Friday, May 30, 2014

THE LAST AIR-BENDER




Saya ada seorang bapa saudara yang namanya dirahsiakan mempunyai satu tabiat yang sangat unik, yakni beliau selalunya akan ambil masa paling kurang tiga minit semata-mata untuk membasuh tangan sebelum makan dan kalau mandi memang boleh sampai satu jam. Sama la kalau ambil wudhuk. Kalau waktu ada makan-makan bersama keluarga di rumah nenek, kami akan sentiasa hampir putus asa menunggu beliau membasuh tangan di sinki di dapur.


Dahulunya saya ingat pakcik saya ini memang Avatar the last air-bender, ok melawak. Rupanya memang ada satu jenis penyakit yang jenis macam ini. Bukan sahaja tertakluk kepada suka air, bahkan ada banyak kategori lain lagi.


Obsessive–compulsive disorder (OCD) is an anxiety disorder characterized by intrusive thoughts that produce uneasiness, apprehension, fear, or worry; by repetitive behaviour aimed at reducing the associated anxiety; or by a combination of such obsessions and compulsions.
(wikipedia)



Itulah dia nama penyakitnya.


Saya tidak tahu sejauh mana benar hypothesis saya tentang bapa saudara itu, tetapi memang ada bahkan sangat ramai orang yang mempunyai penyakit sedemikian. Mungkin perkataan penyakit kurang sesuai untuk menisbahkan perkara ini. Pada dasarnya, tak kan la suka basuh tangun pun dikira penyakit, tapi yelah, kalau dah satu tangki air guna untuk basuh tangan sahaja, tambah tambah kalau duduk di area Selangor yang air macam chips more ini, err, memang sakit la.


Ada banyak jenis OCD yang melanda orang kebanyakan. Antara yang pernah saya jumpa atau kenali, memang ada yang suka basuh tangan berkali kali. Kalau dah setengah jam tak basuh tangan, boleh jadi berpeluh peluh mereka ini. Ada juga yang jenis kena sentiasa kemas, dan tersusun semua perkara. Kalau tengok files berselerak itu, mereka boleh pengsan. Ada yang jenis tak boleh baju berkedut. Kalau dah berkedut sikit, gosok lagi. Dan lagi.


Ada yang jenis tak boleh tengok debu debu di lantai. Kalau ada je terus disapu dan dimop. Ada yang tak boleh tengok rambut yang berguguran, sehinggakan mereka sanggup kutip satu persatu. Dahsyat. Tetapi inilah keunikan. Kalau duduk satu rumah dengan manusia fe’el ini memang beruntung la, rumah bersih semacam sahaja.

Symptom utama bagi mereka ini ialah mereka akan melakukan perkara tersebut berulang-ulang kali tanpa alasan yang muhasabah, sehingga suatu masa, tahap pengulangan itu boleh dikatakan melampau. Eh.






Yang menarik dan merisaukan, sebenarnya hari ini makin ramai yang mempunyai penyakit OCD ini. Semakin ramai dan keadaan yang semakin parah, tanpa mereka sedari. Bahkan, para pengkaji ilmu perubatan pun belum tentu sedar akan perkembangan terbaru ini.


Iaitu fenomena OCD terhadap media social. Kalau kita perhatikan, berapa ramai orang termasuk kita sekali yang memang tidak boleh duduk dengan tenang jika paling kurang dalam setengah jam notis notis media social seperti facebook, email dan twitter tidak diperiksa. Ada orang memang berpeluh-peluh kalau tiba-tiba access Internet terputus.


Entah dalam satu hari, berapa ratus kali kita kemaskini media social kita. Jika ada notis yang masuk tetapi tidak dapat diperiksa, mungkin ada yang rasa cemas. Jika ada email yang tidak reply, tidak senang duduk. Bahkan kalau tidak ada notis sekalipun, tetap kita rasa macam tidak lengkap ‘rukun’ harian kalau tidak periksa media social kita.


