perkataan al Quran)


Pun begitu, taddabur saya ini tidak applicable di semua tempat. Boleh jadi tidak kena pun. Ini hanyalah perkongsian marhaen yang mungkin boleh membantu kita untuk menghargai kenapa berbeza nama Quran digunakan dalam ayat ayat Allah ini.






Baiklah, mari kita u turn kepada tadabur ayat di atas.



Artinya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Qur’an dan pasti Kami (pula) yang menjaganya.”  (Al Hijr [15] : 9)


Cuba perhatikan betul betul bahasa Arabnya. Kali ini Allah swt menggunakan perkataan az zikra, yang kemudian diterjemah sebagai al Quran oleh penterjemah. Maknanya, boleh kita tadaburi bahawa Allah swt sedang berbicara tentang al Quran yang fungsinya sesuai dengan perkataan az zikr.


Allah swt nak bagitahu, Dia akan memelihara al Quran in the sense of Quran sebagai az zikr, sebagai peringatan, bukan Quran sebagai helaian kertas yang mengandungi tulisan bahasa Arab. Sebab itu mushaf al Quran, helaian helaian al Quran boleh dibakar jika hendak dilupuskan, kertas kertas tu akan hancur kalau dah lama disimpan tidak dibaca dan kalau dimakan anai-anai, tetapi mesej Quran sebagai peringatan, sebagai az zikr kekal terpelihara.


 Sekarang, az zirk, peringatan, apa maksudnya?


Secara mudah boleh kita katakan, az zikr ini ialah dakwah. Jika kita faham sedemikian rupa ruh ayat ini, dapat kita rephrase, bahawa Allah sedang bagitahu Dialah yang menurunkan dakwah dan Dialah yang akan memelihara dakwah ini. Allahu akbar!


Jadi kalau kita tak nak buat dakwah pun, dakwah akan tetap hidup. Bagi mereka yang berasa dakwah akan affected kalau dia meninggalkan gerabak ini, boooo kepada mereka. Kerana dakwah ini, Allah swt yang pelihara. Tidak hairanlah, walau setelah 1400 tahun lebih lamanya, mesej Islam masih sampai kepada kita, kerana Allah swt yang memeliharanya!


Yang lebih menarik, jika kita go deeper, umum mengetahui az zikr, dakwah dan Islam ini bukan sesuatu yang ajaib, tetapi bersifat praktikal. Ia adalah satu manhaj yang tidak boleh stand alone sebaliknya mesti didokong oleh manusia, barulah terpelihara. Kerana akhirnya az zikr ini untuk manusia juga. Kalau kita faham benda ini, dapat la pula kita extract daripada ayat ini bahawa Allah swt akan memastikan sentiasa ada hamba-hambaNya yang sudi untuk mendokong, menjaga dan menghidupkan az zikr ini di tengah tengah umah yang ketenatan.


Jika bukan kita, pasti ada orang lain.


Dan mereka yang memilih untuk bersama dakwah, bersama az zikr, sebenarnya telah memilih untuk turut sama berada dalam penjagaan dan pemeliharaan Allah swt. Kerana apabila Allah swt memelihara az zikr, secara automatic Allah swt akan memelihara orang-orang yang mendukung az zikr ini. Allahu akbar!


Ini adalah satu motivasi besar buat para daie untuk sentiasa bersama dakwah!


Untuk menambakan lagi perisa kepada perkongsian ini, mari saya bagitahu anda beberapa perkara menarik tentang surah Hijr secara umumnya.


Menurut Sheikh Amr Khalid dalam buku Khowatir Quraniyyah, tema bagi surah ini ialah penjagaan Allah swt  terhadap agamanya, hifzullah li dinihi. Allah swt akan menjaga az zikr, lantas menjaga mereka yang bersama az zikr ini.


Sebab itu kita dapati, setelah Allah swt berbicara akan az zikr ini, Allah swt bawakan dalam ayat ayat seterusnya kisah umat terdahulu. Dalam rentetan seerah klasik itu, sentiasa ada pertembungan dua golongan manusia. Satu golongan ialah mereka yang bersama az zikr manakala satu lagi ialah golongan yang menolak az zikr.


