Saturday, March 30, 2013

MARI BERAMAL



Hadis no 361:

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w bahawa ada seseorang berkunjung ke tempat saudaranya yang berada di lain desa, kemudian Allah Ta’ala mengutus malaikat untuk menghadangnya, dan setelah malaikat itu bertemu dengan orang itu kemudian bertanya;

“Mahu ke mana kamu?” Orang itu menjawab, “Saya akan berkunjung ke tempat saudaraku yang 
bertempat tinggal di desa itu”

Malaikat itu bertanya, “Apakah kerana kamu merasa terhutang budi kepadanya?” Orang itu menjawab, “Tidak, saya mencintai dia kerana Allah Ta’ala semata.”

Malaikat itu berkata, “Sesungguhnya aku utusan Allah untuk menjumpaimu dan sesungguhnya Allah telah mencintaimu sebagaimana kamu mecintai saudaramu kerana Allah”

(HR Muslim)


Hadis no 370:

Dari Ibnu Mas’ud r.a. berkata. “Ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah .s.a.w. kemudian bertanya, “Wahai Rasulullah bagaimana pandangan tuan tentang seorang yang mencintai sesuatu kaum tetapi dia belum pernah bertemu dengan mereka?”

Maka Rasulullah bersabda. “Seseorang itu akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya itu, (nanti di akhirat)”

(Muttafaqun ‘Alaih)


Hadis no 377:


Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat, “Manakah mereka yang saling mecintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka akan Aku beri naungan pada hari tiada naungan melainkan naunganKu sendiri,”

(HR Muslim)


Hadis no 382:

Dari Mu’az r.a. berkata, “Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah Azza Wajalla berfirman, “Orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu, maka mereka akan memiliki mimbar-mimbar dari cahaya yang diinginkan pula oleh para nabi dan para shuhada”

(HR Tirmizi dan dia mengatakan bahawa ini adalah hadis hasan shahih)


Himpunan Hadis dari Kitab Riyadhus Solihin
Susunan Imam Nawawi


Mari Beramal :)


-----------

Secebis peringatan. Untuk dikongsi.
Pinjamkan daku sekelumit Cuma masamu.
Wah dah macam Fatimah Syarha pun ada.
Bukalah mata seluasnya, lihat kehadapan sejauh mata bisa memanah
Jujur pada diri, bacalah atas dasar mencari kebenaran
Bukan membenarkan keinginan atas kebenaran

 
Sudah sekian lama kita di sini, kerana apa?
Menagih peringatan. Tidak henti-henti
Buat pedoman hidup. Mungkin.
Namun tidak hairankah kalian?
Kerana apa setelah peri banyaknya teguran dan peringatan
Kita masih di takuk lama
Dan kita terus menagih. Aneh.
 
Apa yang kita harapkan sebenar. Ilmu sudah menggunung
Namun masih sepi tanpa amal
Lagi-lagi kita mencari, bahan bacaan buat peringatan
Adakah benar kita ingin mencari peringatan atau sekadar jadi tatapan harian?

Di luar sana, setapak pun tidak ubah.
Kita ini sebenarnya dambakan seminit keinsafan sahaja
Terus mencari hujah-hujah menembak jiwa
Kemudian kita berbalik pada jasad yang sama
Terus menerus bergelumang dalam lumpur hitam itu

Apa natijahnya kita masih di sini?

Apa pandangan kalian jika seseorang yang kalian nasihati sekadar mendengar,
alih-alih mereka masih melakukan yang sebaliknya?

Adakah ini suara kekecewaan? Sudah pasti tidak.
Apa untung daku kecewa? Pastinya ini sebuah harapan.
Agar membawa arus baharu. Eh?

Thursday, March 28, 2013

SUDAH LUPAKAH KITA?



Sudah lupakah kita?

Kita yang dahulu.

Di hujung minggu kita berbungkus dalam selimut. Solat subuh entah ke mana. Membuta sepanjang hari. Aku aku. Engkau engkau. Kita isi hujung minggu dengan games-games. Kita berpesta sampai larut pagi. Dengan dotanya, dengan marathon koreanya. Dengan sebaldi megginya. Kita ikut kawan-kawan ke pusat Bandar. Kita buang duit mak ayah bagi di panggung panggung wayang. Kita tengok movie itu movie ini.

Sudah lupakah kita?

Kita yang dahulu

Quran entah ke mana. Baca bila perlu. Musim exam baru kita cari sejadah. Bila malam Jumaat mulalah kita tengok-tengok surah Yassin. Hari-hari kita penuh gelak dan tawa. Solat kita tunggang langgang. Kawan-kawan kita entah apa-apa. Kita pernah sangkut dengan entah anak siapa. Malam kita tak tidur, bermadu kasih. Berbunga-bunga cinta. Tiada siapa kisah.

Sudah lupakah kita?

Kita yang dahulu

Kita yang rancak di alam maya. Usik situ usik sini. Lagu-lagu ganas dan seram yang menjadi halwa telinga. Bait-bait lirik yang entah apa maknanya yang jadi zikir kita. Di alam maya entah bermacam video kurang sopan lagi menjijikan jadi tatapan kita. Kita yang tidak pernah peduli tentang siapa jiran kita. Tidak pernah tahu apa yang berlaku di seberang sana. Anehnya kita berasa cukup baik. Cukup sempurna.

