Wednesday, February 14, 2018

KONON KONON TAHU!



Perasankah kita, al-Qur'an sering kali bertanyakan sesuatu yang pada surface nya kita sudah tahu. Dibawakan satu statement yang cukup makruf, yakni diketahui secara umum kemudian diiringi dengan persoalan atau hujung ayat yang cuba memprovok kita, "In kuntum ta'lamun..." yang bermaksud sekiranya kamu mengetahui..

Atau pangkalnya dimulai dengan frasa, ..."Fa'lam....." maka ketahuilah....Ilmuilah... Sedangkan pokok perbicaraan yang menyusul kemudiannya memang sudah diketahui umum. Jadi "tahu" yang macam mana yang dimaksudkan oleh al-Qur'an?!

Jadi apakah fungsi frasa-frasa ayat sebegini?

Sudah tentu ia mempunyai peranan tertentu. Tidak tercabarkah kita tatkala membacanya? Bukankah di sana ada signal yang cuba mengajak kita menilai kembali pengetahuan kita pada perkara-perkara yang kita tahu? Kerana seakan-akan ia hanyalah konon-konon tahu sahaja.

Atau mungkin, disebalik ayat-ayat ini, di sana ada signal bahawa yang kita tahu itu hanya satu peringkat daripada banyak peringkat pengetahuan. Justeru, ia menyeru..."In kuntum ta'lamun..." atau "...Lau ka na ya'lamuun..." atau ..."Fa'lam....." atau "Wa'lam......" dan sebagainya.

Maka, mari menilai kembali pengetahuan-pengetahuan kita kepada asas-asas Islam yang sudah kita kenal, baca dan "tahu" sejak bangku sekolah itu. Persoalan akidah, syurga & neraka, janji-janji Allah, kemenangan Islam, kewajipan berdakwah dan sebagainya. Betulkah kita sudah tahu? Atau sekadar "tahu" ?

Jika disemak dalam hadis, ternyata tahu itu mempunyai peringkatnya tersendiri.

Dalam hadith, Rasulullah SAW bersabda;


لَوْ تعْلمُونَ ما أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلاً وَلَبَكَيْتُمْ كثيراً

Sekiranya engkau mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya engkau akan sedikit ketawa dan banyaknya menangis!

Anas berkata, tidak pernah didengarinya khutbah yang lebih menakutkan daripada ini! Takut daripada apa? Takut daripada ketidaktahuan atau takut kalau-kalau konon-konon tahu sahaja!

Beliau menyebut lagi,  "Maka para sahabat Rasulullah saw. menutupi muka mereka lalu menangis terisak-isak." 

Jadi, betulkah kita sudah tahu?

Atau pura-pura tahu sahaja?

Mari kita semak sejenak.

Sebenarnya tidaklah terlalu lama tempoh kita mula ditarbiyah sehingga ke hari ini. Mungkin dalam kalangan kita sudah mula mengikuti program tarbiyah sejak 3 tahun yang lalu, atau 4 tahun yang lalu, atau 5 tahun yang lalu. Keterlibatan kita sepanjang tempoh ini telah banyak memberi "tahu" kepada kita. Sehingga tatkala mengetahuinya buat kali pertama, kita seakan dirasuk, dipukau dan bertindak sehingga tidak dapat dihalang lagi dengan pengetahuan itu.

Kewajipan dakwah? Kita tahu dan kita beramal gila-gila. Kebenaran janji Allah? Kita tahu dan begitu yakin tatkala meneliti ayat-ayat al-Qur'an. Kemuliaan Islam. Neraca langit? Azabnya neraka? Nikmatnya syurga? Dunia adalah hina? Dunia adalah medan ujian?

Ya. Ini semua adalah "'tahu" yang baru.

Namun lihatlah kepada diri kita hari ini? Betulkah kita sudah tahu? Benar-benar tahu dengan mendalam? Benar daqiq pemahamannya?

Atau konon-konon tahu sahaja?

Kenapa setelah 4, 5, 6 atau lebih banyak tahun-tahun diberi "tahu", kelihatannya tidak bertambah tangis kita, bahkan mula bertambah gelak kita?

