Friday, October 23, 2020

CERITA IKHWAH - KENAPA MASIH BERUSRAH



Kami cuba untuk memastikan laman yang tidak lagi diminati ini kembali aktif dengan menyiarkan lebih kerap artikel dan buah fikiran. Laman ini merupakan kerja-kerja rehat (mengikut bahasa Sheikh Muntalaq) kerana para daie tidak mencetak buku tetapi mencetak rijal. Namun kita kongsikan juga beberapa perkara yang dirasakan perlu. Diharap ia menjadi kumpulan kata-kata yang bermanfaat dan laman ini menjadi salah satu benteng mempertahankan fikrah islam dan dakwah kita bersama. Tiada paksaan untuk terus membacanya. Anda boleh langsung pergi.

Apa yang akan kami ceritakan kali ini akan mengimbau kembali kenangan sebahagian daripada kita berkenaan momen-momen ketika awal-awal ditarbiyah, momen diberi Qur'an terjemah dan menghirup betapa nikmatnya tadabbur al-Qur'an.

Malangnya sebahagian besar daripada kita telah pun merasa puas dengan momen tersebut dan telah beralih kepada minat-minat yang lain. Pasar dan ladang-ladang ternak lebih mengasyikkan. Dunia telah mula menemui jalan masuk ke dalam hati kita sehinggakan bacaan al-Qur'an tidak lebih daripada getaran suara dari kerongkong sahaja. Simpati.

Seorang akh telah berkongsi bagaimana dia memahami satu ayat ini. Satu ayat yang membuatkan beliau istiqomah untuk membersamai halaqah dan beriltizam dengan kelompok ikhwah yang lain. Marilah kita kongsikan sedikit sedutan ayat yang dimaksudkan dan bagaimana beliau mengambil manfaat dari ayat tersebut.

Firman Allah :
 

 

وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ رَبَّهُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجۡهَهُۥۖ وَلَا تَعۡدُ عَيۡنَاكَ عَنۡهُمۡ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُۥ فُرُطٗا

(Abdullah Muhammad Basmeih)
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran

SYEIKH AR-RANTISI DALAM KENANGAN

 


Jika tidak silap, pada awal tahun 2014 yang lampau di Subang, dalam suatu pertemuan halaqah, salah seorang dari peserta halaqah kami berkongsikan satu ayat al-Qur’an yang mempunyai kaitan rapat dengan Syeikh Ar-Rantisi.

 

Syeikh telah diangkat untuk mengepalai Gerakan HAMAS selepas syahidnya muassis gerakan itu iaitu Sheikh Ahmad Yassin pada tahun 2004. Dalam satu wawancara media setelah beliau diangkat menjadi ketua HAMAS, media bertanya,

“Are you afraid to die”

Jawapan yang diberikan oleh Sheikh ar-Rantisi sangat luar biasa. Ia adalah jawapan yang terbit dari mafhum ayat al-Qur’an. Nah, ayat ini lah kami pelajari pada malam itu. Setelah mentilawahkan ayat berkenaan dengan tenang sekali, akh berkenaan berkongsi kepada kami khawatir dan tadabur beliau serta kisah ar-Rantisi tadi.

 

Saya tidak mengambil effort lebih untuk mencari wawancara berkenaan untuk melihat sendiri, apakah jawapan Sheikh, yang kini telah pun pergi buat selama-lamanya. Sehinggalah beberapa hari yang lalu, kisah dan topik yang kami diskusi pada tahun 2014  tiba-tiba masuk ke dalam kotak pemikiranku. Lalu saya telah membuat carian di YouTube dan alhamdulillah menemui video wawancara berkenaan!

 

Semoga pahala buat allahyarham berterusan kerana terus memberi inspirasi kepada kami. Apakah ayat berkenaan ?

