Saturday, March 19, 2022

ANTARA SEMANGAT DAN KEFAHAMAN



Ketika Nabi Musa bertarung dengan ahli sihir Firaun demi mempertahankan kebenaran, kita tahu pertarungan yang mencemaskan ini disaksikan oleh warga Mesir yang lain. Warga Mesir berkumpul atas "permintaan" Nabi Musa yang begitu yakin, pada hari berkenaan al-bathil akan dikalahkan dan al-haq akan menang, berdiri teguh dan kokoh penuh bangga.

 

قَالَ مَوۡعِدُكُمۡ يَوۡمُ ٱلزِّينَةِ وَأَن يُحۡشَرَ ٱلنَّاسُ ضُحٗى

Nabi Musa menjawab: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha". -Sura Ta-Ha, Ayah 59

 

Kenapa Nabi Musa meminta orang ramai berhimpun? Kita belajar satu fiqh dakwah dari Nabi Musa bahawa dakwah ini perlu diiklanlan kepada seluruh umat manusia. Ia tidak boleh disimpan oleh daie secara senyap-senyap sehingga nikmat dan rahmat Allah tersekat daripada hamba-hamba yang lain.

 

Namun, perkara yang kita ingin garisbawahi ialah, setelah pertarungan itu berakhir yang mana kemenangan berpihak kepada Nabi Musa, yang tunduk, sujud insaf hanyalah ahli sihir. Apakah kesan iman ini tidak berlaku kepada orang ramai yang lain? Wallahualam.

Berdasarkan situasi ini, kita dapat membuat beberapa penelitian kenapa hanya ahli sihir yang melakukan sujud keimanan, sujud pembebasan dari cengkaman firaun.

 وَأُلۡقِيَ ٱلسَّحَرَةُ سَٰجِدِينَ

Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud, -Sura Al-A'raf, Ayah 120

 

1) Boleh kita fahamai bahawa persepsi ahli sihir dan orang ramai terhadap apa yang berlaku adalah berbeza sehingga menyebabkan kesan dan tindakan berbeza.

 

2) Ahli sihir yang arif tentang ilmu sihir tahu bahawa apa yang dipertontonkan oleh Nabi Musa bukan dari sekolah pemikiran sihir melainkan hakikat kebenaran dan kuasa mukjizat dari Tuhan Sekalian Alam.

 

3) Sebaliknya, pada kaca mata orang ramai yang tidak tahu selok belok sihir mungkin pulang ke rumah dengan tanggapan, Musa hanyalah seorang lagi tukang sihir yang berjaya di Kota Mesir, tidak lebih dari itu.

 

4) Ilmu dan kefahaman ternyata melahirkan tindakan yang berbeza. Kefahaman membuahkan iman dan amal yang betul sehingga amal yang sanggup berhadapan ancaman maut.

 

5) Amal tanpa ilmu mungkin hanya didasari oleh semangat. Semangat sifatnya turun dan naik, tetapi sukar untuk berkelanjutan. Semangat merupakan buah dari sentimen pada isu. Turun dan naiknya cepat.

 

6) Tetapi untuk membuahkan kefahaman, ia perlu didikan yang lama, berperingkat dan berterusan.

 

7) Mungkin kerana dorongan semangat, Bani Israel lari bersama Musa. Mereka berbekalkan sentimen, Musa telah menang mengalahkan ahli sihir, mesti Musa juga akan menyelamatkan kita. Sebaik sahaja mereka selamat, lihat apa yang berlaku;

 

وَجَٰوَزۡنَا بِبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ ٱلۡبَحۡرَ فَأَتَوۡاْ عَلَىٰ قَوۡمٖ يَعۡكُفُونَ عَلَىٰٓ أَصۡنَامٖ لَّهُمۡۚ قَالُواْ يَٰمُوسَى ٱجۡعَل لَّنَآ إِلَٰهٗا كَمَا لَهُمۡ ءَالِهَةٞۚ قَالَ إِنَّكُمۡ قَوۡمٞ تَجۡهَلُونَ

Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil. -Sura Al-A'raf, Ayah 138

Friday, March 18, 2022

SEDEKAD BERSAMA TARBIYAH


Kami telah mula mengikuti perkumpulan tarbiyah sejak tahun 2011 dan tahun 2021 genap 10 tahun kami bersama kumpulan tarbiyah, yang begitu kuat mendakap bahawa tidak ada cara lain untuk mengembalikan kegemilangan islam, melainkan dengan mengumpul semula para pemuda, mentarbiyah dan menyusun amal kita bersama.

