Wednesday, October 29, 2014

MURABBI





Nabi Ibrahim a.s sebagaimana kita kenal, seorang nabi yang berwawasan jauh, telah mengajarkan kepada kita betapa tingginya nilai sosok bergelar Rasul, tatkala baginda berdoa kepada Allah swt;


“Ya Tuhan kami, utuskanlah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah serta menyucikan mereka”

(Al Baqarah :129)


Begitu Nabi Ibrahim a.s memahami akan peri pentingnya untuk keturunan beliau sentiasa dipandu oleh seorang Rasul, dan begitulah signifikannya doa ini sehingga Allah swt ‘sudi’ untuk mengabadikannya dalam kitab al QuranNya ini.


Lebih menakjubkan daripada itu, bagaimana response daripada Sang Khaliq, tatkala Dia berbicara tentang pengutusan seorang Rasul, Allah swt mulakan dengan frasa yang cukup indah dan mahal;


“Dan agar Aku sempurnakan nikmatKu ke atasmu dan supaya kamu mendapat petunjuk.”


Disusuli dengan ayat berikutnya yang membuatkan kita makin takjub;


“Sebagaimana Kami telah mengutuskan kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu al kitab dan al hikmah serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui”

(Al Baqarah :151)


Subhanallah!

Basah sungguh ayat ini. Rupa-rupanya, pengutusan seorang Rasul dari kalangan kita itu merupakan kesempurnaan nikmat. Rupa-rupanya mereka yang tidak mendapatkan seorang utusan untuk diikuti dan diteladani, meskipun hidup bertimbunkan permata dan wang ringgit belum mencapai tahap kesempurnaan nikmat di dunia apatah lagi di akhirat yang kekal itu. Maka beruntunglah kalian yang mengikuti para Rasul.


Yang membuatkan atau patut membuatkan kita cemburu ialah bahawa Rasul yang diutus sebenarnya adalah satu sosok yang dipilih sebagai medium untuk memakbulkan doa Nabi Ibrahim as. Dan kita cemburu dengan sosok itu kerana seorang utusan itu diutuskan untuk menyempurnakan nikmat dari Allah swt kepada para hambaNya. Beruntunglah para Rasul!


Cuma, setelah kita merenungkan hal ini sedalam-dalamnya, kita tertanya-tanya kehairanan, para Rasul sudah tiada hari ini. Sudah diangkat atau ditamatkan riwayat mereka melainkan Nabi Isa a.s yang kita menantikan kemunculannya. Maka apakah wajar lagi ayat ini kita baca? Lebih lebih lagi apabila kita renungi frasa ‘dari kalangan kamu’, apakah mesej yang cuba Allah swt sampaikan sebenarnya?


Kita juga tertanya-tanya, jika pemilihan seorang rasul atau satu utusan sudah berakhir, kenikmatan menjadi utusan berhenti di detik wafatnya Rasul terakhir Muhammad saw, maka sungguh ayat ini membuatkan kita kecewa tidak berkesudahan. Seolah-olahnya peluang untuk menjadi si utusan, peluang untuk menjadi medium dimakbulkan doa dan peluang untuk menjadi jalan kesempurnaan nikmat kepada umat manusia sudah tertutup.


Kemudian, kita kembali merenungi hal hal yang berbangkit ini.


Sebenarnya kita mula terfikir, apakah yang Nabi Ibrahim a.s harapkan daripada doanya yang lejen ini? Kita dapati baginda bukan mengharapkan diutus seorang lelaki yang kemudian diberi watikah pelantikan seorang Rasul dengan turunnya wahyu kepada dia, akan tetapi yang menjadi fokusnya ialah tugas dan kefungsian seorang Rasul itu, untuk menyelamatkan anak keturunannya.


Kita juga faham, apalah sangat kesempurnaan nikmat jika sekadar ada seorang lelaki yang mempunyai title Rasul pada namanya dalam kalangan kita. Maka kita fahami bahawa yang jalan  penyempurnaan nikmat itu adalah melalui seorang utusan yang melakukan kerja kerja yang diperincikan dalam ayat ayat yang kita baca tadi. Kerasulan sebenarnya bukan pada kata nama, tetapi kata kerja.


