Wednesday, January 29, 2014

MASIH ADA TUHAN




(ketabahanmu Palestin, menjadi nadi keteguhan umat)

 
Pada ketika langit yang luas kau rasa sempit
Oleh tugu-tugu kemanusiaan yang merekah
Ingatlah pada Tuhan
Di situ ada pembelaan

Pada ketika merpati-merpati menjadi ababil
Oleh sumbang seruling meniup semangat hidup
Ingatlah pada Tuhan
Di situ ada kekuatan

Pada ketika matahari dan bulan gerhana bersama
Oleh wajah siang dan malam yang makin serupa
Ingatlah pada Tuhan
Di situ ada keajaiban

Pada ketika sapa angin syurga meribut gila
Oleh putaran bumi yang terhenti kaku
Ingatlah pada Tuhan
Di situ ada kesabaran

Pada ketika sekangkang tanah bertukar debu
Oleh pemuka-pemuka iblis yang berjiwa hantu
Ingatlah pada Tuhan
Di situ ada kemenangan

-PS

Monday, January 27, 2014

AUSTRALIAN OPEN






2014 Australian Open Champion


Sejak dari bangku sekolah, saya bukanlah saya seorang yang jenis bersukan, atau sportsman. Walaupun semasa di sekolah rendah, saiz badan saya kira antara yang besar jugalah berbanding dengan rakan-rakan yang lain yang lebih lambat tumbesarannya. Pokoknya saya bukanlah kanak-kanak yang membesar dengan suasana petang petang bermain bola sepak, sepak takraw, mewakili sekolah dalam mana-mana sukan mahupun olahraga.


Bahkan, saya sangat skema dan nerd. Kalau mewakili sekolah pun bukan dalam aktiviti luar bilik darjah, sebaliknya aktiviti seperti kuis, boria (err), choral speaking, pidato dan  mujur je tidak menamakan diri untuk pertandingan berbalas pantun. Fuh.

Entah kenapa.


Tapi apabila melangkah masuk ke sekolah menengah, saya mula dapati bakat bakat sukan dan olahraga yang terpendam. Saya mula bertanding dalam sukan sekolah dalam acara balapan, dan boleh tahan banyak jugalah pingat pingat plastic berwarna emas dan perak dibolot dan dibawa pulang dan kini dah dibuang.


Kemudian, saya mula bermain sukan dengan serius. Antaranya softball, tennis, badminton, bola tampar, bola baling dan segala acara sukan yang melibatkan tangan. Tetapi, tetap sampai hari ini saya belum dapati bakat yang terpendam dalam acara sukan yang banyak menggunakan kaki seperti, err, bola sepak. Pun begitu, saya memang jatuh cinta berguling guling dengan sukan softball sehingga hitam legam badan yang tidak berapa nak cerah ini, akibat latihan demi latihan di siang hari yang panas terik.

So apa pointnya ?


Sebenarnya saya nak cerita tentang keberkecimpungan (?) saya dalam sukan tenis. Sebenarnya saya tidaklah berkecimpung sangat, Cuma saya mula bermain tenis dan mengikuti perkembangan sukan ini bermula di tingkatan dua.

Pada waktu itu, saya bermula main tenis di lapangan di maktab rendah yang namanya dirahsiakan. Saya belajar membuat pukulan sendiri. Sekali sekala ditemani rakan-rakan yang memang ada background tenis.

Saya juga mula menonton perlawanan tenis yang semestinya peringkat antarabangsa kerana sukan tenis walaupun sudah berabad lamanya bertapak di bumi Malaysia, belum dapat menghasilkan pemain yang boleh bermain di pentas global. Dan sememangnya sukan tenis di peringkat asia tenggara agak suram. Paling menyerlah pun beberapa pemain dari Thailand yang boleh dikira dengan jari.


Saya juga mula membuat research tentang sukan ini. Yelah, barulah masuk bila berbual dengan rakan rakan yang turut meminati sukan ini. Pada waktu itulah saya baru tahu antara sukan yang menjanjikan pulangan yang lumayan adalah tenis. Sampai satu tahap, saya rasa kalau saya tak cemerlang akademik, boleh jadi player tenis dan kaya raya. Heh.