Dan di setiap pertembungan ini kita dapati golongan yang memilih bersama az zirk la yang akhirnya menjadi heroes bagi zaman masing-masing. Kerana mereka dijaga dan dipelihara oleh Allah swt, walaupun mereka tampak lemah, golongan minority dan tertindas.


Golongan yang menolak az zikr berakhir dengan kebinasaan, walaupun mereka orang yang kuat, ada kedudukan, pangkat tinggi, kaya raya tetapi tanpa pemeliharaan Allah swt, mereka dibinasakan oleh azab Allah.


Untuk menghayati mesej ini, cuba baca dari ayat 80 hingga ayat 84.  Kita dapati kisah penduduk Hijr yang medustakan rasul dalam ayat ayat ini. Kemudian, mereka memahat rumah daripada gunung batu dengan aman, tetapi akhirnya tetap dibinasakan. Walaupun berlindung disebalik rumah batu, atau disebalik kondominium mewah, rumah bungalow bertingkat tingkat, sebenarnya kita tetap tidak selamat, selagi mana tidak bersama az zikr.


Kisah penduduk negeri Hijr ini mewajarkan surah ini dinamakan al Hjir. Dan tema surah ini sebagai hifzullah li dinihi nampak lebih jelas dengan contoh kisah umat terdahulu yang dibawakan.


Jadi jelaslah, berdasarkan dalil naqli ini, lantas kita membenarkan kata-kata Sheikh Doktor Hamman Said, Dakwah di jalan Allah ialah jalan keselamatan di dunia dan di akhirat.


Buat para daie yang bersama az zikr, tidak henti-henti melaso dan membina manusia, yang saban hari fikirannya berada seputar mentakwin mutarabbi masing-masing, berbahagialah kerana kalian insya Allah berada dalam penjagaan Allah.


Dan buat mereka yang ada terfikir dalam benaknya untuk meninggalkan dakwah ini, fikirkan semula. Untuk kalian, saya akhiri dengan sepotong ayat Quran;



“Mereka itulah orang-orang yang telah kami berikan kitab, hikmah dan kenabian. Jika orang-orang itu mengingkarinya, maka Kami akan menyerahkannya kepada kaum yang tidak mengingkarinya”

(Al An’am :89)

Saturday, October 4, 2014

ENTRY SYOK SENDIRI




Subhanallah, sebulan lebih sudah saya tidak menulis kerana beberapa masalah teknikal yang akhirnya, Alhamdulillah sudah diberesi. Eh. Tiba-tiba sahaja, kita sudah di penjuru (around the corner) meraikan Idul Adha. Elok juga kita lihat beberapa masukan berkenaan Hari Raya Haji ini.





Memperingati 'Eid al-Adha, Ibrahim as dan anaknya Ismail tidak pernah dilupa. Nabi Ibrahim merupakan seorang nabi yang diuji begitu dahsyat dengan siri ujian yang sangat banyak. Siri siri ujian yang dilalui baginda direkodkan di banyak tempat dalam al Quran. Sehinggalah antara kemuncak ujian yang menimpa baginda ialah mendapat wahyu untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s sebagaimana yang direkodkan dalam ayat berikut;



"Maka ketika anak itu sudah sampai baligh (dewasa), Ibrahim berkata kepadanya: "Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam tidurku, bahawa aku menyembelih engkau, maka bagaimana pendapatmu?" Kata anaknya: "Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar."

 (As Shaffaat:37:102)




Semasa menulis artikel berkenaan pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail a.s ini yang mana kisah mereka berdua begitu sinonim dengan perayaan Idul Adha, saudari Yasmin Mogahed (boleh google kalau nak tahu siapa beliau) memberikan komentar berikut dalam artikel beliau;



Many years ago, our father Ibrahim (AS) made a choice. He loved his son. But He loved God more. The commandment came to sacrifice his son. But it wasn’t his son that was slaughtered. It was his attachment to anything that could compete with his love for God. So let us ask ourselves in these beautiful days of sacrifice, which attachments do we need to slaughter?
-Yasmin Mogahed



Ya. Besar benar pengorbanan itu. Kerana Ismail lahir setelah Ibrahim menuju usia emasnya. Namun kerana perintah Allah swt, Nabi Ibrahim langsung tidak teragak-agak untuk melaksanakan perintah yang dia dapati melalui mimpinya itu. Tidak hairanlah, saban tahun kisah epic ini menghiasi laman-laman peringatan alam maya buat kita semua tatkala meraikan Idul Adha.