Sudah lupakah kita?

Kita yang dahulu

Yang tidak pernah ingin peduli. Tidak pernah ingin ambil tahu. Pakaian kita yang ketat bagai. Koyak rabak sana sini. Kita makan sesuka hati. Macdonald? Kitalah duta. Coca-cola itu jiwa kita. Music itu sahabat sejati kita. Kita hidup sendiri-sendiri. Cari kawan bila perlu. Kita yang kedekut. Yang berkira. Kita yang racist. Kita yang cakap kotor. Yang cakapnya asyik nak menang.

Sudah lupakah kita?

Entah bagaimana.

 Dia bimbing kita. Keluarkan kita dari lorong gelap itu.
Berikan kita cahaya.
Dalam ramai-ramai, kita yang dipihNya.

Entah kenapa.


“….Ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.

Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari sana. Demikianlan Allah telah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu mendapat pertunjuk dan hidayahNya..”

(Ali Imran:103)


Sudah lupakah kita?

Kita yang baharu.

Sejak detik itu. Kita mula kenal erti kehidupan. Kita mula bersahabat dengan Quran. Kita mula mendekati masjid-masjid dan suaru-surau. Kita mula rasa ni’mat nya beragama. Mulai rasa signifikannya kehidupan. Mula belajar mengenali Rasul. Mula belajar mengenali Sang Pencipta.

Sudah lupakah kita?

Kita yang baharu.

Kita diperkenalkan dengan benda-benda baharu. Yang asing di waktu lampau. Kita diperkenalkan dengan dakwah. Yang suatu hari dahulu kita takut mendengarnya. Tapi aneh kita berkorbar-korbar mempelajarinya. Kita bersemangat untuk mengaplikasinya. Kita diperkenalkan pula dengan ilmu ilmu tambahan. Bahan-bahan fikrah.

Sudah lupakah kita?

Kita yang baharu

Kita berkawan dengan sahabat baharu. Yang juga pernah menjadi mangsa kehidupan. Kita mulai episod baharu. Berjalan seiringan. Menyanyikan lagu perjuangan yang sama. Sama-sama kita bersajak. Sama-sama kita menghayun tangan. Kita mengangkat janji. Sama-sama kita kecoh. Sama-sama kita ganding bahu, berdakwah dalam kelas, berpesan sesama kita.

Sudah lupakah kita?

Yang kerana dakwah kita sanggup tak tidur malam. Beramai-ramai dalam kereta yang satu kita keluar di hujung minggu. Terus menghilang. Tatkala yang lain sibuk menelaah, kita terhegeh menyantuni para mad’u. Bila ada antara kita yang malas-malas dan culas, cepat-cepat kita hulurkan tangan. Kita yang erat dan utuh.

Sudah lupakah kita?

Tapi aneh.

Setelah sekian lama, hilang semua itu.
Mana pergi kita yang baharu ?
Kenapa kita kembali kepada yang dahulu?


Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungi, dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia memberikan petunjuk dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan lalu Dia memberikan kecukupan
(Ad Duha :6-8)


Sudah lupakah kita?
Ikhwah dan Akhwat sekalian?

Wednesday, March 27, 2013

WALAUPUN DUA SAAT


Angkatan pelopor Islam itulah angkatan yang mendapat taufik Allah dan akan berjaya. Sesiapa yang tidak menyertai mereka sekarang, pasti akan menyesal dan ‘kecewa habis’ sebagaimana Zuljausyan al-Dhababi r.a., seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang tidak Islam kecuali selepas pembukaan Mekah. Rasulullah SAW.  pernah mengajaknya kepada Islam selepas peperangan Badar

“Baginda bersabda:

“Tidak mahukah kamu menjadi salah seorang pelopor dalam kerja itu”?

Dia berkata: “Tak mahu”

Baginda bersabda: “Apakah yang menahan kamu”?

Dia menjawab: “Aku telah melihat kaummu mendustakan, mengusir dan memerangi kamu. 
Tengoklah nanti. Jika kamu mengalahkan mereka, aku akan berimanlah.. dan aku akan mengikutmu. Jika mereka mengalahkan kamu, aku tidak akan mengikutmu.

Setelah beliau Islam, dia sentiasa kecewa dan menyesal kerana tidak segera Islam ketika diajak oleh Rasulullah S.A.W.”

Bukankah pada hari ini, ramai orang berfikiran sama seperti beliau? Realiti pertempuran Is­lam mengajak mereka supaya menjadi kelompok perintis,  pelopor, pendahulu dan ketua kebangkitan Islam, tetapi mereka enggan. Mereka hanya duduk memerhati di belakang dan menunggu siapakah yang akan menang.

Berapa banyak agaknya jari-jemari yang akan digigit kerana rasa kesal ketika Allah memberi kemenangan kepada kumpulan Islam?