Tidak hairanlah, ayat ayat ini diperincikan, seorang Rasul, dari kalangan kamu, yang melakukan tiga perkara utama;


Membacakan ayat ayatNya
Menyucikan
Mengajarkan kitab dan hikmah


Saudaraku,


Tidak dapat disangkal lagi, kita semua beriman bahawa pengutusan Rasul beserta wahyu telah pun tamat. Bahawa Rasulullah saw, junjungan besar kita merupakan Rasul terakhir, dan tidak ada lagi Rasul setelah baginda saw. Kita juga beriman bahawa wahyu telah sempurna, pena telah diangkat dan lembaran telah pun kering.


Tetapi kita juga meyakini bahawa tugas tugas kerasulan masih belum tamat dengan tamatnya riwayat Rasulullah saw. Kita yakin bahawa doa Nabi Ibrahim tidak terhenti di situ. Kita yakin, anugerah kesempurnaan nikmat masih terbuka luas untuk kita dan generasi generasi mendatang. Dan apa yang membuatkan kita lebih yakin, dalam kalangan kita sebenanrnya masih ada hamba-hamba Allah yang Allah bangkitkan dan pilih untuk meneruskan legasi kerasulan ini, melakukan tiga kerja utama yang kita nyatakan tadi.


Dan sosok itu hari ini kita gelar mereka sebagai seorang Murabbi.


Alangkah mulianya sebenarnya kerja kerja seorang murabbi itu. Alangkah mulianya mereka yang sanggup mengambil cabaran dan menggalas amanah ini, untuk melakukan saki baki perjuangan yang masih berterusan ini. Kerana mereka sedang menamakan diri mereka untuk dijadikan sebagai satu jalan daripda jalan jalan pengabulan doa Ibrahim a.s dan jalan jalan penyempurnaan nikmat ke atas umah ini.


Tetapi,

Siapakah yang sanggup sebenarnya?


Tidak ramai yang sanggup kerana titik rujukan yang Allah hadirkan kepada kita terlalu agung iaitu Rasulullah saw sendiri sebagai benchmark layaknya karakter seorang murabbi. Susah benar. Tetapi susah itu berbaloi. Susah itu berbaloi.

Mengetahui hakikat ini, mengajarkan kita dua perkara,


Pertamanya hargailah kehadiran sosok yang bergelar murabbi itu. Meskipun banyak kekurangan dan kelemahannya, dia adalah antara sedikit sekali orang yang berani untuk menyelamatkan umah ini. Datangnya dari jauh semata-mata untuk menyantuni kita. Tiada pertalian darah tetapi menatang kita lebih daripada ahli keluarga kandungnya. Tiada gaji dibayar untuk urusan itu bahkan dia tidak mengharapkan apa apa meskipun ucapan terima kasih. Kerana seorang murabbi itu semata-mata mengharapkan imbalan daripada Allah swt.


Dan lebih daripada itu, dia sangat berkeinginan agar kita ini selamat daripada azab Allah Azza Wajal yang sungguh dahsyat tidak tergambar itu. Cukuplah kita simpulkan perasaan seorang murabbi itu, kasih dan cintanya kepada mutarabbinya dengan sepotong ayat Quran;


“Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang orang mukmin”

(At Taubah :128)


Subhanallah!  
Kata-kata siapakah yang lebih benar daripada firman Allah swt ini?!


Maka bercucurlah air mata mereka yang mengenangkan sosok Nabi Muhammad saw yang begitu banyak berkorban untuk kita. Dan bercucurlah air mata mereka yang akhirnya baru merasai bahawa kehadiran sosok seorang murabbi benar benar merupakan kesempurnaan nikmat untuknya.


Selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah saw
Dan semoga Allah swt merahmati para murabbi dan membalas jasa kalian dengan setimpalnya bahkan lebih daripada apa yang kalian korbankan!


Yang keduanya, setelah kita meneliti abjad demi abjad sehingga ke detik dan perkataan ini, kita dapati kita tidak lagi mampu beralasan untuk tidak menjadi seorang murabbi. Jika belum, maka malam ini kita tidak mampu tidur lena sebagaimana selalunya. Jika kita sedang membina karakter kemurabbian dalam diri kita, maka kita tidak sanggup untuk berlengah lengah lagi.


