Bismillah..
Suatu petang, dua sahabat berjalan. Yang seorang nya bersuara,
“Depan rumah jiran aku ada patung berhala.”
Katanya.
-------------
Kira-kira 1400 tahun dahulu, Rasulullah bergerak keluar dari tanah Al-Munawwarah
Madinah, menuju ke tanah Al-Mukarramah Makkah, dengan bala tentera seramai
sepuluh ribu orang yang kesemuanya dari kalangan para sahabat yang jujur dan
lurus dalam melangkah, gagah. Pantang mengalah, demi agama Allah.
Berpergian mereka dengan satu misi. Tanah turunnya wahyu itu akan
ditawan kembali. Akan dipancang dengan satu panji. Akan disimbah dengan cahaya
islami. Akan disimbah lagi dan lagi, biar bercahaya terang dan memukau, dengan
cahaya ilahi.
Bukan kecil kekuatan mereka. Bantuan Allah benar-benar ada, menambah
daya dan upaya ke atas setiap para mukmin itu yang masing-masing
mendambakan syurga.
“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu melihat
manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah..”
An-Nasr: 1-2
Hari itu menyaksikan Kota Mekah dibuka.
Sesungguhnya tiada daya dan tiada upada, melainkan dengan adanya Allah bersama.
-------------------
“Kebenaran telah datang dan kebatilan menghilang, sesungguhnya kebatilan
itu telah terpadam”
(al-Isra’: 81)
Dari atas Kaabah, dengan busar panah di tangan, Rasulullah menyebut
untaian ayat ini.
Dengan busar panah di tangan itu, baginda menjatuhkan berhala-hala
sebanyak tiga ratus enam puluh semuanya. Satu, demi satu.
“Kebenaran telah datang dan kebatilan tiada lagi menjelang dan tiada
pula ia berulang “
(Saba’: 49)
Lalu berhala-berhala pun jatuh dan tumbang, hancur berderai-derai.
Lailahaillallah, la syarikalah.
Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya.
Lailahaillallah, la syarikalah.
Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya.
-------------------
Itulah kesudahan berhala-berhala yang disembah oleh puak-puak musyrikin
Mekah. Padahal nyata, sedikitpun berhala itu tidak mampu memberikan apa-apa
kepada sesiapa, malah untuk dirinya sendiri pun ia tidak mampu berbuat apa-apa.
Ahhaa, menyebut tentang itu, mengingatkan kepada berhala yang dinamakan
“manat” oleh Amru bin Jamuh suatu ketika sebelum keislamannya dahulu. Waktu
tuhannya itu hilang. Waktu dia mencari-cari dalam amarahnya,
“Mana manat gua??”
Waktu itulah beliau melihat kerumunan orang di lubang kotoran, lalu
dihampirinya, dan ia mendapati “tuhannya” terhunjam ke kotoran dengan pedang
dan bangkai anjing di pundaknya. Amru pun sedar, berhala yang selama ini disembahnya tidak mempunyai
kekuatan apa-apa, bahkan untuk mempertahankan dirinya sendiri pun tidak mampu,
walaupun senjata tersedia.
Namun,
Bukan semua berhala boleh pecah dengan hentakan tukul atau tembakan
busur panah.
1400 tahun sudah berlalu, namun umat hari ini menyaksikan masih banyak
rupanya berhala yang belum “pecah”.
Berhala yang bersembunyi di dalam dada muslim, dan mengganggu lurusnya
ingatan dan ketaatan seorang hamba kepada Allah yang Maha Esa. Berhala yang
dituruti kata-katanya, didengari bisikannya dan dibuntuti permintaannya.
Langsung, menjadikannya tuhan kepada empunya jiwa. Ya, tuhan.
Itulah – hawa nafsu. Yang sentiasa dahaga, untuk disuap dengan
keseronokan yang sia-sia.
Maka tidak peliklah, jika Allah bertanya,
“Pernahkah kamu melihat orang-orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai
tuhannya?”
al furqan:43
Kerana berhala itu tidak semuanya boleh dipecah hancurkan oleh tukul
atau busur panah, maka masih banyak lagi hari ini ‘mereka’ yang belum pecah,
belum hancur. Yang masih ditaati, didengari dan dibuntuti. Walaupun kadang-kala
berselang-seli pula dengan mentaati Allah.
Solat, tapi juga pergi ke pesta-pesta hiburan, berlaga bahu lelaki
perempuan.
Puasa, tapi mahu juga buka aurat sekali-sekala, berhibur dan menurut
rasa.
Iya, mungkin benar,
“Alahai. Jangan lah syadid (keras) sangat. At least dia solat. Dari dia
tak solat langsung?
Maksiat-maksiat tu lama-lama dia tinggal lah. Jangan sebab dia campur-campur,
kita nak kata dia kufur, nak samakan dia dengan musyrikin Mekah dulu tu.
Iman manusia ni kan, yazid wa yankus..“
Tuddiaa.
Tapi maaf. Maaf banyak-banyak.
Sampai bila?
Bukankah..
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan
kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semuam mengetahuinya.”
(albaqarah:42)
Dan tidak takutkah..
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai
tuhannya,
dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah
mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas
penglihatannya?
Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya
sesat).
Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”
(al-jatsiyah ayat 23)
Samada 1400 tahun dulu atau sekarang, di Mekah atau di mana-mana, sejak
dulu hingga sekarang, Tuhan kita tetap sama – cuma satu. dan Dia Maha
Esa.
Maka kalau dahulu menyembah berhala itu perlakuan mempersekutukan
Allah, maka sekarang pun ia tetap sama. Maaf, wahai jiwa-jiwa. Azab Allah itu
lebih syadid (keras) lagi, cukuplah itu untuk membuka luas-luas mata kita.
Kalimah syahadah yang kita lafaz,
Lailahaillallah, Muhammadur Rasulullah – sudah masanya kita buktikan
dengan jelas dan nyata.
Lailahaillallah, la syarikalah.
Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya.
-------------------
Suatu petang, dua sahabat berjalan. Yang seorang nya bersuara,
“Depan rumah jiran aku ada patung berhala.”
Katanya, sambil pegang iphone, buka
application 9gag.
Sebentar kemudian disusuli ketawa gembira.
Sebentar kemudian disusuli ketawa gembira.
“Belum tibakah masanya bagi orang-orang beriman, untuk khusyuk hati
mereka mengingati Allah, dan mematuhi kebenaran yang diturunkan kepada mereka?”
al hadid:16
Inilah masanya, wahai jiwa-jiwa.
Berhala-berhala yang belum pecah itu, hancurkan.
Hancurkan.
No comments:
Post a Comment