-Al Muntalaq
-Bab 9


-------------------------


Dan mengapa kamu tidak membelanjakan harta benda kamu pada jalan Allah? Padahal Allah jualah yang mewarisi langit dan bumi (serta segala isinya). Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Mekah).

Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu kerjakan.

(Al Hadid :10)


-----------------------


Tidak sama. Sebelum. Sesudah itu.
Lebih tinggi. Darjat.

Tidak sama.

Hari ini ramai orang nak buat baik. Cuma ternanti-nanti. Menunggu dan menanti waktu yang sesuai. Kisah sahabat yang menyesal tak habis di atas cukup wajar untuk kita taddabur dan ambil pengajaran. Jangan sampai nanti kita pula menggit jari, gigit gigi dan gigit segala ada kerana tidak memanfaatkan peluang yang ada.

Ayat Quran di atas, jelas.

Tidak sama yang berjuang sekarang dan selepas ini. Tidak sama itu bahasa mudahnya berbeza. Di mana perbezaannya ? darjat di sisi Allah.

Mengapa Allah menggesa kita untuk be part of ‘this’ sekarang, now, instead of selepas ini, sesudah itu? Kerana kita tidak tahu apakah masih ada ‘selepas ini’ buat kita. Atau kita bakal pergi sebelum sempat mengecapi fasa ‘selepas’ ini.

Keduanya, sekarang, kenapa kita tidak mahu bertindak sekarang ? Bertindaklah sekarang. Shieldtox kan ada. Eh. Ini kerana sekarang kita rasa malas. Kita rasa masih awal. Kita mahu guling-guling atas katil dulu. Kita mahu habiskan ais krim potong yang semakin cair itu. Kita mahu chill dulu. Ketahuilah, di saat dan titik itu, itulah saat dan titik yang terbaik untuk kita bergerak. Di saat itulah kita butuh mujahadah yang tinggi. Di situlah titik tolak yang terbaik dan termahal nilainya di sisi Allah.

Malangnya kita masih menuggu.


Ketahuilah,

Tidak sama orang yang menginfakkan hartanya sekarang dan yang bercita-cita untuk menginfakkan hartanya selepas sudah bekerja nanti walaupun sekarang di sedang bertungkus lumus mengumpul emas segunung Kinabalu untuk diinfakkan. Tetap ia tidak sama.

Tidak sama orang yang membawa halaqah walaupun satu sekarang berbanding orang yang bercita-cita untuk membawa dua puluh halaqah (o.o) setelah dia bekerja nanti. Tetap tidak sama.

Tidak sama orang yang bersama-sama dalam gerabak dakwah dan tarbiyah sekarang berbanding orang yang memasang niat untuk menggabungkan diri minggu hadapan, bulan hadapan mahupun tahun hadapan atas alasan belum bersedia atau apa-apa aje alasan yang ‘nyah kau alasan’.

Tidak sama orang yang ingin menghabiskan bacaan al Quran, tilawah dan taddaburnya selepas ini, berbanding orang yang sedang berusaha gigih menyempurnakannya sekarang meskipun dia dibanjiri kerja yang bertimbunan, komitmen dunia yang mendayu-dayu memujuknya untuk berteman tapi mesra.

Tidaklah sama orang yang ingin menyambung menelaah pelajaran dan membaca untuk persiapan peperikasaannya sekarang berbanding yang menunggu-nunggu tarikh semakin hamper dengan tarikh peperiksaan untuk memulakan langkah pertama.

Tidaklah sama orang yang menunggu masuk waktu tidur untuk menyempurnakan mutaba’ah amal hariannya berbanding orang yang bersegera memenuhi jadual amal tersebut. Tidak sama dan tidak serupa.

Tidak sama orang yang memulakan tarbiyah dzatiyah sendiri, tanpa kelolaan murabbi  berbanding orang yang menunggu untuk ditegur untuk mula mempertingkat amal dan memperbanyak bahan bacaan, serta menyantuni adik-adik dan sebagainya.


Sesaat selepas ini tidak sama dengan sesaat sebelum ini 
walaupun bezanya dua saat. Ya. Walaupun dua saat.


Jadi apa yang kita tunggu ?

 
Jangan kita jadi seperti berikut;

(Pada saat itu) mereka menyeru orang-orang yang beriman: “Bukankah kami bercampur gaul dengan kamu (di dunia dahulu)?”

Orang-orang yang beriman menjawab: “Benar! Akan tetapi kamu telah membinasakan diri kamu dan kamu telah menunggu-nunggu , dan kamu pula ragu-ragu (terhadap perkara-perkara ugama) serta kamu diperdayakan oleh angan-angan kosong 

sehinggalah datangnya (maut) yang ditetapkan oleh Allah (kepada kamu). Dan (selain itu), kamu pula diperdayakan oleh bisikan Syaitan dengan (pengampunan) Allah (semata-mata dan melupakan azabNya).

“Oleh itu, pada hari ini tidak diterima penebus diri dari kamu, dan tidak juga dari orang-orang kafir. Tempat tinggal kamu ialah neraka, nerakalah sahaja penolong kamu, dan itulah seburuk-buruk tempat kesudahan kamu!”

(57:14-15)


T_T