Kenapa dakwah yang kononya kita "tahu" wajib itu tidak ditanggap serius? Ketika kelas berjalan, kita berikan alasan sibuk dengan kelas. Sekarang kita sudah bekerja, kita beri alasan sibuk bekerja pula. Jadi betulkah kita sudah "tahu?"

Dalam tempoh yang begitu sekejap. Dunia yang telah kita buang dari hati kita pada beberapa tahu yang lepas sudah kembali bahkan dengan tarikan yang lebih kuat. Dalam tempoh yang begitu sekejap. Tarikan lainan jantina yang kita tepis habis-habisan dahulu, kini kita biarkan masuk melalui pintu utama rumah-rumah kita. Dalam tempoh yang begitu sekejap. Wangian syurga yang seolah-olah kita hidunya dalam sesi mabit kita telah dikalahkan oleh bau wang kertas di hari gaji..

Jadi betulkah kita sudah tahu?

Sesungguhnya al-Qur'an memang tepat dan benar. Ia mengajak kita menguji perasaan tahu itu. Lagi dan lagi. 5,6,7 dan seterusnya angka bilangan tahun kita "tahu" mendaki dan bertambah, ia tidak pernah cukup untuk mengatakan kita sudah tahu.

Kesimpulannya, jangan pernah merasa sudah tahu dan sudah terpelihara. Tahun-tahun di Madinah, masih ada isu-isu para sahabat keliru dengan alat dan matlamat, silau dengan kenikmatan dunia dan terpelosok ke kancah fitnah, kerana mereka juga belum benar-benar tahu.

Alangkah perlunya kita kepada al-Qur'an dan tarbiyah, untuk terus membimbing diri kita, mendaki ke peringkat-peringkat tahu yang lebih tinggi dan dalam, sehingga kita sedikit ketawa dan banyak menangis. Jadi jangan cepat bosan, jangan menarik muka masam apabila kita diperingatkan dengan perkara bascis dalam Islam, kerana kita itu konon-konon "tahu" sahaja!


***

Hadis sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari, hadis no. 91, 507, 4255, 5885, 6005, 6562, 6750 dan 6751; Muslim, hadis no. 4351-4354; Ahmad, hadis no. 11602, 12198, 12324, 12355, 12672 dan 13173

DUNIA INGIN MERASA


Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas tentang firman Allah sebagaimana yang dinaqalkan oleh al-Imam Ibn Kathir ;

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit...

Menurut Ibn Abbas, kalimah yang baik ini ialah kalimah لا إله إلا الله manakala pokok dalam ayat ini ialah perumpamaan bagi seorang akh mukmin.

Dalam ayat berikutnya Allah menjelaskan lagi ciri pokok berkenaan yang tidak pantas dibiarkan tanpa diambil pengajaran oleh seorang mukmin, apatah jika dia seorang akh di jalan dakwah.


تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا ۗ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.

Ibrahim :25

Ciri yang paling menonjol dalam ayat di atas ialah

تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا ۗ

Memberikan buah setiap masa, dengan izin Tuhannya.

Wujud kah pohon yang sentiasa memberi buahnya? Pada setiap masa? Bukan pokok buahan ada musim-musimnya?

Berkenaan pokok ini, Ibn Umar r.anhuma berpendapat ia adalah pokok kurma.

Begitulah sifat seorang akh mukmin, daie muslim. Ia sedia memberi, setiap masa, dengan izin Tuhannya. Jika kita renungkan sifat pokok kurma, bukan sahaja sentiasa memberikan buah, tetapi yang paling baik diberikan ketika musim panas yakni ketika pokok pokok lain enggan untuk memberi hasil mereka.

Sifat daie mukmin memang begitu. Memberi yang terbaik lebih lebih lagi dalam keadaan yang sulit. Dalam keadaan orang lain sudah tidak mampu atau sanggup lagi, dia mara ke depan & volunteers kan diri.

Ia menerangkan prinsip yang sering diulang-ulang dalam pertemuan mereka iaitu ;

يعطي ولا يأخذ
Maksudnya, memberi bukan (sekadar) menerima.

Marilah kita mula memberi akhi. Kerana kita sudah banyak menerima. Kita terima santunan para daie sebelum kita. Kita disuap bahan halaqah. Daurah yang disusun. Dimutabaah amal-amal fardhi. Dilayan kerenah & segala perangai kita...