Hari ini semua benda hendak dilaporkan di media social. Check in ke kelas. Makan di kedai mamak. Naik taxi. Angkat baju. Langit mendung. Lapar. Masak Meggi. Dan beragam cerita lagi. Bahkan kalau ubat gigi habis pun akan ditulis di media social;


“Baru beli dua hari lepas, ubat gigi mu’min ini, dah habis hari ini. Ish, hantu mana la makan”

Err.


Jika difikirkan sejenak, banyak sebenarnya masa yang terbuang untuk hal hal yang tidak berfaedah. BOB diri sendiri. Dan kalau difikirkan balik juga, sebelum adanya medan untuk berkongsi aktiviti harian ini semua, apa je yang masyarakat kebanyakan buat hari hari di posisi masing-masing?


Ini kita baru bercakap dalam konteks orang ramai, masyarakat kebanyakan. Tetapi, huh, jangan kata orang ramai, para da’ie turut terpelosok dalam gejala ini. OCD alaf ke dua puluh satu ini. Digarunya smartphone berkali kali, semata untuk melihat update yang tiada update.


Ada satu status yang menarik berkenaan hal ini,
(Kalau status menarik pun tahu, nampak sangat semua benda pasal media social ni kita tahu)


Tak bosan ke jika hari-hari rutin kita sebagai seorang daie
Pagi :
Buka Facebook
Tengah hari :
Buka Facebook
Petang :
Buka Facebook
Malam :
Buka Facebook
Sebelum tidur :
Buka Facebook.

p/s : Buka facebook kosong saja. Tak ada motif. Lalu rasa bosan.
-ABS


Yelah, tidak dinafikan, di medan social pun boleh berdakwah. Cuma jangan kata update status islami di facebook pun jihad. Aduh. Benar, tidak dinafikan banyaknya kebaikan menggunakan media social untuk sampaikan fikrah Islam yang murni, banyak usaha mengarus perdanakan info info tentang umat di media social boleh dilakukan akan tetapi sepatutnya cukup sekadar di situ. Berhenti di situ.


Yang menjadi masalah, media social mempunyai tarikan tersendiri, yang memerangkap kita tanpa disedari. Daripada tujuan untuk berdakwah, entah mengapa di medan ini para pendakwah bergaduh sesama sendiri.

Daripada matlamat asalnya hendak berkongsi tentang isu umat di Palestine, di Syria dan banyak lagi, tiba-tiba kita tergelincir dalam perdebatan persatuan mana yang lebih ‘alami, persatuan mana yang lebih ambil berat dan larut dalam perbincangan yang tidak membuahkan amal.

Tersenyum riang syaitan.

Akhir kata,


Ada fb? Tak ada.
Twitter? Tak ada.
Instagram? Tak ada.
Dah tu apa awak ada? Kehidupan.

Dunia ini lebih dari sekadar berlaman sosial.

-Dipetik dari laman social


Entah bagaimana harus diakhiri entry ini.
Dengan ucapan Hamdalah in sha Allah

Alhamdulillah.

Tuesday, May 27, 2014

OF ISRA' MI'RAJ & PALESTINE (I)



Menurut kitab seerah Raheeq Makhtum, terdapat beberapa perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ dalam penetapan tarikh terjadinya Isra’ wal mi’raj. Ada yang mengatakan ia terjadi pada tahun Allah memuliakan Nabi saw dengan nubuwwah. Dan antara lain, ada yang  berpendapat ia terjadi pada malam tanggal 27 Rejab tahun ke sepuluh an Nubuwwah.

Hari ini, calendar tahunan kita memilih untuk mengazetkan tarikh 27 Rejab sebagai tarikh memperingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang sangat epic itu.

Cuma, suka juga saya untuk berkongsi bahawa tarikh ini ditolak oleh sebahagian ilmuwan kerana pada waktu itu Saidatina Khadijah belum meninggal, padahal pensyariatan solat berlaku setelah beliau meninggal. Pun begitu, penetapan tarikh dan perbezaan pandangan ini tidak menjadi masalah untuk kita mengutip ibrah yang sangat banyak melalui peristiwa Isra’ dan mi’raj ini.

