“Tenang dalam diamnya,
tetapi lebih jelas daripada orang yang berbicara.
Bila diamnya terlalu lama, tergugahlah ia oleh keharusannya untuk bergerak”
Ar Raqaiq
Bila diamnya terlalu lama, tergugahlah ia oleh keharusannya untuk bergerak”
Ar Raqaiq
Nyaman pagi
itu. Tiupan anginya lembut. Menyapa kulit kita, penuh sopan dan santun. Sang matahari
yang baru sahaja kurang lebih sejengkal mahupun sehasta dari kaki langit, belum
mengganas sinaranya. Sunyi. Udara yang masih bersih, tidak dinodai molekul
molekul asing. Meski warga kota sudah keporakan, bertebaran di sini sana, kita
rasai hadirnya kemesraan pagi itu. Bermain main dengan perasaan. Seperti ada
khabar dari jauh, yang datang membisik ke telinga.
Demi
waktu dhuha.
Pun begitu.
Kadang kadang riwayat pagi yang indah itu tidak lama. Lebih lebih lagi bagi
para duat yang harus bergegas ke desa desa dan kota-kota. Dan entah mengapa,
kekadang pagi yang dimulai sebegitu indah, tiba-tiba bertukar, langsung
menyimpang jauh. Tidak lagi kita rasai kenyamanan dan kedamaiannya. Angin yang
bertiup lembut seolah tidak lagi sudi bertanya khabar. Sang matahari yang
mengganas, seolah-olah menaruh dendam.
Serba serbi
tidak menjadi di sepanjang hari. Ada sahaja isunya. Begitu la hidup seorang
daie. Ada hari hari dia berasa terpinggir. Kerja kerja di pejabat yang
menghimpit. Susunan waktu belajar yang menggila. Kuliah kuliah ilmu keduniaan
yang tidak berkesudahan. Ditambah tugas tugas tambahan.
Manusia manusia
sekitar pula seakan-akan tidak merasa kehadiran kita. Tidak mahu bertegur sapa.
Tidak mahu berjabat tangan. Boleh jadi kerana penampilan kita. Kerana mesej
yang kita bahawa. Lalu kita disisih. Di tengah kota yang paksinya keduniaan. Kita
berjalan tanpa hala tuju, memikirkan hari yang sangat panjang itu. Dosa apa
yang aku lakukan?
Lalu Dia
hadhirkan di hari itu, satu lagi fasa seperti mana pagi tadi. Malam yang tenang
dan diam. Sunyi dan gelap. Saat yang lain hanyut di balik selimut. Dihulurkan peluang
untuk berkaca di mihrab, mengadu dan merintih.
Dan demi malam apabila
ia telah sunyi
Parahnya,
tempoh terasa disish dan dipinggir itu berlalu lama. Tanpa ada tangan yang
menghulur mahu mebawa kita keluar dari dimensi kesunyian. Tanpa ada suara-suara
nasihat yang menggugah dan menghidupkan hati kita yang makin melencong
prasangkanya. Di manakah kalian? Saat aku keseorangan di sini. Peti peti suara
tidak lagi berbunyi.
Benar benar
kita terasa tersisih. Dari manusia sekeliannya. Di saat cuti yang panjang, kita
tercampak jauh di kampung halaman, di kawasan pedalaman. Langsung kita tidak
dihiraukan. Keakraban itu makin hilang. Tiada telinga yang sudi mendengar,
drama dan sketsa yang sedang mengambil tempat dalam jiwa dan dada kita yang
berombak. Makin rancak turun dan naiknya.
Pertarungan
bisikan syaitan dan iman yang makin sengit. Sehingga prasangka kita makin
menjadi jadi. Mulalah kita berasa, cita cita yang kita impikan itu hanya bualan
kedai kedai kopi. Inilah kehidupan sebenar. Berjalan bersama atas jalan ini,
janji ke syurga, hanya doktrinasi semata-mata. Tidak ada nilainya.
Engkau telah
ditinggalkan. Bisik syaitan ke dada kita. Sesaat demi sesaat. Makin mengganas
dan mesra bisikannya. Lihatlah sekarang, tiada siapa bersamamu. Engkau bersendirian.
Engkau telah ditipu. Marilah bersamaku.
Marilah.
Tuhanmu tidak
meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu
Di saat itu
juga. Di saat diam itu makin lama. Di saat keyakinan itu teruji. Di saat kita
hampir melepaskan diri darinya. Iman yang sekelumit itu membisikkan suatu
kata-kata yang indah dan mesra. Kata-kata yang tiada tolok bandingnya. Kata-kata
yang menjunam dan mendasar ke dalam hati, di bahagian yang paling dalam
Kata-kata
yang mengetuk mengetuk minda separa sedar kita. Kata-kata yang membuatkan kita
lemah, langsung kita rebah menyembah bumi, bersujud di saat malam itu belum
berakhir dan kita lantunkan doa-doa dan rintih rintih taubat dengan suara yang
mendatar. Kata kata mukjizat yang semeang membuatkan kita tidak berdaya, yang
menewaskan bisikan bisikan syaitan yang direjam itu.
