Friday, April 17, 2015

SENTUHAN AL AKH #39



Harapan Dalam Tarbiyah

 
Setiap bulan biasanya kami akan bermabit, mengambil ruh mabit di Mina bagi jemaah haji yang mengerjakan haji di Baitullah. Namun ada yang jadikan mabit ini sebagai akronim kepada malam bina iman dan takwa. Pun boleh.

Yang dijadikan fokus pada sesi mabit ialah pembinaan ruhi ikhwah. Membaiki iman dan membersihkan hati. Bagaimana ? Dengan qiyamullail, zikir zikir yang mathur dan juga sesi tazkirah yang meniupkan semangat baharu buat mujahid dakwah.


Itulah hiburan hiburan di jalan dakwah. Mewujudkan saf dakwah yang dibarisi oleh anggota saf yang hati dan perasaan yang sentiasa terhubung dengan langit. Ketenangan dan ketundukkan ini akan membuatkan derap langkah makin mantap, segar dan bertenaga. Al akh yang tidak menjaga hubungannya dengan Allah swt, lama kelamaan akan hilang ruh untuk terus berada di lapangan. Ikhwah akan menjauhinya, mutarabbi melarikan diri, dengungan dakwahnya tidak sampai ke hati pendengar, lalu ia kecewa dan gugur.


Pun begitu, bukanlah mabit yang menjadi fokus kami kali ini. Tetapi salah satu sesi daripada mabit mabit yang berlalu yang mana seorang akh telah menyentuh kesemua yang hadir. Tidak lain tidak bukan dengan sentuhan al akh.

Sebelum sesi tazkirah, kami ditanya satu soalan, seorang demi seorang:


"Apa harapan antum daripada tarbiah?"


Bukan calang calang soalan.

Mari kami kongsikan sedikit jawapan yang diberikan pada sesi itu.

Lalu ada yang menjawab,


“Mati dalam iman”

Fuh. Jawapan yang tidak dapat dicabar lagi. Yang menjadi cita cita kita semua meskipun bukan yang bersama gerabak tarbiyah. Cita-cita yang tinggi dan mulia. Lagi, yang lain pula menjawab,

“Untuk mencapai Ustaziyatul Alam”

Subhanallah! Tinggi menggunung akhi cita-citamu itu. Engkau benar. Itu bukan cita-cita mu sendirian, kami sama-sama sokong dan dokong! Selang beberapa jeda, yang lain pula menyahut soalan itu dengan jawapan yang tidak kurang menggugah;

“Harapan saya untuk melihat kita semua merasai nikmatnya hidup di bawah naungan al Quran”

Subhanallah. Sungguh basah hatimu ya Akhi! Begitulah, dalam kalangan kita yang tidak seberapa bilangannya ini, masih ada karakter karaketr pejuang Islam persis asy syahid Qutthb yang bukan sahaja ingin melihat umat Islam hidup di bawah bayangan al Quran, bahkan telah sudi berkongsi tanggapan, perasaan dan kemanisan imannya.

Aku doakan kau terus melangkah deras menjayakan cita cita tarbiyahmu itu.
Akh yang lainnya pula berkongsi cita-citanya dengan kita;

“Ana nak tengok mutarabbi binaan ana suatu hari nanti pula jadi murabbi”


Lebih manis cita cita yang murni ini dikongsi tatkala yang menjadi harapan dan watak dalam cita-cita itu turut mendengar cita cita sang Murabbi yang begitu prihatin akan binaan mutarabbinya. Lalu mutarabbi mana tidak berkesan?! Pastilah tertelan air liur akh kita yang mendengar itu tatkala tahu benar bahawa harapan murabbi yang luhur itu sama ada bakal terealisasi atau terkubur bergantung kepada dia. Tidak mengapa, bukankah kita diajar untuk bercita cita? Sungguh, harapan yang luhur ini bakal membawa kita terbang jauh meninggalkna hal hal remeh.

Begitulah, banyak ! Terlalu banyak cita cita mahupun harapan dalam tarbiyah yang kita selami daripada ikhwah pada pagi yang bersejarah itu.

