Saturday, June 21, 2014

"AKU SEDANG BERMAKSIAT..."






Sedang kami rancak berbalas whatsapp, larut dalam perbualan yang tidak berfaedah, tiba-tiba tersentak dengan sebaris pesanan daripada seorang daripada “ahli” kumpulan whatsapp,


“Aku sedang bermaksiat, siapa mahu selamatkan aku?”


Entah retorik atau realiti.


Sama ada retorik atau realiti, persetankan. Tetapi ada mesej yang harus ditaddaburi. Jika ia retorik, harus direnung ke dalam diri, sedalam-dalamnya dengan renungan yang sukar dan tajam dan dimuhasabahi bersama. Jika ia realiti, maka mari mengintropeksi diri, bertaubat dan beramal saleh.


Indah tersusun firman Sang Pencipta tatkala Dia menyeru dalam kitabNya,


“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;

Penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”
(At Tahrim:6)


Allah s.w.t berseru supaya misi menyelamat ini harus dimulai dengan menyelamatkan diri sendiri kemudian menyelamatkan “ahliikum” atau terjemahannya keluargamu atau lebih tepat orang-orang yang dekat kita.


Bolehkah selamatkan “ahli” dahulu kemudian menyelamatkan diri sendiri ?

Sudah tentu boleh.


Kerana akhirnya yang menyelamatkan ialah Allah s.w.t. Tangan-tangan dan usaha usaha menyelamat oleh manusia hanyalah asbab, hanyalah satu manifestasi iman kepada seruan berdakwah.


Lantas mengapa Allah menyuruh para duat, yang diamanahkan untuk menyelamatkan ini memulakan misi dengan mendahului diri sendiri?


Kerana Allah s.w.t sangat  cinta kepada pada hamba hambaNya. Allah s.w.t mahu lebih ramai yang terselamat natijah misi itu. Allah s.w.t mengharapkan keberhasilan daripada misi itu walaupun akhirnya keberhasilan itu sendiri datang daripadaNya.


Bayangkan, seorang pemabuk menegah anaknya daripada mendekati arak. Seorang penzina menjauhkan anak-anak nya daripada perbuatan zina. Seorang kaki judi, ahli maksiat tegar, pengedar dadah menasihati rakan-rakan mereka supaya menjauhi perbuatan perbuatan terkutuk itu.


Salahkan mereka menegah, menjauhkan dan menasihati?


Tidak salah. Bahkah mereka wajib melakukan hal hal yang demikian. Cuma ia bertentangan dengan formula yang sudah difirmankan, selamatkan dirimu terlebih dahulu. Supaya misi menyelamat berhasil. Kerana hakikatnya manusia melihat kepada qudwah si duat. Manusia melihat pada individu yang menasihati, bukan nasihat semata-mata.


Kerana kita juga manusia dan lebih kenal spesis kita.


Antara lain, Allah s.w.t menyuruh didahului misi ini ke atas diri kita terlebih dahulu supaya Dia redha. Dia mahu meredhai tetapi redhaNya bersyarat. Itulah yang kita belajar daripada Musa a.s.


Tatkala Nabi Musa a.s mengepalai Bani Israel, menyelamatkan diri mereka daripada gerombolan firaun dan kafilahnya yang mengekori  dari belakang,


Lalu Allah berfirman;


“Dan mengapa engkau datang lebih cepat berbanding kaummu, wahai Musa?”
(Taha:83)


Retorik sungguh soalan Allah s.w.t ini.


Bukankah Allah juga berfirman supaya orang orang beriman menyelamatkan diri mereka terlebih dahulu. Bukankah Musa sedang patuh kepada kefahaman itu? Ya meski firman itu mungkin turun selepas zamannya.


Atau paling tidak, retorik sungguh untuk Tuhan Yang Maha Mengetahui itu bertanya, sedangkan Dia tahu apa yang tersembunyi dalam hati hamba-hambaNya.


Tidak lain, Allah s.w.t sengaja bertanya. Supaya dialog Musa itu diteladani oleh manusia yang datang sesudahnya. Lalu apa jawab Nabi Musa a.s ?



Dia (Musa) berkata, “Itu mereka sedang menyusul aku dan aku bersegera kepadaMu ya Tuhanku agar Engkau redha”
(Taha:84)


Aku bersegera kepadaMu ya Tuhanku, agar Engkau redha.