Tuhanmu
tidak meninggalkanmu.
Ya benar. Berulang
ulang ayat itu, dimainkan dalam benak kita. Di suasana malam yang nyaman. Ia hadir
tepat pada waktunya. Penuh emosi dan perasaan. Menenangkan kita yang makin
longlai.
Dan tiada
pula Ia benci kepadamu.
Dan sesunguhnya hari
kemudian itu lebih baik bagimu daripada sekarang (permulaan)
Bahkan bisikan
keimanan yang menggugah itu, bukan sahaja menghadirkan secebis semangat dan
harapan, bahkan satu janji yang membuatkan jiwa kita kembali besar, motivasi
kita makin tinggi dan keyakinan kita justeru makin dalam, mendasar.
Suatu janji
yang haq, yang benar tanpa seleweng. Yang bersetuju dan mengiyakan hari hari
kita yang panjang dan memenatkan itu, yang mengakui bahawa kita memang berada
di fasa kepayahan dan kesukaran, namun kataNya, di kemudian nanti, ia jauh
lebih baik dari harimu ini.
Ia membuatkan
kita kembali tegar, bernafas dengan aman, dan bangkit dari kesenyapan tadi. Ia menggugah
keharusan untuk bergerak. Lantas membuatkan kita tidak endah pada bisikan
syaitan itu, kerana kita tidak lagi mampu menahan sabar, menantikan penyudahan
yang lebih baik itu. Kita menunggu nunggu untuk disempurnakan janji itu, yang
kita yakini dengan keimanan yang sangat kukuh bahwa ia bukan satu janji manis
semata.
Dan kelak Tuhanmu
pasti memberikan kurniaNya kepadamu, lalu kamu menjadi puas
Janji manis
yang benar dan tidak terseleweng itu, yang datang dari keimanan, suara yang
jauh dan luhur itu tidak terhenti di situ. Ia benar benar memaku tepat ke dalam
hati kita, dengan suatu kepastian. Kepuasan.
Khabarnya,
Tuhan kita akan mengurniakan kepada kita, sehingga kita berasa puas. Seola-olah
mustahil untuk memuaskan kehendak kita ini, yang entah di mana titik noktahnya.
Di dunia ini sahaja, jika diberi satu lembah emas, kita mahu dua. Kita mahu
lagi dan lagi. Kepuasan itu tidak pernah berhenti dan jemu untuk berjalan.
Dan belum
ada lagi satu detik kita benar-benar berasa puas. Lebih lebih lagi saat kita
meniti di jalan ini, jauh sekali dari berasa puas, bahkan banyak benda yang
harus kita letak ketepi terlebih dahulu. Ribuan keinginan harus kita lupakan
dan korbankan. Yang kadang-kadang membuatkan kita berasa sukar untuk terus
meniti.
Tetapi kali
ini, janji diberi kepuasan. Ia satu janji yang Maha Hebat. Yang tidak mampu
ditunaikan oleh manusia keseluruhannya, meski kita menghimpunkan manusia
pertama hinggalah kesudahnnya, belum tentu dapat menghadirkan rasa puas. Lalu kita
berasa teruja dengan janji ini. Kosa katanya yang mebuatkan daya mahu kita
melonjak ke tingkatan yang lebih tinggi.
Tapi entah
mengapa, pertarungan al haq dan al bathil itu tidak berakhir di situ. Di saat
lama kita berjalan dan makin jauh kedepan, masih lagi ada suara suara halus
yang menyentak kita kembali. Entah. Mengapa belum sampai lagi kepada tahap
kepuasan yang dijanjikan dahulu? Atau sememangya ia janji semata, tidak lebih
daripada itu?
Ada masa-masa
keyakinan kita kembali menurun, bahkan menjunam.
Bukankah Dia
mendapatimu sebagai seorang yatim lalu Dia melindungimu?
Mesejnya kali
ini, tidak ada yang mustahil bagi Tuhan. Sebaik sahaja Dia berkata, “Jadi”,
maka jadilah. Lalu kali ini dia menuntun tangan kita mengimbau sejarah semalam.
Bukanlah dulu kita yatim, terabai, tidak dilindungi, tidak ada antibodi dan
boleh diserang dan dirosakkan oleh sekitar kita dengan sebegitu mudah?
Tapi Dia
telah memilih untuk melindungi kita daripada semua itu. Dalam banyak banyak
hambaNya yang lain, kita antara yang dipilih untuk dilindungi. Tidak mustahil
bukan? Bahkan Dia mampun untuk memberikan lebih dari yang itu?
Dan Dia mendapatimu
sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk
Dan kali
ini Dia mengungkitkan lagi. Bermain permainan psikologi, bermain dengan
perasaan dan emosi. Yang membuat kita sedar dan insaf. Bukankah dulu kita dalam
kebingungan ? Bahkan mungkin sesat, kerana tiada bimbingan. Kita dahulu pernah
hanyut dalam pekatnya hitam dan gelap jahiliyyah.
