Sunday, July 14, 2013

APA LAGI YANG DA'IE MAHU?



Awas, panjaaaang -,-



Baru-baru ini saya ada melontarkan satu persoalan, cewah, agak-agaknya kenapa dalam banyak-banyak kisah Para Nabi dan umat terdahulu dalam al Quran, kisah Nabi Musa a.s. mendominonasi sebahagian besar al Quran?

Hmm.

Pasca soalan ini, berbagai jawapan la yang saya terima. Ada yang kata macam tu, ada yang kata macam ni, ada yang kata gitu dan gini dan ada yang tak terkata pun. Bernas dan tiada yang tidak betul. Bagus juga ada perbincangan macam ini, berbagai-bagai perspektif jawapan saya dapat. Rasa hot pulak. Heh. Inni soimun.

Entah mengapa, di kala cuti yang panjang ni terasa rajin pula untuk mengkaji al Quran dengan lebih detail, entah kenapa saya rajin membelek kitab-kitab tafsir dan mendengar kuliah-kuliah tafsir dari segenap sumber, ruang dan peluang. So, di sini suka saya untuk berkongsi sedikit sebanyak dapatan kepada persoalan yang diajukan tadi.

Hmm.


Dan semua kisah rasul-rasul, Kami ceritakan kepadamu (Muhammad), agar dengan kisah itu Kami teguhkan hatimu dan di dalamnya telah diberikanmu kebenaran, nasihat dan peringatan bagi orang yang beriman
(Hud :120)


Bayangkan kehidupan menjadi seorang Muhammad bin Abdullah, tentu sekali tidak mudah. Banyak cabaran, pancaroba, mehnah dan tribulasi, pahit getir kehidupan terpaksa baginda lalui untuk menyampaikan risalah yang benar ini. Beliau bahkan dilempar dengan pelbagai fitnah, tohmahan, kata-kata kesat, ejeken yang mengundang marah, menyentuh isu-isu sensitive mengatasi isu perkauman dan banyak lagi.

Pasti di saat baginda digelar seorang yang gila Muhammad terasa sangat berat dan ingin sahaja berhenti. Pasti di saat baginda dibaling batu, baginda terasa ingin menarik diri. Di saat baginda digelar penyair dan tukang sihir, pasti terdetik di hati betapa beratnya ujian yang harus baginda lalui.
Di sekelian saat, mudah sekali semangat baginda untuk lemah dan longlai.

Lalu untuk meneguhkan hati baginda, Allah s.w.t turunkan wahyu berupa kisah-kisah para Rasul terdahulu yang terlebih dahulu melalui kondisi yang sedang Muhammad lalui supaya teguh hatinya. Secara umunya, kisah-kisah para Rasul dahulu dalam al Quran bertujuan memotivasi Rasulullah s.a.w. supaya terus thabat dalam menyampaikan tugas baginda.


Persoalannya, mengapa kisah Musa a.s. yang justeru banyaknya?

Pertamanya, jika kita lihat balik bagaimana beratnya ujian yang perlu dihadapi Nabi musa a.s kerana beliau terpkasa berhadapan dengan Firaun yang merupakan insan yang membesarkannya.


Dan istri Fira’un berkata, “(Dia) adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia menjadi anak,”…
(Al Qasas:9)


Ayat di atas memberi gambaran bagaimana atas desakan isterinya Fira’un yang zalim itu akur dan bersetuju membela Musa. Dan di saat dewasanya, Musa harus berhadapan dengan lelaki itu, orang yang membenarkan untuk membesarkannya, seorang lelaki yang mungkin memainkan peranan sebagai seorang ayah tatkala Musa mengenali dunia. Pasti berat bukan tugas tersebut?

Jika dibandingkan dengan Rasulullah sendiri pula, baginda tidak perlu menentang kaum keluarganya. Walaupun beliau dikecam hebat oleh bapa saudaranya Abu Lahab, namun baginda juga mendapat sokongan tidak berbelah bagi dari lelaki yang banyak berjasa dalam membesarkan baginda yakni Abu Talib dan ahli kerabat yang lain.

