Friday, December 28, 2018

CERITA PANAS #4



Bilakah engkau akan mengerti ?

Seorang murabbi merasakan sangat tekilan dengan prestasi anak didiknya yang masih tidak sanggup mengutamakan pertemuan mingguan yang telah mereka terlebih dahulu sepakati bersama. Baginya, ini merupakan satu sikap yang tidak patut. Namun perasaan terkilannya itu tidak dizahirkan langsung.
Ia berharap perasaannya itu akan bertukar menjadi doa dan rintihan yang akan diselesaikan oleh Pemilik Hati seluruh makhluk dengan cara yang dinginkan-Nya.


Ketika awal mengikut tarbiyah, adik-adik ini telah menjual diri mereka dengan harga yang mahal di hadapan abang-abang dan kakak-kakak. Sekiranya para abang atau kakak ingin membuat temu janji dengan mereka, jadual mereka mesti didahulukan. Sekiranya mereka telah pun ada janji lain yang dibuat lebih awal, maka mengikut pandangan mereka, janji tidak boleh dimungkiri dan waktu itu konsep “first come first served” terpakai. Dalam hal ini, sekiranya dia terpaksa menangguh atau membatalkan janji-janji lain demi perkara yang lebih penting yang datang kemudian secara mendesak, ia tidak dikira mungkir janji dan tidak dikira sebagai salah satu ciri orang munafiq.


Namun, abang dan kakak tidak mahu memanjangkan hal ini.


Tetapi sesuatu yang sangat pelik telah  berlaku, sehingga abang atau kakak merasa hairan, adakah mereka berada di planet yang silap?


Setelah ditarbiyah, ke mana perginya rasa takut untuk mungkir janji ini? Tiba-tiba janji-janji pertemuan tarbiyah telah dijual dengan begitu murah sekali dengan pertemuan-pertemaun lain yang datang kemudian! Kadang-kadang makan bersama teman bilik, meeting persatuan yang tidak pernah habis, majlis sosial fakulti masih dianggap lebih penting dari usrah. Padahal pemilihan masanya usrah mingguan itu dibuat lebih awal dan dipersetujui.


Lalu persoalan ini bermain-main dalam kepala para abang dan kakak;


“Bilakah engkau akan mengerti?”


Alhamdulillah, yang mendidik terus meminta dengan sabar dan solat

Thursday, December 27, 2018

CERITA PANAS #3




Seorang akh telahpun mengambil keputusan menangguhkan semestar belajarnya seketika kerana telah diuji dengan sakit kulit (eczyma) yang kritikal. Beliau mengikuti rawatan secara dekat yang dikendalikan oleh pakar. Keadaan di tempat belajar dan fizikalnya tidak memungkinkan beliau untuk tinggal di kolej. Jadi ini bermakna beliau tinggal di rumah di bawah jagaan ahli keluarga!


Ia bukan bererti meninggalkan medan kerana pengecut atau malas. Tetapi ia adalah “getaway” untuk kembali dengan lebih bertenaga dan bersemangat selepas ini. Namun akh mana yang boleh menahan kekangan berkenaan. Tatkala melihat para ikhwah sedang berebut mengangakat batu-bata untuk membina kembali bangunan yang retak ini.

Satu perasaan cemburu yang tidak mampu ditahan lagi menyebabkan akh berkenaan menuliskan satu pesanan yang sangat bernilai. Ia mungkin pesanan yang paling menyentuh hati yang anda akan baca sepanjang minggu ini.



Ana tau antum orang yang soleh. Dan antara orang yang paling dekat dengan ana. Ana harap antum tidak pernha tinggal doakan ana agar dapat kembali sihat dan bersama kembali dalam saf bersama antum

Dan ana harap antum dapat manfaatkan nikmat kesihatan yang Allah beri sebaiknya untuk dakwah. Mungkin ana cuma rasa menyesal sebab tak all out dulu semasa sihat. Tapi ikhwah, kita akan betul-betul menyesal bila nikmat nyawa kita ditarik balik.

Sekarang, nak amik wudhuk, pedih. Nak mandi, pedih. Tapi Alhamdulillah masih ada keluarga tercinta. Masih ada tangan menggaru. Masih ada mata melihat amal-amal antum. Hanya mampu menangis dalam hati. Dah lama tak nangis.

Sementara masih mampu, beramal-lah sebaiknya ikhwah. Cukuplah ana menjadi pelajaran antum.