Cukuplah di sini.

Permudahkanlah urusan kami ya Allah

Monday, October 27, 2014

SENTUHAN AL AKH #28




“Lepas ta’aruf yang panjang tadi, boleh ana simpulkan, bahawa kami berdua kongsi satu cita-cita atau matlamat yang sama, iaitu kami nak ubah dunia. Jika tidak bersama tarbiyah, kami mungkin tiada di sini hari ini, dan kami mungkin dah jadi MPP dekat university sebab nak buat perubahan…”




-----


Itulah secara khulasahnya, mutiara mutiara berharga yang kami dapati daripada seorang al akh pada petang itu. Sepotong kata-kata yang pasti ada sambungannya, yang mengembalikan izzah kami dengan cara ini, dengan cara yang kami sama-sama imani.


Petang itu, kami ada rehlah masyi. Rehlah ini maksud dia mengembara, atau berjalan, masyi pula jalan kaki, jadi boleh dikatakan rehlah masyi yang cuba aku ceritakan ini, mengembara dengan berjalan kaki. Tetapi tidaklah petang itu kami berjalan merentas benua, sekadar mengisi satu slot riadah petang di satu hujung minggu yang aman.


Bagaimana ia berlaku?

Kami dipasang-pasangkan secara random atau mungkin berhadaf (objektif) yang mana kami pun tidak pasti, kemudian setiap pasangan akan dilepaskan dari titik tolak untuk berjalan ke satu destinasi yang telah ditetapkan. Dimulai dengan pasangan pertama, kemudian selang beberapa minit diikuti pasangan seterusnya dan seterusnya.


Sepanjang masyi, berjalan ke destinasi, peserta diminta berta’aruf dengan pasangan masing-masing, bukan sekadar ta’aruf biasa, tetapi tanya sahaja soalan-soalan yang berkaitan dengan tarbiyah dan dakwah, medan amal, mutabaah amal, pengalaman-pengalaman tarbiyah dan tips tips yang boleh dimanfaatkan, dengan harapan semoga setiap peserta mengenali pasangan al akhnya dengan lebih dekat.


Lalu sesi itu pun bemula. Satu demi satu pasangan ikhwah dilepaskan dan berjalan ke destinasi itu. Satu demi satu.


Aku ? Aku pula ditakdirkan bergandingan dengan, ah biarlah rahsia.


Apa apa pun, banyak masukan dan dapatan yang kami perolehi sepanjang sesi berjalan pada petang itu. Kami dapati dari akh itu dan ini perkembangan terkini, mushkilah yang dihadapi dan nasihat nasihat yang sungguh bermanfaat untuk kami sama-sama terus meniti jalan ini. Sehinggalah akhirnya kedua telapak kaki kami menginjak destinasi yang dituju.


Penganjur memberikan sedikit masa untuk kami habiskan ayat ayat terakhir. Kami akhirnya dikumpulkan untuk sesi resolusi.

Akhi penganjur meminta mana mana pasangan untuk tampil ke depan dan menceritakan perihal pasangan masing-masing, hasil ta’aruf sambil berjalan sebentar tadi. Seperti biasa, semuanya isthar sehinggalah seorang akh tampil menawarkan diri untuk berkongsi lantas disusuli al akh yang menjadi gandingannya.


Lalu akh itu memulakan bicaranya. Memperkenalkan al akh yang dipasangkan, asal usul, sedikit latar belakang fardi dan da’wi dan hal hal berbangkit yang lain. Sesi perkongsian bertukar giliran, tibalah pula yang diperkenalkan menjalankan mas’uliyyahnya.


“Banyak yang kami kongsikan tadi. Tak tahu nak cerita mana satu. So cerita sedikit la kot, untuk manfaat semua, antara yang menarik, kami saling tanya, kenapa bersama tarbiyah?”


Begitulah dia memulakan bicaranya. Sekali lagi soalan kenapa bersama tarbiyah dibawakan. Benar benar untuk aku dan kalian hadam, andai kita turut memikirkannya.