Nikmat Tuhan mana lagi yang bakal kita dustakan. Dunia sedang menunggu untuk merasai pemberian kita. Umat merindui sentuhan kita, tangan - tangan kita untuk membelai mereka dengan fikrah & akhlak islam yang syumul.

Jangan takut dan biarkan diri kita terperap kaku di penjuru rumah.

Sebenarnya ada sesuatu yang lebih berat untuk disampaikan berkenaan redaksi ayat di atas, namun kita simpan sahaja... Untuk diceritakan di medan amal kelak....


Semoga kita terus boleh memberi....

Kerana memberi lambang tidak pentingkan diri sendiri...


Tuesday, January 23, 2018

MASALAH & SOLUSI



Petikan Buku 'Interaksi Dengan al-Qur'an'
Muassis Resources

 
Slogan الإسلام هو الحل  yang bermaksud Islam ialah solusi, Islam is the solution merupakan slogan yang dilaung-laungkan di era kebangkitan Islam pada tahun-tahun yang lampau terutamanya di negara-negara Arab timur tengah dalam menentang kezaliman pemimpin yang menindas rakyat dan menjadi tali barut penjajah serta mengajak orang ramai untuk kembali beramal denga Islam yang syumul sekaligus menolak ideologi-ideologi lain. Pilihan slogan ini adalah tepat. Ia bersesuaian dengan nature Al-Qur’an yang menjadi rujukan utama dalam Islam yang menawarkan solusi kepada pelbagai permasalahan dalam mendirikan ‘bangunan Islam’[1] dan mempertahankannya.

Tidaklah keterlaluan jika kita katakan sebahagian besar kandungan Al-Qur’an merupakan solusi, jawapan atau bimbingan yang diturunkan dari langit untuk menuntun pergerakan dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda sehinggalah Negara Islam pertama iaitu Madinah Munawarah tertegak dan stabil. Solusi-solusi Qur’ani ini turun sedikit demi sedikit selari dengan proses pergerakan dan penegakan Deenul Islam itu sendiri yang bermula dengan pengislahan individu-individu Muslim yang terdiri daripada para sahabat r.anhun, pembentukan keluarga Muslim, memimpin masyarakat, memperbaiki kerajaan dan mendirikan Daulah Islamiyah dalam tempoh hidup Rasulullah SAW.

Dengan berbekalkan solusi dari isi kandungan Al-Qur’an yang sama, generasi berikutnya meneruskan penyebaran Islam sehingga bergabungnya wilayah-wilayah Islam di bawah pemerintahan sistem Khilafah Islam dan di kemuncak ketamadunan Islam di abad-abad yang lepas, seluruh dunia tunduk pada World order[2] Islam. Pada kemuncak ini, sistem-sistem, aturan-aturan, neraca, prinsip-prinsip dalam aspek sosial, politik, ekonomi, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya di peringkat global dicedok dari Islam yang bersumberkan wahyu Al-Qur’an.

Perhatikan ayat-ayat Al-Qur’an. Kesemuanya diturunkan dalam rangka pergerakan dan perjuangan ini. Masalah-masalah yang timbul sepanjang meniti jalan ini, satu persatu dijawab oleh ayat-ayat Al-Qur’an.

Ketika umat islam ditindas pada awal kemunculan mereka, ayat-ayat yang turun bertalu-talu menyuruh mereka bersabar atas apa yang menimpa mereka dan menyerahkan nasib dan balasan bagi musuh-musuh mereka dan musuh-musuh Allah itu sendiri kepada Allah SWT.



وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَاهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلًا

Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.

وَذَرْنِي وَالْمُكَذِّبِينَ أُولِي النَّعْمَةِ وَمَهِّلْهُمْ قَلِيلًا
Dan biarkanlah Aku (saja) bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu, orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang sebentar.
[Al-Muzammil :10-11]


Ketika masyarakat muslim itu sudah tidak tertahan lagi dengan penindasan yang mereka hadapi dan timbul perasaan ingin bangkit membalas dendam atas perbuatan-perbuatan kasar dan penderaan fizikal, turun lagi ayat-ayat yang meminta mereka terus bersabar dan menahan tangan mereka daripada membuat tindak balas dalam keadaan mereka belum cukup kekuatan.


قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ
…Dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tanganmu (dari berperang), dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat!...
[An-Nisa’-77]

Apabila mereka diuji dengan peristiwa boikot yang mencengkam keperluan hidup mereka, Al-Qur’an menjanjikan kepada mereka bahawa dalam setiap kesusahan itu pasti akan diiringi kesenangan menyebabkan mereka terus tabah dan bersabar dengan ujian jalan ini.

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan
[Al-Insyirah :5]

Apabila kota Mekah dilihat tidak lagi mampu menjadi medan yang boleh dijadikan tapak pergerakan dakwah Islam, lalu diturunkan surah al-Kahfi yang mengisyaratkan perlunya penghijrahan sehingga sebahagian daripada mereka diutus ke Habshah[3]. Kemudian ada pula Hijrah ke Madinah.

Apabila Negara Madinah tertubuh, turun pula ayat-ayat sebagai bekal dan solusi untuk berhadapan dengan serangan-serangan ideologi dan pemikiran daripada ahli kitab. Sejak meletusnya peperangan Badar dan disusuli peperangan-peperangan yang lain, turun pula ayat Qur’an untuk membimbing mereka dalam menyikapi peperangan tersebut dari segi persiapan, etika berperang, kepatuhan semasa berperang, menguruskan tawanan perang dan membahagi harta rampasan.

Kemudian ayat-ayat Qur’an terus turun sebagai solusi kepada pelbagai masalah dalam sistem masyarakat, rumah tangga Islam, muamalat, kepimpinan dan politik, hubungan dengan yang bukan Islam dan sebagainya. Kesemuanya dilihat mempunyai hubungan yang selari dan padu dengan perkembangan penegakan Islam di segenap sudut. Dalam keadaan inilah para sahabat berinteraksi dengan Al-Qur’an. Apabila masalah muncul, mereka menunggu solusi dari Al-Qur’an, seperti kisah Khaulah binti Tha’labah yang telah kita singgung sebelum ini.

Sekarang marilah kita lihat kepada realiti kita hari ini. Bagaimana kita berinteraksi dengan solusi-solusi yang ditawarkan oleh Al-Qur’an ini? Kita ada kitab berupa solusi di tangan, tetapi kehidupan kita jauh dari lapangan amal sebagaimana lapangan amal para sahabat r.anhum. Masalah-masalah yang kita hadapi tidak bersangkutan dengan solusi yang diberikan. Jikapun ada yang boleh dimanfaatkan dari Al-Qur’an ia adalah sebahagian kecil dan hanyalah serpihan manfaat yang digunakan untuk tujuan-tujuan yang kecil bersifat peribadi, bukan tugas-tugas besar yang atas sebabnya Al-Qur’an diturunkan.


Kita tidak berada dalam arus pergerakan menegakkan Islam. Adakah Islam sudah tertegak? Adakah semua sistem, aturan, prinsip dan neraca Islam sudah diamalkan? Adakah world order hari ini mengikut selera Al-Qur’an ? Adakah rumah tangga kita bernuansakan Islam? Adakah system masyarakat, politik, ketenteraan, muamalat dan sebagainya mengikut telunjuk Al-Qur’an?


Kita pun setuju, jawapan bagi soalan-soalan di atas adalah tidak melainkan sebahagian kecil pada aspek-aspek tertentu. Tetapi kita tetap belum berada dalam lapangan atau pergerakan untuk memulakan ia atau meneruskan perjuangannya. Selagi mana kehidupan kita terpisah dari arus ini, selagi itu interaksi kita dengan ayat-ayat Al-Qur’an tidak ngam dan serasi. Seakan-akan Al-Qur’an berada di satu wadi[4] dan kita berada di wadi yang lain, jauh dan terpisah. 