Kemudian saya tahu antara kejohanan kejohanan utama bagi sukan ini, atau Grand Slam tournament nya ada empat, setiap tahun. Antaranya Australian Open (Hard court), US Open (juga hard court), French Open atau lebih dikenali sebagai Roland Garros (Clay court) dan Wimbledon (Grass court). Fuh. Tak ku sangka.


Antara nama nama yang meniti di bibir penggemar sukan tenis pada waktu itu ialah semestinya Roger Federer, Rafael Nadal, Novak Djokovic, Andy Roddick, Marat Safin, Stepanik, Tsonga, dan sebagainya. Dan yang legend yang menjadi penantian ramai pastinya pertembungan Rafael Nadal yang juga raja Clay Court dan Roger Federer yang mempunyai gaya pukulan yang terendiri. Err.


------


Hari berganti hari. Minggu berganti minggu.
Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun.

Kawan kawan pun dah membesar. Ada yang dah ada anak. Umur makin bertambah. Sepupu sepapat makin ramai yang kahwen. Kami pun hidup bahagia. Heh


Baru baru ini, saya pulang ke rumah untuk cuti semester. Kali ini ada sesuatu yang aneh berlaku. Perubahan iklim yang mendadak. Cuaca sejuk yang tidaklah amat, tapi boleh tahan sejuk sehinggakan sepanjang hampir sebulan berada di rumah, kami sekeluarga langsung tidak menggunakan perkhidmatan pengdingin hawa. Mungin alam ini sedang menuju ke arah penjimatan penggunaan elektrik ekoran tariff electric baharu yang meningkat.


Dan takdirnya, kepulangan saya ke rumah kali ini bertepatan dengan kejohanan tenis terbuka Australia, The First Grand Slam of the year. Saya takdelah mengikuti keseluruhan kejohanan seperti tahun tahun yang dahulu melainkan saya tengok juga perlawanan final.

Menariknya kali ini, yang berentap adalah Rafael Nadal menentang Stanislass Wawrinka, satu nama yang sangat asing. Ini sama ada dia memang player baharu atau saya yang sudah tidak lagi keep updated.

Dan lebih menarik, Wawrinka yang tampil ke pentas akhir Grand Slam pertamanya dalam karier muncul sebagai juara. Nampaknya sudah ada barisan baharu yang mewarnai sukan tenis dunia.



Apa-apa pun, dengan dua perubahan yakni perubahan iklim dan kemunculan pemain baharu ini drives me to a conclusion, tidak ada sesuatu pun yang kekal dalam dunia ini, melainkan Allah s.w.t.




Nikmat yang kita rasai hari ini juga ada tarikh luputnya. Termasuklah nyawa kita. Maka inilah perkongsian serba sedikit setelah beberapa hari saya tidak menulis ekoran access internet yang mengecewakan.


Mungkin anda rasa entah apa apa entry ini. Err .

Friday, January 24, 2014

JENDELA SUBUH






Subuh itu qalbuku sesak
Seakan sukar menghirup nafas
Denyutnya menekan jauh ke dalam
Aku rindu sebenarnya kepada Pencipta Alam


Daun pintu beringkai merah itu
Aku selak separuh sekudrat ada
Mengintai jauh ke kaki langit
Fajar sudah datang bertanya khabar


Sepenuh rongga sehabis tenaga
Dipaksa disedut sebuah nikmat
Agar bisa dada ini berombak lagi
Sekelian hari mencari erti dan makna


Cahaya mentari di ufuk timur itu
Celahnya, ada lambaian harapan
Meski alam tidak lagi sunyi
Seperti seabad yang lalu

Jauh, terlalu jauh bahkan
Harapan usai fajar menyising
Menerbangkan khayalan ke pergunungan
Sehingga ia tidak tahu jalan pulang

Kita ini tetamu senja padahal
Banyak sungguh angan angan
Sehingga terlerai satu persatu amanah
Yang tinggal perca perca murah

Mujur, qalbu yang sesak tadi
Menyentak sekokong jasad dari lamunan
Agar bangkit dari mimpi yang tiada noktah
Kerana akan tiba, waktunya pulang

Thursday, January 23, 2014

BUAT SI PENGGALI KUBUR






Warkah ini aku karang dengan sekelumit harapan
Agar sosok tubuh yang dituju ambil tahu lalu mengerti
Jangan, jangan dibuang wahai tuan, surat ini ke dalam longkang
Lalu mengalir bersama air sisa, ke tempat yang hina.