Kita dahulu
bersahabat baik dengan perkara dosa. Kita kata kita kenal Pencipta dan pesuruhNya,
rupanya semua itu di bibir sahaja. Kita hidup seolah tidak ada yang memerhati
gerak geri kita. Kita bahkan tidak tahu hala tuju hidup ini. Kita bergerak tanpa
arah. Tidak tahu matlamat yang harus digapai. Bukan kita sahaja, bahkan ribuan
teman teman yang lain.
Tetapi di
tengah kehidupan itu, Dia menurunkan huda, petunjuk kepada kita. Dari arah yang
tidak kita sangka-sangka. Melalui perantaraan yang pelbagai. Yang menjemput
kita ke pangkal jalan. Menghadirkan kepada kita dengan pelbagai sosok tubuh,
untuk memipin tangan kita kembali ke syurga, menatap wajahNya yang tiada kata
dapat mengambarkan keadaan itu.
Ia. Dia telah
memilih kita daripada sekelian banyaknya manusia.
Dan Dia mendapatimu
sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan
Nampanknya perjalan
menyelusuri hari hari semalam tidak berakhir di situ. Permainan emosi ini masih
berterusan, mengajak kita merenung jauh ke masa lampau. Yang mengingatkan
siapa kita yang dahulu. Yang mengingatkan bagaimana kita yang dahulu. Serba kekurangan.
Naïf. Lemah. Jauh dari al Quran. Tiada motivasi diri.
Ia membawa
kita ke suatu pengembaraan yang kita pernah suatu ketika dahulu lalui. Cuma mungkin
kita telah terlupa, lalu kita tidak menghargai nikmat itu. Padahal waktu
dahulu, itulah kisah yang sering kita canang dalam pertemuan sesama kita di
setiap hujung minggu itu. Itulah kisah yang benar benar membekas dalam sanubari
kita.
Ia tidak
memberi yang banyak kepada kita. Tetapi kecukupan!
Ya. Kita sudah cukup sebenarnya. Meskipun yang dijanjikan adalah kepuasan,
namun siapa kita hari ini sudah cukup, untuk menutup mulut kita daripada
merungut sambil berjalan atas jalan ini. Kecukupan itu sudah memadai untuk
menghambat bayangan dan imaginasi negative yang bertandan dalam minda kita itu.
Yang kurang
kepada kita adalah kesyukuran. Yang kurang adalah waktu waktu kita memuhasabah
diri. Sehingga ada saat kita terbawa bawa dengan kehendak diri.
Sebab itu terhadap
anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang
Maka dia
menyuruh kita memerhati ke sekeliling dengan menghadirkan perasaan. Memerhati dan
membandingkan keadaan kita. Lihatlah ke sekeliling sejenak. Dan letakkan diri
kita dalam setiap situasi yang naïf itu.
Di situ
kita akan dapati rasa syukur. Kita akan dapati bahawa kita harus mara kedepan. Berkongsi
kenikmatan ini. Bukan berasa lebih jauh sekali daripada merasa baik daripada
mereka mereka di sekeliling kita.
Dan terhadap orang
yang meminta-minta, janganlah kamu mengherdiknya
Di saat
kita berhadapan dengan mad’u kita yang meminta, janganlah kita menherdik dan
mencemuh mereka, meskipun dalam kesenyapan. Bahkan janganlah kita bermasam
muka. Bukan kita dahulu juga begitu. Inilah peluangnya untuk kita menggandakan
amal. Untuk melahirkan rasa syukur dan memanifestasikannya.
Berjalanlah
dengan penuh rasa tanggunjawab dan serius. Meskipun hari hari yang kita lalui
sangat berat dan panjang. Meskipun kita harus memberi lebih daripada apa yang
kita ada. Meski pun di saat itu kita disisih, dibiar dan dipinggirkan.
Kerana Tuhanmu
tidak pernah meninggalkan kamu.
Dan terhadap nikmat
Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan
Dan teruskan
menyampaikan risalahNya. Kongsikanlah rasa yang telah kita nikmati itu. Ucapkanlah
ia. Duduklah bersama mereka. Peluklah mereka. Hadirkan perasaan. Layanlah
mereka sebagaimana kita telah dilayan dan disantuni, bahkan lakukanlah yang
jauh lebih baik daripada itu.
Kerana ia
adalah satu suruhan dan seruan yang pasti meluhur, membersih dan memberkati
usia kita dan membawa kita ke darjat yang lebih tinggi di sisiNya.
1 comment:
"Yang kurang kepada kita adalah kesyukuran. Yang kurang adalah waktu waktu kita memuhasabah diri. Sehingga ada saat kita terbawa bawa dengan kehendak diri."
Allah!
benarlah yang kurang itu pada kita.
astaghfirullahalazim.
Post a Comment