Saban tahun di bulan Rejab siri siri kuliah Isra’ Mi’raj akan mengambil tempat dalam pelbagai bentuk majlis ilmu. Dan sepanjang lima tahun saya bersekolah dan menetap di asrama, maka lima kali lah paling kurang saya mendengar kuliah tentang peristiwa Isra’ Mi’raj yang disampaikan oleh beberapa penyampai jemputan  dengan cara penyampaian dan perspektif yang berbeza.

Namun begitu, kuliah kuliah Isra’ Mi’raj yang saya lalui dahulu hanya tinggal sebagai satu kuliah yang harus dijalankan sekadar melengkapi agenda tahunan surau di sebuah sekolah berasrama penuh yang terletak di sebuah Bandar yang terpencil di sebuah negeri di persisiran pantai di semenanjung Malaysia. Penceritaan sejarahnya dibentangkan sekadar kuliah untuk mengisi kekosongan waktu, yang diakhir dengan secebis nasihat yang sudah dapat dijangkakan.

Pun begitu, kuliah atau penceritaan Isra’ Mi’raj tidak pernah mengecewakan. Kerana terlalu banyak kisah menarik yang dapat kami dengar, diserikan lagi dengan banyak perkara epic yang berlaku pada Nabi saw pada malam tersebut menyebabkan kami mendengar dengan terkun dan focus.
 
 (Google)

Namun, jarang sekali bahkan tidak pernah pengkuliah yang hadhir mengkaitkan kisah Isra’ Mi’raj dengan keakraban hubungan setiap manusia yang melafazkan kalimah toyyibah syahadatain dengan masjid al aqsa ataupun kota al Quds. Isi utama kuliah ini biasanya didominasi dengan perintah solat, pertemuan Rasulullah dengan para anbiya dan kisah Abu Bakr r.a yang sering membenarkan kata-kata Nabi saw.

Disebabkan adanya bahagian penting yang tertinggal dalam menyampaikan pengajaran tentang Isra’ Mi’raj ini, saban tahun semakin diingati Isra’ dan Mi’raj, semakin dilupai saudara seakidah kita di kota al Quds. Sehinggalah tarbiyah menghubungkan kembali pertalian yang hampir putus itu. Saya secara jujur harus berterima kasih kepada tarbiyah atas kesedaran ini.


Memetik tulisan Ust Hasrizal dalam blogpostnya, beliau melontarkan satu persoalan yang sangat menarik tentang Isra’ dan Mi’raj yang dipandang sebelah mata oleh sebahagian besar Muslim.


Tulis beliau;



“Jika motif peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj adalah hanya untuk urusan peribadi antara Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam dengan Tuhannya, nescaya perjalanan boleh berlaku secara langsung dari al-Masjid al-Haram di Mekah ke Sidrah al-Muntaha, tanpa perlu ‘transit’ di al-Masjid al-Aqsa di Palestin. Akan tetapi, persinggahan di bumi Palestin pada kejadian luar biasa berkenaan, mempunyai signifikasi yang perlu hidup hingga ke akhir zaman, sebagai kelangsungan nilai Palestin sebelum-sebelumnya ”



Ya. Persoalan ini sepatutnya memandu rasa ingin tahu kita tentang nilai Masjid al Aqsa secara khususnya dan kota al Quds secara amnya di sisi setiap muslim.


Terlalu banyak perkaitannya sebenarnya, yang tidak mampu saya nukilkan di sini. Masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam, bumi al Quds yang diberkahi dan direkod dalam al Quran itu, bumi kelahiran para anbiya dan ilmuwan Islam serta keberkahannya yang melimpah sehingga ke kekuasaan politik dunia itu  ada hubungan yang rapat dengan kita semua.