 

Allah swt berfirman :



قُل لَّن يَنفَعَكُمُ ٱلۡفِرَارُ إِن فَرَرۡتُم مِّنَ ٱلۡمَوۡتِ أَوِ ٱلۡقَتۡلِ وَإِذٗا لَّا تُمَتَّعُونَ إِلَّا قَلِيلٗا

Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja".

-Sura Al-Ahzab, Ayah 16

Saya kerap kali merenung ayat ini sejak kebelakangan ini. Hal ini kerana suasana kehidupan para ikhwah sangat pelik dan ajaib. Adakah kerana kami sudah tidak memahami ayat ini ? Namun pemerhatian-pemerhatian ini akan kami sampaikan atau kongsikan di sini untuk renungan sendiri dari semasa ke semasa.

 

OH, dan link kepada wawancara Sh ar-Rantisi :

 

https://youtu.be/i5TOLiYHVmk

Monday, October 19, 2020

SAYA (CUBA) KEMBALI - CIKGU SARIMAH




Kali terakhir saya memuat naik sebarang entry dalam blog ini ialah pada bulan Februari tahun ini. Satu pencapaian yang mendukacitakan kerana walaupun tempoh PKP yang lama, tiada catatan bernilai telah dimuatkan. Benarlah, if you want to get a job done, give it to the busiest person! Satu ungkapan yang mungkin ada benarnya.

Masa memang unik! “Demi masa!”, sumpah Allah swt dan betapa benarlah sumpahan Allah, manusia dalam kerugian. 3 bulan PKP tidak akan kembali lagi. Jika pun ia dikuat kuasakan semula, ia adalah makhluk baharu, bukan hari-hari lampau yang telah pergi. Satu muhasabah!

Tetapi saya cuba kembali lagi kerana nature dakwah from home  ini sangat menyebabkan para daie mudah tertipu dan terpedaya dengan dakwah yang kelihatan mudah! Semuanya dengan klik-klik dan sedikit persiapan bermain papan kekunci yang boleh dibuat di penjuru katil, di bawah bayu pendingin hawa!

Di mana kita bermula ?

Mungkin dengan mengenangkan kembali sebarang dua kisah yang sudah makin menipis dalam ingatan. Cikgu Sarimah merupakan cikgu Bahasa Melayu kami di MRSM suatu ketika dahulu. Sudah tentu cikgu-cikgu Bahasa Melayu sangat gigih mengajar kami sehingga skill menulis kami pada hari ini masih baik. Semoga setiap tulisan yang baik, susunan kata yang tersebar dan difahami sekelian umat dengan membawa seribu satu peringatan, pahalanya turut mengalir dan dinikmati oleh para guru kami, apatah kedua ibu bapa kita !

Kenapa kita bermula dengan kisah Cikgu Sarimah ?

Saya tidak tahulah bagaimana untuk membalas jasa para guru. Hanya Allah swt yang mampu mengganjari usaha, kesungguhan dan keikhlasan mereka!

Namun saya agak gembira mengingatkan Cikgu Sarimah. Ini kerana, ketika kami memulakan dakwah nun jauh di pekan Gombak sekitar 2013 seumpamanya, ditakdirkan Allah anak Cikgu Sarimah pada waktu itu termasuk dalam senarai pemegang biasiswa yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kami tidak menyangka dalam sekelian individu yang disantuni, beliau adalah anak guru kami yang kami sanjungi. Mari kita namakan dia Ikhwan. Beliau telah menjadi sebahagian daripada ahli halaqah kecil yang dibawa oleh anak didik halaqah kami di situ.

Ketika bertaaruf dengan Ikhwan, kami sangat terkejut dan gembira akan perjalanan hidup ini. Bagaimana Allah swt memberi kami sedikit ruang dan peluang untuk membalas jasa guru kami dengan menyantuni anaknya, lebih-lebih lagi disantuni dengan rangka berkongsi nikmat tarbiyah islam. Luar biasa takdir ini!

