Friday, April 12, 2013

TADABBUR #3


*Betulkan tali pinggan*

*Sikat rambut*

 *Clear throat*


Bertemu kembali kita dalam rancangan mari mentadabbur ayat ayat cintaNya. Pejam celik pejam celik rupanya sudah tiga episode kita ke udara. Udara mana tu? Saya harap sidang pendengar terus setia dan teruja menantikan siri-siri tadabbur ini. Wah. Perasan. Tiga saat.

Sekali lagi saya bawakan surah Ibrahim, ayat 7 ini untuk kita sama kembali renung dan cedok pengajaran. Benar. Sudah kita simak tempoh hari, ayat yang sama. Tapi pada amatan saya ayat ini masih terlalu sarat dengan ibrah yang bisa kita toleh sekali lagi. Bahkan berkali-kali lagi selepas ini dengan izinNya.


"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

(Ibrahim 7)

 Ayat ini berbicara soal manusia yang syukur dan kufur. Di situ pun sudah kita dapat satu hubungan kata yang sepadan. Syukur itu lawannya kufur. Nah. Kalau kita tidak syukur ertinya kita kufur.

Menariknya, di posisi pertama apabila berbicara tentang orang yang bersyukur Allah lantas menyebut, “Aku akan tambahi nikmatKu kepadamu”

Sebaliknya apabila seseorang yang tidak syukur, tidak pula Allah menyebut “Akan aku tarik nikmatKu darimu”.

Dari sini dapat kita pelajari bahawa boleh jadi di saat kita tidak henti-henti dihujani nikmat kita terpelosok jatuh dalam lembah kekufuran. Nikmat pada waktu itu bererti ujian. Dan dek sarat melayani nikmat nikmat tadi kita langsung ‘lupa’ untuk bersyukur. Maka kita harus berhati-hati. Dan dalam keadaan kita ‘lupa’ untuk bersyukur nikmat itu tidak pernah berkurangan.

Ini bahaya.

Di saat kita acuh tak acuh beribadah kepadanya, masih berteman mesra dengan kemaksiatan tapi anehnya masih diulik dengan nikmat kesenangan di dunia maka kita perlu berwasapda bahawa kita sebenarnya telah melangakui batas kesyukuran. Bahawasanya nikmat tadi bukan ganjaran atas dasar kita syukur. Maka mari kita muhasabah!

Di saat pelajaran kita tip top tapi kita liat dalam salatnya. Di saat aktivitas dakwah kita kencang di medan tapi kita liat dalam menjaga hubungan denganNya. Di saat kita dihiasi berita-berita gembira tapi kita jarang sekali berterima kasih kepadanya. Ketahuilah di sekian saat , nikmat nikmat itu bukan ganjaran atas dasar kesyukuran.


Tapi itulah manusia.
 
Sering sahaja terlupa.
 
Dan saat saat tadi memang ada.

Saya, anda, mereka.
Kita semua.
Sering sahaja.

 Cuma jangan cepat melatah. Mari kita dalami lagi ayat ini.

Mari kita lihat apa ganjaran atau akibat kufur.

Tidak jelas. Tidak disebut,

“Jika kamu kufur, Aku akan azab kamu”

Walhal pada ganjaran syukur Allah terus menyebut “Akan Aku tambahi nikmatKu kepadamu”

Tapi kali ini kata ayat ini berbunyi, “Sesunggunya azab Aku sangat keras”

Indah bukan susunan kata ayat cintaNya. Di saat kita ‘lupa’ untuk bersyukur, tidak terus kita akan diazab sebaliknya kita diberi amaran akan azab yang sangat keras. Di sini, ayat ini memberi satu pengharapan buat mereka yang ‘lupa’ untuk syukur untuk kembali ke jalan yang benar.

Pada ayat ini ada amaran, ada harapan dan motivasi buat kita semua. Begitu sekali bicara ayat cintaNya dengan kita. Maka rebutlah peluang ini untuk kembali bersyukur.

Mari kita hisab diri masing-masing. Ada titik tengah yang membezakan nikmat atas dasar ganjaran mahupun nikmat untuk menguji. Di mana titik tengah itu? Kitalah yang lebih mengetahui. Atas dasar itu butuh penghisaban supaya kita sadar di mana keberadaan manifestasi syukur kita.

Dan buat yang terlanjur, masih ada harapan. Inilah Islam.
Penuh dengan harapan. Islam harapan rakyat. Eh?

Cukup sekadar itu tadabbur kali ini. Moga ada ibrah yang boleh kita tatap dan amalkan. Moga ada ruh daripada perkongsian ini yang menggerakkan setiap daripada kita untuk mara ke hadapan dalam 
menzahirkan rasa syukur kepadaNya. Ayuh kongsikan dengan sahabat. Atas dasar syukur.

Akhir kalam, semoga kita terus diberi basirah, yakni kejelasan untuk mendalami dan memahami ayat-ayat cintaNya yang sarat dengan pengajaran dan hikmah. Dan moga keterujaan kita untuk meneroka ayat-ayat ini tidak terhenti di titik akhir ini. Titik.

2 comments:

Anonymous said...

betulkan tali pinggang ya akhi.

pinggan ade tali ke? :D

Inspector Saahab said...

hew hew

k foineee