“Lepas ta’aruf yang panjang tadi, boleh ana simpulkan, bahawa kami berdua kongsi satu cita-cita atau matlamat yang sama, iaitu kami nak ubah dunia. Jika tidak bersama tarbiyah, kami mungkin tiada di sini hari ini, dan kami mungkin dah jadi MPP dekat university sebab nak buat perubahan…”


Teruja. Lalu akh itu meneruskan bait bait kata-katanya;


“Dulu kita ingat nak buat perubahan kena masuk persatuan tu persatauan ini. Jadi ahli Badan Dakwah dan Kerohanian kolej. Atau jadi calon perwakilan mahasiswa dan macam-macam lagi. Tapi bila bersama tarbiyah, kita yakin inilah jalannya. Bila bersama tarbiyah, benda lain nampak kecil. Majlis perwakilan? Small matter. Terlalu kecil nak dibandingkan dengan cita cita tarbiyah ini. Padahal kalau jadi ahli tu, ahli ini, tak banyak pun perubahan boleh buat, sibuk dengan meeting dan paperwork je. Hehe.”


Menyedarkan.


Begitulah izzahnya akh itu dengan jalan tarbiyah. Betapa dia menikmati penghormatan yang diterima saat dia menggabungkan diri dengan gerabak tarbiyah. Dia lantas tidak terjerumus dalam penghormatan penghormatan kecil yang diberikan oleh manusia kepada manusia yang lain, kerana bersama tarbiyah, ia satu penghormatan dari langit. Ia mengangkat darjat manusia ke tingkatan yang tinggi, meluhurkan.


Cukuplah akhi dengan perkongsian itu untuk mengembalikan hamassah kami yang mendengar. Sebenarnya yang kita perlukan adalah izzah akan jalan ini. Sebagaimana ulas sheikh Ahmad Rashid,


“Buah pertama yang dirasai oleh seorang mukmin dari izzah imannya ialah; beliau faham adanya kekuatan al-haqiqah dalam Islam ini yang membolehkannya mampu diiklankan walaupun oleh hanya seorang manusia sahaja.”


Semoga dengan izzahnya kita terhadap tabiyah yang dikembalikan ini membuatkan kita faham adanya kekuatan al haqiqah dalam jalan ini yang membolehkan kita mampu untuk mengiklankannya walaupun kita seorang sahaja yang berpegang padanya.


Kerana hakikatnya, memang dakwah ini bermula dengan seorang.

Sekadar itu sahaja yang kami dapat bawakan untuk kalian, sentuhan sentuhan al akh yang menghidupkan sepanjang sepetang bersama ikhwah. Adapun begitu, di satu suatu sela waktu yang lain, di penghujung satu sesi halaqah, kami meminta seorang adik mutarabbi memimpin bacaan doa sebelum bersurai.


Bait-bait doa yang indah yang dituturkannya menyebabkan kami larut dalam kenikmatan jalan ini. Sungguh! Antara ayat yang paling dekat dan menyebabkan kami tersentuh tatkala dia melafazkan,


“Ya Allah, islahlah syabab Islam, ya Allah islahlah syabab Islam, ya Allah islahlah syabab islam”


Sudah pasti doa itu dibacakan dalam bahasa Arab. Satu pengharapan yang sangat tinggi, daripada seorang yang baru sahaja bersama halaqah, dengan harapan mudah mudahan Allah swt memperbaiki keadaan ummat ini dengan memperbaiki, mengislah para pemudanya.


Moga dikau wahai akhi, pemuda yang dinantikan itu!


Dua kisah yang epik pada amatan kami ini membuatkan kami menemukan satu formula baharu. Kita adalah golongan yang ingin melakukan perubahan, sebab itu aku dan kalian di sini. Kita yakin perubahan itu akan terhasil, cita cita kita itu akan tercapai dengan usaha-usaha tarbiyah dan kita mulakan dengan mengislah pemuda-pemuda islam.


Aku yakin, doa yang dipanjatkan itu sedang dimakbulkan, kerana aku sudah melihat bunga bunga kebangkitan islam. Cuma, adakah aku dan kalian bangkit bersama arus perubahan itu ? Arus baharu ?