Mari kita akhiri dengan satu lagi harapan tarbiyah daripada akh kita ini;

“Erm, saya nak jadi the next Sheikh Ahmad Yassin”

Lalu harapan yang dinyatakan itu diiringi dengan lafaz takbir oleh Ikhwah yang hadir. Tidak dapat, bahkan tidak perlu kita huraikan lagi. Insya Allah, tarbiyah memungkinkan segala harapan ini, dengan syarat kau yang akhi, kita semua istiqomah menjayakan misi kita ini.
Setelah beberapa jeda waktu, medan bicara dikembalikan kuasanya kepada al akh yang ditugaskan untuk memberi tazkirah.

“Alhamdulillah, ana kagum bila dengar harapan masing-masing” Begitu al akh itu memulakan kata-katanya.

“Cuma harapan yang kita kata dan kongsi ini, kita kena usahakan. Kita tak nak jadi orang yang dirujuk oleh ayat dua surah As Saff tu, kata apa yang kita tidak buat”

Aduh.

Tidak cukup sekadar itu, akh ini menyambung lagi,

“Biasanya harapan ni, kena hidup bersama dengan kita. Ana perhati ramai yang duk fikir dahulu bila ditanya apa harapan dia. Macam tadi baru terfikir ada harapan. Harap-harap harapan kita tu bukan kita pilih sebab nak nampak gempak, nak nampak lain dari yang lain atau sebab sebab manusiawi yang lain”

Dua das tembakan, tajam tepat.

Itulah antara kata-kata yang mahal dan bermakna pada pagi itu. Mengena setiap juzuk jiwa-jiwa yang hadir pada pagi yang masih merah biasan cahaya pasca subuh di kaki langit nun sana. Kata-kata al akh yang direct, mengingatkan kita semua, bahawa kita punyai harapan dalam tarbiyah. Jika tiada kita mulakan mencarinya sekarang.

Sesi tazkirah diteruskan dengan beberapa topic yang sangat dekat dengan ikhwah disentuh, di sini dan di sana.

Ya Allah nikmatnya kami hidup dalam kalangan hamba-hambaMu yang hidup hati mereka. Mendengarkan harapan sahaja sudah cukup menggugah jiwa yang lesu dan layu. Apatah lagi setelah mendengar teguran-terguran yang hidup dan segar, bergelora iman yang malap. Harapan sentiasa ada untuk kita.

Semoga kita istiqomah menjayakan harapan masing-masing

Apa pula harapan kalian tatkala bersama tarbiyah?


Harapan harus ditanam sejak dari awal, ditanam  jauh ke depan, melihat masa hadapan. Sebagaimana Rasulullah saw sentiasa meberikan harapan dan mengajar para sahabat untuk bercita-cita.

Nah rasakan, penangan sentuhan al akh!

Thursday, April 16, 2015

WA UKHRA TUHIBBU NAHA





 “Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat tinggal yang baik dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan agung”
(As Saff :12)


Mereka yang ikhlas berjuang di jalan Allah, tidak ada yang mereka harapkan sebagai harapan yang tertinggi melainkan supaya pengorbanan dan perjuangan di dunia ini diganjari oleh Allah swt, dengan sebaik baik ganjaran. Manakah ganjaran yang lebih baik berbanding dimasukkan ke dalam syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, tetap tinggal di situ tanpa resah dan gelisah? Sungguh syurga adalah cita-cita tertinggi seorang mujahid, mujahid fi sabilillah.

Itulah kemenangan yang agung!

Adapun begitu,


Quran tidak pernah menafikan bahkan mengiktiraf ganjaran ganjaran duniawi yang disukai oleh manusai berupa hasil perjuangan yang datang dari Allah swt, penguasaan terhadap bumi ini, kemenangan dan membebaskan diri daripada penindasan penindasan oleh mereka yang zalim. Al quran sebenarnya mengajarkan kita tentang matlamat menjayakan dakwah ini di muka bumi. Mari kita renungkan ayat seterusnya dalam surah yang sama ini;



“Dan kurnia lain yang kamu cintai, pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat. Dan sampaikanlah  berita gembira kepada orang orang yang beriman”
(As Saaf:13)


Jika  ditelusuri sejenak sejarah dakwah ini, kita dapati Rasulullah saw sendiri tidak kurang kerapnya meletakkan matlamat duniawi dalam memotivasikan para sahabat baginda untuk lebih gigih bermujahadah. Contohnya peristiwa bersama Suraqah b Malik yang mana baginda menjanjikan Suraqah untuk dikurniakan gelang dari pemimpin Parsi suatu hari nanti sebagai tanda betapa yakin akan penguasaan Islam suatu hari nanti.