[1] Hadith 3, matan Arbain An-Nawawi
[2] World order is an international-relations term meaning "the distribution of power and authority among the political actors on the global stage-Wikipedia
[3] Raheeq Makhtum
[4] Lembah

Monday, January 22, 2018

FI ZILAL QUR'AN, REVISIT #1



Syarahan Bebas
Muqaddimah Fi Zilal Quran
Sayyid Qutb

Himpunan perenungan ini dinamakan sendiri oleh Sayyid Qutb sebagaiفي ظلال القران  yakni bermaksud di bawah bayangan, atau naungan al-Quran. Secara bahasa zilal boleh dimaksudkan bayang-bayang atau teduhan sesuatu seperti teduhan pokok, teduhan jambatan mahupun rumah. Dari sudut maknawi pula teduhan atau naungan ini boleh bermaksud berada di bawah perlindungan sesuatu yang lebih berkuasa. Sebagai contoh, kita katakan negeri-negeri Islam berada di bawah naungan Kerajaan Turki Uthmaniyah. Ini tidaklah secara bahasa bermaksud negeri-negeri itu berteduh di bawah bayangan Kerajaan yang lebih besar tetapi mereka nyaman mendapat perlindungan,perhatian dan penjagaan kerajaan yang lebih besar.
Kedua-dua maksud ini boleh digunakan untuk menyampaikan maksud dan perasaan yang cuba dikongsi oleh Sayyid Qutb berkenaan kehidupan di bawah Zilal al-Quran. Dalam al-Quran terdapat beberapa perkataan zilal atau bayang-bayang atau tempat berteduh atau naungan.

هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلَالٍ عَلَى الْأَرَائِكِ مُتَّكِئُونَ
Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh, bertelekan di atas dipan-dipan.
(Yasin :56)
إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي ظِلَالٍ وَعُيُونٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam naungan (yang teduh) dan (di sekitar) mata-mata air.
(Mursalaat :41)
Kedua-dua perkataan zilal ini digunakan untuk menggambarkan suasana yang nyaman, tempat berteduh yang menenangkan dan merehatkan. Perkataan zilal dalam redaksi Quran merujuk suasana syurga yang perasaannya tidak dapat kita bayangkan dengan pancaindera kita. Inilah yang cuba digambarkan oleh Sayyid Qutb, kehidupan di bawa teduhan al-Quran yang nyaman, merehatkan dan tenteram.

Thursday, November 16, 2017

BUKAN KITA YANG MENENTUKAN HUJUNG JALAN INI



Ketika perintah berhijrah menuju Madinah diputuskan, tidak sedikit bilangan Muslimin yang keberatan untuk meninggalkan Mekah kesayangan mereka. Mereka berasa mereka adalah golongan yang diberi keringanan dan hal ini dibolehkan.

Untuk golongan ini, maka telah turun la sekumpulan ayat ini;


إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya: "Dalam keadaan bagaimana kamu ini?". Mereka menjawab: "Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah)". Para malaikat berkata: "Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?". Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali,


إِلَّا الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا

kecuali mereka yang tertindas baik laki-laki atau wanita ataupun anak-anak yang tidak mampu berdaya upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk hijrah),

فَأُولَٰئِكَ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَعْفُوَ عَنْهُمْ ۚ وَكَانَ اللَّهُ عَفُوًّا غَفُورًا

mereka itu, mudah-mudahan Allah memaafkannya. Dan adalah Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.


Termasuk lah dalam senarai kaum Muslimin tersebut seorang sahabat, Dhamrah bin Jundub. Berikutan turunnya ayat di atas, Dhamrah berasa tidak senang. Jiwanya kacau, diselubungi perasaan bersalah sehingga meminta anak-anaknya menyiapkan dirinya untuk menyusul hijrah ke Madinah. Namun takdir Allah mendahului segalanya, beliau menemui kematian dalam perjalanan hijrahnya itu.


Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Ibnu `Abbas, ia berkata: “Dhamrah bin Jundub keluar menuju Rasulullah saw, lalu ia mati di jalan sebelum sampai kepada Rasul, maka turunlah ayat ini;


وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

*Rujuk An-Nisa :97-100

Kisah Dhamrah ini mengajar kita bahawa, apabila sesuatu perintah diserukan, kita hanya disuruh mencuba melaksanakannya sebaik mungkin. Bagaimana ia berakhir? Bukan kita yang menentukan ujungnya.

Begitu juga ketika berdakwah. Sekali ajak ditolak. Dua kali ajak ditolak. Tiga kali. Empat kali. Lima, enam dan seterusnya, hasilnya sama sahaja. Ditolak juga. Lalu adakah kita akan berhenti?