Sentuhan al akh!

Friday, October 24, 2014

SENTUHAN AL AKH #27





 Err. Kerana beliau istiqomah dengan prinsipnya. Noktah.

Di satu malam yang hening, di sebuah surau yang serba lengkap di sebuah kondominium mewah yang terletak di tengah tengah kota yang sedang pesat membangun, beberapa ikhwah datang menziarahi mutarabbi masing-masing, antara sela waktu solat Maghrib dan Ishak. Suasananya aman damai, duduk duduk di bawah hembusan bayu pendingin hawa berjenama mahal aku kira, sambil salah seorangnya mendekati seorang mutarabbi yang sedang murojaah, menguatkan hafalan hafalan ayat Quran.


Kemudian akh itu didatangi seorang lagi mutarabbi yang lain yang sebentar tadi duduk di penjuru sana. Di sana ? Di mana? Ah, pedulikan sahaja posisi awalnya.


Usai duduk bersebelahan, bertanya khabar dan bertanyakan soalan-soalan formaliti yang sudah boleh dijangkakan jawapannya, adik mutarabbi menanyakan soalan yang cukup berharga pada malam itu, bahkan mungkin soalan paling signifikan yang akh itu dapatkan pada sela waktu itu, untuk dia renungkan dengan renungan yang dalam dan panjang. Sungguh panjang dan lama renungannya, seakan bumi berhenti berputar di paksinya.


“Nak tanya, macam mana nak istiqomah eh?”


Sungguhpun akh itu sudah memahami soalan itu dengan baik, dia lantas menanyakan kembali dengan satu soalan picisan untuk mengisi kekosongan yang berlegar antara dua jarak, sebuah persoalan dan jawapannya.


“Maksudnya? Istiqomah untuk apa?”

“Istiqomah untuk apa kita buat ini, untuk berdakwah..”


Engkau benar wahai akhi.

Begitulah kami dapatkan daripada seorang mutarabbi yang kurang sepurnama menghadiri konferens pertamanya, lalu dia lontarkan sebuah soalan berkisar istiqomah. Satu persoalan yang menjadi isu sejagat sekalian umat manusia apatah lagi untuk pendiri pendiri agama Allah ini.


Tidak ada manusia yang mampu berbicara dengan baik perihal istiqomah sedang dia masih hidup, selagi roh dan jasadnya masih menyatu kerana kualiti istiqomah paling agung hanya dapat dibuktikan tatkala aku dan kalian, saat kita mati dan diarak ke perkuburan, kita mati atas jalan juang ini. Nah, siapakah yang dapat meyakini hal itu?


Namun begitu, jawapan mesti diberikan, demi menjawab sebuah pertanyaan yang ikhlas dari akh itu. Lalu kami berbicara dengan memetik masukan masukan daripada orang terdahulu dan mendapatkan nasihat nasihat daripada al Quran dan as sunnah.


Sebelum itu, akh itu menenangkan si mutarabbi, kalau-kalau dia dilanda isu istiqomah, kerana hakikat insan memang berhadapan dengan hal ini.


“Susah nak jawab soalan itu. Sebab istiqomah ini memang isu sejagat. Semua orang berhadapan dengan masalah macam mana nak istiqomah. Amal-amal kita ada waktu turun dan naiknya. Bahkan Nabi saw pernah bersabda lebih kurang la, setiap amal tu ada syirrah dan fatrah. Syirrah tu masa menaik, dan fatrah tu masa menurun.”

Dia mendengar dengan tekun.


“Pastu nabi sambung lagi dalam hadis tu, kalau siapa berada dalam fasa fatrah, tapi masih dalam sunnahku, maka dia mendapat pertunjuk, dan kalau fatrah dia keluar dari sunnahku, maka dia telah binasa. So tak dinafikan ada masa kita futur, rasa down, masa fatrah tu la. Tapi insya Allah fatrah kita tu masih lagi kot dalam sunnah baginda kan, eheh”


“Ohh, tapi masih takde tips untuk istiqomah”


“Hmm. Betul. Tapi just nak share la, kalau kita rasa kita susah nak istiqomah, jangan terus kecewa dan terus down. In fact dalam Quran, banyak ayat Allah berbicara tentang istiqomah dan ganjarannya, maknanya ayat ayat ini turun sebagai response kepada masalah masalah istiqomah yang berlaku di zaman Nabi lagi, so jangan tension sangat la. Hehe.”

