Friday, August 17, 2012

KU MERINDUIMU

Entah, mungkinkah tahun hadapan kita masih menjumpainya. Namun, yang patut kita renungi, apakah yang telah kita perbuat pada Ramadhan kali ini?

Di saat masjid-masjid saling bersahutan laungan takbir, sepatutnya kita duduk merenung, menyesali atau bahkan menangisi kelalaian kita. Ramadhan seolah-olah berlalu tanpa kita dapat berbuat lebih banyak untuk mengisinya dengan amal kebaikan

Penyesalan, adalah perkataan terakhir yang biasa terucap dari lisan kita tatkala kita mengalami kegagalan.

Ternyata, semangat kita hanya mampu berkobar pada permulaannya. Kobarannya kian padam, seiring berlalunya hari demi hari di bulan Ramadhan. Masjid yang pada awal Ramadhan teramat sesak, namun kembali menerima nasibnya sebagaimana pada bulan-bulan biasa iaitu ditinggalkan dan mungkin akan kembali sepi.

Saat kekasih kita akan pergi, bagaimanakah perasaan kita?

Kita mungkin telah menyia-nyiakan Ramadhan sementara kita telah berikrar untuk mencintainya. Bahagiakah kita setelah perjalanannya telah berakhir? Merasa bebaskah kita ketika ia akan pergi?


Jika begitu perasaannya, maka cinta kita bukanlah cinta sejati. Kita bahkan mengalami penurunan jejak keimanan dari hari ke hari bersamanya. Memang ketika ia datang, iman kita memuncak serta menyambutnya seperti orang jatuh cinta, maka, masjid pun penuh!

Namun hari-hari berikutnya saf solat jamaah kian mengalami kemerosotan. Semakin banyaknya tumbuh gerai-gerai dan pusat perniagaan bersamaan dengan semakin sepinya masjid adalah bukti lain. Masjid mulai menjadi sepi dan tiada lagi riuh lantunan Al-Qur’an dari para jamaah sehinggakan kita perlu menggantikannya dengan alunan pita rakaman.

Demikian tragisnya suasana Ramadhan kita dan ianya tidak pernah berubah dari masa ke semasa di mana Ramadhan kita sentiasa kekeringan makna, mendatar dan tidak ada perubahan yang signifikan. Kesesakan justeru berlaku di tempat yang lain, di pasaraya dan di kompleks perniagaan.

Inilah Ramadhan kita, sepi dari makna rohani. Hari raya pun tidak ubah seperti pesta kemeriahan sambil menghambur-hamburkan wang.

Kita sebenarnya telah terseret pada arus kebendaan, berputar hanya pada wang, pakaian dan makanan dalam memberi makna kepada hari raya. Hari raya tidak lagi menyentuh hakikat yang sesungguhnya, iaitu perayaan bagi para pemenang sejati yang telah berlumba-lumba menuai kebaikan selama sebulan Ramadhan.

Jika Rasulullah saw bersabda :

"Barang siapa melakukan satu ibadah sunnah dalam bulan Ramadhan, maka ia seperti orang yang melakukan ibadah wajib di bulan selain Ramadhan. Dan barang siapa yang melakukan ibadah wajib di bulan Ramadhan maka ia seperti orang yang melaksanakan 70 ibadah wajib di selain bulan Ramadhan". (HR Ibnu Khuzaimah)

Maka, berpisah dengan bulan ini bererti kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat kali ganda.

Jika Rasulullah saw bersabda :

"Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah." (HR Bukhari dan Muslim)

Maka, perpisahan dengan bulan ini, bererti terhapusnya dua momentum kegembiraan di kala berbuka puasa itu.


Jika Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa yang berpuasa kerana keimanan dan semata-mata mengharap pahala, niscaya diampuni dosanya yang telah lalu. (HR Bukhari dan Muslim)

Maka, perpisahan dengan bulan ini bererti hilangnya kesempatan kita untuk memperolehi keampunan Allah swt terhadap dosa-dosa kita yang menggunung.

Jika Rasululah saw bersabda :

"Barangsiapa yang menunaikan Qiyamullail pada bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, niscaya akan diampuni dosa-dosa-nya yang telah lalu." (HR Bukhari dan Muslim)

Maka selesainya kebersamaan kita dengan bulan Ramadhan adalah petanda lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan di atas dosa dan kekhilafan yang kita sudah tenggelam di dalamnya

Jika Rasulullah saw bersabda :

“Siapa sahaja yang solat tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat semalam suntuk.” (HR Abu Dawud, At-Tirmizi, An-Nasai’e dan Ibnu Majah)

Lalu bagaimana dengan kualiti ibadah solat tarawih yang sudah kita lakukan?

Perpisahan dengan bulan suci ini bererti juga kita akan kehilangan pahala solat tarawih iaitu kehilangan pahala semalam suntuk.

Menangislah!!! kerana kita pun semestinya akan berpisah dengan bulan ini.

Ramadhan akan pergi. Tiada gunanya saya terus menulis di sini. Kerana terlalu awal untuk kita semua merenungi kesilapan diri. Kerana kita akan melupakan segala kesilapan kita dan mengulanginya. Manusia! Saat ini bermulalah penantian selama setahun lagi. Apakah akan tiba peluang seterusnya ?

1 comment:

Ir Jinggo said...

T^T

nk share n smpai2kan hadith2 ni ea Inspektor..

taqabbalallahu minka