Setiap
manusia dilahirkan ke dunia dalam keadaan fitrah dan fitrah itu ialah Islam.
Sebagaimana disabdakan oleh ar-Rasul dalam hadis;
كل مولود يولد على الفطرة فأبواه
يهودانه أو ينصّرانه أو يمجّسانه
متفق عليه
"Setiap yang dilahirkan atas fitrah. Maka kedua orang
tuanyalah yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau Majusi"
(Mutafaq'Alaih)
Asalnya
setiap bayi yang lahir itu dalam keadaan fitrah Islam. Namun tasawur dan
pemikiran yang seterusnya melahirkan tindakan dan kepercayaan pada bayi
tersebut ditentukan oleh Ibu Bapanya, sama ada akan menukar beliau menjadi
Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini hanyalah sebahagian bentuk ideologi yang akan
dipegang dan dianuti oleh manusia disebabkan bagaimana ia dibesarkan dan
ditarbiyah.
Adapun di
zaman kini, boleh jadi ia cenderung membesar menjadi seorang yang menyokong
liberalisme, hedonisme, pluralisme dan pelbagai isme atau ideologi yang lain.
Hadis ini
memberi gambaran bagaimana ideologi, anutan dan pemikiran seorang bayi itu
berubah daripada yang asal (fitrah) kepada bentuk-bentuk yang pelbagai. Di sisi
lain, hadis ini meletakkan betapa besar tanggungjawab ibu-bapa atau institusi
keluarga secara umum untuk menentukan perkembangan terutamanya dari aspek
pegangan bayi berkenaan. Namun di sana ada lagi pengaruh-pengaruh lain seperti
dengan siapa ia bergaul, buku apa yang ia baca, apakah stimuli yang merangsang
inderanya sejak kecil. Ini semua membentuk pemikiran seorang manusia.
Dalam hal
ini, bolehlah kita singgung sekejap betapa penting institusi keluarga. Di zaman
salaf dahulu, ibu dan ayah yang faham agama yang benar dan dekat dengan apa yang
dibawa oleh Rasulullah telah memastikan agama yang tulen ini diterapkan dalam
pemikiran dan akidah anak-anak. Baitul muslim mereka telah menjadi kubu-kubu
yang mempertahankan fikrah Islam daripada dicerobohi oleh anasir asing yang
tidak cocok dengan Islam. Alangkah pentingnya baitul muslim antara dua orang Islam
yang faham didirikan dengan spirit ini. Namun bukanlah di sini untuk kita
bincangkan dengan lebih detail.
Selain
daripada anasir luar yang mempengaruhi pemikiran seorang manusia, kejadian jiwa
manusia itu sendiri terdedah kepada tarikan fujur dan taqwa. Pertembungan
antara haq dan bathil ini telah bermula sejak awal lagi. Dari sini terbentuklah
manusia yang menjadikan misi di dunia secara pelbagai. Tasawur atau
worldview mereka terhadap dunia bercelaru, menjadikan al-hawa dan ra'yu
(pandangan aqal) mereka semata-mata sebagai sumber pandangan dan berhukum.
Pemesongan
yang paling besar ialah berkenaan tujuan hidup di dunia ini. Allah SWT mencipta
manusia dengan ditaklifkan ke atas mereka untuk tujuan-tujuan tertentu namun
mereka-mereka ini pula menjalani kehidupan dengan tujuan yang lain.
Menurut
Hasan al-Banna,
ayat Qur'an sendiri membongkarkan beberapa tujuan hidup manusia di dunia ini
yang terpesong. Ada dalam kalangan mereka yang suka untuk melakukan kerosakan
di muka bumi ini. Firman Allah SWT;
وَإِذَا
تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ
وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ
Kemudian apabila ia pergi, berusahalah ia di bumi, untuk melakukan
bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang
ternak dan manusia) sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
-Surah Al-Baqarah, Ayat 205
Kita tidak
dapat memahami bagaimana dalam kalangan manusia boleh wujud peribadi-peribadi
yang sukakan kerosakan dan kehancuran. Mereka mempromosi pembunuhan dan
pembantaian jiwa manusia. Mereka mengebom tempat-tempat yang mereka ingin jajah
dan tawan. Mereka mencabul perempuan-perempuan, membunuh anak-anak kecil dan
orang-orang tua yang tidak berdaya.
Namun apa
yang diberi gambaran oleh al-Qur’an ini benar-benar berlaku di alam realiti
hari ini, tidak perlu kita meragui ayat ini. Pemimpin barat di dunia sedang
menjadi watak-watak yang membenarkan ayat Allah ini.
Kezaliman
dan kesombongan ini tidak dapat dibendung dan disekat dengan kata-kata.
Hati-hati mereka yang telah buta dan tertutup dari pintu hidayat menyebabkan
perjanjian damai, nasihat dan teguran bahkan kecaman terbuka tidak akan
membuahkan hasil. Fenomena ini juga dikhabarkan langsung oleh al-Qur’an. Firman
Allah SWT;
وَإِذَا
قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتۡهُ ٱلۡعِزَّةُ بِٱلۡإِثۡمِۚ فَحَسۡبُهُۥ جَهَنَّمُۖ
وَلَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ
Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada
Allah" timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya
itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya
itu adalah seburuk-buruk tempat tinggal.
-Surah Al-Baqarah, Ayat 206
Pertembungan
antara kem al-haq dan kebatilan ini merupakan sunnatullah yang akan berlangsung
sehingga hari kiamat. Perjalanan kedua-dua kem ini berlegar dalam ruang lingkup
sunnah at-tadafu’ iaitu tolak-menolak, pertarungan dan pertahanan sesama
manusia untuk mengimbangi kejahatan dan kebaikan sebagaimana yang ditadbir oleh
Allah SWT.
Bersangkutan
rahsia alam ini, Allah SWT berfirman;
وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ
وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ
Dan kalaulah Allah
tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya
yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan
tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.
-Surah Al-Baqarah,
Ayat 251
Mereka yang
berada di pasukan musuh Islam tidak akan senang duduk melihat panji-panji Islam
marak. Mereka tidak mahu tunduk pada world order yang diatur berpandukan
wahyu. Syaitan dan Iblis adalah rujukan dan mahaguru mereka. Oleh itu, siri
pertarungan antara kedua kelompok ini berlaku dan berlarutan merentasi zaman,
sempadan geografi dan menggunakan pelbagai pendekatan.
Salah satu
pendekatan yang kita perkirakan berjaya menjadi kunci kebangkitan musuh-musuh Islam
yang sering dinisbahkan sebagai ‘barat’
di celah-celah kebangkratan umat Islam ialah dengan menggunakan
serangan-serangan pemikiran atau dalam istilah Arabnya, al-ghazwu al-fikri.
Di sini,
dalam buku ini kita akan mengupas dengan lanjut dan terperinci, apakah itu
serangan pemikiran, sejarahnya, bagaimana ia berlaku, tahapan-tahapan,
kesan-kesan dan hal-hal yang berkaitan dengannya.
Pertarungan
yang sengit dan lama ini sudah pasti tidak mampu dimuatkan dalam satu penulisan
dan tidak mampu dihimpun oleh satu otak dan beberapa jemari si penulis. Di sini
kita akan melihat perkara ini berkacamatakan al-Qur’an, mengambil pedoman dan
panduan asas daripada ayat-ayat al-Qur’an dan cuba menyinggung dengan lebih
mendalam apabila perlu di sini dan di sana.
***
Untuk tempahan buku Ghazwul Fikri yang akan diluncurkan ini, hubungi;
http://bit.ly/2LXWViO