“Oh. Takdela. Just tanya, sebab kadang-kadang….”


Akh itu mematikan ayatnya dengan sekuntum senyuman.


“Ada seorang sheikh ni, dia pernah kongsi dalam satu buku dia, dia kata al fatrah ba’da mujahadah, min fasad al ibtida’. Makananya lebih kurang, futur yang kita duk sebut tadi tu, selepas mujahadah adalah disebabkan kersoakan di permulaan”

“So macam mana permulaan yang sepatutnya?”

“Haa, so dia cerita la lagi. Permulaan karier dakwah seseorang tu kena clear dua benda. Salah satunya niat, satu lagi cita-cita, atau visi dia. Niat buat apa pun mestilah kerana Allah pastu kita kena jelas la hala tuju kita, visi dan misi kita. Ada orang dia dah ikhlas dah, tapi sebab dia tak tahu kerja dia buat tu nak menghala ke mana, end up dia lost dan gugur. Ada juga orang yang clear visi dia, tapi sebab niat tak settle pun tak jadi juga, bila dah lama nanti mula lah dia rosak akibat penyakit penyakit hati dan dunia.”


Panjang sebenarnya jika kalian mahu dapatkan full scripts diskusi mereka malam itu. Namun kami kira berbaloi untuk ditulis dan dikongsi, untuk sama-sama kita teladani.


“Macam tu la lebih kurang. Tapi still tak praktikal sangat jawapan dia. Tajdid niat dan kena fahamkan betol betol kenapa kita buat benda ni dan kena clear halatuju kita.”

“Ok kot..menjawab soalan”

“Ataupun cuba kita tengok apa kata al Quran. Cuba tengok surah Hud ayat 112 dan beberapa ayat seterusnya. Allah mulakan dengan menyuruh Nabi saw untuk istiqomah. Kemudian Allah gariskan beberapa tips untuk istiqomah yang agak praktikal la untuk kita belajar”


Sesi itu berlangsung dan berterusan. Daripada sebuah pertanyaan, mereka sama-sama mentadaburi ayat-ayat Allah. Semoga duduk duduk atau perjumapaan itu adalah salah satu perjumpaan yang disabdakan oleh Sang Rasul sebagai perjumpaan yang disukai oleh Allah sehingga Dia menurunkan sakinah buat mereka.


“Sebenarnya, kalau nak cakap tips, semua orang boleh bagi kan. Antaranya kena la jaga hubungan dengan Allah, selalu bersama-sama dengan orang orang yang ok, baca Quran, banyakkan berdoa dan banyak lagi. After all, nak istiqomah ini terpulang kepada kita, kita yang pilih… huhu. Ok ke?”



Di abad ini, fuh, bukan senang sebenarnya nak menjadi seorang pemuda yang istiqomah dengan prinsip agamanya, apatah lagi yang berazam untuk buat kerja dakwah semua ini. Kalian dan aku, kita berhadapan dengan segolongan manusia yang sangat ramai yang tidak buat apa yang kita ingin lakukan. Siulan siulan duniawi cukup menarik hati. Pasti, ada pertarungan yang sangat sengit dalam jiwa seorang pemuda itu, antara memilih jalan istiqomah atau mundur bersama majoriti manusia.


Pengajaran besar pada malam itu tentang pemuda dan istiqomah, kami makin faham akhi agaknya kenapa dalam hadis tujuh golongan hamba yang dinaungi Allah swt di hari yang tiada naungan melainkan naunganNya banyak berkisar tentang pemuda kerana memang di saat melewati usia kepermudaan ini, di hadapan kita terbentang luas jalan kefasadan.


“Insya Allah ok, cuma tetibe rasa lagi berat..”