Tidak. Ajak sajalah sambil membuat penambahan baikan. Kerana bukan kita yang menentukan perjalanan dakwah ini. Bahkan bukan kita yang menentukan siapa yang wajar diberi hidayah atau tidak. Entah dapat negara atau tidak. Entah dapat kuasai medan kita atau tidak.

Asasnya, berusahalah dengan ikhlas dan itqan. Nama Dhamrah telah harum dalam kitab kitab tafsir dan buku sejarah yang dibaca sekalian umat. Apakah kita bakal meninggalkan legasi yang sama?

Tuesday, November 14, 2017

MISI BAHARU!






Seseorang akan menyertakan dirinya dengan kumpulan manusia yang mempunyai kecenderungan dan minat yang sama dengannya. Sebagai contoh, orang yang minat memancing akan berkawan dengan rakan-rakan pemancing. Orang yang kaki bola akan sentiasa menghabiskan masa dengan peminat bola yang lain. Begitu juga para doktor, jurutera, pengumpul setem dan sebagainya, akan berada dalam kelompok manusia yang mempunyai minat dan kecenderungan yang sama dengan mereka. Pepatah Inggeris menyebut, “Birds of a feather flock together”.


Fenomena sosial ini telah pun disebut dalam satu hadith. Rasulullah SAW bersabda;


الأَرْوَاحُ جُنُوْدٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ وَمَا تَنَاكَرَا مِنْهَا اخْتَلَفَ
“Ruh-ruh itu seperti tentara yang berhimpun yang saling berhadapan. Apabila mereka saling mengenal maka akan saling bersatu, dan apabila saling berbeda maka akan tercerai-berai.”[1]


Dalam Musnad Imam Ahmad diceritakan, bahwa asbabul wurud[2] hadith ini iaitu ketika seorang wanita penduduk Makkah yang selalu membuat orang tertawa hijrah ke Madinah, ternyata dia tinggal dan bergaul dengan wanita yang sifatnya sama sepertinya. Iaitu senang membuat orang tertawa. Karena itulah Nabi SAW mengucapkan hadits ini.

Al-Imam An-Nawawi mengatakan dalam Syarah Muslim:


“Para ulama mengatakan, maknanya mereka adalah sekelompok manusia yang berkumpul atau manusia yang bermacam-macam lagi berbeda-beda. Ruh-ruh itu saling mengenal karena suatu perkara yang Allah SWT menciptakan ruh-ruh itu di atasnya..”


Secara lumrah, apabila manusia telah berkumpul dalam kumpulan-kumpulan ini, yang menjadi keprihatinan mereka ialah apa-apa isu berkaitan minat dan kecenderungan mereka itu. Mereka akan jadikan minat dan kecenderungan sebagai topik perbualan mereka, tujuan untuk mereka berkumpul, mereka bersatu dan bekerja atas dasar itu.


Misalannya kumpulan manusia yang meminati kereta, akan berkumpul dan sentiasa ambil tahu tentang perkembangan terkini kereta keluaran terbaru sama ada di pasaran tempatan atau antarabangsa. Orang yang cenderung kepada gajet elektronik sentiasa mencari-cari maklumat tentang industri ini. Mereka tidak akan ketinggalan berkenaan maklumat berkaitan gajet elektronik. Detail gajet elektronik baharu yang dilancarkan dari segi kapasiti, aspek-aspek yang ditawarkan, aplikasi-aplikasi dan segala butiran terperinci berada dalam kepala mereka. Ia menjadi topic perbualan mereka sama ada di alam maya atau ketika bersosial secara bersemuka. Perkara sama berlaku kepada minat-minat dan kecenderungan-kecenderungan lain yang tidak mampu penulis senaraikan di sini.


‘Pattern’ ini sudah wujud sejak kewujudan manusia lagi kerana ia sebahagian daripada sunah alam ini. Yang berubah hanyalah bentuk minat dan kecenderungan mengikut zaman. Perkara yang sama telah berlaku dalam kehidupan para sahabat r.anhum sebelum kedatangan Islam dan juga penduduk kota Mekah yang lainnya. Sebahagian mereka mempunyai kecenderungan yang tinggi dalam bidang kesusateraan. Mereka menghabiskan masa mereka mencipta syair Arab yang berkualiti tinggi dan saling mendeklamasikannya di pasar-pasar mereka untuk beradu, siapa yang lebih handal.