Selain itu, semasa peristiwa menggali parit dalam peperangan al Ahzab, Nabi saw diminta untuk memecahkan bongkah batu yang tidak mampu dileburkan oleh para sahabat. Baginda melakukannya lantas keluarlah percikan api. Pada percikan itu, baginda mendapat bayangan bahawa tentera Islam dapat menguasai beberapa kuasa besar ketika itu seperti Rome.


Jika orang yang tidak memahami konsep matlamat  dakwah di muka bumi ini, mereka barangkali sudah berkata, betapa ‘duniawi’ nya janji Nabi kita ini. Mereka mungkin juga telah  menyangka bahawa betapa ‘materialistik’ nya para Sahabat baginda saw. Padahal tanggapan dan sangkaan ini tidak benar dan meleset.


Orang yang berfikiran sedemikian sebenarnya belum memahami cita cita dan matlamat dakwah di muka bumi. Bukankah Allah swt telah berfirman;


“Dan ingatlah ketika telah berfirman Tuhanmu kepada para malaikat, sesungguhnya Aku ingin menjadikan di muka bumi khalifah...”
(Al Baqarah :30)


Dalam firman di atas, Allah swt bukan sahaja menceritakan tentang taklifan tugas khalifah, tetapi juga telah pun meletakkan sasaran dan matlamat dakwah di muka bumi ini. Yakni sehingga menjadi khalifah di muka bumi. Terlalu duniawi kah?


Tidak salah sebenarnya untuk kita berasa gembira, tertunggu tunggu dan teruja untuk melihat dakwah ini menguasai seluruh alam buana ini. Tidak salah menantikan hasil di dunia ini, melihat kita mengusai banyak tempat. Menantikan pertolongan Allah tiba dan banyak jajahan jajahan dakwah dibebaskan.


Di medan yang lebih kecil, kita bahkan perlu menyampaikan amanah dengan cita cita kita dapat menguasai hati hati mad’u kita sehingga mereka menerima dakwah ini. Perlu bercita cita menguasai medan amal masing-masing, sehingga di tempat di mana kita berada dan beraksi dakwi itu, tidak ada telinga yang tidak mendapat seruan dawah ini. Sehingga kemenangan dan pertolongan Allah itu sampai ke bumi di mana berpijaknya kaki kita. Baik di ipt kita, di kampung halaman atau di medan perusahaan masing-masing.

Kefahaman sebegini juga dapat menyedarkan al akh atau al ukt dalam kalangan kita yang sering beralasan;


“Ana dah cuba khie, hidayah itu milik Allah”

“Allah tak tengok hasil khie, usaha yang penting”

“Yang penting kita ikhlas khie..”

“Kita buat mana kita mampu jela, insya Allah diganjari juga…”


Tidak ada yang salah akan dialog dialog ini. Tetapi banyak yang diluahkan sebenarnya hanyalah ayat ayat melepaskan diri, supaya dapat kita lakukan dakwah ini sekadar melepaskan batuk di tangga. Kita tidak all out dalam dakwah, kemudian kita mencari justifikasi sendiri.

Sebab itu memahami tabiat dakwah dan matlamatnya di muka bumi ini sangat penting. Dengan matlamat yang jelas, kita tahu ke mana halatuju kita, bukan beramal sekadar untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab. Tetapi untuk menyempurnakan cita cita dakwah yang sangat luhur ini.


Pertolongan Allah.
Kemenangan yang dekat
Dan sampaikan berita gembira kepada orang-orang beriman!


Namun begitu, perlu diperingatkan juga, setelah jajahan dakwah  kita kuasai, barisan kepimpinan masyarakat di tangan kita, setelah manusia berbondong bondong ingin bersama kita, setelah kemenangan Allah datang asbab tangan tangan kita dan pembukaan dan kemenangan itu datang, setelah dunia dibukakan seluas-luasnya untuk kita, jangan pula kita leka dengan kenikmatan kenikmatan ini.

