Thursday, June 19, 2014

KOLEJ ANTARABANGSA



 (Episod 1)


Matahari belum sempat bertandan lagi pagi itu. Bukan sahaja mentari, bahkan ayam di kampung pun belum tentu sudah bangun dari jaganya. Cumanya di tengah tengah kota metropolitan Shah Alam itu, kalau menunggu ayam jantan berkokok, alamak bagai menunggu bulan jatuh ke riba la. Yang ada hanya nyamuk nyamuk betina yang rakus lagi efisien menyedut darah darah manusia.


Semalamnya merupakan hari yang panjang dan memenatkan. Yelah dengan sehari suntuk berpogram. Nasib pelajar baharu mendaftar la katakan. Mujurlah program orientasi di Kolej Antarabangsa itu walaupun agak kebudak budakan dengan entah berapa puluh jenis tepukan yang diajar, tiada unsur unsur tidak sihat seperti yang sering diwarkan-warkan dalam program orientasi kolej university yang lain.


Sungguhpun hari begitu panjang dan sibuk, namun kesemua mereka tidak begitu lena tidurnya. Sekadar mampu melelapkan mata. Rindukan keluarga mungkin.


Di celah celah kesenyepan malam yang hening, di sebuah bilik, di aras lima blok B Kolej Kediaman tersebut, entah mengapa ruang tamunya sudah disimbahi cahaya lampu kalimantang. Bahkan jauh lebih awal sebelum azan Subuh berkumandang.


“Dah kau ni kenapa Chris?”

“Sorry, aku tak boleh tidur la. Lagipun biasanya sekarang kat rumah dah bangun”

“Peh kau ni. This is Shah Alam bro, bukan Sarawak”

“Yela, I will get used to this soon”

“Haha, aku pun tak boleh tidur sangat, esok sure jadi zombie weh”

“Kau homesick eh?”

“Eh mana ada. Aku budak asrama kot. Dah biasa jauh dengan family ni. Tapi kat sini panas la. Berpeluh peluh dah”


Begitulah.

Permulaan hidup buat penghuni rumah aras lima Kolej Antarbangsa itu.


Farid setelah beberapa minit yang sunyi berlalu, mencuba nasib untuk melelapkan matanya buat sekelian kalinya. Entah doa apa yang dibaca, lagi tiga sahabatnya dalam bilik itu begitu nyenyak sekali tidur mereka, mengalahkan orang yang sudah tak tidur seminggu. Orang macam ni memang tak kisah apa yang berlaku, rumput meninggi, kerajaan bertukar tangan, harga barang naik, harga barang hantaran turun, rumah kena rompak, satelit jatuh dan bermacam lagi, mereka tetap dalam dunia mereka. Haish.


Chris pula memulakan rutin yang bakal menjadi rutin hariannya pada hari-hari mendatang. Apa lagi, hiburan apalah yang lebih mendapat tempat di mata dan di hati pelajar pelajar bertaraf antarabangsa dari Malaysia melainkan masa kosongnya mengkhatamkan siri siri drama korea yang tidak berkesudahan itu. Huh. Siapa sangka, lelaki tulin lagi maskulin, muka bengis pun peminat tegar drama korea.


-------



Sekali lagi tidur Farid yang hampir lena itu dikejutkan dengan azan subuh entah dari corong masjid mana, tetapi boleh tahan menggegar juga. Dia yang telinga jenis sensitive bunyi ini lantas tersedar. Pelik tetapi benar. Kalau ikutkan jadual waktu azan Selangor, Wilayah Persekutuan dan kawasan kawasan yang sewaktu dengannya, lagi lima belas minit tambah kurang baru masuk waktu Subuh.


Bingung juga Farid. Tak kan muezzin spesies rabun nombor pun ada juga di tengah tengah kota ibu negeri Selangor itu. Kalau taraf taraf masjid di kampung tu, boleh diotakkan lagi. Tetapi Farid tidak mengeluh panjang. Mungkin muezzin yang melaungkan azan tadi juga baru pindah dari Sarawak agaknya, orang kampung Chris barangkali.


“Dib, dah nak dekat Subuh dah ni, jom la siap siap”

“Hmm”

“Zul, jom turun solat”

“Kau turun dulu, nanti aku follow”


Farid ni memang budak asrama paling cemerlang di sekolah dahulu. Budak surau to-be di Kolej Antarabangsa tu. Namun usaha mengejutkan dua lagi rakan seaqidahnya itu menampakkan bibit bibit kegagalan. Yelah, masing masing sudah bergelar budak kolej, sudah tinggalkan dunia asrama dan warden, apa kelas turun Subuh di surau awal-awal. Dari aras lima pula tu.