Tetapi kelalaian masyarakat Islam dunia secara am nya beserta pengaruh tangan tangan ghaib yang mengalih perhatian kita daripada mengambil tahu tentang perkembangan bumi yang sedang menangis itu telah menyebabkan hubungan yang akrab sudah renggang. Hubungan sejarah sudah kita lupakan. Nilai sentiment yang ada pada bumi itu tidak lagi dirasai oleh generasi mendatang. Hubungan akidah telah dibatasi dengan sempadan kebangsaan dan kenegaraan.



Membebsakan al Aqsa merupakan satu perjuangan yang kewajibannya terletak di pundak setiap muslim, atas satu alasan yang cukup kukuh, menafikan halangan halangan yang ada yakni atas alasan akidah. Sekiranya setiap muslim yang bertebaran di seluruh dunia kembali melihat kewajipan ini, dan bersatu untuk membebaskan kota yang diberkahi itu, maka pasti musuh Allah, zionis yang makin menggila itu panas punggung.


Untuk mengelakkan hal ini berlaku, memastikan api perjuangan terus malap, dan untuk melalaikan setiap muslim daripada kewajipan mereka, kita dibekalkan dengan tugas tugas remeh yang melarutkan. Umat islam dipecah belahkan dengan pelbagai fahaman yang mengatasi hubungan akidah. Perpecahan yang menyakitkan, yang malangnya harga perpecahan itu terpaksa dibayar oleh saudara seakidah yang terus menerus ditindas di kota al Quds.


Teori memecahbelahkan musuh untuk mengangkat diri sendiri ini sudah dipraktikkan oleh Fira’un seperti mana yang direkodkan dalam surah al Qhassas ;



“Sesungguhnya Fira’un telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan mereka, menyembelih anak laki-laki dan membiarkan anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan”

(Al Qhassas:4)


Seolahnya ruh dan ciri-ciri yang dinyatakan dalam ayat di atas ada pada musuh umat Islam hari ini. Dan perincian tentang mangsanya juga sama. Rupa rupanya walaupun Fi’raun sudah lama riwayatnya tamat, tetapi saki perjuangannya masih ada, diteruskan oleh Zionis yang dilaknat itu.


Jika diperhatikan hari ini, umat Islam berpecah belah yang tidak dapat dinafikan lagi. Ada yang berperang sesama sendiri. Ada yang berkelahi kerana berbeza fahaman politik. Berkelahi kerana berlainan pegangan mazhab. Sebahagian ditindas dan sebahagian lagi hidup mewah meratah hak bersama. Anak-anak Islam di bumi bergolak dibunuh tanpa belas, baik lelaki mahupun perempuan.


Dan sebahagian umat yang masih hidup senang lenang sekadar duduk menangisi di hadapan skrin, berpeluk tubuh, berputih mata. Mereka dilemma. Tersepit antara membantu atau menjaga kepentingan diri. Begitulah dahsyatnya perpecahan yang berlaku ini. Hati hati muslim tidak lagi bersatu, meskipun jumlah mereka ramai.


Al Quds telah membuka mata kita semua, membongkarkan ciri ciri sebahagian besar umat ini. Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang mengilhamkan kita semua untuk masih memperingati peristiwa Isra’ ini dan masih ada yang berfikiran waras mengheret kita ke dataran fikir yang lebih luas.


Kedatangan Isra’ dan Mi’raj kali ini dan pada tahun tahun yang mendatang sepatutnya kita lihat melalui kaca mata yang berbeza, yakni melalui kaca mata untuk membebaskan al Quds. Isra’ dan mi’raj sepatutnya diraikan dengan semangat baharu yang lebih membara untuk kita sama-sama memainkan peranan di posisi masing-masing untuk meleraikan kuasa durjana Negara Haram Israel.