Ada yang suka berperang bersama kelompok masing-masing. Para pedagang dalam kelompok mereka, yang sukakan kuda-kuda peliharaan dalam kelompok mereka, pemabuk-pemabuk dalam kelompok mereka, tukang besi dalam kelompok mereka, pengukir berhala, ahli dukun, tukang tilik dan seterusnya, masing-masing dalam kelompok tersendiri.


Sebelum wahyu diturunkan kepada baginda Rasulullah SAW, mungkin beratus malah ribuan manusia pernah hidup di Kota Mekah dalam kitaran ini, dan mati tanpa kita tahu pun butiran tentang mereka, riwayat hidup mereka, jasa dan sumbangan mereka. Dalam kalangan mereka mungkin ada para lelaki yang lebih perkasa daripada Umar al-Khattab. Lebih pintar berbanding Ali b Abu Thalib. Lebih gagah di medan perang berbanding Khalid al-Walid. Lebih tepat panahannya berbanding Saad b Abi Waqqas. Lebih handal bersyair berbanding Khansa’, lebih lincah menunggang kuda berbanding Miqdad, lebih geliga berniaga berbanding Abd Rahman Auf dan kelebihan-kelebihan yang lain.


Ini kerana kepakaran, kemahiran dan bakat yang hebat ini ada pada manusia di zaman mana pun. Namun, dunia tidak mengenali mereka. Siapakah mereka? Di manakah mereka? Dan butiran yang lain tidak kita ketahui. Riwayat hidup mereka tidak menjadi rujukan sesiapa pun. Mereka hidup dengan minat dan kecenderungan beserta kelebihan, bakat, potensi dan kemahiran yang Allah berikan kemudian mereka mati begitu sahaja. Kehidupan dan kematian merupakan fenomena yang berlaku saban hari bahkan mungkin setiap minit di Kota Mekah.


Tetapi, keseluruhan fenomena ini berubah selepas satu peristiwa yang paling bersejarah pernah berlaku dalam riwayat hidup umat manusia. Peristiwa ini telah mengangkat nama-nama sahabat yang kemungkinan tenggelam ditelan zaman seperti nenek moyang mereka. Dunia mula memberi perhatian khusus kepada mereka. Kisah-kisah tentang mereka diriwayatkan dari generasi ke generasi dan menjadi hiburan sebelum tidur anak-anak Islam. Peristiwa tersebut tidak lain tidak bukan merupakan peristiwa turunnya wahyu berupa Al-Qur’an. Berkenaan hal ini, Allah SWT mengingatkan kembali dalam firman-Nya;


هَلْ أَتَىٰ عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا
Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?
[Al-Insan :1]


Kehidupan para sahabat r.anhum setelah Al-Qur’an diturunkan dan mereka beriman serta berinteraksi dengannya berpaling arah. ‘Pattern’ telah berubah. Minat dan kecenderungan mereka masih ada, tidak terhakis. Kemahiran, bakat, kelebihan dan potensi mereka masih ada. Tetapi isu yang menjadi keprihatinan mereka telah berubah. Cara pandang mereka kepada dunia telah bertukar. Kini mereka bersatu, prihatin, berkumpul dan bekerja mengerahkan segenap upaya, minat, bakat, kecenderungan, potensi dan kemahiran mereka untuk satu misi baharu iaitu misi, “We must change the world”.


Mereka disatukan dengan satu tujuan yang sama. Kefahaman mereka dan cara pandang mereka kepada dunia telah berubah bentuk, hasil interaksi dengan Al-Qur’an. Kemudian, Al-Qur’an terus turun, sedikit demi sedikit mengiringi dan menuntun misi baharu mereka.


Sekarang telah terbina kelompok baharu, iaitu kelompok orang-orang Islam!


[1] Hadith Riwayat Bukhari & Muslim
[2] Sebab atau peristiwa disebalik sesuatu hadith

Sunday, November 5, 2017

DIAM BOLEH MEMBUNUH!