Wednesday, December 26, 2018

CERITA PANAS #2


Yamsyi bihi finnas



Pesanan WhatsApp untuk adik-adik yang telah dengan cemerlang bantu meringankan kerja dakwah abang-abang di universiti mereka. Adik-adik makin faham alhamdulillah. Semoga kisah mereka yang baru, bersemangat, penuh idea ini mengembalikan semangat kita yang mungkin telah pudar.


“Assalamualaikum ikhwah yang dikasihi. Jazakumullahu kheir atas kerjasama yang padu dan jitu tadi. Alhamdulillah antum telah mulakan langkah-langkah awal “Yamsyi bihi finnas”.. insya Allah lain kali boleh buat lebih baik dan semoga lebih ramai dan manfaatnya..”

Ucapan ringkas buat adik-adik yang telah sama-sama membantu dan sekurang-kurangnya menemani hari-hari para abang senior dalam melebarkan fikrah dakwah ini di universiti islam itu. Salah seorang daripada adik yang membantu semalam meminta maaf kerana hanya berjaya ajak seorang sahaja kawannya untuk sesi malam itu.


Subhanallah, tiada apa yang patut kau kesali wahai daie muda.

Bersambung...?

Saturday, December 22, 2018

CERITA PANAS #1



Tempat yang sama
Generasi yang lain
Teman yang berbeza
But the same me.


Inilah beberapa patah perkataan yang dapat digambarkan berkenaan jaulah ringkas ke Melaka beberapa minggu lepas. Seorang adik telah meminta untuk teman beliau ke Melaka. Katanya,

“Akhi, weekend depan nta free tak?”


Sebenarnya tak berapa nak free. Namun pada waktu itu jawapan “tak free” yang maksudnya “tak available” bukanlah jawapan yang terbaik.

“Insya Allah free, ada apa ? Nak gi jalan-jalan ke ? JOM”

Macam itulah barangkali, situasi-situasi yang dihadapi oleh para murabbi. Bila adik-adik usrah mula masuk ke tahun kedua, tiga atau lebih, bila mula nak bergerak, mereka akan menuntut lebih banyak masa dari kita. Sebahagian ikhwah mungkin rasa senang sebab bila adik-adik yang dah dibina sudah mula bergerak melakukan amal tajmik sendiri, yang abang-abang rasa dah boleh goyang kaki. “Dah ramai yang mula mentajmik, kerja makin ringan sebab makin ramai ikhwah yang cater mad’u kat luar sana” Ini adalah silap!


“Sebenarnya nak bawa junior ana, mad’u fakutli jalan-jalan. Diorang dalam lima orang. Kalau nta free, boleh bagi sharing sikit..”

“Wah menarik juga tu. Kita nak ke mana? Jadi kita perlu MPV la ye nampaknya?”

“Ingat nak ke Melaka”

Begitulah bermula kisah ringkas ke Melaka. Si murabbi bukan sahaja kena kansel plan weekend yang dah dirancang, kena bagi pengisian dan juga kena cari MPV. Macam mana tarbiyah dan menjadi murabbi tidak mematangkan seseorang?

Selebihnya adalah sejarah.


Kami jalan-jalan dan pusing-pusing beberapa tempat. Sebaik sahaja balik ke KL, kemudian baru teringat. Dua atau tiga tahun lepas, ke Melaka dengan mutarabbi pasca a-level. Kami pusing-pusing dan pergi ke tempat yang sama, aktiviti yang sama bahkan pose gambar pun masih tidak berubah. Hanya yang berubah adalah teman-teman di sekelilingku. Dua tahun lepas, wataknyan berbeza, orang yang berbeza berbanding tahun ini.

Same place, different generations, different company but the same me.


Sebahagian mereka dari amal masa lalu telah membesar dengan baik dalam tarbiyah dan menjadi kader yang boleh diharapkan. Tidak kurang ada juga yang tidak lagi bersama kerana pelbagai sebab dan kisah menyayat hati yang tak perlulah kita ceritakan di sini.

Namun yang daku ingin sampaikan di sini, setelah sekian lama tidak berkongsi dengan jujur, bahawa betapa era dakwah telah berubah dan orang-orang yang berada di sekeliling kami pada suatu ketika, sudah mengambil jalan dan haluan sendiri, berbeza dan bermacam.

Tetapi Allah masih mengurniakan kami usia yang panjang dalam kebaikan. Semoga dapat terus menyumbang.

