Friday, March 27, 2015

SENTUHAN AL AKH #36



Siapakah al Akh itu?

Petikan dari Buku Sentuhan Al Akh

--



Akh A pernah berkongsi dalam satu karya fiqh dakwahnya, yang mana bahagian lain dalam karyanya ini telah aku petik di helaianyang lepas. Tulisnya,

“Kerja da’i ialah dia mesti mengintai manusia terbaik yang ada di dalam masyarakat, kemudian bergaul dan berkenalan, menziarahi dan mengajar mereka jalan amal jama’i dan kerja tansiq”

Begitulah aku terkesan dengan tulisan itu dan sewajarnya kalian juga teladani. Ia membuatkan aku dan sepatutnya kalian terus teruja dalam misi mencari al akh yang bertebaran di muka bumi ini.
Akh A menyambung tulisannya,

“Tindakan begini sebenarnya mengulangi balik apa yang dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, da’i yang dihormati”

Lalu Akh A memetik kisah Imam Ahmad.


Diceritakan: “Apabila sampai berita kepada Imam Ahmad ada seseorang lelaki yang soleh atau zuhud yang menegakkan kebenaran dan mengikuti perintah Allah, beliau akan terus bertanya tentang orang tersebut. Beliau amat gembira jika dapat berkenalan dan juga mengetahui hal ehwalnya”

Akh A ialah Abu Ammar.


Begitulah kegembiraan al akh, ingin mengenali lebih ramai sosok pemuda yang soleh, yang menegakkan kebenaran dan menurut perintah Allah s.w.t persis kegembiraan yang telah ditunjukkan oleh Imam Ahmad. Begitulah seorang akh ini di sini, mengharapkan di masa hadapan ditakdirkan Allah s.w.t untuk menemui lebih banyak akh untuk aku belajar dan mendapatkan sentuhan daripadanya.


Jika akh itu belum lagi bersama dengan gerabak yang asing ini, maka besarlah hajat akh yang ternanti-nanti ini untuk mengajak ia bersama berkelana atas gerabak yang sama sehingga mereka berdua sampai ke destinasi yang dicita-citakan itu. Dan sekiranya al akh yang bakal ditemui nanti adalah al akh sodiq yang telah mendahuluinya, maka dia berhajat untuk mendapat lebih sentuhan al akh daripadanya.

Maka, siapakah akh itu?


Siapa pun dia, sama ada dari kalangan kalian, sama ada yang aku kenali mahupun aku bakal kenali ataupun sosok yang hanya bakal aku temui di hari pengakhiran sana, ada mesej yang ingin sekali aku sampaikan. Buat al akh yang bakal meneruskan siri sentuhan ini. Ketahuilah akhi, meskipun tangan belum berjabat mesra lalu memelukmu dengan hangat, meskipun lidah belum berbicara dan melafazkan ayat taaruf , roh kita sudah pun menyatu dan aku sudah merindui sosokmu. Aku dedikasikan sepotong hadis buat kalian.

Dari Abu Musa al-Asy’ari r.a bahawasanya Nabi s.a.w bersabda,

“Seseorang itu beserta orang yang dicintainya”
(Muttafaqun ‘alaih)


Dalam satu riwayat lain disebut, Abu Musa r.a berkata,

“Nabi s.a.w ditanya, Ada seseorang yang mencintai sesuatu kaum tetapi tidak pernah menemui mereka itu, bagaimanakah?”

Beliau s.a.w bersabda,

“Seseorang itu bersama orang yang dicintainya”


Mencintai dirimu yang shalih merupakan jalan keselamatan menuju syurga. Maka marilah perbaiki diri bagi membawa mereka yang mencintai kita bersama menuju redhaNya. Dan bersiaplah untuk menyentuh lebih banyak hati di luar sana, kerana mana tahu akulah yang bakal kalian sentuh selepas ini dan dirimu lah al akh itu !

Dan kepada yang telah dan akan terus menyentuh diriku ini, terima kasih akhi untuk sentuhanmu itu.

Terima kasih untuk ukhuwah ini !

No comments: