Ibu Nabi Musa as merupakan salah seorang daripada
sekurang-kurangnya empat wanita yang memainkan peranan penting dalam sejarah
hidup dan sejarah dakwah nabi Musa yang direkodkan oleh al-Qur’an. Allah swt ingin mengangkat dan memuliakan kedudukan
kaum ibu, kaum wanita ini dengan
menjadikan kisah dan sejarah perjuangan nabi Musa disokong dan didokong oleh
tangan-tangan para wanita. Bak kata orang lama, tangan yang mengayun
buaian, siapa sangka akan menggoncangkan dunia.
Babak yang menyaksikan peranan yang dimainkan oleh
Ibu Nabi Musa disingkapi oleh al-Qur’an ketika Baginda masih kecil dan menjadi
buruan firaun.
Kezaliman Firaun memuncak apabila dia mengumumkan
dengan terang lagi jelas bahawa setiap anak lelaki yang dilahirkan dari
keluarga Bani Israel akan dibunuh, kerana dikhuatiri akan membesar dan
menggugat kedudukannya. Ditakdirkan oleh Allah swt, zuriat yang lahir dari
rahim sang ibu ini adalah Musa. Allah swt ternyata mempunyai perancangan
tertentu. Diilhamkan kepada ibu Musa sebagaimana dalam firman-Nya;
وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّ مُوسَىٰ
أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي
وَلَا تَحْزَنِي ۖ إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ
Dan Kami ilhamkan kepada ibu
Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya
mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan)
lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula
berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan
melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.
Ibu Nabi Musa dalam keadaan yang penuh cemas dan
gawat ini tidak mempunyai pilihan lain selain mendengar pada ilham yang datang
itu. Tidak keterlaluan jika dikatakan, barangkali menghanyutkan Nabi Musa as ke
dalam sungai merupakan perbuatan paling bersejarah dalam hidup Ibu Nabi Musa. Sekali
renungan, soalan pertama yang patut kita ajukan, bukankah itu merupakan satu
tindakan yang tidak waras? Seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan dilepaskan
ke dalam sungai? Apakah yang berlaku kepada bayi itu ? Mungkinkah ia akan
lemas? Mungkinkah juga haiwan air yang buas akan menyambar dan menelannya
hidup-hidup?
Jika direnungkan sekali lagi, soalan kedua pula
muncul. Bagaimana mungkin dia, Sang Ibu hanya bergantung kepada ilham yang datang padanya
itu? Adakah ia benar-benar ilham dari Tuhan Pemilik Alam atau sekadar bisikan hati,
godaan syaitan atau akal yang sudah hilang waras? Bukankah besar kemungkinan
bisikan itu hanya prasangka-prasangka manusiawi lebih-lebih lagi yang sering datang
memenuhi ruang fikir kaum Wanita?
Sudah pasti persoalan-persoalan dan
pertanyaan-pertanyaan ini sebelum menerjah masuk ke dalam kamar fikir kita,
telah pun terlebih dahulu menghantui jiwa dan fikiran Ibu Nabi Musa as. Jika
kita meletakkan diri kita pada posisi Ibu Nabi Musa, sudah tentu tidak pernah
dibayangkan yang beliau bertindak seolah-olah tidak menyayangi anaknya itu. Masakan
tidak, setelah berbulan-bulan
mengandungkannya, ke hulu ke hilir membawa bayi dalam kandungan dengan penuh mesra,
cinta dan kehangatan, siapa sangka kekasih yang dirindui dan dinantikan
kelahirannya itu kini menjadi mimpi buruk buat sang ibu.
Namun beliau (Ibu Nabi Musa) perlu bertindak,
mengambil satu keputusan. Dia tidak mempunyai pilihan melainkan mengikut sahaja
bisikan yang entah betul entah tidak itu. Alhamdulillah, firasat sang Ibu yang
penuh iman itu tepat. Dia telah dipilih oleh Allah swt dan mendapat taufiq dari
Allah. Hebatnya Sang Ibu ini kerana bukan sahaja dari kantung peranakannya
lahir satu zuriat yang disebut-sebut al-Qur’an, namun bagaimana ilham-ilham
rabbani disampaikan kepadanya.
Keputusan Berasaskan Wahyu (Qur’an)
Dari sini kita belajar sesuatu yang cukup bermakna
dari Ibu Nabi Musa. Beliau telah mengajarkan para wanita, kaum ibu, mereka yang
membaca al-Qur’an dan kita semua bahawa keputusan yang diambil mengikut wahyu
Allah swt insya Allah bukan keputusan yang sia-sia. Asalkan sahaja ia diambil
dengan kekuatan iman yang dahsyat dan bergantung kepada Allah swt semata-mata.
bersambung.....
-doakan pena kembali tajam...
No comments:
Post a Comment