Kisah yang tak seberapa penting untuk kalian baca ini telah menguatkan kefahaman dan keimanan saya kepada suatu scenario yang dikhabarkan oleh Allah swt dalam surah al-Kahfi.

Allah swt telah mengutus hamba-hamba-Nya yang luar biasa iaitu Nabi Allah Musa, dan Hamba-Nya yang soleh yang dikatakan bernama Khidir untuk menyelamatkan harta yang ditinggalkan oleh sang ayam yang telah pergi selamanya, kepada dua orang anak yatim. Firman Allah;

 

وَأَمَّا ٱلۡجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَٰمَيۡنِ يَتِيمَيۡنِ فِي ٱلۡمَدِينَةِ وَكَانَ تَحۡتَهُۥ كَنزٞ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَٰلِحٗا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبۡلُغَآ أَشُدَّهُمَا وَيَسۡتَخۡرِجَا كَنزَهُمَا رَحۡمَةٗ مِّن رَّبِّكَۚ وَمَا فَعَلۡتُهُۥ عَنۡ أَمۡرِيۚ ذَٰلِكَ تَأۡوِيلُ مَا لَمۡ تَسۡطِع عَّلَيۡهِ صَبۡرٗا

 

Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".

 

-Sura Al-Kahf, Ayah 82

 

Atas sebab apakah tumpuan dan perhatian Allah swt cukup istimewa kepada dua anak yatim tadi? Memang anak yatim mendapat perhatian istimewa, tetapi bagi dua anak yatim dalam kisah ini, ia lebih istimewa. Dan jawapannya kita ketemui pada frasa, dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.! Ya! Kerana kesolehan si bapa yang telah pergi meninggalkan dunia yang sementara ini telah menjadi asbab Allah mengutus para hamba yang terbaik untuk memelihara anak yatim tadi!

 

Jadi, mungkin begitulah Allah melindungi ahli keluarga kita, apabila kita sudah tiada di samping mereka. Kesungguhan, kesolehan, keikhlasan dan amal-amal kita akan menjadi asbab untuk Allah membantu kita mengurus dan memelihara ahli keluarga kita. Tidaklah saya katakan, kami merupakan utusan tuhan untuk menjaga dan memelihara Ikhwan, dalam konteks cerita tadi, tetapi sedikit sebanyak somehow it’s relatable. Berkat kesungguhan Cikgu Sarimah mendidik anak bangsa, maka Allah ‘ganjari’ dengan menjaga serta memelihara perjalanan hidup si anak, ketika si ibu tiada di sisi!

Begitulah kita yakin, berdoa dan berharap, usaha dakwah kita yang kecil, masa yang kita sumbangkan untuk islam sehingga sedikit sekali tersisa untuk kita berikan perhatian kepada keluarga, saudara-mara dan kenalan, akan menjadi asbab untuk Allah mengutus para hamba-Nya dalam kehidupan keluarga, saudara mara dan kenalan kita. Semoga kesolehan kita ini mengesani dan memberi limpahan kebaikan kepada orang-orang di sisi kita walaupun kita tidak lagi bersama mereka, apatah setelah kita berkunjung ke alam sana!

Thursday, February 6, 2020

BAGAIMANA BOLEH FUTUR?




Izinkan kami menulis lagi pada malam yang hening ini berkongsi rasa dan tadabur apabila menghadap ayat-ayat Allah dengan pengalaman tarbiyah dan secebis ilmu. Pada ayat di bawah, Allah mengungkapkan dengan penuh kehairanan! Kaifa?! Bagaimana?

Satu persoalan timbul!

Bagaimana kamu boleh kufur, kembali kafir sedangkan dibaca ke atas kamu ayat-ayat Allah dan dalam kalangan kamu ada RasulNya!

Pelik!