Selain daripada genap 10 tahun bersama tarbiyah, tahun 2021 sangat istimewa buat kami secara peribadi. Dalam perkhidmatan awam (penjawat awam), mereka yang berkhidmat genap 10 tahun perkhidmatan akan diberikan kelayakan cuti rehat (annual leave) tambahan. Namun meniti 10 tahun bersama tarbiyah, ternyata Allah swt telah mengurniakan kami lebih daripada apa yang kami rancang, sangka dan harapkan. Jika berkesampatan, insya Allah akan kami coretkan kisah dan ibrah, semoga dapat kita fikir dan renungkan bersama.

Memasuki tahun 2022, semoga lebih banyak yang dapat kami kongsikan. Lebih-lebih lagi sekarang peserta-peserta tarbiyah terdiri daripada generasi baharu yang tidak lagi membaca dan merujuk bahan-bahan fikrah yang berat. Saban hari, adik-adik dihidangkan dengan permainan media sosial, bacaan kupasan isu yang membentuk pemikiran mereka entah ke mana.

Mungkin, saya katakan mungkin- kita perlu kembali menyiarkan lagi artikel pilihan, buah idea dan pemikiran untuk mereka juga baca. Mudah-mudahan!

Dalam satu sesi perkongsian bersama dengan sekumpulan pemuda tempoh hari, kami diminta bercerita tentang sejarah Ikhwan al-Muslimin, satu gerakan pelopor harakah islam yang telah meletakkan batu atas dan usul kepada amal islami dalam dunia islam moden. Sudah tentu berkongsi sesuatu yang kita hanya mampu baca, tidaklah sehebat berkongsi apa yang kita lalui dan rasa.

Di hujung sesi, pihak penganjur meminta kami memberikan sedikit pesanan. Dari kupasan sejarah yang panjang, merentasi generasi itu saya menasihati diri saya dan mereka semua yang juga rakan-rakan yang tidak banyak bezanya untuk terus erat memeluk jalan dakwah. Ini kerana, semakin jauh berjalan, kita telah merungkai banyak pengalaman, pengetahuan dan keberadaan kita makin mengesankan (mu'athirah). Kita bawa bersama kita secara akumulatif aset pengalaman yang tidak ada pada generasi baru. Jadi, jalan dakwah makin berhajat kepada kita untuk memuntahkan semula apa yang telah kita ambil dari jalan ini untuk diberikan kepada mereka yang baru bertemu muntalaq.

Semoga pesanan itu juga berjaya saya kotakan hingga akhir usia.


Sehingga ketemu lagi!



BAGAIMANA MEMULAKAN PERJALANAN TARBIYAH ANDA?



Jom semak pelajaran dari Nabi Musa as ini;

 

 

وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبۡرَحُ حَتَّىٰٓ أَبۡلُغَ مَجۡمَعَ ٱلۡبَحۡرَيۡنِ أَوۡ أَمۡضِيَ حُقُبٗا

(Abdullah Muhammad Basmeih) Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun". -Surah Al-Kahf, Ayah 60

 

1) Begin with the end in mind. Mulakan dengan azam dan goal yang jelas. Azam dan kesungguhan ini terpancar dengan apa yang diucapkan oleh Nabi Musa. Ia bukan di awang-awangan sahaja.

2) Berteman! Boleh kah Nabi Musa bersendirian? Boleh. Tapi Allah takdirkan ia memilih teman. Teman inilah yang akan menguatkan dan mengokohkan langkah kita!

 

3) Memulakakan ketika masih muda! Ini dirujuk pada perkataan لِفَتَىٰهُ yang bermaksud pemuda. Ketika itu temannya itu disebut sebagai pemuda. Ketika muda lah menuntut ilmu, bangunkan potensi! Muda itu kuat!

 

4) Tidak akan berhenti selagi objektif tidak tercapai. Bahkan dia akan berjalan bertahun-tahun. Objective-oriented!

 

5) Keluar dan datangi ilmu, para guru dan murabbi. Bukan menunggu untuk disuap, lagi dan lagi. Lakukan perjalanan. Kerana keluar menempuh perjalanan juga merupakan tarbiyah bahkan akan dimudahkan jalan ke syurga.