Begitulah realitinya. Seperti mana yang telah dimomokkan sejak dari sekolah menengah lagi dalam siri siri nasihat berguna oleh warden asrama kepada kesuluruhan pelajar amnya dan kepada pelajar pelajar yang sejak dari sekolah menengah lagi sudah menunjukkan bakat ponteng solat berjemaah di surau khusunya.


“Kamu ini sekarang je nak datang solat kat surau, sementara warden ada datang kejut. Datanglah. Nanti dah besar, dah masuk university, dah takde orang nak kisah. Kamu nak solat kat bilik ke, nak solat kat rumah ke, tak nak solat ke, semua terpulang pada diri masing-masing”


Begitulah nasihat yang diberikan. Masin benar mulut yang memberi nasihat itu. Sehinggakan hampir setiap patah nasihat menjadi kenyataan. Tidak hairan la ramai yang tak sabar-sabar untuk menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah dan tak sabar lagi untuk terus ke alam universiti. Dah tak sabar nak merasa hidup bebas, tanpa kongkongan. Jiwa remaja, perlu bebas. Begitulah slogan anak anak muda. Bak kata yang berkata, freedom is ours.


Farid kemudiannya melabuhkan kembali punggungya di atas katil, sambil memerhati tiga rakannya yang sedang dibaluti selimut itu. Seorang lagi Kiren, budak india yang berasal dari Nibung Tebal. Saiz badan Kiren yang sihat walafiat menampakkan bahawa dia sedang tidur dengan penuh bahagia. Seolah-olah sedang diulik mimpi mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan serta dikurniakan keluarga yang disirami sakinah, mawaddah dan rahmah.


Tergugat juga iman Farid yang baru sahaja hendak memuncak itu. Kalau hari pertama pun sudah macam ni, nampaknya tanda tanda kecil masa depan solat Subuh mereka bakal mengahadapi hari hari getir sudah mula kelihatan dan sudah berada di paras berjaga jaga. Namun, hamassah as syabab yang bergelora dalam jiwa Farid tidak mahu mengaku kalah dengan scenario scenario di depan matanya itu.

Beberapa minit berlalu. 


Sekali lagi azan Subuh yang sebenar-benarnya berkumandang, membelah udara, memecah kesunyian dan keheningan suasana pagi yang permai dan sedikit panas itu. Mula kedengaran bunyi bunyian kerusi diseret, air dari paip yang mengalir memenuhi tangki dan perbualan perbualan yang beraneka bahasa dan sukar difahami yang datang daripada bilik bilik sebelah dan di aras bawah.


“Kau nak pergi solat?”

“Haah, nak ikut?”

“Ish, aku kan Krsitian”

“Hehe, manala tahu kan, ok see you later”


Bersiap ala kadar, Farid bergegas turun ke surau kolej kediaman itu. Kalau diikutkan tentatif orientasi yang belum berakhir, pagi itu subuh mereka bersama-sama di lapangan bola keranjang di antara Blok B dan Blok A kolej mereka. Dan kalau nak diikutkan juga, abang abang fasilitator akan datang untuk pastikan semua pelajar Muslim turun bersolat berjemaah kemudian bersama mendengar sesi tazkirah pagi manakala yang bukan Muslim pula turun lewat setengah jam untuk sesi kerohanian mereka bersama fasilitator bukan Muslim.


Namun entah, ditungu tunggu, fasilitator pun entah ke mana.

Sebelum terus melangkah ke lapangan bola keranjang, Farid singgah di surau kolej. Ada lah beberapa orang pelajar siap berkopiah lagi sedang mendirikan solat sunat. Itu semua muka calon calon pelajar yang akan mengharumkan nama negara dan dunia Islam suatu hari nanti in sha Allah. Ataupun muka calon calon pelajar yang akan mengisi kekosongan jawatan kelab kelab dan badan badan kerohanian kolej.


Kebiasaanya pelajar pelajar yang Islamik, berdisiplin, berketerampilan dan bersemangat waja ini memang dilahirkan untuk mengisi jawatan terbabit. Sudah menjadi trending pelajar Malaysia umumnya bahkan, apatah lagi di Kolej Antarabangsa sedemikian rupa.



---------


Entah siapa yang bersolat di lapangan bola keranjang kerana ternyata solat Subuh pagi itu berjalan seperti biasa di surau kolej. Meskipun kehadirannya kurang memberangsangkan namun suasana solat Subuh seakan hidup dan basah, diserikan lagi dengan sedikit pengisian tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Pakcik Hasnan.


Pagi itu, solat berjemaah dipimpin oleh anak Pakcik Hasnan yang merupakan seorang huffaz yang ditakdirkan sedang bercuti. Pakcik Hasnan merupakan suami kepada salah seorang Pegawai Pembangunan Pelajar atau nama mudahnya warden kolej di situ. Memandangkan tugas warden di kolej tidak sama bahkan jauh berbeza dengan warden asrama di sekolah, oleh hal yang demikian gelaran yang panjang dan berbelit-belit itu diberikan. Lebih mudah, pelajar pelajar memanggil mereka sebagai PPP.