Sebaliknya, tatkala detik detik yang menggembirakan hati kita itu datang, kita perlu bersedia menganggap kurniaan di dunia yang sementara itu ibarat sampah sebagaimana pesan Nabi saw kepada kaum Ansar yang mula terpamir pada diri mereka bibit bibit iri hati dan kecintaan berlebihan pada dunia apabila Rasulullah saw jelas melebihkan pembahagiaan harta rampasan perang kepada golongan yang baru memeluk Islam.


Sabda Nabi saw;


“Hai orang Ansar, apakah kamu rasa dirimu masih terpaut pada dunia, dunia yang aku jadikan alat untuk melembutkan hati satu kaum untuk menerima Islam sedangkan keislaman  kamu aku benar benar telah meyakininya? Tidakkah kamu rela hai sekalian orang Ansar membiarkan mereka membawa pergi kambing dan unta sedangkan kalian pula membawa Rasulullah saw ke kampungmu?...”


Begitulah patutnya kita saudaraku.

 
Ada garis pemisah yang halus antara mengharapkan keberhasilan dan keberjayaan matlamat dakwah di dunia dengan terikat dengan hasil dan kejayaan kejayaan itu. Kerana akhirnya, yang menjadi ultimate goal kita adalah Allah swt dan Rasul saw.


Wallahu’alam

Tuesday, April 14, 2015

SENTUHAN AL AKH #38






Kami berasa terpanggil untuk berkongsi dengan kalian sedutan tulisan Imam Al Banna dalam memoir yang beliau tulis sendiri ini. Sedikit sedutan, mudah mudahan sentuhan yang beliau tinggalkan dalam helaian helaian memoir ini mampu menghidupkan jiwa kita. Mudah mudahan.

Beliau memulakan,

“Di sebelah kota Ismailia terdapat daerah yang bernama Abu Shuwair. Jaraknya dari Ismailia kira kira 15 km. Di situ banyak pekerja yang tinggal. Mereka bekerja di perkemahan Abu Shuwair dan di Madrasah Thiran. Di sana juga banyak terdapat para pedagang dan petani.

Saya mengunjungi Abu Shuwair lalu saya dirikan cabang yang masih menginduk ke Ismailia. Di sana saya memperhatikan raut muka orang-orang, baik yang berada di kedai kedai, di jalanan, dan di toko toko, sampai akhirnya saya mendapatkan toko Syaikh Muhammad Al Ajrudi rahimahullah. Beliau adalah seorang yang terhormat, berwibawa, pemurah, shalih serta indah bicaranya.

Saya lihat beliau sedang berjualan dan berbincang-bincang dengan seorang pembeli. Saya rasa situasi dan kondisinya sedang baik, maka saya ucapkan salam kepadanya dan kepada orang-orang yang ada di sampingnya. Lantas saya pun duduk bersama mereka. saya katakan tentang maksud tujuanku datang ke Abu Shuwair ini, dan saya menaruh harapan besar kepada beliau untuk mengemban tugas tugas dakwah ini. Pembicaraanku ini membuat orang orang di situ memperhatikan dengan penuh antusias.

Saya sampaikan beberapa  poin pokok iaitu tentang ketinggian tujuan tujuan Islam dan hukum hukumnya, tentang kerosakan yang terjadi di tengah tengah masyarakat yang itu semua kerana kita meninggalkan dan meremeh remehkan hukum hukum Islam. Juga saya sampaikan tentang kewajipan dakwah dan memperbaiki dan meluruskan kondisi yang ada. Kalau tidak maka kita ini adalah orang-orang yang berdosa.”


Rasanya terlalu panjang untuk kita garapkan kesemua nukilan dalam memoir imam kita ini. Lantas, kami memilih untuk berhenti di sini. Juga sebagai motivasi untuk kalian sidang pembaca untuk mendapatkan memoirnya di pasaran, supaya dapat dijadikan bacaan di kala petang yang redup, bersama secangkir teh dan beberapa keeping biskut Hup Seng, produk Malaysia.

Lalu al akh berkata kepada akh yang lain;

“Jom tulis buku juga?”