Namun, disebalik mesej pengorbanan yang sangat besar kerana ketaatan kepada Allah swt, kisah Nabi Ibrahim dan anaknya juga menggariskan beberapa hal lain dalam kehidupan yang sepatutnya menjadi teladan kita semua. Antaranya kepentingan syura, isu taat, wala’ dan thiqah. Err. Macam panas je entry ini.



Ibrahim as sekalipun diperintahkan untuk menyembelih Ismail as, baginda bertanya dahulu kepada anaknya Ismail as, walhal ia sebuah perintah daripada Tuhan.




“... Ibrahim berkata kepadanya: "Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam tidurku, bahawa aku menyembelih engkau, maka bagaimana pendapatmu?.."



Begitulah, sopan dan beradabnya soalan yang diajukan oleh Ibrahim kepadanya, menanyakan pendapat Ismail tentang wahyu Ilahi itu. Jika difikirkan logiknya, Nabi Ibrahim mempunyai banyak sebab untuk tidak menanyakan Nabi Ismail akan hal itu. Antaranya, perintah itu datang daripada Allah swt, meskipun Nabi Ismail refuse, perintah tetap wajib dijalankan.


Keduanya, apalah sangat kualiti pendapat yang mampu dilontarkan oleh anak kecil seperti Ismail as dalam memberi pendapat pada isu yang besar ini. Ketiganya, posisi Nabi Ibrahim sebagai ayah kepada Ismail, sepatutnya dalam fikiran Nabi Ibrahim, pastilah anak ini kena taat kepadanya, kena wala’, kena thiqah. Gituuuh.


Tetapi tidak, babak antara dua anak beranak ini begitu mahal buat kita semua. Demikian, ia bukan sekadar soal pengorbanan, ia persoalan etika yang sungguh indah, menghormati pandangan dan tidak bersifat diktator walaupun ke atas kanak-kanak kecil. Ia soal syura yang menjadi prinsip penting dalam Islam, soal hak untuk bersuara, soal menghormati manusia lain yang ada hak untuk berpikir. Kalau antara bapa dan anak sudah diadakan perbincangan, apatah lagi antara pemerintah, pemimpin, warganegara, masharakat sivil dan ahli.


Jika dalam hal yang besar dan jelas perintahnya pun bisa dilaksanakan syura, apatah lagi dalam hal yang masih kabur dan halus. Walaupun atas nama perintah Tuhan, sesuatu perundangan itu wajar ditanya kepada pihak yang akan dilaksana.


Lebih manis dalam kisah ini apabila kita merenung jawapan Nabi Ismail as,



“Kata anaknya: "Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.”



Jawapan ini kita dapati bersifat positif, dan neutral, tanpa ada sebarang pengaruh dan paksaan daripada pihak si ayah. Meskipun Nabi Ibrahim as tidak menggunakan kuasa veto sebagai seorang ayah atau tidak menimbulkan persoalan tentang taat, thiqah dan wala’, sebenarnya Nabi Ibrahim as telahpun berjaya mengajak anaknya Ismail as untuk sama-sama menjayakan seruan Ilahi itu.



Di sini dapat kita simpulkan bahawa Nabi Ibrahim telah berjaya mendidik anaknya Ismail yang masih berusia kecil itu, untuk memahami seruan Rabbani, untuk sanggup berkorban sehingga menggadaikan nyawa demi ketaatan kepada Allah swt. Nabi Ibrahim sebelum apa-apa telah menunaikan hak didikan kepada anaknya, telah memenuhi hak hak tarbiyah yang wajar diperolehi oleh seorang anak daripada si ayah, sehinggalah akhirnya timbul kerjasama yang baik, sehingga adanya thiqah, wala’ dan taat.