Pada rakaat pertama, Farid tidak dapat fokus dan mengingati surah apa yang dibaca oleh imam kerana matanya sibuk melilau melihat ke sekeliling surau yang kelihatan asing baginya. Sempat juga dia memikirkan beberapa idea idea yang bernas untuk menambahbaik keadaan surau yang tidak bermaya itu. Dia juga sempat berniat untuk menganjurkan gotong royong membersihkan surau itu dalam masa terdekat setelah melihat banyak sawang lelabah di penjuru dinding surau. Itupun kalau dia dilantik menjadi ahli jawatankuasa surau. Namun dia sudah menjangkakan kesemua itu pada rakaat pertama Subuh pada pagi itu.


Namun suara imam yang mendayu dayu dengan sebutan makhraj yang betul serta taranum hijjaz  yang menusuk kalbu itu ternyata tidak mengecewakan. Imam membacakan potongan ayat-ayat terakhir surah al Fajr. Meskipun Farid tidak memahami maksud ayat Quran yang dialunkan, namun dia tetap menikmati bacaan tersebut. Irama ayat ayat itu yang diakhiri dengan bunyi yang sekata membuatkan dia hanyut dalam arus ibadah.


Seakan itulah kali pertama dia mendengar baris baris ayat Quran tersebut dibacakan.


Hai jiwa yang tenang
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhaiNya
Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu
Masuklah ke dalam syurgaKu
(Al Fajr:27-30)



Tazkirah Subuh yang ringkas tetapi padat daripada Pakcik Hasnan pada pagi yang masih damai itu membuatkan Farid lebih teruja. Kebanyakan pelajar yang hadir sudah tidak tertahan lagi rasa mengantuk ekoran suara Pakcik Hasnan yang perlahan dan mendatar. Semua poin yang diutarakan dibalas dengan anggukan yang bertubi-tubi tanda setuju. Namun Farid kekal bersemangat waja.


“Saya harap kamu semau yang hadir ini dapat membantu rakan-rakan yang lain untuk turun solat berjemaah bersama-sama. Di sinilah tempatnya untuk kita belajar mengajak kawan-kawan kita melakukan kebaikan. Sebagai persediaan sebelum kamu semua menyambung belajar keluar negara nanti”


Itulah antara poin yang masih berlegar-legar dalam minda Farid. Pakcik Hasnan turut menceritakan tentang banyaknya kuliah kuliah agama yang diadakan di surau surau dan masjid masjid yang bertebaran di sekitar kolej kediaman mereka. Paling mengujakan, dia mempromosi rakaman program Tanyalah Ustaz kepada para pelajar yang diadakan di Masjid Negeri, tidak jauh daripada kolej mereka.


Farid sudah dapat membayangkan dia menghadiri rakaman tersebut dan penglibatan aktifnya nanti akan dirakamkan dan disiarkan di kaca televisyen untuk ditonton ke seluruh negara.


“Ada apa apa soalan?”

Tanya Pakcik Hasnan sebelum mengakhiri tazkirahnya itu. Farid memang hendak bertanyakan soalan. Namun, kelihatan pelajar lain yang sunyi sepi menyebabkan dia terpaksa mengkebumikan sahaja soalannya itu. Takut takut nanti dikata melebih-lebih pula. Biasalah, sudah menjadi budaya orang Melayu asli, warisan turun temurun untuk para pelajar tidak bertanya soalan.


Siren fasilitator yang bertugas memangil-manggil pelajar untuk berkumpul di hadapan kolej. Farid lantas teringat akan kesemua teman serumahnya. Dia bergegas naik ke aras lima dan mendapati bukan sahaja tiga rakan yang sebiliknya sedang tidur, bahkan Chris yang sepatutnya sudah bersiap untuk program pada pagi itu turut pengsan di bilik sebelah, di rumah mereka itu.


“Alamaak subuh aku!!” Jerit Zul

“No I’m late now” Kiren pula menambah.


Hampir sahaja pagi yang ceria yang menjanjikan sinar harapan buat permulaan hidup baharu bergelar sebagai pelajar kolej berkecai.


“Assalamu’aalaikum…”


3 comments:

Ammar Hanapiah said...

fergh, nostalgiaa. hang housemate ngan sape =P

Inspector Saahab said...

Heewwww adelahhh.
Tak balik mesia ke bang ?

zakiraH Humaira said...

Aiyoo . X sabarnya nak rasa Ramadhan kat sana . Gi mana rasanya ya ? Hmm hmm