وَكَيۡفَ تَكۡفُرُونَ وَأَنتُمۡ تُتۡلَىٰ عَلَيۡكُمۡ ءَايَٰتُ ٱللَّهِ وَفِيكُمۡ رَسُولُهُۥۗ وَمَن يَعۡتَصِم بِٱللَّهِ فَقَدۡ هُدِيَ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ
Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)?
-Sura Aal-E-Imran, Ayah 101

Apa yang pelik?

Pada amatan kami, ayat ini memberi isyarat bahawa dengan dua benda ini cukuplah untuk meyakinkan manusia untuk beriman  dan untuk terus istiqomah mendiami iman tersebut; iaitu melazimi ayat Qur’an dan adanya para Rasul yang mendampingi mereka. Dengan dua unsur ini, sepatutnya sangat pelik mereka masih kufur kepada Allah swt!

Dalam situasi tarbiyah kita, barangkali kita boleh anggap dua kunci atau unsur yang boleh membantu bahkan perlu bagi seorang akh untuk terus istiqomah dalam amal islami ialah tarbiyah bermanhaj yang berterusan dan hadirnya seorang sosok murabbi.

Jika terus hadir wasilah tarbiyah, sering dibacakan ayat-ayat Allah, mengkaji ilmu islam dan keluasan ilmu Allah ditambah pula adanya murabbi di sisi, bagaimana lagi antum boleh futur??

Inilah ibrah yang menjenguk masuk ke dalam kotak pemikiran kami. Betapa manusia itu berhajat kepada dua benda ini untuk terus bersemangat waja dalam amalnya; sumber tarbiyah dan seorang murabbi!

Saudaraku,

Betapa kita berhajat kepada tarbiyah.

Betapa berhajatnya kita pada tarbiyah, dengan materinya yang tersusun dan dengan seorang murabbi ini mengingatkan kita bagaimana hubungan guru dan pelajar dalam kesenjangan atau pemeringkatan dunia akademik.

Ketika kita masih di bangku sekolah, biasanya seorang guru mempunyai puluhan dan bahkan mungkin ratusan murid dengan seorang guru menjadi guru untuk beberapa kelas. Begitu tingkatan atau “darjah” kompleksiti dan tingkatan akademik ini menaik, ratio murid : guru semakin mengecil.

Atau lebih jelas kita lihat di IPT. Ketika kita berada di kelas undergraduate, seorang pensyarah menjadi rujukan ratusan siswa. Begitu siswa itu meningkat dari sarjana muda, sarjana dan sehingga kedoktoran, bilangan pelajarnya berkurang untuk setiap pensyarah atau penyelia.

Kerana apa?

Bukankah jika difikirkan logik, makin tinggi level akademik seseorang makin matang dan makin kurang kebergantungan dia kepada gurunya? Lalu kenapa seorang pensyarah tidak menyelia ratusan kalau tidak ribuan calon PhD pada satu-satu masa?

Ternyata, makin tinggi ilmu dan pemeringkatan akademik seseorang, makin dia memerlukan bimbingan khusus seorang guru, seorang murabbi. Begitu mudah hal ini difahami dalam dunia akademik. Pelajar akur betapa mereka berhajat kepada seorang sosok yang dinamakan penyelia tatkala pemeringkatan dalam akademik mereka menaik selangkah demi selangkah!

Nah, bagaimana dalam tarbiyah? Bukankah perkara sama juga berlaku?

Makin lama, mendalam tarbiyah dan tinggi pemeringkatan tarbiyah bermakna makin dia berhajat kepada sosok murabbi. Tidak ada istilah seseorang akh telahpun tamat institusi tarbiyah dan boleh menjadi alumni.

Sekiranya seseorang itu merasakan telah lama mengikuti program tarbiyah, telah menghafal separuh al-Quran dan sebilangan besar hadith Rasulullah maka dia sudah bersedia untuk membebaskan diri dari keterikatan pada sistem ini, ternyata itu satu kefahaman yang fatal. Bahkan di puncak level tarbiyahlah seseorang itu makin terdedah kepada pemesongan, penyelewengan dari ghayah yang asal dan berhadapan dengan jeneral syaitan yang lebih berpengalaman mengelabui pemikiran dan kejernihan hati manusia!