Friday, December 21, 2018

AKHOWAT DALAM QURAN #1




Ibu Nabi Musa as merupakan salah seorang daripada sekurang-kurangnya empat wanita yang memainkan peranan penting dalam sejarah hidup dan sejarah dakwah nabi Musa yang direkodkan oleh al-Qur’an. Allah  swt ingin mengangkat dan memuliakan kedudukan kaum  ibu, kaum wanita ini dengan menjadikan kisah dan sejarah perjuangan nabi Musa disokong dan didokong oleh tangan-tangan para wanita. Bak kata orang lama, tangan yang mengayun buaian, siapa sangka akan menggoncangkan dunia.

Babak yang menyaksikan peranan yang dimainkan oleh Ibu Nabi Musa disingkapi oleh al-Qur’an ketika Baginda masih kecil dan menjadi buruan firaun.

Kezaliman Firaun memuncak apabila dia mengumumkan dengan terang lagi jelas bahawa setiap anak lelaki yang dilahirkan dari keluarga Bani Israel akan dibunuh, kerana dikhuatiri akan membesar dan menggugat kedudukannya. Ditakdirkan oleh Allah swt, zuriat yang lahir dari rahim sang ibu ini adalah Musa. Allah swt ternyata mempunyai perancangan tertentu. Diilhamkan kepada ibu Musa sebagaimana dalam firman-Nya;


وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّ مُوسَىٰ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي ۖ إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.


Ibu Nabi Musa dalam keadaan yang penuh cemas dan gawat ini tidak mempunyai pilihan lain selain mendengar pada ilham yang datang itu. Tidak keterlaluan jika dikatakan, barangkali menghanyutkan Nabi Musa as ke dalam sungai merupakan perbuatan paling bersejarah dalam hidup Ibu Nabi Musa. Sekali renungan, soalan pertama yang patut kita ajukan, bukankah itu merupakan satu tindakan yang tidak waras? Seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan dilepaskan ke dalam sungai? Apakah yang berlaku kepada bayi itu ? Mungkinkah ia akan lemas? Mungkinkah juga haiwan air yang buas akan menyambar dan menelannya hidup-hidup?

Jika direnungkan sekali lagi, soalan kedua pula muncul. Bagaimana mungkin dia, Sang Ibu hanya bergantung kepada ilham yang datang padanya itu? Adakah ia benar-benar ilham dari Tuhan Pemilik Alam atau sekadar bisikan hati, godaan syaitan atau akal yang sudah hilang waras? Bukankah besar kemungkinan bisikan itu hanya prasangka-prasangka manusiawi lebih-lebih lagi yang sering datang memenuhi ruang fikir kaum Wanita?

Sudah pasti persoalan-persoalan dan pertanyaan-pertanyaan ini sebelum menerjah masuk ke dalam kamar fikir kita, telah pun terlebih dahulu menghantui jiwa dan fikiran Ibu Nabi Musa as. Jika kita meletakkan diri kita pada posisi Ibu Nabi Musa, sudah tentu tidak pernah dibayangkan yang beliau bertindak seolah-olah tidak menyayangi anaknya itu. Masakan tidak,  setelah berbulan-bulan mengandungkannya, ke hulu ke hilir membawa bayi dalam kandungan dengan penuh mesra, cinta dan kehangatan, siapa sangka kekasih yang dirindui dan dinantikan kelahirannya itu kini menjadi mimpi buruk buat sang ibu.

Namun beliau (Ibu Nabi Musa) perlu bertindak, mengambil satu keputusan. Dia tidak mempunyai pilihan melainkan mengikut sahaja bisikan yang entah betul entah tidak itu. Alhamdulillah, firasat sang Ibu yang penuh iman itu tepat. Dia telah dipilih oleh Allah swt dan mendapat taufiq dari Allah. Hebatnya Sang Ibu ini kerana bukan sahaja dari kantung peranakannya lahir satu zuriat yang disebut-sebut al-Qur’an, namun bagaimana ilham-ilham rabbani disampaikan kepadanya.

Keputusan Berasaskan Wahyu (Qur’an)


Dari sini kita belajar sesuatu yang cukup bermakna dari Ibu Nabi Musa. Beliau telah mengajarkan para wanita, kaum ibu, mereka yang membaca al-Qur’an dan kita semua bahawa keputusan yang diambil mengikut wahyu Allah swt insya Allah bukan keputusan yang sia-sia. Asalkan sahaja ia diambil dengan kekuatan iman yang dahsyat dan bergantung kepada Allah swt semata-mata.  

bersambung.....

-doakan pena kembali tajam...