Saudaraku,


Begitu menyedihkan hari ini kita dapati ada segelintir manusia yang berada di posisi kepimpinan mengharapkan persetujuan orang bawahan dalam mengambil sesuatu keputusan tanpa terlebih dahulu berbincang atau membuka ruang untuk ‘si kecil’ melontarkan pendapat dan padangan mereka. Jika ‘si kecil’ bersuara, mereka kata ‘si kecil’ ini tidak taat, tidak wala’.


Mereka mengharapkan orang di bawah memberikan ketaatan dan thiqah kepada kepimpinan tetapi tidak terlebih dahulu menunaikan hak hak tarbiyah, tidak terlebih dahulu memberi kefahaman tentang islam yang sebenar, menyantuni orang bawahan dengan sewajarnya.


Dari sudut yang lebih praktikalnya, sebagai ketua kelas umpamanya, sudahkah kita mengambil kira pendapat rakan sekelas yang lain sebelum membuat sebarang keputusan, atau kita guna sahaja title ketua kelas kita itu? Sebagai naqib usrah, bagaimana kita mengendalikan usrah kita? Sebelum kita mengagihkan tugas, sudahkah ditanyakan pendapat kesemua mutarabbi kita?


Atau adakah kita juga sebenarnya mengharapkan mereka thiqah dan taat kepada kita tanpa terlebih dahulu melunaskan hak hak tarbiyah? Ini dalam hal hal yang kecil. Bagaimana pula jika kita berada di posisi kepimpinan bagi sebuah organisasi yang lebih besar seperti parti politik atau gerakan Islam yang membawa mesej yang sangat besar, sudahkah kita menghayati mutiara berharga daripada kisah Ibrahim dan Ismail ini?


Mengharapkan ketaatan atau thiqah atau wala’ tanpa syura, tanpa didikan dan kefahaman yang sempurna sebenarnya merupakan satu proses doktrinasi yang mematikan akal. Kelak akan ada sekumpulan manusia yang bangun memberontak. Pada waktu itu, kita terpaksa membina kembali kepercayaan yang sangat bernilai itu. Waktu itu, kita mungkin tepaksa menangisi isu keretakan ukhuwah kerana kita yang terlebih dahulu syok sendiri.


Sedangkan Ibrahim a.s. yang berstatus seorang nabi meraikan pendapat si kecil Ismail a.s, inikan pula kita yang banyak kemungkinannya berada di posisi yang salah.


Jadi,

Adakah entry ini akan menjadi text khutbah esok hari?

Insya Allah tidak.

Kerana Malaysia Masih Aman.


Kullu am wa antum bi kheir

Monday, September 1, 2014

SENTUHAN AL AKH #25



Belajar Bahasa Arab akhi.

Meskipun bukan dari jurusan agama, namun berusaha untuk mempelajari bahasa Arab dan menguasinya merupakan cita cita kami. Bahasa al Quran ini, fuh, siapa yang tidak mahu pelajarinya. Saat kau biasa kuasainya, kau boleh fahami ayat ayat Allah tanpa terjemahan Quran. Boleh difahami dalam solat, dalam doa, dalam tilawahmu, dalam perjumpaan bersama masyaikh besar dari timur tengah dan di banyak keadaan lagi.


Kecintaan kami kepada al Quran membuatkan semangat itu bergelora. Lebih lebih lagi di jalan ini, Allah utuskan hambaNya yang lebih kedepan dalam mengusai  bahasa yang dimuliakan dengan al Quran ini.

Kali ini yang kami sama-sama renungi, memaknai antara dua perkataan yang disemat dalam Quran, antara rushd dan baligh. Sehingga perbincangan itu meleret leret dan membawa kepada sentuhan, teguran dan sentapan buat akh itu.

                “Salam akhi. Hari tu ustaz ada bawa pasal perkataan rushd dengan satu lagi perkataan kan. Apa ek ?” 

                “Wasalam. Ustaz bawa beza rushd dengan baligh..”