...Bersambung...in sha Allah


Wallahu’alam

Wednesday, May 21, 2014

OBSESI AL QURAN




Keunikan Bahasa Arab

Sebagaimana yang telah saya garapkan sebelum ini, antara keunikan bahasa arab yang dimuliakan dengan al Quran itu adalah, banyak perkataannya hadhir dalam dua keadaan, kata nama beserta kata kerja atau sifatnya. Apabila Allah swt memilih perkataan perkataan ini untuk menjelaskan sesuatu perkara, kombinasi kata nama dan kata kerja perkataan tersebut membuktikan al Quran suatu mukjizat agung dari sudut bahasanya.


Sebagai contoh,

Hati dalam bahasa arab bermaksud Qolbun. Kombinasi qof, lam dan ba. Qolbun ini bukan sahaja bermaksud hati jika diterjemah semula ke dalam bahasa lidah kita, tetapi juga bermaksud yang berbolak balik. Atau beberapa translasi Inggerisnya ialah overturn, reverse dan inverting.  Kesemua kata kerja ini memang bertepatan dengan sifat hati,yang sering berbolak balk.

Memetik kata-kata Abu Darda r.a yang tersemat dalam al Muntalaq;

“Hati lebih cepat berbolak balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak”.

Tumblr

Insan


Perkataan arab yang lainnya yang termasuk dalam kategori ini ialah insan, yakni manusia, human being. Ahli bahasa mengutarakan perkataan insan berasal daripada beberapa perkataan yang lain. Antaranya nasia, yang bermaksud pelupa. Sifat pelupa ini memang padan la dengan manusia.


Selain itu, perkataan insan juga berasal daripada perkataan uns, yang bermaksud cinta, penyayang, love, compassionate dan merciful, antara lainnya. Ibnu Faris mengatakan bahawa manusia dipanggil insan kerana mempunyai perasaan belas, sayang dan bukan sahaja menunjukkan sifat sifat ini, bahkan mendambakan sifat sifat ini.


Manusia membutuhkan kasih sayang daripada yang lain.
 
We want to love and to be loved.

Nah mengapa pula saya utarakan hal ini?


Dalam surah Ar Rahman pada ayat ketiga, yang uniknya menceritakan perihal pencipataan manusia setelah ayat kedua Allah swt menyebut tentang al Quran, dalam ayat ketiga ini Allah swt menggunakan perkataan insan.


‘Allama al Quran..
Yang mengajarkan Quran


Kholaqol insan..
Yang menciptakan manusia


Berkenaan dua ayat ini, ada beberapa study yang menarik, bahkan menakjubkan dari sudut bahasanya. Pertama sekali, perihal al Quran disebut mendahului perihal penciptaan manusia. Seolah-olahnya mesej di situ, Quran jauh lebih penting. Melalui al Quran manusia tahu tujuan penciptaannya. Ini menunjukkan, tujuan penciptaan manusia membawa misi dan mesej yang sangat besar dan utama, lebih utama daripada penciptaan manusia sendiri.


Apabila al Quran disebut terlebih dahulu, menunjukkan betapa tiada gunannya hidup kita kalau tidak berpegang dengan manhaj hidup ini. Hidup tanpa panduan al Quran langsung tidak membawa erti. Al Quran diturunkan kepada manusia untuk memberi nilai dan makna dalam kehidupan. Maka mengapa kita tidak cuba berinteraksi dengan al Quran ini ?


Seterusnya, pemasyhuran tentang al Quran terlebih dahulu lebih releven apabila kita dapat kaitkan fungsi al Quran dan sifat manusia yang telah kita diskusikan di atas.


Peringatan dan Kasih Sayang


Memandangkan manusia itu pelupa, maka Allah datangkan al Quran sebagai peringatan. Dalam al Quran banyak ayat yang bercerita tentang peringatan. Peringatan tentang hari qiamat, peringatan tentang tanggungjawab manusia, peringatan tentang punca kebinasaan umat terdahulu dan terlalu banyak lagi.


Peringatan diberikan kepada mereka yang lupa dan lalai. Maka nampaklah perkaitan susunan ayat yang cantik antara dua ayat ini.


