Saturday, March 14, 2015

OF MUSA AND HARUN (AS)



 By AZ. Offical Photographer for Inspector Saahab

Kisah kisah dalam al Quran tidak pernah menghampakan kita dengan pengajaran yang sentiasa hijau, segar membugar. Lebih lebih lagi buat mereka yang berusaha untuk menuruti jalan para anbiya dan mursalin, jalan dakwah. Teringat pula satu tajuk buku dari Indonesia, ‘Di Jalan Dakwah Aku Menikah’. Eheh.


Seperti biasa, atau buat sekian kalinya, kita akan renungkan sejenak Kisah Musa as, kisah yang mendominasi kisah kisah dalam al Quran.

Setelah mendidik Nabi Musa a.s dengan tarbiyah yang secukupnya dan memenuhi permintaan permintaan beliau sebagai persiapan berhadapan dengan Firaun, Allah swt memberi pengarahan beserta nasihat yang cukup praktikal buat Nabi Musa.


“Pergilah engkau bersama saudaramu membawa tanda-tandaKu, dan janganlah kamu berdua lalai mengingatiku…”
(Taha :42)


Menyuruh Musa dan Harun pergi kepada Firaun dengan membawa tanda-tanda kebesaran Allah swt. Bahagian awal firman ini mungkin dapat kita otakkan. Logiklah, kerana akhirnya seorang Rasul itu tidak dapat tidak mesti melakukan tugas menyampaikan kebenaran, membawa berita gembira dan peringatan.


Namun di akhir pengarahan itu, Allah swt berpesan, supaya kedua mereka tidak lalai dalam mengingati Allah swt. Sekali baca, agak ironi. Jika difikirkan, takkan lah Nabi Musa dan saudaranya Harun itu akan lalai dalam mengingati Allah. Bahkan misi mereka pun sebenarnya mengajak Firaun kembali kepada Allah.


Tetapi begitulah di jalan dakwah.


Sedar tak sedar, kadang-kadang dalam sibuk kita mengajak manusia kembali kepada Allah, kita yang so called aktivis dakwah ini kadang-kadang yang jauh menyimpang daripada mengingati Allah. Sedang kita memerah keringat mengendalikan program tarbiyah untuk binaan masing-masing, waktu itu amal-amal fardi kita beretakan. Mathurat Kubra menjadi sughra. Yang sughra menjadi asghar!

Dalam kita berbincang dan merancang sehingga menginjak ke angka dua tiga empat pagi, kononya bersengkang mata untuk masa depan dakwah, malangnya keesokan paginya subuh kita terbabas ke tepi sungai, solat berjemaah di masjid kecundang. Tak usah dibicarakan lagi soal bangun qiyamulailnya.

Saat kita sibuk berjaulah dengan ikhwah yang tercenta, tatkala menyinggah di sini dan di sana, sambil bergelak dan bermesra, kadang-kadang kita lupa untuk meluangkan masa berzikir mengingati Allah swt. Tilawah al Quran pun berterabur.

Begitulah teguran dalam Quran datang buat para Nabi, juga terpakai untuk mereka yang mengikuti jalan yang satu ini. Sentiasa praktikal dan releven.

Usaha-usaha kita, jika tidak dipadukan dengan sentuhan sentuhan rabbani, maka ia tidak akan ke mana. Menitik beratkan sisi sisi rabbaniyah tanpa usaha dan amal yang bersungguh juga tidak cukup. Kedua-kedua elemen ini perlu dipelihara rapi, perlu ada dengan dos yang secukupnya.

Mari kita renungkan kata-kata Sheikuna ini;

“Jangan terlalu fokus dengan perancangan dan pengurusan, tapi kurang fokus dalam hak hak Allah. Perancangan dan pengurusan akan berkesan jika dilakukan oleh tangan yang berwhuduk, kening yang banyak sujud, jiwa yang khusyu’, hati yang tenang dan tunduk pada Allah. Tanpa itu semua, sehebat hebat perancangan dan pengurusan yang dilakukan takkan memberi kemenangan”

-Sheikh Jum’ah Amin


Begitulah. Betapa mahal dan berharganya pesanan Allah swt dalam ayat perintah ini. Selain daripada pesanan kalau-kalau Musa as dan Harun as terlalai, Allah swt juga seakan ‘mengklaim’ kata-kata atau janji Nabi Musa as sewaktu baginda meminta dikurniakan seorang teman sebagai penguat baginya di jalan dakwah;


Pinta Nabi Musa as;

“….supaya kami banyak bertasbih kepadaMu, dan banyak mengingatiMu”
(Thaha :34-35)


Ikhwah begitulah juga kita, kurang lebih.

Dahulu kita pernah beralasan dalam beramal. Tidak cukup wang la, telefon tidak pintar,  tiada tempat untuk berpogram la, tiada kenderaan la. Tiada markaz untuk berbincang, tiada mad’u la, tiada biah rumah yang solehah dan bermacam lagi. Kemudian kita meminta-minta, dengan harapan alat alat ini semua melajukan kita atas jalan dakwah.

Sekarang hampir semuanya terhidang kepada kita. Wang infaq yang masuk tidak henti henti lagi, telefon sudah terlebih pintar. Tempat berpogram lengkap tersedia, satu demi satu, siap projector percuma, kerusi meja cukup. Kuda-kuda dakwah pun sedia ada, markaz nya, rumah ikhwah nya dan pelbagai lagi.

Lalu seakan ayat ini mengajak kita kembali bertanya dengan diri,

“Mana pergi janji manis mu yang dulu tu?”

Atau untuk Musa as,

“Janganlah kamu berdua lalai mengingatiKu…”

“Janganlah kau lupa permintaan yang dahulu..”

Sentiasa kena dan releven.


Alasan apa lagi kita nak bawa? Kemudahan yang ada tidak kita cakna pula menjaga. Benar-benar satu muhasabah besar. Kemudian, tatkala yang dipinta dimakbulkan, amal kita masih di takuk lama, bahkan ada yang makin perlahan.

Maka, ingatlah pesan Allah swt pada Musa as ini dan lihatlah dengan suluhan kehidupan kita pula.

Beramal lah, dan janganlah lupa asal usul tarbiyah kita.
Wallahu’alam

2 comments:

Muteq Chin said...

mohon tembakan doa agar tidak terlalailah hendaknya.

ya, terkadang kita berfikiran bahawa apa yang kita buat itu atas dasar untuk mentarbiyyah orang lain, tetapi hakikatnya tarbiyyah dalam diri kita entah ke mana hilangnya.

Allahu T_T

Inspector Saahab said...

t_t