Agar Engkau redha.


Bersegera menyelamatkan diri bukan sahaja satu manifestasi kefahaman kepada firman tadi yang satu. Tetapi juga sebagai satu usaha untuk meraih redha Allah. Meraih redha Allah. Bukan menunjuk nunjuk dan meraih sokongan, popularity dan pujian pujian yang merosakkan hati di jalan keselamatan dunia dan akhirat ini.


Indah benar, jika dicantum inti inti kitab Quran ini. Di situ ada Formula menyelamatkan manusia daripada azab yang dahsyat. Di situ kita temui kasih sayang Allah swt. Di situ kita dapati tawaran redhaNya.


Lalu di sepanjang jalan dakwah,

Bermuhasabahlah kita meski persoalan dosa, maksiat dan penyimpangan itu berlegar sama ada pernyataan retorik atau realiti.

Pernyataan retorik mengajak kita mentajdid niat.


Dan jika ia realiti, maka bersyukurlah kerana teguran teguran dari langit ini datang menyapa. Bukankah ahli dakwah itu juga ahli yang harus diselamatkan? Kerana akhirnya duat ialah manusia, tidak lekang daripada melakukan dosa.


Beruntunglah mereka yang berada di jalan dakwah ini. Jalan keselamatan, dunia dan akhirat. Jalan meraih redha Allah swt. Sebagaimana yang diajarkan oleh Doktor Hammaam Abdurrahim Said tika mana beliau berkongsi ilmu tentang fiqh ad dakwah, katanya;


“Ad da’wah ilaLlah, sabilu najjah fi dunya wal akhirah”


Namun, kerana hakikat manusiawi dan duniawi, merenung ke dalam diri sepanjang kita meniti jalan ini adalah menjadi kebutuhan semua. Sebagaimana pesan Imam al Banna;


“Wahai Ikhwan sekalian, beramal untuk memelihara jiwa kita sendiri itu adalah kewajipan pertama dalam susunan keutamaan wajibat kita. Maka hendaklah kamu bersungguh-sungguh bermujahadah dengan diri kamu. Pastikan diri kamu berada di atas ta’alim Islam dan hukum-hukumnya.


Jangan kamu meremehkan (meringan-ringankan) ta’alim Islam dan hukum-hukumnya itu dalam apa keadaan sekalipun. Hendaklah kamu sentiasa berada dalam ketaatan dan larilah kamu dari dosa serta bersihkan diri kamu dari perkara-perkara maksiat. Hubungkanlah hati-hati dan perasaan kamu sentiasa dengan Allah yang merupakan pemilik langit dan bumi.


Lawanlah kemalasan dan singkirkan perasaan lemah. Pastikan perasaan dan semangat syabab (pemuda)kamu terarah kepada kebaikan dan kesucian. Hisablah diri-diri kamu dalam hal ini dengan penghisaban yang sukar. Berhati-hatilah kamu agar jangan sampai berlalu kepada kamu satu detik tanpa amal yang baik dan tanpa usaha yang murni bagi kemaslahatan dakwah ini”.


Subhanallah.

Persis pesanan seorang ayah buat anaknya yang sudah berada atas jalan keselamatan, kerana cinta. Begitulah.

Begitulah yang kita pelajari.


Kita bermohon agar Allah s.w.t. menjadikan batin kita semua lebih baik dari zahir (lahiriah) kita, yang tersembunyi pada kita lebih baik dari yang terserlah, dan semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita benar dalam ucapan dan amalan serta ikhlas dalam sunyi dan terbuka.

Ya muqallibal qulub, thabit qulubana ‘ala diinik, wa ‘ala tho’atik

6 comments:

L. A. T. T said...

Assalamualaikum IS.
Pesanan ISHAB yang diquoted diambil dari "Ayuhal Syabab" ke?

Anonymous said...

Aku sedang bermaksiat.selamatkan aku :'(

Anonymous said...

Byk pesanan2 yg trkesan..truskan menulis ye..

Anonymous said...

Sedang berusaha selamatkan diri tapi kadangkala terjatuh dan tersasar.

Aizzamil Rushaidir said...

��

coki coki said...

Kecik merepek kantoi