Seterusnya, bertepatan dengan sifat manusia yang mendambakan kasih sayang, al Quran sebenarnya menghubungkan manusia dengan Allah swt, untuk meraih kasih sayang yang paling luhur,sejati dan paling utuh untuk mengisi kekosongan jiwa mereka. Al Quran itu sendiri merupakan tanda kasih sayang Allah swt kepada hamba-hambaNya, bertepatan pula dengan nama surah ini, surah Ar Rahman.


Mengetahui akan hakikat al Quran ini, mengapa kita masih tidak sudi meluangkan masa membaca, memahami, mengkaji dan mengamalkannya? Itu satu persoalan besar yang wajar ditanya oleh setiap daripada kita.


Saudaraku,


Al Quran akan kekal sebagai peringatan dan manifestasi cinta Allah swt kepada hambaNya, sehinggalah dunia ini melabuhkan tirainya. Sekarang terpulang kepada kita untuk mengambil pengajaran daripada peringatan dan mengisi jiwa kita yang kosong itu dengan kasih sayang yang dihulurkan atau tidak.

Tidaklah saya menulis melainkan untuk mengajak diri saya terlebih dahulu dan kalian yang membaca sehingga ke patah perkataan ini untuk kita sama-sama kembalikan kehidupan yang berpandukan al Quran. Jadikanlah al Quran teman akrab, satu obsesi harian kita.

Moga pencerahan ini menggandakan keghairahan kita untuk belajar mukjiazat paling agung ini. Semoga Allah teguhkan hati hati kita untuk beramal dengan agamanya. Semoga usaha kita ini diangakat sebagai satu jalan untuk mendekatiNya dan diredhaiNya.


Wallahu’alam.


Ps : Linguistic study daripada artikel ini bersumberkan video kuliah Ustadh Nouman Ali Khan. In sha Allah jika berpeluang, saya sambung. Sebarkan !

Sunday, May 18, 2014

'MAJNUN' YANG DIRINDUI



Bismillah,


“Apakah (mereka lalai) dan tidak memikirkan bahwa teman mereka (Muhammad) tidak berpenyakit gila. Dia tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan lagi memberi penjelasan”
(Al ‘Araf:184)


“Mereka berkata, ‘Hai orang yang diturunkan peringatan (Quran) kepadanya, sesungguhnya kamu benar benar gila’ 
(Hijr:6)


“Atau (apakah patut) mereka berkata, ‘Padanya (Muhammad) ada penyakit gila?’. Sebenarnya dia telah membawa kebenaran kepada mereka dan kebanyakan mereka benci kepada kebenaran itu”
(Al Mu’minuun:70)


“Dan mereka berkata, ‘Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seorang penyair gila?”
(As Safaat:36)


“Dan temanmu (Muhammad) itu bukanlah sekali-kali orang yang gila”
(At Takwir:23)





Jika disoroti kisah dalam al Quran secara keseluruhannya, begitu banyak ayat yang membersihkan nama Muhammad b Abdullah saw itu daripada dipanggil gila. Tidaklah secara tiba tiba diturunkan ayat ayat ini untuk mempertahankan Baginda, melainkan baginda benar benar dilabel gila. Gila benar Muhammad itu di mata pemuka pemuka Quraish!


Mana tidaknya, 

Setelah seruan berdakwah diturunkan, Baginda lantas berkata kepada isteri tercinta, “Sudah berlalu waktu tidurku”. Baginda bangkit setelah itu, tidak berleha leha dan beristirahat semata-mata, selama dua puluh lima tahun tidak hidup untuk diri sendiri melaksanakan beban amanah seluruh penghuni bumi yang terpateri di pundaknya. Gila benar itu!


Siri siri perjuangan yang ‘gila’ itu bermula.


Tatkala turun ayat, “Dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang dekat”, maka Nabi saw naik ke Shafa lalu berseru “Wahai Bani Fihr, wahai Bani Adi”. Baginda meneruskan bicara dan menyampaikan mesej dakwahnya. Di hadapan perkumpulan banyak orang itu, tiba tiba suatu suara ahli terdekat menentang dengan kata-kata yang cukup pedih,


“Celakah engkau untuk selama-lamanya. Untuk inikah engkau mengumpulkan kami?!”