“Buku macam mana?”

“Macam diari al Banna ini. Ana ada la juga diarikan tarikh tarikh penting, perjumpaan perjumpaan penting dan peristiwa peristiwa penting”

“Menarik juga tu”

“Tapi ana tak pandai nak susun ayat, anta la tuliskan, buku kan”


Begitulah semangat kepermudaan. Mudah terinspirasi. Idea gila gila datang menjenguk di tetingkap fikiran, lalu mahu segera diterjah dalam bentuk amal. Memahatkan memori penting dalam buku, untuk tatapan kita hari ini di masa depan dan untuk tatapan dan manfaat generasi mendatang, usaha yang harus dipuji.

“Tetapi akhi, kalau tengok diari al Banna ke pelbagai daerah dakwah dia bertapak, banyak cawangan dakwah tertegak..Kita nak cerita part mana? Daerah mana? Apa medan kita?”

“Kita…”

“Universiti kita ke Khi? Dakwah yang hidup segan mati tak mahu itu?”

Lalu kelu lah al akh yang satu .
 
Lamunannya disambar realiti yang menghambat

“Ana pun rasa macam tu. Kalau tulis pun entah berapa helai A4 sahaja”

“Huhu. Medan amal kita ni kena fokus akhi. Bagaimana pembinaan rijal pelapis, bukan sejauh mana popularity naik”

Makan dalam, ia menjenguk minda sedalam-dalamnya.

Maka, mari merenung kalam imam kita dan kalam ikwah kita ini, lalu kita menginsafi diri sendiri. Bagaimaan medan amalmu ya akhi? Binaannya? Pewaris nya? Fikrahnya mantap? Bahan apa sudah lalui? Halaqahnya macam mana?

Inilah soalan-soalan yang perlu ditanya oleh al akh kepada akhnya yang lain, soalan yang membuatkan akh itu tidak lari dari fokus, soalan yang menghidupkan dia ke alam realiti, soalan yang menyebabkan al akh merasakan masanya tidak ada untuk yang lainnya selain, islam, dakwah dan tarbiyah!

Apalah sangat sejumlah buku yang boleh kita hasilkan kerana kelak buku buku itu dilupakan, hilang ditelan zaman. Sebanyak mana mana pun material dakwah yang kita usahakan, ia tinggal berlambakkan tanpa individu yang menggerakkan. Sebab itu, Imam kita Al Banna pun pernah ditanya,

“Engkau tidak mencetak buku?”

Lalu dengan penuh berprinsip menjawab,

“Aku mencetak manusia”


Ya. Cetaklah manusia akhi. Tanpa kita menafikan kepentingan asset pengalaman yang lama, bersambung di lorong-lorong yang jauh yang wajar dibukukan, tetapi kita tidak patut meletakkan kerja mendidik lebih ramai generasi baharu untuk memahami dakwah ini dalam bentuknya yang asal, yang meletakkan tarbiyah sebagai kerja utama, nadi sebuah kehidupan.

Medan amal kita memang banyak bermasalah.

“Di tempat anta dah berpa lama?”

“Lama khie, puluhan tahun kian berlalu..”

“Dah control apa?’

“Belum akhi. Lama, tetapi penguasaan hampeh. Aktiviti banyak la, on paper”

Inilah cerita ringaks medan medan kita. Kita juga banyak cawangan. Di Bandar itu, di pekan lagi. Masuk ke jajahan yang lebih kecil, di ipt, untuk segenap lapisan masyarakat. Sehingga menyentuh yang belum Islam pun kita sapu, meluas, tetapi tidak berfokus. Lalu jadilah dakwah itu sentuh dan berlepas tangan. Penyebaran yang tidak seimbang. Penggeraknya tidak ramai. Yang ada pun belum tentu menguasai bahan. Tabiah longlai.

Medan oh medan.


Mari kita renungkan bersama, dengan renungan yang tajam, bersih dan jujur. Janganlah kita merasa megah kerana nama kumpulan, ibarat kambing kambing yang bersatu kerana padang rumput mahupun pagar.

Al Banna dan cerita medan amal telah menyentuh kita, membangkitkan kita dari lamunan semalam, yang jauh merantau sehingga tidak mahu pulang kea lam realiti. Namun hakikatnya, kita masih di sini. Ya, di sini. Memerhati medan yang lesu ini. Mudah-mudahan daripada sentuhan imam kita itu ada sentuhan baharu, sentuhan yang menghidupkan.

Pokoknya,

Medan amal kita di mana ?

Thursday, April 9, 2015

AL-GHUNM BI AL-GHURM




Salah satu kaedah patut syarak dalam Kewangan Islam ialah, Al Ghunm bil Ghurm, simply understood as no pain no gain, atau dalam bahasa yang lebih ‘ekonomi’nya, no risk no return. Ghunm ialah dapatan, sebagaimana kita memahami ghanimah yakni harta rampasan perang, manakala ghurm pula bayaran.

Economists pula berkata-kata, there is no such thing as free lunch. Benda yang nampak percuma pada mata kasar kita, the fact is someone is paying for that. Maka tepatlah juga prinsip al ghunm bil ghurm ini. Tiada dapatan tanpa bayaran, tiada pulangan tanpa risiko. Lantas, mengajar kita konsep usaha dan tawakal. Bukan mendapat hasil tetap, tanpa usaha, dan kebergantungan kepada Allah swt.

Prinsip ini memberi petunjuk bahawa, adanya risiko dalam aktiviti perusahaan meskipun dalam kerangka dan pandangan Islam.

Dalam pelaburan pun ada risk. Risk, atau risiko ini ada yang essential, yakni mesti hadir. Adapun begitu, ada risiko risiko sampingan yang boleh diuruskan untuk dikurangkan, demi keuntungan kedua belah pihak yang berurusan.

Untuk mitigate atau mengurangkan risiko dalam pelaburan ini, salah satu caranya yang kena dengan perundangan syariah atau selari dengan al Quran ialah dengan diversifying investment portfolio. Bahasa mudahnya, melakukan pelaburan dalam industry yang pelbagai.

Dalilnya,


Mari kita lihat ayat berikut, di bawah suluhan ekonomi Islam.


“Dan dia berkata  “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan...”
(Yusuf :12)


Diringkaskan, dalam ayat di atas, Nabi Yaakub as menasihati anak-anaknya yakni saudara kepada Nabi Yusuf as supaya memasuki pintu ke Kota Mesir untuk mendapatkan bantuan makanan, mungkin BR1M waktu itu, dengan pintu pintu yang berbeza. Harapannya, lebih kurang risiko, dan tinggilah probability untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Begitulah ahli ekonomi Islam, membuat adunan yang menarik. Gist daripada ayat Quran diaplikasi dalam aktiviti perekonomian, supaya ia tampak islamik dan patuh syariah.

Saudaraku,

Begitulah sifat al Quran yang sangat pemurah. Ia memberikan apa yang kita mahu. Mereka yang melihat ayat ayat quran dengan kaca mata ekonomi akan mendapatkan pelbagai teori ekonomi. Yang melihat al Quran untuk mencari ayat pengasih, dapat lah dia apa yang ia harapkan. Mereka yang melihat Quran untuk mendapat pencerahan sejarah, maka sejarah la yang digondol pulang.

Namun apakah yang sebenarnya al Quran ingin tawarkan kepada kita?


Kerana jika benar Quran turun untuk mengajarkan sains sebagai contoh, pastilah Rasulullah saw dan para sahabat merupakan pakar sains yang terkemuka. Namun, ternyata ia tidak.

Jadikah apakah fungsi al Quran atau mesej utama al Quran?

Dan sudahkah kita berinteraksi dengan Quran mengikut fungsi asal ia diturunkan? Kerana jika tidak, kita sebenarnya belum memanfaatkan asset dan potensi yang sangat besar yang ada pada Quran untuk mengembalikan kemulian Islam ini.


Huhu.


Post ribut, untuk kita sama-sama merenung kembali bagaimana kita telah berinteraksi dengan al Quran. Dengan kedatangan Ramadhan yang sudah semakin dekat, marilah kita celupakn diri kita sepenuhnya dengan sibghah Allah swt, sibghah al Quran...

Inspector Saahab
Siswa Sarjana Muda Kewangan Islam