Sudah pasti di saat kisah Musa ini sampai pada Rasulullah, baginda seolah-olah tidak punya alasan untuk meninggalkan risalah ini.


Keduanya,

Nabi Musa mempunyai sejarah peribadi yang kurang elok. Beliau pernah membunuh seseorang. Dengan rekod jenayah (term hari ini) yang tidak baik ini, pasti sangat besar penolakan masyarakat terhadapnya.

Bahkan nabi Musa menjadi buruan sesetengah pihak dalam masyarakat tesebut untuk membalas dendam pembunuhan yang tidak sengaja beliau lakukan.


Dia (Musa) berkata, “Ya Tuhanku, sungguh aku telah membunuh seorang dari golongan mereka, sehingga aku takut mereka akan membunuhku”
(Al Qasas:33)


Bayangkan, hidup dalam buruan, namun pada waktu yang sama beliau diberi tanggungjawab mendakwahi umatnya. Cuba bayangkan hari ini kita semua dikenali sebagai seorang pembunuh, kemudian pada waktu sama cuba mengajak orang di sekeliling kita kepada sesutau yang baharu, sudah pasti sangat besar penolakan tersebut.

Dibandingkan pula dengan Rasulullah s.a.w, baginda tidak mempunyai sejarah hitam demikian. Rekod peribadinya bersih sebersihnya. Bahkan baginda diangkat-angkat dalam kalangan masyarakat pada hari itu dengan jolokan al-amin, terkenal dengan sifat jujur baginda. Sudah pasti ajakan kepada Islam tidak sesukar kondisi Musa a.s.

Apakah tidak wajar lagi kisah Musa menjadi peneguh hati Sang Rasul?

Ketiganya,


Mari kita perhati ayat-ayat di bawah,


Dia (Musa) berkata, “Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah utukku urusanku dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku agar mereka mengerti perkataanku”
(Taha:25-28)

Dan saudaraku Harun dia lebih fasih lidahnya daripada aku maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkanku, sungguh aku takut mereka akan mendustakanku”
(Al Qasas:34)


Dapat kita simpulkan (Wallahu’alam) Nabi Musa sebenarnya mempunyai kekurangan dari segi perbicaraanya. Boleh jadi beliau pelat, kurang fasih percakapannya, dan beliau harus juga walau bagaimanapun menyampaikan kebenaran di hadapan Fira’un dan kaumnya.

Boleh kita semua bayangkan keadaan itu?

Seseorang yang bicara pun tidak betul, punyai rekod yang tidak baik, ada hati mengajak manusia kepada sesuatu yang tidak pernah mereka dengar, mahu berdebat pula soal akidah dan ketuhanan.
Pasti sangat besar penolakan ke atas beliau. Boleh sahaja kaumnya mengejek dengan sindirian, “Apa Tuhanmu tidak ada makhluk yang lebih sempurna untuk diutuskan kepada kami?”

Pedih dan perit ujian itu.

Dan Rasulullah? Baginda pasti fasih tutur bicaranya. Membesar di kawasan pedalaman sudah tentu mengajar baginda untuk bertutur dengan baik dengan lughah yang asli. Pengalaman berniaga dan berdagang pasti memberi idea kepada baginda untuk berhadapan dengan pembesar dan mahir seni berdebat.

Bukankah sudah jelas kisah Musa benar-benar memberi kesan dalam perjuangan ar Rasul kita?


Dan hujah yang keempat,


“..dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (iaitu) Harun, saudaraku, teguhkanlah kekuatanku dengan dia, dan jadikanlah dia teman dalam urusanku..”
(Taha:29-32)


Rupa-rupanya, dalam keadaan yang getir, terpaksa berhadapan dengan kezaliman Fira’un, Musa hanya punya seorang teman di sisinya yakni Harun. Hanya Harun tempat dia berkongsi kekuatan, tempat dia berkongsi duka, peneman di kala dia menjalankan urusannya.