Luah si Bapa Saudara. Allah. Sudah pasti down anak saudara yang baru diberi amanah dari Ilahi. Tapi adakah Muhammad itu berhenti dan menangisi penentangan itu? Sama sekali tidak! Gila benar!


Tidak serik Muhammad itu, behadapan tentangan yang makin dahsyat. Ini benar benar gila. Kegilaan itu merungsingkan Quraisy. Lalu mereka mendatangi paman Muhammad yang membesarkannya, Abu Thalib supaya beliau menasihati Baginda untuk menghentikan kegilaan itu. Namun ia berkesudahan dengan Quraisy pulang membawa kekecewaan.


Siri penentangan kepada ‘Si Gila’ makin rancak.


Dilabelnya Muhammad itu si dukun, penyair, penyihir, penentang agama nenek moyang dan bermacam macam lagi. Bahkan rakan-rakan, sahabat di sekeliling turut mendapat tempiasnya. Ini benar benar gila!


Dalam banyak banyak tentangan, Abu Lahab yang antara kedepan, memikirkan ide ide untuk menghentikan kegilaan Baginda saw. Kedua anak lelakinya yang telah menikahi dua puteri Baginda, Ruqayyah dan Ummi Khaltum dipinta diceraikan sebagai tanda protes. Tidak cukup dengan itu, pasca kematian putera Baginda, Abdullah b Muhammad, Baginda diejek sebagai yang sudah terputus rahmat Allah! Gila benar!


Secocok dengan sosok tubuh Abu Lahab itu, isterinya turut berpadu tenaga menentang Muhammad saw. Ummu Jamil, wanita yang disifati al Quran sebagai pembawa kayu bakar pernah memasang duri di jalan yang dilalui Sang Nabi. Bahkan dia pernah melantunkan syair kebenciannya;


Kami mungkir sekalipun dia mencaci
Terhadap urusannya kami tiada sudi
Terhadap agamanya kami membenci


Benar benar gila kerja Muhammad saw sehingga penentangan pun gila !


“Wahai anak saudaraku” Kata Abu Thalib setelah kemudiannya diancam oleh Quraisy, “Sesungguhnya kaummu telah mendatangiku lalu mereka berkata begini dan begitu kepadaku. Maka hentikanlah demi diriku dan dirimu sendiri. Janganlah engkau membebaniku sesuatu di luar kesanggupanku”


Rayu si Bapa saudara, tidak tertahan dengan kegilaan tentangan ini.
Dan yang dilabel “Si Gila” terus tegas, lalu menjawab;


“Wahai pamanku, demi Allah, andaikan mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan agama ini, hingga Allah memenangkannya atau aku ikut binasa kerananya, maka aku tidak akan meninggalkannya”


Kegilaan apakah ini !

Sehinggakan pemuka Quraisy sudah ketandusan idea, bingung memikirkan kerja gila Muhammad saw itu. Lalu mereka terdesak sehingga mahu bertindak menghabisi sahaja riwayat ‘Si gila’. Alangkah dangkalnya mereka! Namun, Tuhan yang mempunyai perancangan yang rapi buat Muhammad saw dan dakwah itu tidak memberhasilkan idea mereka!


Kedajalan penentangan diteruskan. Kini, pemboikotan. Selama tiga tahun lamanya, ke atas Bani Muthallib dan Bani Hasyim. Tidak dibenarkan berurusan dengan kedua bani ini. Dilarang menikah, berjual beli, berteman, berkumpul bahkan berbicara kecuali dengan sukarela ingin mendatangkan Muhammad untuk dibunuh! Kegilaan apakah ini! Sehinggakan ada teman teman yang memakan dedaunan kerana kekurangan bekal makanan. Gila!