“Errr… ni cakap je lebih sebenarnya ni. Kualiti istiqomah tu pun takde pada dirini, sebab tu la kita kena sama-sama baiki diri dan baiki kawan-kawan yang lain. Nak betol-betol praktikal istiqomah, kena la rajin-rajinkan diri datang halaqah, pergi program tarbiyah dan buat kerja lasso..”


Sempat lagi akh itu promote.
Ikhwah.


“Nanti boleh la hafal ayat tu, fastaqim kama umirta.. best kan?”

“Insya Allah”



Untukmu kader dakwah.
Sentuhan al akh !

Wednesday, October 22, 2014

SENTUHAN AL AKH #26






Dalam satu sesi perjumpaan bersama ikhwah tatkala akh itu sedang dalam liburan, bercuti lalu pulang ke kampung halaman buat sekelian kalinya, dia dapati banyak juga muka muka baharu yang mula bersama gerabak tarbiyah dan dakwah yang asing ini. Ini sesuatu yang memberangsangkan! Maknanya tajmi’ berlaku dengan baik dan progresif di sekelian tempat.


Begitulah sepertimana yang pernah diluahkan oleh seorang akh ini suatu ketika dahulu,

“Dakwah ini akan mendapat tempat di hati para pemuda”


Benarlah, makin lama makin ramai. Berkembang dan berkembang. Cumanya, ada juga di sesetengah tempat, walaupun sudah lama bertapak, walau pernah suatu ketika dahulu subur dengan penggerak yang lincah, namun kini makin sepi. Entah mengapa!

Tetapi di sesi yang lain akh yang satu ini pernah khabarkan juga,

“Kat mana-mana pun ada tajmi’ akhi, ramai boleh dan suka buat tajmi’, tapi bila taqwin semua lari. Itulah masalah kita”

No comments.

Berbalik kepada sesi perjumpaan pada petang yang nyaman itu, rata-rata yang hadir juga adalah dari institusi pengajian tinggi yang lain, yang juga sedang liburan, persis akh itu. Maka mereka memulai  perjumpaan itu dengan sesi suai kenal, atau dalam bahasa orang tarbiyahnya, ta’aruf.


Lalu seorang akh yang lebih ‘senior’ dalam kalangan semua memulakan bicara. Seperti biasa, apabila masuk bab ta’aruf, pasti ada yang memetik untuk berkongsi ayat ta’aruf dari al Quran, surah al Hujurat ayat 13. Dibacanya ayat itu dan diterjemah secara harfiyah dan ditaddaburi dengan mengambil contoh contoh praktikal. Basah!


“Kalau tengok kita semua hari ini, masing masing dari latar keluarga berbeza, belajar tempat lain-lain, ada yang dari bandar, ada dari desa dan kampung. Rupa-rupanya Allah cipta kita ini dari pelbagai latar belakang, supaya kita berkenalan.”


Ditambahnya lagi,

“Dan on top of that, Allah tak tengok pun perbezaan tu. Tak kisah la belajar di ipta ke, ipts ke, results exam cemerlang ke idak, anak datuk atau anak tan sri, ayah kerja apa sekalipun, sebab yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertakwa.”


Tuntas di situ. Diulang-ulang peringatan ini. Tetapi sangat mahal sebenarnya tazkirah berkenaan taqwa ini, kerana mayoritas manusia hari ini memandang sesama yang lain dengan pandangan eksternal. Kadang-kadang kita pilih kawan atas dasar rupa paras, atau atas dasar pencapaian akademik. Bukan atas dasar taqwa. Iblis dikeluarkan daripada syurga pun kerana memandang Adam a.s. yang dicipta dengan tanah. Iblis pun melihat dari sudut luaran. Judge bukan based on taqwa.


Sesi ta’aruf dimulakan, satu demi satu.

Sehinggalah turn nya kepada seorang akh ini. Seorang akh yang mendapat didikan atau sedang melanjutkan pelajaran di luar negeri dalam bidang perubatan, tetapi masih istiqomah dan cukup merendah diri dengan status nya itu. Membuatkan kami yang hadir makin hadam dan memahami pengajaran erti menilai berdasarkan taqwa.


Dia memulakan bicaranya.  Memperkenalkan namanya. Asalnya. Menetap di mana. Perihal keluarganya dan sedikit perkongsian, yang point tertuju kepada ikhwah yang lain, terutamanya yang baru bersama gerabak ini.