Hanya seorang?

Bandingkan dengan Rasulullah pula.

Baginda punya sangat ramai teman di sisi baginda yang sanggup berkorban harta dan nyawa untuk perjuangan baginda. Baginda punya Khadijah yang sanggup berkorban harta dan mendengar setiap rintihan baginda. Baginda punya Abu Bakr yang setia dan membenarkan setiap kata-kata baginda, baik yang telah diucapkan mahupun yang belum diucapkan pun sudah dibenarkannya.

Lagi?

Baginda punya Umar yang jadi ikon kegagahan dan kekuatan. Ali bin Abi Talib yang cerdik. Dan ramai lagi para sahabat dan sahabiah yang lain, yang berdiri kokoh disamping baginda.
Apa baginda punya alasan untuk tidak terus menegakkan al haq tatkala mengetahui bahawasanya
Musa mampu melakukan yang serupa bertemankan Harun sahaja?

Tentu sekali tidak.


Inilah serba sedikit hujah yang menjadi jawapan kenapa kisah Musa mendominasi kisah-kisah dalam al Quran.


Ikhwah dan akhowati fillah,

Cukuplah kita bandingkan kisah Musa a.s dengan Rasulullah s.a.w. Memang benar waktu dulu kisah-kisah ini diturunkan untuk Baginda Rasul. Namun hari ini, baginda telah wafat dan menamatkan khidmatnya dengan cemerlang. Sekarang bandingkan Musa dengan kita pula, rijal-rijal yang telah berjanji untuk menggalas tanggungjawab memastikan kelangsungan risalah ini.

Adakah kita hari ini berdakwah untuk menentang keluarga kita?

Sudah pasti tidak.
Bahkan mungkin kita sekeluarga bersama hidup dalam nafas dakwah.
Maka malulah kita untuk beralasan.

Adakah kita hari ini berdakwah sebagai seorang yang mempunya rekod jenayah seteruk membunuh orang?

Saya yakin tidak.
Paling-paling teruk pun kita biarkan ikan-ikan dalam aquarium mati kelaparan kerana kita sibuk pergi durah. Itu pun kalau bela ikan.

Adakah hari ini kita berdakwah sebagai seorang da’ie yang gagap bicara?

Bahkan saya yakin ramai dalam kalangan kita bukan sahaja fasih tutur bicara, malah menguasai beberapa bahasa komunikasi. Sekalipun ada yang pelat dan gagap, namun medium dakwah yang pelbagai hari ini menyebabkan kita tidak punya alasan.

Dan,

Adakah hari ini kita keseorangan dalam menyampaikan dakwah ini?
Ah, you know more than I do.

Jadi, apa lagi yang para du’at mahu?






7 comments:

Inche gabbana said...

Masha-Allah. Segal puji bagi bagi Allah yang telah memberikan anda taufiq dan ilham untuk menulis post ini.

Very beneficial, indeed! Jzkk akhi! :D

Inspector Saahab said...

sangat formal.

jzkk :)

Sarah Zulkifli said...

wow , point of view yg bagus :)

Anonymous said...

allahu rabbi,
segala puji Allah yang telah mengilhamkan akhi untuk mengupas kisah musa as.

sebegini dekat.
dekat dengan para daie.
saat ini. masa ini.
inshaAllah.
sungguh al quran petunjuk sepanjang zaman!

Anonymous said...

jzkk akh.
benar2 menusuk iman.
terasa seperti rijal yg bermain-main dalam dnt ni..
moga Allah pelihara kita semua dan moga Allah terus tsabatkan kita di jalan ini..

Jejaka Nirman said...

I'm speechless. Masya Allah tak tahu nak kata apa. Jzkk atas penulisan :)

piece said...

Quran dan segala isinya itu penuh dgn kekuatan... Allahuuu