Setelah sepuluh tahun melakukan kerja kerja gila, Muhammad dirundung kesedihan tatkala bapa saudara tercinta, Abu Thalib pergi menemui Sang Pencipta. Adapun hal yang lebih menyedihkan daripada itu, beliau pergi tanpa sempat mengucapkah kalimah syahadah. Berduka la Nabi saw. Ditambah tidak berapa lama kemudian, isteri tercinta Kadijah pula menemui ajalnya.


Bersorak gila lah Quraisy!


Setelah apa yang berlaku, Kota Mekah, kota kelahiran Muhammad itu tidak lagi memberikan sinar harapan buat agama ini. Namun Muhammad saw masih tekad dengan kerja gila itu. Lantas Baginda ke Tha’if, berjalan kaki bersama Zaid b Harithsah sejauh 60 batu jauhnya perjalanan. Gila benar !


Harapan dan misi yang besar. Agar penduduk Thaif menyambut seruan yang meluhurkan ini. Namun apa yang terjadi langsung mendukacitakan Sang Nabi. Sebelum sempat kaki menginjak Bumi Thaif, berita si gila, tukang sihir dan penyair bakal datang terlebih dahulu sampai ke gegendang telinga penduduk Thaif.


Kata-kata yang diterima Muhammad saw ialah, 

“Usir orang ini dari negeri kita dan kerahkan semua rakyat untuk memperdayainya!”


Sehinggakan penduduk kota itu beratur di sepanjang laluan yang dilalui Nabi sambil membaling batu dan diselang seli dengan hamburan cacian dan makian serta kata kata kesat. Sehinggakan terompah baginda basah oleh lelehan darah. Allahu akbar ! Ini benar benar gila bukan !


Lalu Rasulullah menghampiri sebatang pokok, duduk dibawah teduhannya dan melantunkan doa yang cukup menyentuh hati setelah dakwahnya tidak berhasil;


“Ya Allah, kepadaMu juga aku mengadukan kelemahan kekuatanku, kekurangan siasatku dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai Yang Paling Pengasih di antara para pengasih, Engkau adalah Rabb orang orang yang lemah, Engkaulah Rabbku, kepada siapa hendak Engkau serahkan diriku ? Kepada orang yang  bermuka masam kepadaku ataukah kepada musuh yang akan menguasai urusanku?

Aku tidak peduli asalkan Engkau tida murka kepadaku, sebab sungguh teramat luas afiat yang Engkau limpahkan kepadaku……”


Tidak dapat aku sambung doa dari Baginda rasul ini.
Allahu akbar!


Yang lebih mengujakan tatkala Malaikat penjaga gunung datang lalu berseru,


“Wahai Muhammad itu sudah terjadi, dan apa yang engkau hendaki? Jika engkau menghendaki untuk meratakan Akhsybaini, tentu aku melakukannya”


Lalu dijawab oleh Sang Nabi yang dituduh gila;

“Bahkan aku berharap kepada Allah Dia mengeluarkan dari kalangan mereka orang-orang yang menyembah Allah semata dan tidak menyekutukan sesuatupun denganNya”

Gila benar akhlak ini!


Tidak la tertulis olehku perihal sosok tubuh Nabi kita yang dijolok gila itu. Benar benar kerja kuatnya menyebabkan dia dipanggil gila. Ya Rasulullah, terlalu jauh ke hadapan bahkan tidak tercapai oleh saki baki umat ini untuk meneladani dakwahmu itu. Kau lewati kesemua ujian ini untuk umat ini.

Selawat dan salam ke atasmu.



“Dengan nikmat Tuhanmu, engkau bukanlah gila”

“Dan sesungguhnya bagimu benar pahala yang besar tidak putus putus”

“Dan sesungguhnya kamu benar benar berbudi pekerti agung”

“Maka kelak kamu akan melihat dan mereka pun akan melihat”

“Siapa di antara kamu yang gila”

(Al Qalam:2-6)




Ya Rasulullah,

Kapankah kita bisa bertemu?
Atau yang harus aku tanyakan, sudikah engkau bertemuku yang belum ‘gila’ ini?