Lalu satu soalan diajukan,

“Kenapa masih bersama tarbiyah?”


Retorik sungguh soalan itu. Jawapannya mudah, bukankah Allah yang memegang hati-hati kita? Bukankah Allah yang membolak balikkan hati kita? Jika hari ini kita bersama tarbiyah, tidak mustahil esok kita meniggalkannya. Tetapi itu jawapan yang diketahui umum. Sudah pasti ada kiat kiat tersembunyi yang langsung mahu diketahui oleh akh yang menanyakan soalan itu. Dan jawapan akh tadi cukup mahal dan berharga, harus direnung sedalam-dalamnya, oleh kita semua.


“Susah nak jawab soalan tu sebenarnya”

Aku pun cukup mengerti perasaan itu.

“Dulu-dulu, masa awal awal ikut usrah di kolej ni, ana macam lari lari juga la. Ana tengok budak budak usrah ini macam lifeless. Buat benda pelik pelik. Against the mainstream. Tak mingle dengan perempuan, tak pergi tengok movie, malam malam merayau dekat surau. Ana rasa pelik la”


Begitulah dia berkongsi dengan kami. Sudah tentu belum tamat di situ. Hadirin yang mendengar begitu fokus. Tertarik dengan masukan masukan yang diberikannya, seakan tepat dan dekat ciri ciri yang digambarkan dengan kami.


“Sampai la ana pernah terbaca satu ayat ini. Ana tak ingat surah berapa, dan ayat mana. Tapi gist dia lebih kurang, Allah cakap, wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan Rasul apabila diserukan kepadamu sesuatu yang memberi kehidupan”


Seakan  biasa didengar ayat ini. Lalu seorang akh yang duduk disamping beliau, mencari-cari ayat itu, menggunakan bantuan aplikasi Quran di telefon pintarnya. Ya. Seperti yang sudah dia jangkakan,surah al Anfal, ayat 24. Cukup mendalam.


“Bila terserempak ayat ini, ana macam tersentap la sekejap. Sebenarnya benda benda pelik yang kita duk buat ni, sama ada kat sini atau kat tempat belajar kita, inilah yang memberi kehidupan. Bila time weekend kita pergi daurah instead of pergi cinema, itulah seruan yang menghidupkan. Ikut usrah, bawa usrah, cari mad’u, itulah seruan yang menghidupkan. Bahkan, kalau kita pilih untuk tinggalkan semua ini, kita memilih kematian, in that sense la.”


Allah, Allah.


“Ana rasa tu la jawapan yang ana boleh bagi sebab apa masih bersama tarbiyah, insya Allah semoga kita semua juga istiqomah”


Seakan pertama kali kedengaran taddabur ayat itu. Cukup memberi kesan kepada beliau dan aku yakin, juga memberi kesan kepada yang hadir pada sesi kali itu. Inilah kehidupan yang sebenarnya. Dan kita sebenarnya tidak mahu menikmati kehidupan ini hanya bersama kenalan kita dalam bulatan kecil itu, bahkan kita mahu berkongsi nikmat dan kefahaman ini kepada lebih ramai rakan-rakan lain yang masih mencari-cari makna sebuah kehidupan di luar sana.


Terima kasih kepada akh yang menanyakan soalan itu. Dan juga terima kasih tidak terhingga kepada yang menjawabnya, dengan jawapan yang mematikan sebarang keraguan dalam hati hati kita yang masih melihat kegiatan di jalan tarbiyah dan dakwah sebagai kegiatan yang pelik dan wajar dihentikan.


Jika ditanya suatu hari nanti bahkan, mungkin aku juga akan bawakan perkongsian sekitar memahami firman Allah yang sama. Inilah yang kami dapati, di setiap sela waktu berkenalan dengan seorang al akh di jalan ini. Dan kami masih tertunggu-tunggu kemunculan lebih ramai akh yang lain, untuk kami ajukan soalan yang sama,


“Mengapa masih bersama tarbiyah?”


Sentuhan al akh.

Tidak dapat disangkal lagi !