Jadi teruslah memeluk erat tarbiyah meskipun engkau telah melangkau jauh ke puncak iman. Kerana dengan tarbiyah dan adanya murabbi inilah kunci kalian tidak berpaling dan futur!


Tuesday, February 4, 2020

BUKU GF : SUNNAH AT-TADAFU'


 

Setiap manusia dilahirkan ke dunia dalam keadaan fitrah dan fitrah itu ialah Islam. Sebagaimana disabdakan oleh ar-Rasul dalam hadis;

كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصّرانه أو يمجّسانه
متفق عليه
"Setiap yang dilahirkan atas fitrah. Maka kedua orang tuanyalah yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau Majusi"
(Mutafaq'Alaih)

Asalnya setiap bayi yang lahir itu dalam keadaan fitrah Islam. Namun tasawur dan pemikiran yang seterusnya melahirkan tindakan dan kepercayaan pada bayi tersebut ditentukan oleh Ibu Bapanya, sama ada akan menukar beliau menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini hanyalah sebahagian bentuk ideologi yang akan dipegang dan dianuti oleh manusia disebabkan bagaimana ia dibesarkan dan ditarbiyah.

Adapun di zaman kini, boleh jadi ia cenderung membesar menjadi seorang yang menyokong liberalisme, hedonisme, pluralisme dan pelbagai isme atau ideologi yang lain.

Hadis ini memberi gambaran bagaimana ideologi, anutan dan pemikiran seorang bayi itu berubah daripada yang asal (fitrah) kepada bentuk-bentuk yang pelbagai. Di sisi lain, hadis ini meletakkan betapa besar tanggungjawab ibu-bapa atau institusi keluarga secara umum untuk menentukan perkembangan terutamanya dari aspek pegangan bayi berkenaan. Namun di sana ada lagi pengaruh-pengaruh lain seperti dengan siapa ia bergaul, buku apa yang ia baca, apakah stimuli yang merangsang inderanya sejak kecil. Ini semua membentuk pemikiran seorang manusia.

Dalam hal ini, bolehlah kita singgung sekejap betapa penting institusi keluarga. Di zaman salaf dahulu, ibu dan ayah yang faham agama yang benar dan dekat dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah telah memastikan agama yang tulen ini diterapkan dalam pemikiran dan akidah anak-anak. Baitul muslim mereka telah menjadi kubu-kubu yang mempertahankan fikrah Islam daripada dicerobohi oleh anasir asing yang tidak cocok dengan Islam. Alangkah pentingnya baitul muslim antara dua orang Islam yang faham didirikan dengan spirit ini. Namun bukanlah di sini untuk kita bincangkan dengan lebih detail.

Selain daripada anasir luar yang mempengaruhi pemikiran seorang manusia, kejadian jiwa manusia itu sendiri terdedah kepada tarikan fujur dan taqwa. Pertembungan antara haq dan bathil ini telah bermula sejak awal lagi. Dari sini terbentuklah manusia yang menjadikan misi di  dunia secara pelbagai. Tasawur atau worldview mereka terhadap dunia bercelaru, menjadikan al-hawa dan ra'yu (pandangan aqal) mereka semata-mata sebagai sumber pandangan dan berhukum.

Pemesongan yang paling besar ialah berkenaan tujuan hidup di dunia ini. Allah SWT mencipta manusia dengan ditaklifkan ke atas mereka untuk tujuan-tujuan tertentu namun mereka-mereka ini pula menjalani kehidupan dengan tujuan yang lain.