                “Ok. Hehe. Apa beza dia ek ? Boleh crita semula?”

                “Baligh ni sampai umur, tak semestinya rushd. Tapi kalau rushd ni mesti dah sampai umur. Maksudnya kemampuan atau matang atau kejelasan cara fikir”

                “Oh. So, yang anak yatim tu kita pilih rushd ke baligh?”


Untuk memahmi cerita anak yatim, disarankan untuk kalian merujuk Surah an Nisa’ ayat 6


                “Anak yatim kena tunggu rushd. Sebab quran cakap macam tu. Baru boleh bagi hartanya”

                “Oh ok”

                “Jzkk kerana bertanya. Buat kita semua sama-sama membelek Quran dan memikirkannya. Ampun dosa kami ya Rabb”

                “T-T”



Di pertengahannya, beberapa perbualan sulit yang harus dirahsiakan. Kemudian akh itu bertanya lagi;


                “18:66. Rushd tu boleh dipelajari?”

                “Terjemahan Qurah eh? Kurang tepat”

                “Erk.”

                “Dia kena terjemah ikut ayat bukan by word. Rushd ni dari perkataan rasyada, bermaksdu pandu atau bimbing. Irsyad, panduan. Khulafa ar rasyidin bermkasud khalifah khalifah yang memandu, membimbing”

                “Wahh. Sangat dekat word ni dengan kita.”

                “La ikraha fiddin, qad tabbayyana rusyd minal ghayyi... rushd kat sini pun maksud panduan”

                “Waaaa. Ok”

                “Means kita tak boleh paksa orang terima Islam apabila kita dah menjelaskan kepada dia dengan rushd, dengan sejelas-jelasnya yang mampu memandu dia untuk memilih kebaikan, syurga”

                “Oh style”

                “Sebab tu kita kena paksa orang terima Islam, sampai la kita rushd dengan dia. Kalau dah rushd, dia tolak juga, tiada paksaan”

                “Paksa tu macam mana?”

                “Selagi dia tak dapat rushd, selagi tu kita paksa. Paksa bukan guna kekerasan atau pukul. Tapi terus seru dan seru seolah-olah memaksa”

                “Ok. So ni untuk kes bukan Islam la kan?”

                “Tak juga untuk bukan Islam sahaja. Juga ayat ini untuk kita sabar dengan adik adik apabila diorang tak nak commit tarbiyah dan dakwah. Mungkin kita belum rushd dengan dia. Kita belum jelaskan dengan benar tanpa seleweng, sejelas mentari di pagi hari. Tiru penulisan al banna sikit, hehe”

                “Adeh. Kena balik. Huuuu”

                “Eh bukan nak serang anta, ana bagi contoh je”

                “Contoh yang releven akhi”

                “Hakikatnya yang baca Quran hanyalah orang Islam. So semua ayat mesti kena dengan kita. Memang releven apabila sang daie mentadabur ayat Quran. Kerana Quran turun ketika keadaan dakwah. Akhi, tambahkan kefahaman anda, sebarkan kepada ramai. Saya mahu saham juga. Kita niaga maa”


---


Begitulah kami. Di sela belajar bahasa Arab, di celah celah cuba memahami ayat Quran hadiah dari Allah ini, lalu kami sama-sama tertempelak. Terima kasih akhi atas sentuhamu. Untuk saham bersama, lalu aku kongsi di sini.


Nikmat bukan jalan ini?!. Di mana lagi kau bisa cari dua orang bersahabat berbincang dengan penuh semangat seputar memahami ayat ayat Allah ini? Dengan rakan sekelasmu? Dengan rakan serumahmu? Dengan jiranmu? Belum tentu. Melainkan mereka juga sang daie di jalan Allah.

“Tak juga untuk bukan Islam sahaja. Juga ayat ini untuk kita sabar dengan adik adik apabila diorang tak nak commit tarbiyah dan dakwah. Mungkin kita belum rushd dengan dia. Kita belum jelaskan dengan benar tanpa seleweng, sejelas mentari di pagi hari. Tiru penulisan al banna sikit, hehe”


Aku ingat ini akhi!