Meski aku sudah tidak lagi mampu bersuara,
Lidah yang tidak bertulang akhirnya membungkam
Apatah lagi kudrat untuk menggegam tangan langsung tiada
Namun dengarlah seketika, sebelum dihantarku ke liang lahad

Dengarlah wahai tuan,

Pintaku ini mustahil dipenuhi
Tapi luaskan bilik gelap itu dengan hayunan cangkulmu
Agar ada ruang untuk aku membolak balik ke kiri dan ke kanan
Agar kedua dindingnya tidak mempertemukan tulang rusukku

Ah, kau sudahpun mencemuh

Dengar dahulu,

Tubuhku ku ni sudah layu lusuh
Tulang belulang ku, sudah rapuh, tunggu masa mereput
Kulitku yang usang ini hampir saja tanggal digosok ganas
Maka lembutkan saja langkah tindakmu,
Jangan kau bertindak keras dengan cangkulmu itu


Nanti dahulu

Perlahankan hayunan mu itu,
Campak perlahan lahan gumpalan tanah liat yang engkau siapkan itu
Senyumlah padaku agar aku bisa pergi dengan tenang
Jangan ditutup hidungmu, meski jasadku makin membusuk bahkan bernanah
Aku tahu kau bahkan banyak urusan
Tapi hormati daku sebentar, kerna kelak kepalaku akan dipijak pijak

Langsung tiada belas kasihan

Terima kasih wahai tuan,

Yang terakhirnya,
 
Khabarkan kepada kerabat ku yang menangis itu
Tugas mu sudah sempurna
Pacakkanlah sebatang kemboja buat harum meski mustahil untuk aku rasa
Agar juga ia bertasbih kepada Tuhan kita

Aku sudah pergi wahai si penggali kubur,
Jasamu akan kukenang
Sampai masa, kau pun menyusul meninggalkan cangkulmu
Seperti aku tinggalkan bijana bijana aku
 
Maka ambilah pelajaran
 
Kerana ajalmu mendekat

Saat ke saat !

Monday, January 20, 2014

SUARA DARI SEJADAH




Ya, aku memang mahal harganya
Namun, siapa sangka kau mampu
Sulaman halusku menarik hatimu
Kali pertama kita bertemu, hidupku bercahaya
Khidmatku bermula

Alangkah,

Indah harapan dari rupa
Mulanya memang bahagia,
Aku peneman di saat kau berduka
Rakan karib di bawah cahaya rembulan

Malangya hari hari itu sudah berlalu pergi
Bukan aku tidak suka dilipat cermat
Dsimpan kemas bersama yang lain
Dalam almari putih itu,  di tingkat yang paling luhur
Bukan aku tidak suka,
 
Tapi aku lebih suka, saat aku diguna guna
Saat dahi mu bertempel di badanku,
Saat air matamu gugur di mukaku,
Justeru saat itu, aku lebih bahagia

Malangnya hari hari itu sudah berlalu pergi
Bukan aku tidak suka dijaga dimanja
Disidai di amapaian yang utuh
Di bawah mentari siang , menghabisi riwayat sang kuman
Bukan aku tidak suka,
 
Tapi aku lebih suka tatkala hanya kita berdua
Di sepertiga malam yang sunyi
Saat kau lantunkan doa doa, buat umat sejagat
Saat kau merintih dengan suaramu yang mendatar
Aku lebih suka bahkan rindu saat itu

Malangnya hari hari itu sudah berlalu pergi
Bukan aku tidak suka dijaga rapi
Di setiap hujung tahun, dibasuh mandi
Dengan sebuku sabun yang harum tidak terperi
Lalu dibentang di hadapan sekelian tetamu
Hanya bila ada majlis tertentu buat tunjuk megah
Bukan aku tidak suka,
 

Tapi aku lebih suka kedua tapak kakimu menginjakku
Kedua belah tanganmu bertongkat menerkam tubuhku
Aku lebih suka diperlaku begitu
Juga saat dihiburkan dengan bacaanmu yang tartil
Menggigil suaramu menyebut nama Tuhanmu


Malangnya hari hari itu sudah berlalu pergi

Kini aku dipersetankan

Bilakah lagi kau mahu gunakan aku ?

Atau harus ku tunggu tamatnya riwayatmu ?