Menurut Hasan al-Banna[1], ayat Qur'an sendiri membongkarkan beberapa tujuan hidup manusia di dunia ini yang terpesong. Ada dalam kalangan mereka yang suka untuk melakukan kerosakan di muka bumi ini. Firman Allah SWT;

وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ
Kemudian apabila ia pergi, berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia) sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
-Surah Al-Baqarah, Ayat 205

Kita tidak dapat memahami bagaimana dalam kalangan manusia boleh wujud peribadi-peribadi yang sukakan kerosakan dan kehancuran. Mereka mempromosi pembunuhan dan pembantaian jiwa manusia. Mereka mengebom tempat-tempat yang mereka ingin jajah dan tawan. Mereka mencabul perempuan-perempuan, membunuh anak-anak kecil dan orang-orang tua yang tidak berdaya.

Namun apa yang diberi gambaran oleh al-Qur’an ini benar-benar berlaku di alam realiti hari ini, tidak perlu kita meragui ayat ini. Pemimpin barat di dunia sedang menjadi watak-watak yang membenarkan ayat Allah ini.

Kezaliman dan kesombongan ini tidak dapat dibendung dan disekat dengan kata-kata. Hati-hati mereka yang telah buta dan tertutup dari pintu hidayat menyebabkan perjanjian damai, nasihat dan teguran bahkan kecaman terbuka tidak akan membuahkan hasil. Fenomena ini juga dikhabarkan langsung oleh al-Qur’an. Firman Allah SWT;

وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتۡهُ ٱلۡعِزَّةُ بِٱلۡإِثۡمِۚ فَحَسۡبُهُۥ جَهَنَّمُۖ وَلَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ
Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah" timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya itu adalah seburuk-buruk tempat tinggal.
-Surah Al-Baqarah, Ayat 206

Pertembungan antara kem al-haq dan kebatilan ini merupakan sunnatullah yang akan berlangsung sehingga hari kiamat. Perjalanan kedua-dua kem ini berlegar dalam ruang lingkup sunnah at-tadafu’ iaitu tolak-menolak, pertarungan dan pertahanan sesama manusia untuk mengimbangi kejahatan dan kebaikan sebagaimana yang ditadbir oleh Allah SWT.

Bersangkutan rahsia alam ini, Allah SWT berfirman;


وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ
Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.
-Surah Al-Baqarah, Ayat 251


Mereka yang berada di pasukan musuh Islam tidak akan senang duduk melihat panji-panji Islam marak. Mereka tidak mahu tunduk pada world order yang diatur berpandukan wahyu. Syaitan dan Iblis adalah rujukan dan mahaguru mereka. Oleh itu, siri pertarungan antara kedua kelompok ini berlaku dan berlarutan merentasi zaman, sempadan geografi dan menggunakan pelbagai pendekatan.

Salah satu pendekatan yang kita perkirakan berjaya menjadi kunci kebangkitan musuh-musuh Islam yang  sering dinisbahkan sebagai ‘barat’ di celah-celah kebangkratan umat Islam ialah dengan menggunakan serangan-serangan pemikiran atau dalam istilah Arabnya, al-ghazwu al-fikri.

Di sini, dalam buku ini kita akan mengupas dengan lanjut dan terperinci, apakah itu serangan pemikiran, sejarahnya, bagaimana ia berlaku, tahapan-tahapan, kesan-kesan dan hal-hal yang berkaitan dengannya.

Pertarungan yang sengit dan lama ini sudah pasti tidak mampu dimuatkan dalam satu penulisan dan tidak mampu dihimpun oleh satu otak dan beberapa jemari si penulis. Di sini kita akan melihat perkara ini berkacamatakan al-Qur’an, mengambil pedoman dan panduan asas daripada ayat-ayat al-Qur’an dan cuba menyinggung dengan lebih mendalam apabila perlu di sini dan di sana.

***

Untuk tempahan buku Ghazwul Fikri yang akan diluncurkan ini, hubungi;

http://bit.ly/2LXWViO


[1] Majmuk Rasail, Ke Arah Mana Kita Menyeru Manusia