Pada malam itu kami menyimak surah Yusuf dalam perjumpaan mingguan kami. Perjumpaan menyimak iman dan amal. Sebahagian komentar berkenaan sesi refleksi itu dicatat di sini. Untuk ingatan kami kalau-kalau terlupa dan untuk manfaat kita semua insya Allah. 


قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ لَا تَقْتُلُوا يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِي غَيَابَتِ الْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ بَعْضُ السَّيَّارَةِ إِنْ كُنْتُمْ فَاعِلِينَ
Seorang diantara mereka berkata: "Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi masukkanlah dia ke dasar sumur supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir, jika kamu hendak berbuat".
[Yusuf:9]


Ayat di atas bercerita tentang kata-kata yang terpacul keluar dari lisan salah seorang daripada saudara Nabi Yusuf yang berniat jahat ke atas Beliau.


Kita tidak tahu siapakah gerangannya. Al-Quran hanya menyebut,

قَائِلٌ

Iaitu yang berkata.


Tetapi daripada perkataan ini kita tahu, yang berkata adalah seorang. Walaupun seorang daripada 9 atau 10 saudara Nabi Yusuf yang lain, walaupun kata-katanya terpencil, tetapi kesannya begitu besar dan mendasar.


Bayangkan jika قَائِلٌ iaitu yang berkata di sini tidak menyampaikan kata-katanya. Nayangkan jika dia hanya menyimpan pandangan, kegusaran dan mungkin sekelumit keprihatinan dia akan nasib Nabi Yusuf itu untuk dirinya semata-mata dan didiamkan, barangkali perjalanan hidup Nabi Yusuf bakal berubah 180 darjah.


Bahkan tidak mustahil 'diamnya’ قَائِلٌ bakal membunuh riwayat Nabi Yusuf. Begitulah diam boleh membunuh apabila tidak bertempat. Apabila diam kerana takut dan gusar. Atau diam kerana kecewa sebelum ia berhasil.


Daripada sisi ini, kita belajar betapa pentingnya peranan menjadi قَائِلٌ, yang berkata menyampaikan kata-kata yang benar ataupun sekurang-kurangnya nasihat yang boleh mengurangkan mudarat  keadaan semasa. Tidak kisah lah mungkin kita hanya seorang dan bersendirian, tetapi kata-kata yang baik mesti didahulukan ketimbang berdiam diri.

Seperti mana sabda Rasulullah SAW, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,

فليقل خيراً أو ليصمت

(hendaklah ia berkata baik atau diam) [1]


Meskipun diri kita tidak cukup baik seperti قَائِلٌ di sini yang termasuk dalam senarai saudara Nabi Yusuf yang berniat tidak baik, namun kata-kata dakwah insya Allah mempunyai barakah tersendiri, tanpa mengenal siapa yang berkata.


Daie sangat tidak wajar mendiamkan diri ketika melihat segala bentuk kemungkaran sama ada kecil atau besar. Ia tidak wajar memilih untuk diam kerana beranggapan dirinya yang satu tidak mempunyai sebarang pengaruh dan kekuatan. Dia tidak patut kecewa dengan pelbagai tanggapan sebelum beramal. Bahkan amat tidak patut jika meletakkan harapan pada usahanya semata-mata tanpa mengambil kira kuasa dan kehendak Allah yang menatijahkan hasil.


Rugilah kefahaman dan fikrah islam yang bersih dan indah, yang dipelajari jika sekadar disimpan rapi tanpa disuarakan. Siapalah pula yang boleh memanfaatkan sekalian banyak hafalan Quran dan hadis kita sekiranya kita diam seribu bahasa.

Maka, apabila tiba masanya, bersuaralah. Barangkali suara kita yang halus, perlahan dan seakan terpencil seolah-olah tidak mampu didengari itu bakal mengubah banyak perkara di sekeliling kita.
Sebagaimana kata-kata قَائِلٌ telah menjadi asbab berubahnya perjalanan hidup Nabi Yusuf as.
Oleh itu kepada saudara-saudara kami, di jalan tarbiyah beginilah kami memetik nasihat yang baik. Ia bersumber wahyu yang terpelihara dan kefahaman yang bersih. Jangan kau gusar akhi untuk berkata-kata, meskipun kau keseorangan, sebatang kara.


[1] Hadis 15, Arbain An-Nawawi