“Berhajatlah..!” Ungkap
Amirul Mukmini Umar al-Khattab kepada para sahabat disekeliling beliau dalam
satu pertemuan.
Para sahabat yang hadir
terpinga-pinga dengan usulan Umar ini. Lalu ada yang merespon, “Aku impikan
bilik ini dipenuhi dengan emas dan perak, supaya boleh diinfaqkan di jalan
Allah swt” Subhanallah! Itulah impian para sahabat.
Kemudian yang lain ada
juga menjawab, “Aku hajatkan bilik ini dipenuhi dengan berlian dan permata,
supaya boleh dibelanjakan di jalan Allah” Subhanallah.
Umar terus berkata, “Berhajatlah...”
Dikatakan kepada beliau, “Kami
tidak tahu apa lagi yang hendak dihajatkan...apa hajatmu wahai Amirul Mukminin?”
Apa jawapan Amirul
Mukminin? Mungkin tidak perlu diceritakan di sini.
Kerana ia cukup makruf.
Kita semua tahu akan
kisah ini. Kita dibesarkan dengan kisah ini. Kita telah belajar banyak perkara
dari kisah ini. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan video dialog Amirul
Mukminin ini telah kita ulang-ulang sejak mungkin pertemuan tarbiyah pertama
kita. Sebahagian besar daripada kita mungkin juga telah ‘wasiatkan’ kisah dan
dialog beserta pelajaran yang kita ambil kepada anak didik dan mutarabbi kita.
Kita mungkin telah
habiskan waktu-waktu awal kita ditarbiyah dengan pelajaran dari Amirul Mukminin
ini iaitu dengan doktrin, binalah orang!
Ya, binalah orang!
Ungkapan dan kefahaman
ini telah merasuk diri kita. Sehingga sebahagian daripada kita lupakan diri
sendiri. Sehingga ada yang terlalu bersemangat dan mengabaikan aspek lain dalam
masa-masa sehariannya seperti belajar, bersukan, pulang ke kampung dan
bersosial dengan teman-teman lain. Sehingga ada yang memandang pelik dengan
toifah (kumpulan kecil) yang dibentuk di kolej-kolej kita dahulu. Sehingga kita
menerima beberapa labelan.
Namun itu tidak lama.
“Binalah manusia...”
Rupanya itu ungkapan yang
mempunyai tamat tempoh. Masa berlalu dan ia telah menjadi sejarah.
Seorang akh telah
mengungkapkannya kembali tidak lama dari saat pesanan ini kami tulis di sini. Dia
telah merenung nasib yang menimpa dirinya dan mendapatkan pelajaran yang sangat
berguna dari dialog atau kisah Amirul Muknini r.a ini.
Akh kita ini seolah
berkata,
“Akhi, setelah hampir 8
tahun bersama tarbiyah, bila dah mula bekerja barulah aku faham betul-betul
pelajaran dari kisah ‘tamannau’ Umar itu”
Lalu dikatakan kepada
beliau;
“Apa maksudmu wahai
saudaraku?”
“Setelah masuk hospital untuk
memulakan karier Tobib, hampir keseluruhan waktuku dibelanjakan untuk
kerja-kerja di hospital sehingga tidak ada yang tersisa lagi untuk tujuan
tajmik apatah lagi takwin dan seterusnya. Hari demi hari berlalu. Di akhir
bulan aku mendapat habuannya berupa emas dan perak atau mungkin juga berlian
dan permata seperti yang diimpikan oleh
para sahabat..namun...”
“Namun apakah?”
“Namun, tiada seorang pun
dapat kubina untuk menegakkan islam ini. Wang empat angka dihujung bulan itu
bertambah tetapi Umar lebih benar dan tepat. Kita perlukan Abu Ubaidah
al-Jarrah ataupun Muaz bin Jabbal. Bukannya emas dan permata mahupun berlian
dan perak..”
Umar al-Khattab memang benar.
Dan akh kita juga telah
memahami sesuatu yang berharga. Binalah orang. Ia bukan doktrin semata-mata. Meskipun
mengambil masa lapan tahun untuk memahmi kalam salaf ini dengan
sebenar-benarnya. Usahakan dahulu membina dan melihat ke hadapan. Engkau akan
dapati, tidak ada sia-sianya jika kita ikut telunjuk Umar al-Khattab ini.
Kami harapkan kalian
telah pun dapat mengagak apakah jawapan Umar tadi.
Ya. Beliau mengimpikan
bilik itu dipenuhi oleh para rijal yang kualitinya seperti Abu Ubaidah
al-Jarrah ataupun Muaz B Jabbal.
Adakah kita masih bersama
Umar ?
Jika ya, di manakah Abu
Ubaidah? Muaz?
Atau kita menunggu lapan
tahun lagi untuk menginsafi?!
-Siri Tarbiyah Underground